Thursday, 7 January 2010

Amaran Saintis - Kemunculan Banyak Penyakit Baru Dari Haiwan Ke Manusia


Susulan perubahan cuaca dunia, saintis memberikan amaran akan kemunculan berbagai-bagai penyakit baru yang bakal melanda manusia yang berpunca dari haiwan.

Setakat ini laporan menyatakan bahawa sebanyak 45 jenis penyakit jankitan dari haiwan telah dikenal pasti dan banyak lagi dalam senarai menunggu.

Pada permulaan revolusi perindustrian, negara yang membangun mencatatkan penurunan terhadap kes-kes penyakit berjangkit. Apabila aktiviti perindustrian ini meningkat tinggi, manusia menghadapi penyakit baru yang merbahaya seperti kanser, alergi dan kelahiran cacat.

Kini fasa baru pula berlaku dimana penggondolan hutan serta pemusnahan habitat haiwan membawa manusia amat dekat dengan haiwan yang tidak pernah dialami sebelum ini dalam sejarah dunia.

Contoh yang paling baik dalam kes jangkita penyakit dari haiwan ke manusia adalah penyakit HIV yang datang dari Chimpanzee turun kepada manusia di Afrika Barat. Setakat ini seramai lebih 25 juta manusia telah mati akibat dari wabak HIV ini. Begitu juga dengan wabak seperti SARS, H1N1 baru-baru ini yang melanda dunia.

Menurut David Murell, pakar ekologi dari Universiy College London, sejal 1940 sebanyak 300 jenis penyakit baru telah muncul dan sebanyak 60% dari penyakit tersebut adalah dari jangkitan haiwan yang turun kepada manusia.

Daripada 60% jangkitan yang datang dari haiwan tersebut sebanyak 70% darinya adalah dari haiwan liar.

Proses penerokaan menjadikan kawasan penempatan menyebabkan manusia menghampiri binatang yang menjangkitkan penyakitnya kepada manusia, dengan arus globalisasi pula memburukkan lagi penyebaran penyakit ke seluruh dunia dengan mudah cepat.

Antara penyakit yang telah melanda dan datang kembali dengan wajah baru yang sedang dikaji oleh para saintis adalah seperti Malaria, penyakit Lyme yang disebarkan oleh kutu yang terdapat pada rusa, Hantavirus penyakit bawaan tikus, Penyakit West Nile yang disebarkan nyamuk, Schistosomiasis penyakit bawaan siput sungai dan lain-lain lagi.

Monday, 4 January 2010

Allah

 

Allah dalam bahasa arab, melayu sebut Tuhan, orang inggeris sebut God, orang perancis sebut Dieu, orang Findland sebut Luoja, orang Denmark dan Sweden sebut Gud, orang filipina sebut Diyos, orang German sebut Gott, orang Itali sebut Dio, orang Spanish sebut Dios, bahasa Swahili sebut Mungu, orang Portugis sebut Deus, dan beratus-ratus lagi bahasa yang mempunyai sebutan yang berbeza untuk menerang satu perkara.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad Sallaahualaihiwasalam, orang arab sudah biasa sebut perkataan Allah ini yang membawa maksud sepertimana perkataan Tuhan dalam bahasa kita.

Semua manusia mempunyai naluri semula jadi yang mengakui ada sesuatu yang maha tinggi yang menguasai segala-galanya, yang menguasai dirinya, yang ia takut. Cuma jika tiada utusan dari Tuhan untuk datang menerangkan siapa sebenarnya Tuhan itu, maka manusia akan teraba-raba dan meneka.

Orang arab di mekah dulu beruntung kerana mendapat nabi Ibrahim yang diutuskan oleh Allah mengajarkan pada mereka siapakah Dia Tuhan, masa berlalu mereka sesat dan menyekutukan Tuhan sehingga nabi Muhammad diutuskan kembali membetulkan kesesatan tersebut.

Apabila datangnya Islam kepada bangsa kita di nusantara ini, terutamanya Melayu, maka kita diberikan ilmu menyatakan siapa sebenarnya Tuhan itu, kita di ajar membaca Al-Quran, kita menyerapkan perkataan Allah ke dalam bahasa kita dan kita mengambil bahwa Allah itu adalah nama khas bagi Tuhan yang sebenarnya, Tuhan yang diimani oleh umat Islam.

Ada juga yang tak sedar dengan menyatakan Tuhan orang Islam itu Allah, Tuhan orang Cina, orang putih, orang Hindu itu lain, bukan Allah. Mereka berkata Tuhan Orang Cina lain, Tuhan Orang Hindu lain pula dan Tuhan Orang Putih pun lain pula. Itu merupakan satu kepercayaan yang salah, sesat dan amat jahil. Terkeluar dari Islam bagi seseorang yang beragama Islam jika ia berkata dan percaya begitu.

Mana ada Tuhan selain dari Tuhan yang satu, yang menguasai segala lagit dan bumi dan segala isinya. Mana ada lagi Allah selain dari Allah, yang esa, yang tiada seumpamanya.

Pakailah sebutan apapun, yang penting pemahaman siapa sebenarnya yang dikatakan Tuhan itu. Apa guna pakai nama Allah, jika masih percaya bahawa Melayu Tuhannya Allah, Cina ada Tuhan Lain, dan Hindu ada Tuhan Lain.

Apa guna pakai nama Allah jika percaya Allah itu hanya untuk orang Islam, hanya untuk orang Melayu, sedangkan hakikatnya Allah itu adalah Tuhan semesta Alam, itulah yang perlu kita dakwahkan kepada semua orang.

Jika kita muliakan perkataan Allah itu, maka kita juga perlu muliakan perkataan Tuhan, perkataan God, perkataan Dieu, perkataan Luoja, perkataan Gud, perkataan Diyos, perkataan Gott dan lain-lain yang mahu menyebut benda yang sama.

Cuma perlu ditambah bahawa saipa yang mereka sebut itu sebenarnya adalah seperti dalam surah Al-Ikhlas:
" Katakanlah Tuhan itu Esa, Tuhan itu Tempat memohon, Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatupun yang serupa denganNya".

Itulah yang kita perlu ajarkan pada anak-anak kita, pada remaja-remaja kita, pada orang tua-tua kita, pada orang kristian negara kita, dan pada semua orang di Malaysia. Lebih baik kita mula gerakkan usaha menyampaikan pemahaman apa sebenarnya yang dikatan Tuhan atau Allah itu daripada kita melalak-melolong berdemontrasi melarang orang lain sebut perkataan ALLAH.

Jika orang Hindu tunjuk patung banyak tangan kemudian dia kata itu Tuhan, kita kata itu bukan Tuhan, itu tokong berhala.

Jika orang budhha tunjuk patung sedang tidur lalu berkata itu Tuhan, kita kata itu bukan Tuhan itu berhala, patung tak bernyawa.

Jika orang Kristian kata Jesus itu Tuhan, kita kata itu bukan Tuhan, itu Rasul, manusia seperti kita. Sekarang orang Kristian cuma tukar istilah Tuhan itu kepada Allah, sama juga jawapannya, jika mereka kata Allah itu 3 dalam satu, satu dalam 3, ada anak, dan lain-lain, kita baca surah Al-Ikhlas.

Adakah susah sangat untuk anak-anak kita memahami surah Al-Ikhlas sehingga kita khuatir mereka terpengaruh dengan agenda Kristian memakai perkataan Allah.

Ramai anak-anak muda kita masuk Kristian bukan kerana faham dengan konsep ketuhanan mereka, tetapi kerana, harta, kesenangan, kerana mengikut nafsu cinta, kerana layanan akhlak orang Kristian yang lemah lembut, kerana orang kristian lebih prihatin, lebih buat apa yang mereka cakap bukan kerana siapa yang mereka namakan Tuhan. Itu semua yang lebih utama yang perlu kita perbaiki.

Saturday, 2 January 2010

Elakkan Tekanan Jiwa Kanak-Kanak Dengan Tidur Sebelum Pukul 10 Malam


Kanak-kanak yang tidur lewat tengah malam didapati 25% lebih berisiko mengalami tekanan jiwa dan berkeinginan membunuh diri daripada mereka yang tidur pada atau sebelum pukul 10 malam. Demikian menurut kajian yang disiarkan dalam majalah Sleep.

Kajian dilakukan pada 17,000 pelajar yang berumur antara 12 dan 17 tahun dan ibubapa mereka di Amerika. Mereka mendapati remaja yang tidur selama 5 jam atau kurang mempunyai 71% risiko tekanan jiwa dan 48% kecenderungan membunuh diri jika di bandingkan dengan mereka yang tidur sekurang-kurangnya 8 jam.

Dr. James Gangwisch, professor di Columbia University College of Physicians and Surgeon di New York menyatakan bahawa kajian tersebut adalah selari dengan theori yang menyatakan bahawa tekanan jiwa berkait rapat dengan kekurangan tidur.

Beliau menambah lagi bahawa tidur dan rehat yang cukup adalah rawatan terbaik dalam menangani tekanan dan stress.

Para penyelidik percaya bahawa tidak cukup tidur memberikan kesan secara lansung terhadap tekanan, ini membawa mereka menghadapi kesukaran mengharungi cabaran harian dan sukar menyesuaikan diri dengan kawan-kawan atau orang dewasa lain, dan mereka juga lebih mudah menjadi murung.

Kajian terbaru ini juga mengesahkan kajian sebelum ini yang mendapati bahwa kesukaran tidur boleh membawa seseorang menjadi gila.

Selama ini para pakar telah mengaitkan masalah tidur dengan masalah mental tetapi ianya dianggap sebagai kesan sampingan sahaja, namun kini para saintis di Harvard percaya kesukaran untuk tidur merupakan penyebab kepada berbagai masalah jiwa.

Kekurangan tidur juga menyebabkan badan anda mengalami kekacauan yang teruk terhadap hormon-hormon badan termasuklah hormon yang diperlukan dalam menangani tekanan.

Saya teringat semasa belajar fiqah dulu dalam bab sembahyang, guru saya ada memberi tahu bahawa ada saranan daripada ulama supaya segera tidur selepas selesai solat insya dan sunat-sunat selepasnya, ini untuk memastikan kita dapat bangun awal dalam linkungan 2/3 malam untuk beribadat.

Apabila dikira-kira jika kita tidur selepas selesai solat insya dan sunat-sunat yang selepas itu, bermakna kita tidur dalam lingkunngan selewat-lewatnya pukul 10 malam. Jika kita tidur semaksimum 8 jam bermakna kita akan bangun sebelum pukul 5 pagi.

Terdapat ramai di kalangan kawan-kawan terutamanya yang berniaga atau berpolitik sangat kurang tidur dan selalunya tidur amat lewat, saya khuatir dengan budaya tersebut yang telah menjadi satu lumrah.

Saya tak pasti bagaimana kita perlu melihat fenomena tersebut, adakah kita perlu mengorbankan kesihatan kita atas alasan cari makan, atau berjuang? sama-samalah kita fikirkan sendiri, tapi yang penting, pastikan kita mendidik anak-anak kita tidur sebelum pukul 10 malam dan kemudian bangun awal.

Jangan sampai anak-anak kita memandang sinis pada amalan sebenar kita sudahlah, jangan sampai mereka menuduh si ketam mengajar anaknya berjalan lurus ke depan.

Friday, 1 January 2010

Makan Suplemen Untuk Kuat Ingatan - Buang Duit Buang Masa

 

Ramai orang-orang yang dah berumur dan berduit mengambil pil-pil herba yang kononnya dapat mengembalikan kekuatan daya ingatan mereka.

Di Malaysia juga kita dapat melihat lambakan suplemen yang dinamakan Ginkgo Biloba dalam bentuk kapsul atau cecair yang dipercayai dapat melancarkan perjalanan darah, memperbaiki daya ingatan dan meningkatkan daya tumpuan.

Ginkgo merupakan sejenis herba perubatan berasal dari negeri China yang digunakan dalam perubatan tradisional mereka semenjak ribuan tahun dahulu.

Jika anda pergi ke pharmasi atau gedung membeli belah, anda boleh dapati suplemen Ginkgo Biloba ini yang dibotolkan dalam bungkusan yang cantik, dan harganya pula bukannya murah. Namun ramai yang membelinya demi menjaga keupayaan otak agar dapat berfungsi dengan baik walaupun dah tua.

Bagi mereka yang telah lama mengamalkan pemakanan Ginkgo ini, berita sedih bagi anda adalah anda sebenarnya hanya membazir dan membuang masa. Demikian rumusan dari kajian yang dijalankan baru-baru ini.

Kajian melibatkan seramai 3,069 orang sukarelawan yang berumur antara 72 dan 96 tahun yang diberikan suplemen tersebut selama 6 tahun secara konsisten.

Hasilnya adalah daya ingatan mereka yang diberikan suplemen selama 6 tahun dengan mereka yang tidak menggunakan suplemen tersebut adalah sama sahaja, mereka yang menggunakan Ginkgo lansung tiada kemajuan yang dapat membezakan mereka dengan yang tidak makan ginkgo.

Sebelum ini, kajian juga menunjukkan bahawa Ginkgo tidak ada kesan dalam mengurangkan kecederaan otak mereka yang terkena strok sepertimana yang dipercayai selama ini.

Laporan kajian diatas di terbitkan dalam The Journal of The American Medical Association (JAMA).

Bagi para pembaca yang memang dah mengamalkan makan Ginkgo Biloba ini, lebih baik berhentilah, anda hanya buang duit dan buang masa sahaja.

Saya dapat tahu dari cerita ramai orang tua-tua dan orang-orang alim, mereka yang sering baca Al-Quran, lebih-lebih lagi menghafal banyak ayat-ayat suci, daya ingatan mereka tak pernah pudar sampai mati.

Saya lihat sendiri Tok saudara susuan Tok saya yang umurnya lebih dari 100 tahun, namun kekuatan ingatannya tak siapa dapat tandingi. Jadi rajin baca Quran dan banyakkan hafalan, tak perlu keluarkan duit, insyallah ingatan anda tak akan pudar.
Hey, we've just launched a new tips for small business blog. You'll like it - hidupringkas.com
Join Our Newsletter