Monday, March 29, 2021

10 pendekatan yang anda perlu ambil untuk mantapkan identiti pasukan

  Mat       Monday, March 29, 2021

Dalam artikel sebelum ini, saya kongsikan 4 tanda yang untuk kenal pasti bahawa kumpulan pekerja anda tidak punya satu identiti pasukan. Sila pergi baca posting itu kat pautan sini terlebih dahulu untuk mudah faham. Sebab artikel kali ini adalah lanjutan dari situ.

Fokus kali ini adalah, pendekatan yang anda perlu ambil untuk atasi masalah tersebut di atas. Bagiman nak buat supaya setiap pekerja punya satu identiti yang sama sebagai sebuah pasukan, dalam syarikat yang anda sedang bina sekarang.

Macam yang anda sendiri tahu. Bab nak wujudkan satu pasukan mantap, bergerak sebagai satu kumpulan, punya satu identiti, di bawah satu bendera syarikat yang sama, adalah urusan yang paling susah.

Kalau anda rasa tak susah, mohon berhubung dengan saya. Anda tentu ada resepi rahsia. Teringin sangat nak menuntut ilmunya dari anda sekarang juga. Itu ilmu yang sangat berharga sebab saya sampai sekarang masih terkial-kial untuk cuba buat.

Berikut di bawah, 10 pendekatan yang anda, sudah tentu saya juga, sebagai ketua, perlu buat untuk kuatkan identiti pasukan. Perkara yang sama juga perlu diturunkan ke bawah kepada sub-ketua yang berada di bawah anda.

Satu ketua saja dalam satu pasukan

Sebelum saya terlupa. Ada maklum balas dari pembaca blog ni yang saya hormati dalam artikel sebelum ini.

Dia kongsikan isu di mana ada dua kumpulan dalam satu syarikat yang sama. Setiap ketua punya pendekatan yang berbeza. Saya faham ketua yang dia maksudkan itu merupakan pengarah atau pemilik kepada syarikat.

Sepanjang saya berjumpa dengan rakan-rakan usahawan, bila wujud masalah ini, walaupun kecil kelihatan masalahnya, saya selalu cuba berikan tumpuan untuk selesaikan masalah itu terlebih dahulu sebelum berikan tumpuan pada isu nak mantapkan semua urusan lain seperti sales & marketing, operasi, kewangan dan lain-lain lagi.

Bagi saya itu masalah kepimpinan yang sangat serius. Tak boleh wujud 2 kapten dalam satu kapal. Bebanan emosinya adalah terlalu berat untuk ditanggung lama-lama. Satu hari ia akan menjadi barah dan boleh membawa maut.

Tak boleh ada 2 ketua dalam satu syarikat. Kalau ada 2 pemilik dan pengarah, perlu saling bersetuju lantik salah seorang jadi ketua.

panduan asas dalam berpasukan – hidupringkas.com

Cara saya selama ini adalah sentiasa pastikan hanya ada satu ketua saja dalam satu syarikat. Jika partner saya tak sama pendekatan dengan saya, saya samada akan lepaskan semua urusan untuk dia ketuai tanpa gangguan.

Atau kalau nampak jelas dia merosakkan syarikat dengan caranya, saya akan paastikan dia keluar dari syarikat. Itu jalan akhir yang biasanya sangat menyakitkan tetapi terpaksa dilakukan jua. Tahan sajalah rasa sakit itu demi kebaikan untuk keesokkan harinya. Itu cara saya yang anda boleh pertimbangkan.

Kita terus kepada tajuk asal artikel ini. Sila sambung baca di bawah ni.

#1. Ulang sebut ‘matlamat bersama’

Ini kena selalu diulang sebut. Perlu dipamerkan sebagai peringatan secara jelas terang dan nyata supaya melekat tersemat dalam hati. Perlu nyatakan selalu bahawa setiap kerja yang setiap orang laksanakan sangat penting untuk keseluruhan syarikat.

Penting bukan hanya untuk diri setiap ahli sahaja supaya kekal ada kerja, malah penting juga untuk pasukan kecil yang setiap ahli menjadi anggotanya. Dan kepentingan itu berkait rapat membawa kepada keseluruhan organisasi.

Perlu juga ulang sebut bagaimana setiap kerja yang dilakukan oleh ahli berkait rapat antara satu sama lain sehingga matlamat keseluruhan organisasi tercapai.

#2. Beri galakan bekerjasama

Cari sebanyak mungkin peluang supaya ada projek jalinan kerjasama sesama ahli. Samada berkenaan urusan kerja mahupun urusan luar kerja seperti projek CSR umpamanya.

Nak bentuk kerjasama sampai ianya jadi mantap perlu latihan dan amalan yang berulang. Macam nak bentuk satu pasukan bolasepak. Bukan boleh main kutip pemain, buat satu pasukan. Kemudian masuk liga dan harap kerjasama berlaku secara automatik.

Aktiviti bersama samada kecil atau besar dapat bantu membina rasa punya satu identiti sesama ahli kumpulan.

#3. Rapatkan perhubungan sesama ahli

Adakan banyak program supaya setiap ahli dapat saling kenal mengenali hati budi masing-masing. Perangai masing-masing dan cara berfikir masing-masing.

Tak kenal maka tak cinta kata orang tua-tua.

Pastikan nasihat itu diikuti dan diterapkan dengan baik dalam syarikat. Ambil tahu perkembangan setiap ahli terutamanya dari segi urusan yang melibatkan kerjaya.

#4. Tanam rasa terdesak

Perlu tanam ‘sense of urgency’. Itu perkataan yang saya cuba terjemahkan dalam bahasa kita jadi ‘rasa terdesak’.

Perlu ada rasa terdesak untuk buat yang terbaik terhadap semua kerja yang setiap anggota syarikat laksanakan.

Ini boleh dilakukan dengan memberikan kefahaman apa kesan kerja yang mereka lakukan sekarang kepada syarikat keseluruhannya.

#5. Iktiraf perbezaan antara ahli

Perkara rumit yang paling banyak berlaku dalam sesebuah kumpulan adalah rasa tak selesa bila ada ahlinya tak sama kepala atau cara berfikir. Semua harap agar ahli dapat sekepala. Secara logiknya itu sangat sukar untuk berlaku.

Perlu ditekankan kepada semua pentingnya perbezaan cara berfikir. Penting sebab ia membantu wujudkan banyak sudut pandang berbeza terhadap satu-satu perkara.

Contohnya tafsiran kepuasan pelanggan yang tak sama antara dua ahli boleh digunakan untuk penambah baikan produk atau servis yang syarikat tawarkan agar lebih menyeluruh.

#6. Buat aktiviti setiap orang ambil bahagian

Perlu pastikan supaya setiap ahli dapat ambil bahagian dalam sebanyak mungkin urusan bisnes. Contohnya jika sales team pergi meeting dengan pelanggan, bawa bersama wakil operasi untuk melibatkan diri.

Jika syarikat nak gubah satu produk atau servis baru, libatkan semua ahli untuk memberikan input dan pendapat mereka.

Usaha menggalakkan penglibatan semua pekerja adalah satu usaha berterusan.

#7. Amal sikap ‘memilih’ pekerja

Sama macam orang yang mahu berjaya perlu sangat selektif dalam berkawan, memilih ahli pasukan dalam syarikat begitu juga.

Cari pekerja yang boleh berperanan dalam satu kumpulan. Jangan cari pekerja yang tak ada pengalaman dalam aktiviti berkumpulan.

Tak payah ambil pekerja jenis kera sumbang tak reti berkawan. Itu akan menyusahkan semua orang sekalipun dia sangat mahir dari segi teknikal.

#8. Satu padukan ahli baru

Perlu ada proses induksi kepada setiap ahli baru yang masuk berkerja. Buat secara teratur proses berkenalan. Bawa perkenalkan kepada setiap ahli lain dari semua jabatan supaya dia tak rasa terasing.

Paling penting untuk pantaskan rasa diterima masuk menjadi ahli dalam syarikat.

#9. Beri penghargaan pada skill ahli

Setiap kali ada ahli yang menggunakan skill nya yang tertentu yang membawa kepada kejayaan apa saja urusan, jangan kemut untuk berikan penghargaan secara terbuka. Ini akan memberikan semangat pada ahli dan rasa dihargai dengan sumbangannya.

Juga dapat berikan galakan pada ahli lain untuk turut sama menggunakan skill yang dia ada demi kepentingan bersama.

#10. Wujudkan satu simbol

Semua syarikat biasanya akan ada logo. Tapi ada yang segan-segan nak gunakan. Hanya cetakkan pada kad bisnes saja.

Perlu adakan t-shirt yang sama untuk pasukan. T-shirt formal untuk syarikat yang lengkap dengan logo dan moto. Kalau tak ada bajet untuk buat uniform, cuba buat topi syarikat yang lengkap dengan logo, jabatan dan moto.

Dua perkara penting yang syarikat perlu ada dalam membentuk simbol atau logo syarikat adalah, satunya logo itu sendiri. Keduanya adalah warna korporat. Jangan ada macam-macam warna sampai orang tak tahu mana satu warna syarikat.

Biasanya satu warna adalah lebih bagus. Seperti AirAsia dengan warna merahnya.

Kongsikan idea membina identiti pasukan

Begitulah lebih kurang idea bagaimana nak terapkan rasa punya satu identiti dalam pasukan pekerja syarikat anda.

Ianya adalah satu proses berterusan selagi anda masih kekal mahu berniaga dan membina syarikat yang ada sekarang. Ada yang saya dah buat dan ada yang perlu ditambah baik lagi.

Jika anda ada idea tambahan janganlah kedekut untuk kongsikan kat saya ya. Boleh komen kat bawah atau komen kat page H’ringkas. Terima kasih saya ucapkan.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 10 pendekatan yang anda perlu ambil untuk mantapkan identiti pasukan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !