Monday, August 30, 2021

Bagaimana seorang taukeh buat keputusan dalam menjalankan perniagaannya

  Mat       Monday, August 30, 2021

Baru masuk awal tahun baru ini saja dah ada beberapa keputusan berat yang saya terpaksa buat. Semua itu perlu dilakukan agar usaha menguruskan syarikat dan perniagaan yang ada, menjadi seperti mana yang saya harapkan.

Dalam kehidupan, anda tentu terpaksa berhadapan dengan cabaran membuat keputusan demi keputusan. Malah boleh dikatakan hidup adalah proses buat keputusan selagi hayat dikandung badan.

Suka atau tidak suka, sebaik saja celik mata dari tidur, bermulalah aktiviti buat keputusan.

Sebaik saja terjaga, anda perlu pilih samada nak buka atau nak teruskan tutup mata. Bila buka mata, kena buat keputusan samada nak terus bangun atau mengeliat kendurkan otot dan sendi terlebih dahulu.

Bila dah tegakkan diri duduk, buat keputusan lagi samada nak terus bangun berdiri atau masih nak terus duduk atas katil sambil hulurkan kaki pijak lantai.

Bila dah bangun berdiri, buat keputusan samada nak ambil telefon tengok wasap atau buka media sosial, atau terus masuk ke bilik air. Dan begitulah seterusnya. Berangkai satu demi satu.

Dalam semua urutan tindakan demi tindakan tersebut, ada banyak keputusan yang berlaku secara spontan tanpa perlu fikir terlebih dulu. Ini berlaku pada aktiviti yang dah sebati jadi tabiat atau amalan tetap.

Sesuatu tindakan akan berubah jadi tabiat bila anda sering amalkan bertalu-talu secara konsisten. Akhirnya amalan itu meresap jadi sebati dan melekat tanpa perlu fikir atau buat apa-apa pilihan.

Perlu berfikir bila nak buat keputusan

Tabiat akan terhenti dapat dikawal bila anda tangguhkan dulu perlakuannya. Itupun jika anda sedar apa yang sedang berlaku.

Biasanya, anda akan dikuasai oleh tabiat. Jika anda sedar saja barulah taniat itu boleh dikawal. Contohnya bila rasa marah orang potong Q ketika memandu.

Jika anda tak sedar, tabiat bertindak menyekat orang yang potong Q akan berlaku secara spontan saja. Anda tekan ke depan halang kenderaan itu dari cuba masuk.

Sebalik jika anda sedar diri sedang rasa marah tak puas hati. Ambil masa 2 atau 3 saat untuk fikir dahulu. Pertimbangkan langkah seterusnya dengan melihat pilihan yang ada. Kemudian baru bertindak. Maka abiat dapat dikawal dengan keputusan yang dipertimbangkan dahulu.

Begitulah biasanya berlaku.

Begitu juga bila ada sesuatu yang jarang berlaku, tidak membutuhkan satu keputusan yang pantas, anda punya ruang untuk fikirkan secara mendalam dalam membuat pertimbangan mana yang terbaik untuk tindakan seterusnya.

Buat keputusan dalam perniagaan

Dalam menjalankan perniagaan, keadaan yang sama juga akan berlaku setiap saat.

Kebanyakan dari masa, semua keputusan akan berlaku secara spontan bila perniagaan anda dah ada rutin dan sistem yang tersusun rapi.

Lebih banyak anda susun sistem perjalanan syarikat anda, lebih sedikitlah keputusan yang anda perlu buat secara sedar.

Dalam menjalankan perniagaan, sistem yang baik adalah satu usaha untuk tanam satu amalan yang konsisten dalam syarikat.

Orang yang kerja kat ‘line production’ dalam kilang pengeluaran barang elektronik tak perlu buat apa-apa keputusan dari satu langkah ke satu langkah seterusnya. Semua dah ditentukan secara sistematik supaya proses kerja lancar dan pantas.

Untuk kerja yang perlu buat keputusan lebih sikit, ia akan diberikan kepada line leader. Makin banyak kena buat keputusan, makin tinggi pangkat orang yang diberikan amanah kepadanya.

Ada 2 kerja yang taukeh perlu pastikan berlaku.

Sebagai taukeh, anda perlu buat 2 kerja utama.

Pertamanya kerja yang memerlukan tenaga dan aktiviti fizikal tanpa perlu buat apa-apa keputusan yang berat. Contohnya kerja-kerja buruh.

Kedua adalah kerja yang memerlukan aktiviti mental, tanpa perlu buat apa-apa kerja yang berat. Contohnya kerja merancang strategi tingkatkan jualan.

Dalam mana-mana organisasi perniagaan, kedudukan pekerja adalah berdasarkan keupayaannya dalam menggunakan aktiviti mental.

Makin banyak akviti mental diperlukan, makin tinggi kedudukan pekerja itu dalam sesebuah organisasi.

Makin banyak aktiviti fizikal diperlukan, makin rendah kedudukannya dalam sesebuah syarikat.

Nampak macam satu susunan kasta. Tapi begitulah realitinya.

Jika dilihat dari semua amalan manusia, terutamanya dalam dunia moden, keupayaan menggunakan fikiran dalam membuat keputusan lebih dinilai tinggi tahap kedudukannya berbanding keupayaan menggunakan kekuatan fizikal.

Orang yang kuat fizikalnya, rajin bergerak dan rajin buat kerja, tapi bodoh dalam menggunakan akalnya fikirannya, tak akan ada peluang untuk naik jadi ketua paling tinggi dalam sesebuah organisasi.

Sebab itu anda sering disarankan membaca, ambil kursus, bercampur dengan orang, luaskan kenalan dan tingkatkan tahap pemikiran.

Semua itu penting untuk membaiki keupayaan membuat keputusan.

Taukeh yang mahu ringankan bebanan buat keputusan terpaksa ambil pekerja yang mampu buat keputusan untuk mewakili dirinya.

Bayangkan jika taukeh lebih pentingkan kekuatan fizikal dan abaikan keupayaan mental dalam melantik seorang pengurus dalam syarikatnya.

Pengurus yang kuat daya fizikal akan berani buat banyak keputusan sebab dia dah terbiasa buat banyak kerja.

Tapi akan ada banyak masalah yang akan timbul balik semula kepada Taukeh. Sebab kebanyakan keputusan pengurusnya itu tidak difikirkan dengan baik malah lebih berlandaskan emosi atau moodnya ketika itu.

Memilih ketua dalam syarikat

Ada satu petua yang sangat baik dalam melantik seseorang ketua dalam syarikat anda.

Anda perlu lihat keupayaan dalam 2 perkara berikut:

  • Kepandaian akal
  • Kerajinan buat kerja

Dari dia keupayaan asas di atas akan ada 4 keadaan;

  1. Pandai & Rajin – Orang sebegini tak sesuai untuk dijadikan ketua sekalipun dia pandai. Sebab dia lebih suka buat semua kerja sendiri dan tak mahu serahkan tugas pada orang lain. Jika perniagaan anda perlukan teamwork, orang begini elok buang saja dari syarikat anda.
  2. Pandai & Malas – Ini orang yang sangat sesuai untuk dilantik ke tahap paling tinggi dalam syarikat anda.
  3. Bodoh & Rajin – Ini orang yang sesuai untuk diambil untuk laksanakan semua kerja yang ada dalam syarikat. Anda hanya perlu pastikan semua cara buat kerja tersusun rapi dengan SOP yang baik dan jelas serta mudah diikut.
  4. Bodoh & Malas – Anda tak perlu risau dengan orang sebegini sebab mereka tak akan keluar rumah untuk pergi cari kerja.

Jika anda lihat kesemua 4 kategori orang di atas, orang yang pandai tetapi malas duduk di tahap paling tinggi.

Mungkin ada yang pelik kenapa nak lantik orang pandai tapi malas jadi ketua?

Sebab utamanya, orang begitu yang bercita-cita tinggi, akan sentiasa cari jalan terbaik untuk mendapat hasil yang lebih tinggi dengan usaha yang lebih rendah.

Itulah yang sesebuah syarikat perlukan.

Bila syarikat mahu membesar, dia terpaksa pastikan penggunaan tenaga adalah lebih cekap. Syarikat yang ada 5 pekerja kemudian membesar jadi 10 pekerja, perlu cekapkan penggunaan segala sumber yang ada.

Penjimatan tenaga perlu lebih rendah supaya syarikat dapat bertahan dan pergi lebih jauh.

Ertinya jika anda perlukan RM100 ribu sebulan untuk sara syarikat anda dengan 5 orang pekerja, anda tak boleh terus buat cara kerja yang sama dengan RM200 ribu diperlukan untuk sara syarikat dengan 10 orang pekerja.

Cara yang betul diperlukan agar bila ada 10 orang pekerja, jumlah yang lebih rendah dari RM200 ribu diperlukan untuk sara syarikat anda. Purata sesebuah syarikat yang sangat cekap hanya perlukan dalam RM170 ribu saja bila saiz syarikatnya naik dari 5 kepada 10 orang.

Begitulah seterusnya dari 10 kepada 20 pekerja, anda perlu pastikan kos saraan syarikat anda adalah lebih rendah dari RM340 ribu. Mungkin hanya RM289 ribu sahaja.

Bayangkan betapa besarnya cabaran untuk laksanakan semua urusan mengoptimumkan sumber dengan pembesaran syarikat.

Orang yang bodoh dan rajin tak akan mampu buat semua urusan berfikir untuk mencapai matlamat tersebut.

Kerja perlu dipantaskan. Perlu dioptimumkan atau di automasikan. Jika selama ini anda perlu ambil masa seminggu untuk laksanakan sesuatu urusan, perlu difikirkan bagaimana nak kurangkan tempoh tersebut kepada hanya 3 atau 4 hari.

Orang yang rajin tapi malas berfikir tak akan mampu buat semua urusan sebegitu.

Rajin sahaja tanpa anda kebijaksanaan berfikir untuk cari jalan pintas, lambat laun akan tenggelam dalam bebanan kerja yang tidak mampu dilaksanakan lagi.

Itulah yang sering berlaku pada pekerja yang rajin tapi malas berfikir. Dia akhirnya rasa diperlakukan seperti hamba. Semua itu dapat diatasi jika ada penyelia di atasnya yang buat kerja fikir cari jalan pintas dan pekerja rajin kat bawah itu tidak dibebani dengan kerja di luar keupayaannya.

Pertimbangan Taukeh bila buat keputusan

Semua yang saya sebutkan di atas perlu diberikan pertimbangan dalam membuat keputusan bila anda jadi taukeh.

Taukeh perlu pastikan perkara utama diambil kira dalam menguruskan syarikatnya. Dan perkara utama dalam sesebuah syarikat adalah keupayaan menjana jualan dan memuaskan hati pelanggan yang membeli.

Orang yang pandai menggunakan akal pemikirannya dalam memastikan dua urusan tersebut berlaku adalah yang paling utama diberikan perhatian dan peranan dalam syarikat.

Tanpa jualan dan tanpa adanya pelanggan yang setia kepada sesebuah syarikat, tidak ada gunanya kekal berniaga. Memang tak boleh bertahanpun. Hanya membuang masa dan tenaga saja .. syok sendiri.

Bayangkan jika anda lantik pengurus yang blok no phone pelanggan syarikat yang tak puas hati. Dalam banyak pilihan tindakan yang boleh dibuat, blok telefon pelanggan yang sedang marah pula dipilihnya.

Itu tindakan tidak bertanggung jawab yang boleh ada pada seseorang pengurus.

Tindakan sebegitu jelas menunjukkan keupayaan berfikir yang cetek dan lemah, seorang pengurus dalam berhadapan dengan krisis perniagaan.

Semua pertimbangan tersebut perlu diambil oleh Taukeh dalam membuat keputusan terhadap semua perkara yang berlaku dalam syarikatnya

Akan ada masanya pekerja yang hanya pentingkan dirinya sahaja tak akan faham keadaan itu.

Tidak bersedia untuk ambil tahu dan cuba faham juga adalah satu lagi ciri kelemahan akal fikiran.

Saya berpengalaman berurusan dengan orang yang lemah akal fikiran sebegitu. Dia biasanya akan gunakan alasan maruah dan segala tok nenek punya pantang dalam merasionalkan tindakannya memberontak.

Boleh jaga maruah atau jaga air muka. Tapi bukanlah sampai buat benda bodoh.

Contohnya bila seorang staff di letakkan di bawah seorang staff lain yang baru dinaikkan pangkat. Staff itu tak setuju sebab dia rasa maruahnya tercalar jika perlu kerja di bawah staff yang dia tak suka.

Memang layaklah dia tidak diberikan pertimbangan untuk menjadi orang penting dalam membuat keputusan mewakili Taukeh.

Jika ada pekerja yang mampu ambil peranan buat keputusan untuk Taukeh dalam memastikan pergerakan syarikat lancar dan berkesan, ia adalah satu rahmat. Orang sebegitulah yang perlu dijaga dan diberikan peranan yang lebih besar.

Kalau nak cerita pasal bagaimana Taukeh buat keputusan memang sangat panjang. Tapi cukuplah setakat ini saja dulu. Moga ada manfaatnya ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bagaimana seorang taukeh buat keputusan dalam menjalankan perniagaannya

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !