Saturday, August 14, 2021

Kenapa judi tikam nombor ekor sentiasa mendapat sambutan

  Mat       Saturday, August 14, 2021

Dari mana datangnya asal perkataan ‘tikam nombor ekor’ saya tak berapa pasti. Tapi perkataan itu dah saya kenal sejak di bangku sekolah lagi.

Masa tingkatan 5 ada kawan-kawan yang dah punya motosikal. Saya kerap dapat tumpang membonceng motosikal mereka.

Ada sekali, ketika menumpang tu, kami terserempak dengan satu kemalangan. Masa tu, entah kenapa saya hanya perhatikan nombor motosikal yang malang itu saja lalu menghafalnya.

Balik ke kelas saya ceritakan pada kawan-kawan. Dalam ramai-ramai tu, ada seorang yang rupanya memang dah biasa main nombor ekor. Dia cadangkan untuk tikam nombor yang saya hafal tu.

Tapi ada masalah sikit. Nombor yang saya hafal hanya ada 3 digit. Sedangkan nak tikam nombor ekor kena ada 4 digit.

Jadi, kami ramai-ramai sepakat untuk tambah 3 digit nombor itu dengan satu digit di belakangnya dari 0 sampai 9. Setiap orang pilih satu nombor.

Salah satu sebab kenapa mudah sangat nak main nombor ekor ni adalah, anda boleh main hanya dengan bayaran RM1 sahaja. Jadi pada hari itu bermulalah kali pertama kami main nombor ekor beramai-ramai satu kelas!

Tulis semua nombor masing-masing kat kertas dan akhirnya berikan pada kawan seorang, yang dah biasa tu, beli nombor ekor. Dia beli kat pusat nombor ekor haram. Mereka tak semak umur pembelinya.

Bila keputusan keluar, tak ada seorang pun yang menang!

Walaupun tak menang, semuanya teruja dan geram sebab 3 digit nombor yang kami tikam tu memang ada dalam salah satu nombor yang menang.

Cuma, 3 nombor tersebut ada di belakang. Oleh itu semua nombor yang kami masukkan dari 0 sampai 9 kat belakang semuanya salah.

Sepatutnya, kami masukkan nombor kat depan.

Tapi dalam diam, salah seorang kawan masukkan nombor tambahan pada depan. Dia tak cakap pun kat kami.

Dan nak jadi cerita, nombor yang dia teka tu menang.

Semua orang marah padanya sebab tak kongsikan idea untuk tambah satu nombor kat depan pada yang lain. Jadi kami paksa dia belanja habiskan semua duit yang dia menang pada semua orang.

Kes menang sipi-sipi itu malangnya memberikan galakan untuk cuba buat tekaan nombor untuk cabutan yang berikutnya.

Ada saja idea nombor yang keluar bila masa untuk tikam datang. Sampai kawan-kawan perempuan sekelas akan dipaksa ceritakan mimpi masing-masing untuk dapatkan idea nombor.

Kawan yang jadi tukang kutip duit dan pergi beli nombor pulak sering jadi tukang ingat untuk kami beli nombor ekor setiap minggu.

Selepas beberapa kali dah tak ada seorang lagi pun yang kena, maka akhirnya keterujaan tikam nombor ekor tu padam begitu saja.

Alhamdulillah! Kami bernasib baik tidak terjebak sampai ketagih.

Apa yang best tikam nombor ekor

Kenapa tikam ekor ni jadi menarik bila dah cuba?

Konsep tikam ekor ni sangat mudah. Anda hanya perlu ada idea nombor 4 digit yang mahu diteka dari 0000 sehingga 9999.

Boleh main dalam jumlah RM1 sahaja.

Biasanya kaki tikam ekor akan ada satu nombor tetap yang dia akan ikut. Contohnya nombor 4 digit akhir kad pengenalan anda. Katakan anda punya no akhir adalah 5529.

Kalau saya kaki tikam ekor, nombor itu akan anda ikut setiap waktu sehinggalah nombor tu naik dan menang.

Teori mereka adalah, jika anda konsisten tikam dan ikut nombor tersebut dalam tempoh yang sangat lama, satu ketika nanti tentu akan naik juga dan menang.

Lagi pun kalau habiskan sekadar 3 atau 4 ringgit seminggu tak terasa sangat. Itulah idea dan teori yang membuatkan tikam nombor ekor jadi kegemaran.

Ia menepati ciri-ciri perkara yang akan menarik minat orang melakukannya sebab segalanya amat mudah dan dipermudahkan.

Idea buat sesuatu tanpa usaha sentiasa membutakan mata manusia dari dulu sampai sekarang. Begitulah juga idea tikam nombor ekor ni.

Anda hanya perlu beli nombor 4 digit. Simpan rekod pembelian tu. Bila keputusan cabutan diumumkan, tengok samada kena atau tidak.

Itu saja. Amat mudah!

Impiannya adalah, dengan hanya buat begitu, keluarkan modal RM1 sahaja, anda akan dianugerahkan dengan kemenangan RM2,500.

Tak payah nak susah-susah dapat duit banyak.

Perangai dapat hasil sekelip mata memang dapat kaburi mata dan fikiran manusia. Tambahan pula anda dihidangkan dengan cerita kawan itu dan ini berjaya dapat durian runtuh!

Itu memberikan gambaran bahawa untuk menang adalah sangat boleh dan memang real!

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit rasa sakit

Pesan terbaik dari orang tua-tua untuk pegang kepada panduan sikit-sikit lama-lama jadi bukit biasanya hanya sedap disebut tapi tidak seronok untuk diamalkan.

Untuk mendapatkan RM2,500 dengan menyimpan RM1 setiap hari, anda perlukan selama 2,500 hari.

Ia bersamaan dengan 6 tahun 10 bulan 10 hari untuk membolehkan anda kumpulkan sebanyak RM2,500.

Tempoh macam tu membuatkan manusia tidak sabar menunggunya. Sebab itulah tikam ekor jauh lebih menarik minat kebanyakan orang.

Membayangkan tempoh hampir 7 tahun untuk dapat RM2,500 sangat menyakitkan. Sebab itu sikit-sikit lama-lama jadi bukit sangat sakit.

Sikap sedemikian merebak banyak ke dalam amalan kehidupan kita yang lain juga.

Bersenam setiap hari 30 minit jika berterusan diamalkan menjadikan anda seorang yang lebih dari average tahap kesihatannya. Tapi tak ramai yang sanggup buat begitu sehinggalah perut boroi ke depan baru nak cari teknologi hisap lemak pada perut.

Amalan seperti membaca selama 30 minit sehari contohnya. Ia jadi satu mimpi ngeri hampir semua orang.

Ada kawan saya yang selalu berkata, “aku tak perlu baca sebab bila aku nak tahu sesuatu, hanya perlu jumpa hang saja yang banyak membaca”.

Dia tahu saya dah amalkan tabiat membaca ni dah berpuluh tahun. Jadi idea untuk membaca dan dapat kelebihan seperti mana yang saya dapat dengan alaman tersebut memerlukan masa yang lama dan menyakitkan. Jadi lebih baik dia tak baca.

Itu contoh sikap memang loteri yang terbuku kuat masuk dalam jiwa.

Ramai yang tidak mahu pilih cara terbaik berjaya dengan tanamkan budaya buat sikit-sikit secara konsisten. Cara itu telah menghasilkan jutaan kejayaan pada ramai orang dari dulu sampai sekarang.

Tapi malangnya, idea sebegitu tidak seronok dan tidak glamor ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kenapa judi tikam nombor ekor sentiasa mendapat sambutan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !