Friday, August 13, 2021

Apa yang saya belajar berkenaan kewangan peribadi ini sangat baik untuk anda tahu

  Mat       Friday, August 13, 2021

Masa mula berniaga dahulu, saya tak ambil peduli sangat tentang ilmu kewangan peribadi.

Ketika itu, hanya fikirkan macam mana nak bertahan terus hidup saja. Saya perlu pastikan semua perkara berikut berlaku ..

  • Sediakan makan minum anak-anak dan isteri.
  • Pastikan duit untuk orang tua di kampung sampai setiap bulan.
  • Bayar sewa rumah tempat tinggal saya sekeluarga setiap bulan dan semua keperluan rumah lain seperti bil dan lain-lain.
  • Bayar duit ansuran kenderaan.
  • Bayar gaji, sewa pejabat, dan semua perbelanjaan tetap bisnes yang saya jalankan ..

Keadaan masa itu umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Segalanya tidak pasti. Semua duit yang dapat, keluar semula dengan laju dan akhirnya tidak berbaki.

Kalau orang ajak bincang pasal kewangan peribadi, atau lebih biasa mereka sebut ‘personal finance’, saya rasa meloya. Tak layak nak dengar semua yang diceritakannya.

Mula ambil tahu pasal kewangan peribadi

Setelah bersilat terajang selama beberapa tahun, akhirnya semua pendapatan dah mula ada baki. Duit peribadi juga dah mula ada sedikit lebihan untuk disimpan.

Masa tu, barulah mula tergerak nak tahu apa itu personal finance.

Perkara pertama saya buat adalah dengan membeli majalah terkenal masa tu, yang namanya juga ‘Personal Finance’.

Setelah beli tiga empat kali membacanya, saya boleh ringkaskan bahawa ianya banyak berkisar tentang isu seperti ..

  • Dimana dan macam mana nak laburkan duit anda.
  • Macam mana pasaran saham berfungsi.
  • Apa itu aset dan macam mana nak bina aset.
  • Bila waktu yang sesuai untuk beli dan jual aset yang ada.
  • Berapa jumlah duit yang anda perlu simpan untuk persediaan di hari tua.
  • Dan lain-lain lagi yang seumpamanya ..

Itulah yang sering diulang bincang. Macam-macam teori dan macam-macam panduan dan nasihat diberikan.

Tapi masih tak memberi jawapan kepada persoalan penting yang saya sering hadapi dalam kehidupan samada ketika makan gaji atau ketika berniaga.

Persoalan yang saya maksudkan adalah, pertamanya ..

Kenapa ramai orang tertimbus dalam lubang hutang?

Dan keduanya ..

Kenapa ramai orang bila ada duit dia boros?

Itu masalah yang sangat besar. Menghantui jutaan manusia atas muka bumi ini.

Saya yakin berlaku pada anda yang sedang membaca blog ini juga.

Ada masanya saya ada banyak duit. Tapi amalan boros macam satu sumpahan yang sukar nak dielakkan.

Akibatnya, duit cukup laju menyusut dan membawa kepada berhutang pulak.

Kemudian cari jalan, pulun selesaikan semua masalah dan duit kembali bertambah. Bila dah banyak, boros muncul semula.

Kalaupun diri sendiri dapat kawal, tekanan dari keluarga pula datang. Akhirnya boros berlaku juga.

Begitulah berlaku silih berganti, samada pada diri sendiri atau pada syarikat yang saya uruskan.

Kenapa jadi macam itu saya tak tahu?

Tapi saya yakin dengan hanya berbincang pasal berapa pulangan pelaburan dan berapa kadar keuntungan tidak menyelesaikan masalah boros dan hutang.

Fahami psikologi kewangan

Baru-baru ni, saya baca satu buku baru yang menarik bertajuk Psychology of Money tulisan Morgan Housel. Dari buku itu saya rasa ada jawapan kepada masalah besar yang saya sebut di atas tadi.

Buku itu memberikan hujah yang meyakinkan, bahawa yang menentukan sikap anda terhadap duit, adalah faktor psikologi.

Perlu faham macam mana anda berfikir, buat keputusan dan bertindak. Dari situ anda akan faham bagaimana keputusan kewangan dibuat.

Atau lebih mudah jika saya katakan bahawa perlu kenal diri sendiri terlebih dahulu untuk fahami bagaimana anda buat keputusan tentang duit.

Tahu dan sedar tahap tamak yang ada dalam diri.

Tahu dan sedar tahap cemburu anda, bila melihat kejayaan orang lain.

Juga perlu tahu bagaimana sikap optimis yang ada pada diri anda.

Jika faham kesemua itu, barulah dapat faham semua keputusan kewangan yang anda telah buat selama ini dan besar kemungkinan, akan kekal begitu esok hari.

Pengalaman unik kehidupan dan kewangan

Pengalaman hidup dari kecil sampai besar membentuk bagaimana fikiran anda terhadap duit.

Setiap orang punya pengalaman yang unik terhadap kehidupan dan kewangannya.

Bagaimana anda dibesarkan. Dalam keluarga yang macam mana. Dalam suasana ekonomi yang macam mana dan lain-lain lagi seumpamanya. Itu semua memberikan pengalaman dan membentuk cara anda fikir pasal ekonomi atau kewangan.

Ambil contoh keluarga orang kaya. Satu dibesarkan dalam keadaan ekonomi yang bagus. Satu lagi dalam keadaan ekonomi teruk.

Sekalipun mereka sama-sama kaya, tapi punya pengalaman yang berbeza dari segi suasana ekonomi. Itu membuatkan keputusan mereka terhadap duit akan berbeza. Yang satu lebih tentu mudah buat pelaburan dan satu lagi tentu lebih kemut dan berhati-hati.

Pengalaman hidup dan kewangan yang unik berbeza berlaku pada setiap manusia membuatkan teori ekonomi bagaimana nak buat keputusan terbaik dalam kewangan tak semestinya sesuai untuk anda.

Semua teori dan panduan tersebut biasanya dibuat dengan satu andaian umum terhadap orang ramai. Andaian seperti orang akan belajar dari kesilapan dan pasaran akan berubah dan betulkan dirinya tidak sentiasa berlaku dalam semua keadaan.

Cuba ingat semula perjalanan hidup dari kecil sampai besar. Keadaan ekonomi. Makan minum anda dan keluarga ketika membesar dulu dan lain-lain lagi dapat berikan gambaran bagaimana sikap anda terhadap kewangan.

Keputusan kewangan tak rasional tapi logik

Bayangkan mereka yang masuk dalam golongan berpendapatan rendah yang suka main tikam ekor atau beli loteri.

Sudah tentu itu itu bukan cara terbaik dari segi teori ekonomi untuk berbelanja.

Tapi ia bukanlah satu perkara yang tak logik sebenarnya.

Mereka buat macam tu sebab selama ini hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Impian untuk punya rumah besar serba lengkap, kereta baru dan bercuti ke luar negara adalah sesuatu yang hampir mustahil bagi mereka, berbanding orang yang pendapatannya tinggi.

Jadi macam mana nak buat supaya mereka masih tetap ada peluang untuk merasa kereta baru atau bercuti keluar negara?

Tentulah dengan cuba nasib main tikam ekor.

Itu membuka satu kemungkinan, jika kena, dapatlah merasa rumah lebih elok, kereta baru atau berjalan makan angin.

Kalau tak kena dan tak dapat semua itu, ianya adalah perkara biasa. Tak ada apa-apa nak disedihkan.

Jika anda masuk dalam golongan macam itu, cara anda berfikir tak sama dengan golongan berpendapatan tinggi. Keputusan kewangan anda juga jauh berbeza.

Keputusan mereka memang tak rasional ..

Cuba tanya kaki tikam ekor berapa jumlah duit yang mereka dihabiskan setiap tahun untuk beli sports toto.

Mungkin secara purata mereka habiskan dalam RM500 setahun.

Tanya pula jika berlaku kecemasan, mampukah mereka sediakan RM500 sekarang juga.

Jawapannya adalah tak mampu!. Mereka terpaksa berhutang.

Tapi orang yang sama juga habiskan begitu saja RM500 setiap tahun untuk tikam ekor.

Lansung tak rasional bukan?

Nasib juga main peranan besar

Satu lagi perkara yang penting yang sering dinafikan oleh orang yang berjaya adalah betapa faktor nasib baik memainkan peranan dalam menjadikan mereka kaya raya.

Memanglah satu penghinaan kata macam tu.

Kalau anda kata kat kawan yang kaya raya bahawa dia hanya bernasib baik boleh jadi kaya macam tu. Tentu panjang lebar dia akan bersyarah. Betapa dia kerja keras untuk dapat semua itu. Dia bukan pemalas macam anda.

Tapi cubalah lihat hakikat sebenar.

“Bukan semua orang yang kerja keras kaya raya, bukan semua orang yang pemalas miskin papa kedana”

hidupringkas.com

Kemungkinan anak orang kaya akan jadi kaya juga macam bapak dia adalah lebih tinggi dari kemungkinan orang kerja keras untuk jadi kaya raya.

Apa yang boleh kita katakan pada mereka yang dilahirkan dalam kalangan orang kaya raya begitu kalau bukan nasib baik?

Jangan ikut contoh spesifik individu berjaya

Untuk berjaya, untuk kaya, ikutlah jalan mereka yang dah berjaya.

Pesanan itu sangat terkenal.

Sebab itu kalau individu kaya raya dan berjaya buat buku kisah hidupnya, laku keras semua orang nak beli.

Tujuannya supaya dapat jejaki jalan yang dia lalui. Kalau anda ikut sebijik semua yang dia lakukan, sudah tentu akan turut sama kaya macam dia.

Jika anda percaya macam tu, saya nak pesan supaya tak payah nak yakin sangat dengan formula itu.

Cara unik atau spesifik yang mereka kongsikan hanya sesuai dan khas untuk mereka saja. Nasib baik memainkan peranan besar untuk mereka sebab itu, jalan yang biasanya tak menjadi, bila mereka buat menjadi pulak.

Kalau nak selamat, ikut cara yang umum yang memang terbukti berkesan dari dulu sampai sekarang.

Lebih tepat lagi tak perlulah nak follow cara unik Syed Mokhtar atau Tony Fernandez. Apatah lagi cara Jack Ma, Bill Gate, Elon Musk atau Jeff Bezos.

Nasib baik memainkan peranan besar untuk mereka semua lebih berjaya daripada semua orang lain.

Kalau anda memang ditakdirkan nak jadi kaya luar biasa, masuk dalam buku sejarah, akan ada saja perkara luar biasa berlaku pada anda. Jadi tak perlu nak risau.

Belajar kuasai perasaan cemburu

Perasaan cemburu memang semula jadi ada dalam hidup anda. Tak boleh nak elakkan dari munculnya perasaan tersebut.

Dalam bab kewangan juga, perasaan cemburu ni banyak mempengaruhi cara anda buat keputusan. Jadi perlu tahu serba sedikit teori tentang masalah cemburu ni.

Secara umum, cemburu mudah berlaku di terhadap mereka yang sama status atau sama golongan.

Contohnya, jika anda seorang kerani di dalam syarikat yang sama, anda akan lebih cemburu pada kerani juga. Jika kawan anda sama kerani dapat duit lebih dari anda, cemburu mudah tercetus sebab anda akan bandingkan kenapa dia lebih sedangkan status sama.

Usahawan melayu lebih cemburu pada usahawan melayu. Usahawan Malaysia lebih cemburu pada usahawan Malaysia. Pemain bola lebih cemburu pada pemain bola yang sama jika dia dapat lebih.

Oleh itu berhati-hati dengan keadaan itu bila buat keputusan kewangan sebab nak lawan orang yang lebih banyak duit dari anda. Ia bakal membuatkan anda buat keputusan bodoh hanya disebabkan tekanan perasaan cemburu.

Sebaiknya lawan perasaan itu dengan rapatkan diri dengannya untuk fahami lebih mendalam kenapa jadi begitu dari cuba bersaing.

Jadi kaya lebih mudah dari kekal kaya

Sepanjang berkawan dengan orang berniaga, dah lebih 20 tahun, saya nampak fenomena kawan-kawan dapat durian runtuh.

Kembali kepada bab nasib baik di atas tadi, peluang akan muncul pada masa dan ketika yang baik untuk anda buat duit. Tambah lagi jika anda memang mencarinya.

Bila berlaku, anda akan tiba-tiba jadi kaya banyak duit.

Cuma masalahnya adalah bagaimana nak kekal kaya?

Itu satu isu besar yang menimpa ramai juga kawan saya. Ramai yang tak dapat kekalkan kekayaan bila duit yang digunakan habis dengan pantas dan mereka kembali ke asal.

Perasaan tamak memainkan peranannya kat sini. Ditambah pula dengan rasa cemburu melihat kawan ada lebih banyak, anda akan cenderung ambil risiko besar dan bodoh untuk dapat banyak lagi sebab nak lawan.

Cuba kesan dengan pantas perasaan itu, tanam sikit perasaan takut agar lebih berhati-hati, boleh selamatkan anda dari habiskan semua duit yang ada.

Hanya perlu satu keputusan betul saja

Adakah mereka yang banyak duit selalu buat keputusan yang betul sampai mereka jadi macam itu?

Jawapannya tidak.

Anda boleh saja buat 30 kali keputusan bodoh yang tidak mendatangkan hasil. Kemudian keputusan yang ke 31 menjadi dan hasilnya anda berjaya buat banyak duit.

Cuba kawal perasaan cemburu, kawal perasaan tamak, dan teruskan saja usaha buat yang terbaik. Tapi jangan lari jauh sangat dari industri atau perkara yang anda memang dah buat.

Jika terkena, atau keputusan tak betul, relaks saja dan teruskan. Insyaallah dalam banyak-banyak tu, akan menjadi 2 atau 3 yang memberikan hasil.

Berbalik kepada masalah terperangkap dalam hutang dan jadi boros yang saya sebut di atas tadi. Ia banyak bergantung kepada pengalaman anda membesar dan berhadapan dengan isu ekonomi selama ini.

Andalah yang kena ambil masa, muhasabah dan dalami pemahaman terhadap cara keputusan kewangan anda dilakukan.

Jika anda memang mencari jalan untuk jadi kaya, tak jemu dan tak putus asa, tiba masanya akan berlaku juga. Bila dah dapat, kawal cemburu dan kawal tamak.

Berhati-hati dengan layan sedikit perasaan takut. Tapi jangan lupa bahawa anda boleh saja buat silap banyak kali. Namun itu tak akan halang anda untuk jadi kaya walaupun sering buat silap.

Kat mana titik keseimbangannya, anda sahaja yang perlu mencari sendiri.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa yang saya belajar berkenaan kewangan peribadi ini sangat baik untuk anda tahu

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !