Thursday, August 19, 2021

Panduan mencari identiti perniagaan yang anda sedang buat sekarang

  Mat       Thursday, August 19, 2021
Apa identiti syarikat anda?

Apa identiti syarikat perniagaan anda?

Setelah mula berniaga secara fulltime sejak tahun 1997, jadi macam cerita ‘Ken The Survivor’ selama 4 tahun. Kemudian lingkup habis dan makan gaji sebentar. Dan kemudian mulakan balik pada tahun 2003 sampailah sekarang masih mampu bertahan, saya dapat rumuskan bahawa ..

“Identiti syarikat perniagaan anda adalah refleksi terhadap diri anda sendiri sebagai pengasas dan taukeh” - www.hidupringkas.com

Macam mana taukeh, begitulah syarikat perniagaannya. Tak boleh lari dan tak boleh berbeza.

Kalau taukehnya seorang kaki tipu, putar alam, tak kisah dengan rasuah dan tiada integriti, maka syarikat perniagannya juga akan jadi macam tu.

Jarang sangat nak jumpa taukehnya tak kisah beri rasuah tetiba syarikat perniagaannya sangat kuat menentang amalan rasuah. Begitu juga jika taukeh suka buat kerja separuh jalan, maka syarikatnya juga akan jadi macam tu.

Bisnes yang peribadi taukehnya hebat

Ada seorang kawan yang buat bisnes kedai makan besar di sebelah utara sana yang saya kenal baik. Dia seorang yang punya citarasa tinggi dan bukan jenis suka buat kerja separuh jalan.

Semua bisnes yang dia jalankan, macam itulah juga jadinya. Punya tahap pengurusan dan operasi yang sangat baik. Susun atur premis perniagaannya juga sempurna dan punya citarasa tinggi macam taukeh dia jugak.

Taukeh poyo, bisnes juga poyo

Terbalik dari kawan saya kat atas tu. Seorang lagi kawan yang perangainya suka buat kerja separuh jalan. Tak ada budaya buat kerja yang bercitarasa tinggi dan suka merajuk.

Bila dia berniaga, jadi macam tu juga. Dari satu bisnes ke satu bisnes dia buat. Semuanya tak kekal lama. Keadaan operasi dan pengurusannya juga berkecamuk macam diri taukehnya juga.

Seorang lagi yang cakap tak pernah jujur dan sentiasa ada udang sebalik batu. Tak reti uruskan duit sendiri. Sentiasa pentingkan nak lepaskan dirinya terlebih dahulu. Bila berniaga, macam tulah jadinya amalan pengurusan bisnesnya. Tak siap kerja, penuh tipudaya dan asyik kenakan orang saja.

Bukan saya nak cemuh atau lekehkan kawan-kawan. Sebab itu saya tak sebut nama mereka dan apa bisnes mereka. Tapi sekadar nak tunjukkan bukti kenapa saya rumuskan perkara identiti kat atas tadi.

Mencari identiti perniagaan anda

Berbalik kepada tajuk asal artikel ini.

Saya nak kongsikan cara mudah untuk merangka identiti perniagaan anda sendiri dengan merenung beberapa soalan yang saya berikan kat bawah ni.

Kenapa penting untuk kenal pasti identiti perniagaan anda?

Sebab dengan mengenali diri anda dan perniagaan anda, maka lebih mudahlah untuk merangka strategi perniagaan tersebut terutama dari segi pemasaran.

Saya akan buat soalannya, kemudian berikan jawapannya di bawah. Saya buat begitu sebab saya sendiri sedang melakukan muhasabah diri dan muhasabah perniagaan yang saya lakukan.

Macam biasa. Daripada saya buat seorang diri dalam buku nota dan simpan untuk saya seorang saja. Lebih baik saya tulis dalam blog ini. Jadi serampang dua mata.

Lagipun, bila menulis, otak akan lebih ligat dan fokus untuk mencari jawapan. Otak akan ligat cuba curahkan apa yang terbayang dalam akal dalam bentuk tulisan pula.

Kalau saya mampu tulis, ertinya saya sangat jelas dengan gambaran dalam kepala otak saya ni. kalau saya tak boleh nak cari ayat dan tak mampu tulis, maksudnya saya sendiri tak jelas dan tak faham apa yang saya fikirkan.

Jom kita mulakan dengan soalan pertama ..

#1. Apa prinsip utama dalam menjalani kehidupan anda secara peribadi?

Secara peribadi saya seorang yang sukakan kesederhanaan. Pemalu dan tak suka tonjolkan diri. Cintakan ketenangan dan suasana yang stabil, aman dan teratur.

#2. Apa yang membuatkan anda buat bisnes yang ada sekarang?

Salah satu sebab paling utama kenapa saya pilih syarikat pest control sebagai bisnes pertama saya, dan masih lagi teruskan bisnes tersebut adalah atas dasar pasaran terbukanya yang sangat besar.

Maksud saya, anda dapat hidup tanpa harapkan kerja yang bergantung kepada tender kerajaan sahaja.

Satu lagi sebab kenapa saya rasa bisnes ni baik adalah kerana ia melibatkan usaha menjadikan persekitaran manusia lebih aman damai dan selamat. Bebas dari penyakit yang bawa oleh serangga dan makhluk perosak.

Matlamat utama bisnes pest control ini sangat jelas dan merupakan satu perkara asas yang diperlukan oleh penduduk bandar yang bertamadun.

#3. Apa prinsip utama syarikat anda?

Saya nekad untuk menjadikan syarikat saya sebuah entiti yang sangat bertanggung jawab. Ia melibatkan kejujuran, ketelusan, berterus terang, realistik dan sentiasa buat penambah baikan

Syarikat saya juga perlu berupaya mencapai keseimbangan dalam memenuhi semua keperluan ahli yang terlibat dalam menjalanankan syarikat saya.

3 ahli tersebut adalah, pemilik syarikat, pekerja dan pelanggan. Jika ada entiti samada dari dalam atau dari luar yang cuba merosakkan usaha mencapai keseimbangan syarikat, saya tak akan teragak-agak untuk kerat dan buang entiti itu.

#4. Apa masalah yang syarikat anda selesaikan?

Saya dah terangkan kat atas tadi yang syarikat saya fokus dalam menyelesaikan keperluan penduduk bandaruntuk hidup dalam suasana aman, selamat dan bebas dari penyakit bawaan serangga dan makhluk perosak.

#5. Apa tujuan utama yang syarikat anda mahu capai?

Tujuan utama syarikat saya sekarang sangat besar. Saya nak syarikat ni membesar secara organik berkhidmat kepada 10 ribu pelanggan setia di Malaysia ini dengan cemerlang.

#6. Siapa pesaing anda

Paling ketara sudah tentu Rentokil. Mana saja negeri yang saya pergi orang akan kenal Rentokil sebagai syarikat pest control profesional.

Kemudian ada banyak lagi syarikat pest control lain yang bercambah dengan galak sekali sejak kali pertama saya menceburkan diri dalam industri ini.

Selain dari syarikat pest control, ada lagi syarikat kontraktor seperti pembersihan, pembinaan, dan individu termasuklah pekerja dari syarikat pest control lain yang sentiasa mengintip mencari peluang untuk merampas pelanggan dan bakal pelanggan saya.

Malah ada syarikat yang tak tahu menahu pasal pest control atau tak berlesen, juga terjun menawarkan khidmat pest control pada pelanggan yang saya sasarkan.

#7. Macam mana anda berbeza dari pesaing?

Ini satu soalan yang sangat susah untuk saya jawab sejak dulu sampai sekarang.

Untuk keluar dari saingan pemberi khidmat bidan terjun, saya dah lengkapkan syarikat dnegan semua keperluan perundangan yang diperlukan untuk menjadi sebuah syarikat yang bertanggung jawab dan berlesen.

Sekarang saya perlu bezakan pula antara semua syarikat sah yang berlesen yang ada di Malaysia. Dari segi cara buat kerja dan penggunaan teknologi, hampir semua syarikat adalah sama sahaja.

Apa yang saya sedaya upaya usahakan adalah untuk memberikan khidmat secara dekat dan peribadi kepada semua pelanggan berdasarkan keperluan mereka yang unik.

Sebab itu saya besarkan kakitangan ‘sales representative’ yang ada dalam syarikat saya untuk tujuan tersebut.

Sekali anda berurusan dengan syarikat saya, anda akan rasakan yang kami menjadi seperti sebahagian dari ahli keluarga anda. Samada untuk pelanggan persendirian mahupun pelanggan organisasi.

#8. Apa yang uniknya tentang khidmat atau produk anda?

Ini juga sangat sukar untuk dijawab. Sebagai pemberi perkhidmatan yang fokus kepada tenaga kerja dan pengetahuan, syarikat saya hanya dapat pastikan yang dua perkara tersebut perlu cuba dijadikan unik.

Latihan kemahiran dan peningkatan pengetahuan semua tenaga kerja diberikan tumpuan yang serius. Ianya diadakan secara konsisten setiap minggu untuk sentiasa mantapkan pengetahuan mereka dengan menjemput entomologist yang berkelayakan memberikan ilmu pest berdasarkan sains.

Itu dari segi pengetahuan.

Untuk jadikan khidmat mengadakan tenaga kerja kami unik, kami sentiasa pastikan semua permintaan untuk selesaikan masalah pelanggan secara segera dapat dipenuhi walaupun permintaan dtang dalam tempoh masa yang sangat pendek.

Macam mana kami buat semua itu adalah trade secret!

Satu lagi uniknya syarikat saya adalah khas untuk semua pelanggan sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya. Semua pelanggan ini akan mendapat tawaran perkhidmatan yang sangat istimewa.

#9. Apa berlaku kalau anda tak berikan khidmat atau produk ini pada pelanggan?

Dalam jangka masa pendek memang tak akan berlaku apa-apa. Tapi dalam jangka masa panjang, masalah akan jadi sangat serius dan melibatkan kos yang tinggi untuk diselesaikan.

Contohnya jika keadaan lipas dan tikus dibiarkan berterusan tanpa dapatkan khidmat kami di restoran atau premis perniagaan lain, ia akan menjadi barah dalam syarikat.

Kos untuk selesaikan bila dah terusk adalah sangat mahal dan melibatkan kerja pembaik pulih struktur premis. Dan impak paling besar adalah kepada pelanggan entitiperniagaan tersebut yang paling teruk akan lari ke tempat lain.

Selesai juga saya perah otak untuk menjawab semua soalan tersebut di atas. Dapatlah saya gunakan semua jawpaan tersebut untuk merangka pelan tindakan berdasarkan semua jawapan yang diberikan.

Anda juga boleh buat yang sama untuk syarikat anda sendiri sekarang .. cubalah, saya yakin banyak manfaatnya.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Panduan mencari identiti perniagaan yang anda sedang buat sekarang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !