Monday, March 8, 2021

Untuk kena langgar, anda perlu kekal duduk di landasan sampai kepala keretapi datang

  Mat       Monday, March 8, 2021
Projek ayam masak kicap – ini hanya gambar hiasan

Ada seorang pemuda yang berhasrat untuk dilanggar kepala keretapi yang datang laju.

Dia perlu pergi di kawasan di mana ada landasan yang keretapi akan lalu dengan laju. Biasanya keretapi akan lalu laju di landasan yang lurus dan jauh dari tempat perhentiannya.

Tak jauh dari tempat tinggal pemuda itu memang ada satu laluan begitu. Laluan keretapi ekspress. Jadi dia pergi ke dalam landasan itu untuk tunggu keretapi datang.

Tunggu punya tunggu, keretapi masih tak datang-datang.

Setelah agak lama menunggu, dia mula rasa lapar. Makin lama makin berbunyi perutnya berkeroncong. Dia pun keluar dari landasan tu. Berjalan balik ke rumah untuk makan.

Tak lama lepas dia keluar dari landasan itu, kedengaran keretapi datang dari jauh. Nak patah balik memang dah tak sempat. Nak bolos pagar masuk ke kawasan landasan dan duduk di tengah landasan tu memang dah tak sempat.

Maka terlepaslah peluangnya hari itu untuk dilanggar keretapi laju.

Kekal duduk dalam landasan

Cerita kat atas tu memang agak kartun sikit. Apa hal la pulak pemuda tu cari pasal mahu dilangar keretapi laju?

Tak ada orang yang akan buat macam itu, melainkan dia ada niat nak bunuh diri. Atau dia dapat satu petua ajaran sesat untuk berjaya perlu beranikan diri dilanggar keretapi.

Betul sebagaimana andaian anda, cerita yang saya buat atas tu adalah rekaan semata. Tapi ada mesej yang saya fikir boleh diguna pakai dalam kehidupan. Terutamanya dalam proses mengejar kejayaan terhadap apa yang anda sasarkan.

Hanya perlu ubah, “kepala keretapi” laju tu kepada “peluang besar” yang jadi durian runtuh, untuk ubah hidup atau perniagaan anda ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam perumpamaan keretapi di atas. Kalau dah memang nak dilanggar keretapi tu, anda perlu pastikan sentiasa kekal duduk dalam landasan tu. Jangan lah keluar pergi tempat lain pulak sedangkan bila keretapi tu akan datang anda tak tahu.

Kalau nak keluar juga sebab perlu, jangan pergi jauh sangat dari landasan tu supaya senang masuk semula ke dalam landasan.

Kalaulah pemuda tadi kekal tunggu. Sudah tentu dia akan dilanggar kepala keretapi tu dengan kuat. Termakbul hasratnya hari itu.

Dia keluar balik rumah dulu. Nanti lepas selesai makan dia rasa boleh datang semula tunggu keretapi. Rupanya tak lama setelah dia keluar, barulah datang kepala keretapi tu.

Projek jual ayam masak kicap

Idea tulissan ini datang selepas bersembang dengan seorang kawan semalam. Dia memang selalu datang ke opis saya di waktu petang samada untuk minum di kedai mamak atau sekadar sembang dalam opis apa saja idea bisnes.

Semalam dia datang ceritakan perihal kawannya yang buat bisnes ayam kicap.

Panjanglah sedikit cerita tu, tapi saya cuba pendekkan.

Dia beritahu bagaimana seorang kawannya, kita namakan saja Atan untuk mudah penyampaian, berkahwin dengan adik kepada 3 orang taukeh restoran bisnes ayam masak kicap yang sangat laris.

Atan ni geliga akalnya berbanding ketiga-tiga abang iparnya. Dia jadi pencetus dan pelaksana projek membesarkan bisnes restoran abang-abang iparnya itu.

Semenjak Atan masuk, satu demi satu cawangan baru restoran berkonsepkan masakan sama berjaya dibuka di merata lokasi baru. Bisnes makin membesar ..

Tapi kejayaan tu tak lama. Timbul masalah, berlaku pertelingkahan dan dia telah dihalau keluar dari bisnes yang dah membesar tersebut.

Sedihlah juga Atan dengan apa yang terjadi. Sedangkan hasil usaha dan kecerdikan Atan-lah bisnes tersebut menjadi besar.

Setelah dihalau, Atan duduk tak diam sebab dia bukan jenis mudah putus asa. Dia memang ada otak bisnes. Dia usahakan bisnes jual ayam masak kicap juga. Tapi bukannya buka restoran. Dia buat projek bisnes makanan yang dijual secara online.

Atan memang cekap, sempat dapat resepi dari iparnya dulu, cara macam mana nak hasilkan produk yang sedap. Dia twist sikit saja idea bisnes tersebut untuk hasilkan satu usaha baru.

Macam semua cerita kejayaan besar, sukses kelihatan berlaku dalam tempoh satu hari saja. Macam itulah juga secara pandangan kulitnya berlaku pada Atan.

Masuk bulan ke-3 saja sales bisnes online Atan mencecah lebih dari RM1.4 juta sebulan !!!

WOW!

Memang hebat! Terjatuh sudu saya ketika mendengar nilai jualan itu. Memang saya juga teruja mendengarnya.

Tertarik dengan cerita tu, saya korek maklumat yang penting bagaimana Atan buat. Paling penting macam mana dia atur strategi pemasaran dan strategi untuk tunaikan pembelian yang bagi saya berlaku dengan cepat dalam skala yang besar.

Dapatlah sedikit ilmu berkenaan marketing untuk saya simpan semalam. Saya simpan dalam folder otak moga akal akan jadikan satu rujukan nanti untuk diguna pakai dalam bisnes yang saya buat.

Itu pengajaran yang saya dapat dari cerita Atan.

Tapi lain pulak kawan saya tadi tu. Dia teruja dengan idea tersebut sampai mula fikir macam mana nak jalankan bisnes ayam masak kicap.

Salah satu strategi Atan adalah melantik wakil atau partner untuk masak resepi ayam kicapnya. Kerja wakil tu hanya masak guna semua ramuan yang dibekalkan dan bungkus. Tunggu saja ajen penghantar makanan datang ambil untuk diedarkan kepada pembeli.

Setiap wakil yang Atan lantik menjana lebih kurang RM30 ribu jualan sebulan. Ada ramai wakil sebegitu bertaburan sekitar Lembah Kelang. Mereka beroperasi hanya dari rumah untuk memasak dan bungkus ayam masak kicap.

Jadi, itulah yang kawan saya nak buat. Dia nak jadi salah seorang ajen Atan. Tentulah mudah dan boleh sangat sebab dia kenal Atan.

Jangan keluar dari landasan

Bila dengar hasrat kawan saya tu, saya terus geleng kepala. Dia sendiri dah memang ada bisnes yang sedang berjalan. Masih ada banyak ruang lagi untuk penambah baikan bisnesnya sendiri.

“Kenapa hang nak pi buat bisnes ayam masak kicap pulak?” saya tanya laju padanya.

“Bisnes aku lambat sangat! awat orang lain buat bisnes mudah saja buat berjuta sedangkan aku masih terkial-kial macam ni” jawab kawan saya.

“Sebab hang selalu suka terjun keluar dari landasan”, jawab saya spontan.

“Tak sempat kepala keretapi datang, hang dah terjun nak pergi duduk kat landasan lain pulak. Sampai bila nak kena langgaq dengan kepala keretapi?”, terang saya padanya.

Pantang dengar ada orang lain dah kena langgar kepala kereta pi kat satu landasan, dah nak pergi duduk kat landasan itu pula. Macam itulah sebenarnya kawan saya tu. Banyak bisnes dia buat melompat sana melompat sini. Akhirnya dia patah baik buat apa yang memang dia pandai buat.

“Tolonglah fokus buat apa yang hang pandai buat. Kekal kat situ dan terus berusaha sehinggalah datang kepala keretapi laju langgar hang pulak!”, sambung saya sambil kami bangun dari kedai menuju ke kereta Toyota Alphard barunya.

Sepanjang jalan balik ke opis saya dia tak setuju dengan berbahas dengan pandangan saya. Namun, saya kekal dengan pendirian untuk terus istiqamah buat apa yang saya sedang buat. Lantaklah orang lain nak meletup jadi billionaire ke apa, saya akan tunggu kepala keretapi saya datang atas landasan yang saya setia berada di dalamnya.

Saya suruh dia fikirkan masak-masak sambil ketawa padanya.

Dan keesokkan harinya, masa kami sembang pasal bisnes, dia beritahu nak kekal teruskan buat apa yang dia sedang buat sampai kena langgar kepala keretapi.

Dia beritahu saya setelah bersembang hari tu, malan tu dia tak dapat tidur fikirkan apa yang saya kata. Dia ketawa sendirian rasa geli hati kenapa dia boleh nak pi buat bisnes ayam masak kicap la pulak .. nasib baik bincang dan bahas dulu. Kalau tak, ayam masak kicaplah pulak dia buat!

Mesej yang sama saya sarankan pada anda yang membaca artikel ni. Sila kekal dalam landasan anda sendiri. Tunggu sambil berusaha. Bisnes memang macam tu, bila dah naik sampai ke peringkat selesa, nak keluar dari situ jadi luar biasa adalah amat sukar.

Ramai yang kecundang sebab akhirnya keluar landasan. Kemudian patah balik duduk landasan sendiri, keluar pulak dan begitulah akhirnya malaikat maut datang ambil nyawa.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Untuk kena langgar, anda perlu kekal duduk di landasan sampai kepala keretapi datang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !