Tuesday, August 17, 2021

3 Syarikat perniagaan paling lama bertahan, masih wujud di pekan kecil kampung saya

  Mat       Tuesday, August 17, 2021
Berapa banyak syarikat perniagaan yang bertahan lebih dari 50 tahun di kampung anda?

Di kampung saya, pekan Penanti, Seberang Perai Utara ada 3 syarikat perniagaan paling lama bertahan dan masih wujud sampai sekarang.

Mungkin ada lebih dari 3 kalau diambil kira jenis perniagaan saja tanpa ambil kira syarikat. Tapi yang saya pasti, bukan mudah nak cari sebuah syarikat perniagaan yang dapat bertahan lama wujud dari zaman tok nenek dulu sampai ke cucu cicitnya.

Salah satu darinya adalah syarikat perniagaan basikal yang pernah saya tulis kat blog ini. Kalau nak baca boleh klik pada pautan kat sini.

Satu lagi adalah syarikat motosikal yang buat kerja selenggara, baiki dan jual motor baru dan terpakai. Ini juga syarikat yang dah ada sejak saya kecil lagi dan masih bertahan sampai sekarang.

Syarikat perniagaan yang ke-3 yang bertahan lama dan masih kekal sampai sekarang adalah kedai makan di tengah pekan Penanti tu. Makanan yang terkenal kat kedai makan itu adalah mee kuah atau mee goreng dia yang jadi kegemaran saya sejak di bangku sekolah.

Kesemuanya kedai yang diperturunkan dari ayah sampai ke anak.

Selain dari itu, ada lagi bisnes yang masih wujud. Juga dalam bisnes makanan. Kedai laksa campur di Kampung Petani. Perniagaan tu juga sangat lama. Dari zaman ayahnya dulu dan masa saya masih bersekolah.

Tapi sekarang dah pecah kepada 2 kedai. Jual laksa juga. Anak-anak Pak Su Mat masing-masing buka kedai laksa mereka sendiri. Perniagaan masih kekal dengan konsep laksa beras buatan sendiri. Tapi syarikat dah lain-lain.

Syarikat perniagaan tak tahan lama

Fenomena syarikat tak dapat bertahan lama ni berlaku di seluruh dunia. Dalam buku ‘Scale’ yang saya baca, ada diberikan fakta menarik pasal syarikat yang berniaga di pasaran Amerika.

Ada sebanyak 28,853 syarikat yang diniagakan dalam pasaran saham Amerika sejak tahun 1950. Dari keseluruhan syarikat perniagaan itu, sebanyak 22,469 syarikat mati sehingga ke tahun 2009.

Ia mewakili 78% dari keseluruhan syarikat.

Dari 78% itu, sebanyak 45% telah dimakan (dibeli) oleh syarikat lain atau berlaku gabungan dengan syarikat lain. 9% jatuh bankrup. 3% keluar dari pasaran saham dan selebihnya ada yang hilang terus tak ketahuan.

Syarikat tersebut di atas tentulah terdiri dari syarikat perniagaan yang besar. Maksud saya, samada syarikat anda besar atau kecil, kemungkinan untuk padam adalah sama saja.

Dalam keseluruhan syarikat yang masuk dalam kategori Fortune 500 pada tahun 1955, hanya tinggal 61 syarikat saja yang masih kekal pada tahun 2014. Ertinya dalam 12% saja masih bertahan. Yang lainnya samada di makan oleh syarikat lain, terkeluar dari senarai atau jatuh bankrup.

Syarikat bertahan ratusan tahun

Dari kajian yang dibuat, juga saya dapat dari buku Scale tu, kemungkinan untuk sesebuah syarikat perniagaan kekal lebih dari 100 tahun adalah hanya dalam 45 dari 1 juta syarikat.

Untuk sesebuah syarikat bertahan sampai lebih dari 200 tahun pula hanya 1 dalam 1 billion syarikat! Itu adalah andaian berdasarkan pengamatan yang para pengkaji buat. Nak beritahu betapa sukarnya untuk berbuat demikian.

Tapi yang menarik, ada juga syarikat yang mampu bertahan ratusan tahun.

Kebanyakkannya ada di Eropah dan di Jepun. Dan lebih menarik lagi, kesemua syarikat itu bukanlah syarikat gergasi yang besar-besar.

Mereka berada dalam industri yang sangat niche (ceruk), pakar dalam bidang masing-masing seperti syarikat wine, gula-gula, restoran dan seumpamanya.

Kesemua syarikat yang bertahan ratusan tahun itu tak ikutpun falsafah mempelbagaikan perniagaan (diversify) dan seumpamanya.

Mereka tetap kekal berikan tumpuan yang serius dalam menghasilkan produk yang sangat berkualiti tinggi khas untuk pelanggan sasaran mereka yang sangat niche.

Syarikat perniagaan Jepun bertahan lama

Banyak syarikat di Jepun yang dapat bertahan ratusan tahun. Mereka kekal dengan konsep perniagaan yang sama sejak awal dengan penuh dedikasi. Mereka juga kekalkan reputasi tinggi dan dengan amat konsisten sekali.

Dari maklumat Bank of Korea pada tahun 2008, ada sebanyak 5,586 syarikat yang berumur lebih dari 200 tahun.

Dari keseluruhan itu, 3,146 syarikat adalah dari Jepun, 837 dari Jerman, 222 dari Belanda dan 196 dari Perancis.

Lebih 90% dari keseluruhan syarikat itu tak besar pun. Punya tak lebih dari 300 pekerja.

Contoh syarikat bertahan sangat lama

Ada satu syarikat yang sangat tua di Jerman. Nama syarikat itu ialah Eduard Meier.

Ia ditubuhkan di Munich pada tahun 1596.

Sampai sekarang dia masih kekal dengan satu kedainya saja dan tak gila buka cawangan merata-rata macam yang digemari oleh kebanyakan usahawan sekarang!.

Ada satu lagi hotel yang masuk buku Guinness World Record sebagai hotel paling lama wujud di dunia. Nama hotel itu, Nishiyama Onsen Keiunkan. Terletak di Hayakawa, Jepun.

Hotel ajaib yang sangat tua itu ditubuhkan pada tahun 705.

Sampai sekarang masih dimiliki oleh keluarga yang sama selama 52 generasi!.

Dalam keadaan zaman moden nipun hotel tua itu masih kekalkan dengan hanya 37 buah bilik sahaja. Tarikan utama hotel itu adalah mata air panas.

Syarikat perniagaan yang paling lama diketahui adalah Syarikat Kongo Gumi. Ia ditubuhkan pada tahun 578. Kekal dibawah generasi keluarga sama.

Tapi syarikat itu dibubarkan pada tahun 2006 setelah hampir 1,500 tahun menjalankan perniagaan! Kemudiannya dibeli oleh Takamatsu Corporation.

Perniagaan yang dibuat oleh Kongo Gumi adalah khidmat membina Kuil Buddha berkualiti sangat luar biasa. Disebabkan perubahan budaya Jepun selepas perang dunia ke-2, syarikat itu tidak lagi dapat sesuaikan perniagaan yang diceburinya.

Pilih syarikat bertahan lama atau besar

Dari semua maklumat yang saya kongsikan di atas, agaknya mana satu pilihan anda?

Mana satu yang perlu anda sasarkan?

Adakah syarikat yang membesar dan membesar sampai jadi raksaksa dan akhirnya runtuh. Atau anda lebih suka mengusahakan syarikat yang sederhana tetapi dapat bertahan sampai ke anak cucu dan cicit generasi demi generasi?

Semua maklumat itu, setelah saya baca dan cuba hadam, membuatkan saya terfikirkan semula hala tuju syarikat perniagaan yang sedang saya buat sekarang.

Selama ini, saya juga terbeli dengan konsep diversify, buat banyak syarikat, bina sampai jadi besar, pasarkan di bursa saham dan begitulah seterusnya menjadi sebuah syarikat gergasi yang hebat dan menjana berbillion-billion ringgit!.

Tak terfikir pula ada satu lagi pilihan yang berbeza dari apa yang semua orang kejar.

Cuba fikirkan bagaimana nak bina sebuah syarikat yang mampu bertahan sangat lama dengan mengadakan produk yang sangat berkualiti dan konsisten luar biasa.

Namun begitu, itu bukanlah satu urusan yang mudah untuk dilaksanakan. Syarikat yang sedemikian adalah spesis pelik yang jarang-jarang berlaku.

Namun begitu tentu ada sesuatu yang dapat kita belajar dari semua maklumat tersebut di atas.

Saya harap anda boleh cuba perhatikan di tempat anda tinggal sekarang. Ada tak mana-mana syarikat perniagaan yang dapat bertahan lama dari dulu sampai sekarang.

Kalau ada jumpa, beritahu berapa lama sudah mereka bisnes dan mereka buat bisnes apa.

Boleh kongsikan kat ruang komen di bawah ni untuk maklumat saya dan semua pembaca yang berminat. Terima kasih saya dahulukan !

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 3 Syarikat perniagaan paling lama bertahan, masih wujud di pekan kecil kampung saya

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Di tempat Saya ada satu kedai mamak yang popular dengan nasi berianinya. Telah wujud sejak awal 80an. Ketika itu nasi beriani tersebut di jual Rm2.50... kini tahun 2021 masih wujud. Dan nasi beriani tu dah benilai rm7.50

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tentu sedap nasi briani dia. Kat area mana ya?
      Terima kasih sudi kongsi info

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !