Monday, March 22, 2021

8 perkara yang halang pasukan pekerja anda berfungsi dengan baik

  Mat       Monday, March 22, 2021

Macam mana nak buat supaya pasukan pekerja di syarikat anda berfungsi dengan baik?

Pergilah tanya mana-mana usahawan yang dah lama berniaga, yang ada ramai pasukan perkerja, apa masalah paling mencabar dalam usaha untuk membina dan mantapkan perniagaan mereka.

Besar kemungkinan anda akan dapat jawapan yang sama. Iaitu yang berkaitan dengan macam mana nak jadikan syarikat punya kumpulan pekerja yang berfungsi dengan baik.

Umumnya, pengurusan pekerja adalah perkara paling mencabar dalam usaha membina perniagaan.

Masalah bina pasukan pekerja sentiasa ada

Baru-baru ini saya dengar siaran radio BFM 89.9. Mereka berbincang pasal ‘business start-up’. Mereka jemput seorang usahawan yang baru mulakan perniagaannya dalam industri digital.

DJ tanya apa masalah paling besar yang dia hadapi sekarang dalam kekalutan menaikkan bisnesnya. Usahawan tu jawab masalah merekrut pekerja yang sesuai untuk membina kumpulan pekerja yang mantap.

DJ yang memang dah lama kendalikan program temuramah usahawan start-up itu terus beritahu yang selama dah bertahun, dia kendalikan program itu, semua usahawan startup yang dia tanya dari dulu sampai sekarang, jawab perkara yang sama.

Usahawan yang baru mula berniaga, dengan idea niaga yang baru, sudah tentu lebih pening kepala dalam urusan membentuk kumpulan pekerja ni. Idea niaga baru, bisnes baru nak up, masih dalam keadaan nak kejar supaya melepasi titik pulang modal, sudah tentu sentiasa dalam keadaan tertekan untuk terus kekal bernafas.

Kalau tak ada kerjasama yang mantap luar biasa sesama kumpulan pekerja, memang hangus duit dan banyak tenaga akan terbuang sia-sia.

Dalam semua buku nasihat niaga yang saya baca. Petua yang diberikan kepada usahawan yang baru nak mula bisnes adalah, berikan perhatian serius dalam memilih ahli kumpulan pekerja awalnya.

Kalau perkara ini berjaya dibuat dengan baik, lebih mudah untuk melayari cabaran perniagaan. Kalau awal-awal lagi tak ada kerjasama kumpulan pekerja, alamat taukeh akan alami mimpi ngeri sepanjang masa.

Cari ahli kumpulan yang betul dari awal

Point penting kat sini untuk semua usahawan ambil perhatian adalah, pastikan anda jelas siapa dan bagaimana nak bentuk ahli kumpulan pekerja. Pilih betul-betul. Tahu apa kriteria yang sesuai untuk syarikat anda.

Untuk tahu kriteria yang sesuai, anda perlu tahu budaya syarikat macam mana yang nak dibentuk. Budaya bermaksud amalan biasa spontan dalam syarikat yang diamalkan oleh semua staff. Lepas itu cari dan rekrut.

Bila dah dapat merekrut semua staff yang sesuai, belum habis lagi. Kena usaha untuk jadikan kumpulan pekerja itu berfungsi dengan baik.

Terkial-kial cuba bentuk kumpulan mantap

Saya yang dah berniaga sejak 1998 ni masih lagi terkial-kial dalam urusan membentuk kumpulan pekerja yang mantap. Ada saja yang tak kena.

Dah banyak kali saya himpun ahli kumpulan pekerja, kemudian tak menjadi, buat pembersihan, bina kumpulan baru, gagal juga, bersihkan lagi, bina lagi .. sampai sekarang masih cekal berusaha.

Setakat ni, saya boleh katakan dah jelas bagaimana nak pilih ahli kumpulan yang boleh buat kerja. Itu rasa agak mudah. Saya yakin anda juga sangat jelas calon macam mana yang layak diambil bekerja.

Staff yang sangat pandai buat kerja dia saja, tapi tak pandai kerja secara kumpulan elok buang saja ..

hidupringkas.com

Tapi bila anda ambil hanya berdasarkan samada boleh buat kerja atau tidak, ia belum selamat lagi. Semua jadi sia-sia seandainya staff itu hanya pandai buat kerja tapi tak dapat berikan kerjasama kumpulan.

Dia hanya fokus buat kerja dia saja dan tidak dapat faham bahawa itu hanya sebahagian saja dari organisasi. Kerja dia selesai tapi kerja kumpulan tak selesai, membawa maksud keseluruhan syarikat sebagai sebuah organisasi telah gagal. Bila berurusan, walaupun pelanggan perhatikan staff yang melayannya, tapi dalam kepala pelanggan itu dia nampak syarikat, bukan staff tu.

Macam main bola sepak. Kalau anda main posisi penyerang, pandai kelecek macam Messi, pandai tendang dan sebagainya, tapi tak ngam dengan semua pemain lain, tak guna sesen pun. Itu bukan sukan individu.

Apa yang saya belajar selama ini, pemain yang hebat skill individunya, tapi tak boleh ngam dengan semua pemain lain, elok buang saja. Cari yang average saja skillnya, tapi pandai jalinkan kerjasama kumpulan. Itu jauh lebih bagus.

Antara tanda tiada kerjasama kumpulan adalah bila dia sangat pandai cari salah ahli kumpulan pekerja lain berdasarkan kefahamannya saja. Bukan berdasarkan kefahaman yang betul sebagai sebuah organisasi.

Dalam teori kewarganegaraan Greek, orang yang hanya fikirkan urusan dirinya saja tanpa ada organisasi dalam pertimbangannya dilabelkan sebagai ‘warga bodoh’. Cuba baca kat sini artikel yang saya dah tulis berkenaan konsep kewarganegaraan Greek.

8 penghalang pasukan berfungsi dengan baik

Saya rujuk kepada panduan bisnes dalam ‘Harvard Business Review’, untuk belajar membentuk sebuah kumpulan pekerja yang berfungsi dengan baik.

Ini yang saya dapat.

8 penghalang yang biasanya akan membantutkan usaha tersebut.

Saya kongsikan kat bawah ini untuk anda yang berminat membentuk kumpulan pekerja yang mantap di syarikat anda sendiri.

#1. Tidak ada identiti kumpulan

Cukup seorang dua saja yang tak rasa dia ahli kumpulan, habis rosak kumpulan tersebut tak dapat berfungsi dengan baik. Samada dia rasa terasing, rasa diri lebih bagus dari ahli lain atau lebih rendah dari semua orang. Semua itu jadi tanda bahawa tidak wujud satu identiti dalam kumpulan pekerja tersebut.

Bila seorang ahli tak buat kerjanya, semua anggap itu salah individu tersebut dan bukanlah masalah kumpulan. Mereka tak rasapun yang gagalnya adalah semua orang dalam satu kumpulan itu.

Ini selalu berlaku. Bila ada yang sering mengadu domba rakan kumpulannya kat belakang tak puas hati itu dan ini. Tapi tak buat apa-apa untuk cuba berusaha bantu kawan itu. Atau selesaikan masalah tersebut sebagai satu kumpulan.

#2. Kurang ambil bahagian

Paling jelas ada masalah ‘kurang ambil bahagian’ ni, bila buat perjumpaan akan pasti ada yang tak hadir. Ada saja alasan bertukar ganti.

Kalau semua hadir sebab diwajibkan. Akan ada yang tak berikan tumpuan dalam meeting. Main telefon. Menguap besar dan lansung tak ambil bahagian samada berikan idea atau bahas isu yang dibicarakan.

Bila berkumpul bukan untuk tujuan kerjapun. Seperti makan ramai-ramai semua staff, akan ada saja yang tak hadir.

Itu semua tanda kurang ambil bahagian wujud dalam kumpulan pekerja di syarikat anda.

#3. Lemah komunikasi

Dalam bab komunikasi ni, karakter seseorang sebenarnya tak penting selagi dia mampu jelaskan maksud dengan baik. Kalau karakter sangat baik sekalipun, lemah lembut, bersopan santun rajin dan sebagainya, tapi orang tak pernah faham apa yang dia cuba sampaikan, tak guna juga. Malah menyusahkan!.

Suka buat andaian juga adalah satu tanda kelemahan komunikasi. Bila sekali cakap, terus anggap semua orang faham. Tak semak dan tak periksa. Tak ambil tindakan follow up pulak tu!.

Kalau setiap kali ada masalah, ada yang akan kata, ‘aku ingatkan … bla bla bla ..’ elok semak proses komunikasi dalam syarikat anda segera.

#4. Kepimpinan kumpulan tak cekap

Samada anda sendiri sebagai taukeh atau ketua kumpulan dalam jabatan yang lemah.

Semua yang saya sebutkan di atas tadi, jika berlaku, berkemungkinan adalah disebabkan kelemahan kepimpinan.

Contohnya bila ahli tak bagi idea sebab bosan asyik kena reject dan diperlekehkan selama ini. Lebih baik diam dan angguk saja kononnya setuju.

Ada juga organisasi yang begini. Bila bagus, ketua sapu semua pujian. Bila tak bagus semua orang bawah dipersalahkan. Itu juga tanda kelemahan kepimpinan yang sangat ketara.

Dan paling ketara, malah menyedihkan, yang sering berlaku pada usahawan, adalah bila ketua yang pulun jauh lebih teruk dari semua ahli kumpulan.

Dia paling ambil berat, paling bertanggung jawab, sedangkan yang lain buat dek saja. Itu bukan tanda ketua cemerlang. Tapi ketua yang malang!.

#5. Konflik yang menghancurkan

Ada konflik sesama ahli yang membina dalam kumpulan syarikat. Semua ahli berhadapan dan bertekak membahaskan pendapat masing-masing. Duduk bincang sampai dapat kata putus. Akhirnya saling bersetuju dan laksanakan keputusan.

Yang ditolak ideanya akur dan bantu realisasikan idea kawan yang dia tak setuju tadi. Bukannya berusaha untuk buktikan idea kawannya itu salah. Itu semua konflik yang sangat baik.

Konflik yang menghancurkan adalah bila apa saja perbezaan ditafsirkan secara negatif. Bawa ke dendam dan terus tak ngam dalam jangka masa yang sangat lama. Sampai cara pegang sudu pun boleh jadi isu besar .. itu amat mengerikan !

Konflik macam itu jika berterusan akan jadikan syarikat macam rumah berpuaka yang tunggu terbakar saja.

#6. Berlakunya ‘Groupthink’

Pernah dengar pasal groupthink ni tak?

Ia satu keadaan di mana semua bersetuju secara sebulat suara. Punyalah ngam semua orang antara satu sama lain sampai dapat baca isi hati masing-masing. Bila dalam perbincangan macam ada satu hembusan bayu yang membawa ke satu keputusan sebulat suara.

Sekalipun ada seorang dua dalam kumpulan tu sedar bahawa keputusan tu salah. Tapi demi nak jaga hati ahli kumpulan yang lain, dia bersetuju tanpa sedikitpun bersuara.

Contoh yang pernah berlaku dalam syarikat saya. Bila ada sebahagian dari ahli kumpulan pekerja buat kerja luar curi pelanggan syarikat, yang lain diam membisu dan tak salahkan atau tak tegurpun, malah lama-lama anggap itu ok dan mereka juga cari peluang buat yang sama.

Ada juga yang tahu, tak bersetuju dan tak turut sama buat macam tu. Tapi diamkan saja demi jaga hati kawan-kawan.

Kononnya aku garu belakang kamu, kamu garu belakang aku. Itu pernah berlaku dan saya yakin ada berlaku dalam syarikat anda juga. Itu satu contoh berlaku groupthink yang jahat.

Satu lagi tanda ketara adanya groupthink ni adalah bila meeting, mudah sangat buat keputusan tanpa ada perbahasan. Tambah lagi bila boss yang berikan idea. Idea tak cakap habis lagi semua staff dan angguk dan tepuk tangan tanda setuju. Berwaspadalah …

Lagi satu, bila ada seorang ahli janggal berbeza dari yang lain, bila bincang dia sorang saja yang suarakan perbezaan. Dia akhirnya dipulau dan tak ngam dengan semua sejak itu. Berwaspada juga bila jadi macam tu ..

#7. Lemah daya kreativiti

Apa saja masalah kena rujuk kepada boss sampai sekecil-kecil masalah pun tak boleh nak selesaikan. Jika tak ada panduan step by step habis semua kerja jem. Mampus jika semua ahli kumpulan macam tu.

Biasanya semua manusia ada keupayaan untuk jadi kreatif. Tapi budaya takut buat salah dan tak berani ambil tanggung jawab akan melemahkan cubaan untuk jadi kreatif.

Biasanya staff kreatif sorok kesalahan dan masalah mereka saja. Tapi tak kreatif selesaikan masalah syarikat atau masalah pelanggan. Ini selalu berlaku. Punyalah kreatif sampai boss tak sedar masalah tu berlaku.

Ini perlukan latihan, pemantauan dan usaha yang berterusan dalam menghasilkan kumpulan yang kreatif.

#8. Lemah buat keputusan

Kelemahan paling besar dalam membuat keputusan ini adalah tidak berupaya buat keputusan. Perbincangan atau masalah berulang-ulang tergantung. Tak boleh nak tutup sebab tak ada keputusan yang muktamad dibuat.

Atas kesedaran pentingnya perkara ini terutamanya sebagai ketua, sepanjang saya berniaga, saya ambil pendekatan untuk pastikan sentiasa buat satu keputusan. Lantaklah salah atau betul tak penting. Yang pentingnya ada keputusan.

Bila dilaksanakan ternyata keputusan tu salah, tak payah nak rasa jatuh air muka. Mengaku saja. Ubah dan betulkan balik serta belajar untuk keputusan dimasa depan.

Dari kesilapan keputusan demi kesilapan, akhirnya anda akan menuju kepada cekap buat keputusan. Jadi jangan takut buat keputusan sekalipun salah.

Macam manapun, perlu ada satu mekanisme yang baik untuk proses buat keputusan. Boleh buat macam-macam cara ikut keadaan. Samada secara undi, secara bahas dan saling bersetuju, minta bantuan pakar atau lain-lain seumpamanya.

Dalam bab buat keputusan ni, disebabkan dah biasa tak akan biarkan apa saja berlalu tanpa keputusan, saya terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Ada sekali tu kawan sedang memandu kereta di Sarawak. Saya disebelahnya. Sampai di satu simpang V, dia keliru dan tak pasti nak ambil simpang yang mana. Dia tanya saya kiri atau kanan. Saya yang sedang leka layan whatsapp ketika itu terus jawab kanan.

Kawan saya pun ambil kanan dan teruskan perjalanan. Dia kemudiannya tanya macam mana saya tahu kanan. Saya jawab saya tak tahu. Tapi untuk pastikan ada jawapan, maka saya hanya main jawab saja. Kalau betul baguslah. Kalau tak betul, nanti boleh patah balik. Sejak itu kawan saya ambil pendekatan yang sama macam saya. Sentiasa ada keputusan …

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 8 perkara yang halang pasukan pekerja anda berfungsi dengan baik

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !