Tuesday, August 17, 2021

5 sebab mengapa bisnes perlu terus kekal kecil untuk bertahan lama di pasaran

  Mat       Tuesday, August 17, 2021
Kekal kecil atau buka banyak cawangan?

Apa yang saya ingin berkongsi dalam artikel kali ini mungkin tidak senang untuk anda baca.

Saya raikan perbezaan ini.

Seminggu yang lepas, saya dihubungi oleh seorang rakan yang menyatakan hasrat beliau untuk membuka sebuah lagi cawangan baru bagi perniagaan yang beliau usahakan.

Perniagaan beliau usahakan adalah berbentuk servis.

Terus timbul soalan dari saya kepada beliau.

“Kenapa nak buka lagi satu cawangan?”

Beliau mengatakan bahawa hasrat tersebut timbul selepas melihat permintaan yang semakin tinggi setiap hari terhadap servis yang dia usahakan sekarang.

Apa yang menarik adalah beliau mengisi penuh duit di dalam poket seluar ketika kebanyakan bisnes lain terumbang ambing disebabkan pandemik yang sedang melanda negara.  

Itu kelebihan bisnes yang beliau usahakan sekarang.

Mungkin itu penyebab utama beliau terlalu excited untuk buka sebuah lagi cawangan baru.

Namun, saya langsung tidak teruja atau bersetuju dengan hasrat beliau.

Bukan disebabkan faktor ekonomi negara sekarang yang tidak stabil, tetapi saya percaya bahawa beliau akan terus bertahan lama di pasaran sekiranya beliau kekal dengan hanya satu cawangan sekarang berbanding dengan membuka cawangan kedua.

Anda mungkin tidak bersetuju dengan pendapat saya di atas.

Saya terangkan hujah saya di bawah ini untuk bacaan dan penilaian anda secara kritis.

Kenapa elok bisnes kekal kecil

Pertama sekali, cara pengurusan dan operasi satu cawangan dan dua cawangan adalah berbeza.

Apa lagi jika menguruskan jumlah cawangan yang lebih dari itu.

Ia melibatkan cara urustadbir yang berbeza.

Urustadbir pekerja, urustadbir pemasaran, urustadbir jualan dan urustadbir lain yang tentunya akan berubah.

Kos operasi tinggi

Kedua, kos yang terlibat pastinya akan lebih tinggi.

Kos modal dan kos operasi.

Perlu sewaan premis baru. Perlu lakukan ubahsuai pejabat dan ruang niaga. Perlu ada lantikan pekerja baru. Perlukan kos tambahan untuk pemasaran cawangan baru.

Bilakah titik pulang modal akan dicapai?

Overhead = Death

Pendapatan belum pasti

Ketiga, berapakah jumlah pendapatan yang bakal dicapai dengan cawangan baru?

Tentunya pendapatan yang bakal dicapai tidak boleh dikira menggunakan matematik mudah.

Jika cawangan sedia ada menjana RM100,000 sebulan, belum tentu cawangan baru dapat menjana pendapatan yang sama.

Kiraannya bukan semudah RM100,000 darab 2 = RM200,000.

Banyak faktor mainkan peranan.

Kedudukan lokasi cawangan baru, kepakaran pekerja baru dan kos operasi cawangan baru.

Masa kerja lebih panjang

Keempat, masa bekerja.

Jika sebelum ini, saya melihat beliau mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan, pastinya selepas ada dua cawangan masa tersebut akan berkurang.

Inikah yang usahawan mahu dalam hidup? Menukarkan masa yang ada untuk duit?

Jika tanya saya, tentu sekali tidak berbaloi.

Lebih baik melayan karenah anak-anak di rumah berbanding melayan emosi pekerja yang tidak menentu di cawangan baru.

Suasana pasaran berubah

Kelima, permintaan terhadap sesuatu produk boleh berubah bila-bila masa.

Permintaan pasaran bukan kawalan sepenuhnya usahawan.

Boleh jadi tinggi permintaan pada satu-satu masa tertentu.

Boleh jadi juga jadi tiada langsung permintaan pasaran selepas itu.

Lagi menakutkan, permintaan yang tinggi terhadap servis yang beliau usahakan berlaku di dalam tempoh pandemik.

Apa akan jadi selepas tempoh pendemik ini tamat nanti?

Masih kekalkah jumlah permintaan tinggi seperti ketika tempoh pandemik?

Saya ingin mengajak pembaca artikel ini untuk merenung sekejap tulisan di bawah.

Ramai usahawan melihat LEBIH itu adalah sesuatu yang bagus.

LEBIH cawangan, LEBIH pekerja, LEBIH pendapatan.

Semuanya mesti LEBIH dalam bisnes.

LEBIH tidak semestinya bagus dalam bisnes.

Saya berikan satu contoh untuk anda fahami.

Apa berlaku pada STARBUCKS.

Saya pasti ramai dikalangan anda peminat setia kopi Starbucks.

Paling tidak, mesti pernah singgah minum kopi di Starbucks.

Pada awal tahun 2000, Starbucks telah mengambil keputusan drastik untuk membuka beratus-ratus cawangan kedai kopi baru disebabkan permintaan yang tinggi pada ketika itu.

Mereka berpendapat LEBIH cawangan akan membawa LEBIH pendapatan dan LEBIH keuntungan kepada syarikat.

Tak cukup dengan itu, Starbucks menambah LEBIH menu makanan ringan dan LEBIH jenis minuman di setiap kedai kopi mereka.

Sehinggalah tahun 2008, Starbucks terpaksa menutup LEBIH 900 cawangan kerana kerugian yang teruk disebabkan kos operasi yang tinggi dan permintaan yang semakin berkurangan daripada pelanggan.

Akhirnya, Starbucks kini hanya menumpukan kepada cawangan yang menguntungkan sahaja.

Mereka juga telah mengurangkan jumlah menu makanan ringan dan jenis minuman yang dijual di kedai kopi mereka.

Mereka kembali kepada matlamat asal kewujudan Starbucks untuk memberi pengalaman istimewa kepada pengguna menikmati rasa kopi yang sedap.

(Berita terkini, Starbucks merancang untuk menutup LEBIH 400 lagi cawangan kedai kopi mereka di US dan Kanada disebabkan pandemik Covid-19 – Rujuk: Pautan ini )

Hakikatnya, anda boleh lihat kebanyakan bisnes yang menggulung tikar sekarang adalah bisnes yang mengamalkan konsep LEBIH dalam segala hal pengurusan operasi bisnes mereka.

Adalah bagus jika usahawan menambahbaik LEBIH kualiti produk atau khidmat pelanggan untuk servis yang sedang diusahakan.

Itulah LEBIH yang baik sebenarnya.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 5 sebab mengapa bisnes perlu terus kekal kecil untuk bertahan lama di pasaran

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !