Wednesday, April 14, 2021

Boleh bayar zakat fitrah 1442H secara online guna aplikasi TULUS

  Mat       Wednesday, April 14, 2021
Dulu bayar zakat dengan beras

Macam mana anda bayar zakat fitrah setiap kali masuknya bulan ramadan menuju ke bulan syawal?

Masa kat kampung dulu, semua zakat fitrah akan dibuat samada di masjid ataupun di surau. Masa zaman kanak-kanak, orang tualah yang akan bayarkan. Bila ayah dah meninggal, abang yang dah kerja tolong bayarkan.

Bila dah besar, masing-masing kena bayar sendiri. Masa saya dok kat Perancis dulu, zakat fitrah bayar pakai bagi duit saja. Sangat ringkas. Tak ada jabat tangan, genggam erat, pejam mata kemut-kemut cuba nak niat ‘inilah zakat fitrah yang wajib ke atas aku …”

Bila balik semula ke Malaysia, kena ikut cara kampung semula. Di bulan ramadan, wakil atau amil kutip zakat akan stand-by kat balai masjid. Siap dengan beras segantang tersedia di sebelahnya.

Ikut tradisi orang tua sejak kecil dulu, bila dah umum anak bulan kelihatan dan esok raya, malam tu baru kelam kabut pergi masjid nak bayar zakat. Sunat untuk lewatkan bayaran zakat fitrah, macam tu lah yang saya difahamkan.

Jadi biasanya di malam raya saya akan pergi menghadap amil yang biasanya adalah tok siak masjid. Sebaik saja duduk depan, dia sorong beras ke depan sambil berkata ‘aku jual beras dengan sebanyak duit..’. Saya sambut, ‘aku beli beras dengan sebanyak duit ..”

Duit zakat, iaitu nilai harga beras segantang tu dihulurkan pada Tok Siak. Buka sikit cerut ikatan pada beras tu untuk pegang butiran beras di dalamnya. Kenalha berlakon sikit macam betul-betul nak beli beras tu.

Selepas itu, barulah ditolak semula ke depan pada Tok Siak sambil berkata ‘inilah zakat fitrah yang wajib ke atas aku tahun ni .. “.

Maksudnya saya beli beras dari tok siak kemudian serahkan semula padanya sebagai bayaran zakat fitrah. Kalau nak bayar kepada semua 6 orang ahli keluarga, macam itulah kena ulang lagi 6 kali beli dan serahkan semula pada amil sebagai zakat firtah.

Bagi yang tak biasa, nak buat ritual itupun boleh jadi gelabah, gementar tak tentu hala. Sebab prosesnya disukarkan dan diformalkan sedemikian rupa sampai jadi takut kalau-kalau silap sebut atau silap tolak beras tak kena cara .. dan macam-macam takut silap lagi.

Tapi sekarang terutamanya kat bandar, dah tak ada buat macam itu lagi. Beritahu saja berapa orang nak bayar, kira jumlahnya, terus sekali hulur saja pada amil. Lepas tu dia angkat tangan baca doa. Walaupun masih cuba di ritual dan diformalkan, namun masih sangat ringkas berbanding kat kampung dulu.

Sekarang ada satu lagi cara lagilah ringkas. Pakai aplikasi telefon pintar saja.

Ini siaran akhbar yang saya diminta untuk tolong war-warkan kat blog ni. Baca kat bawah laporannya.

PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH 1442H MENGGUNAKAN APLIKASI TULUS

TEMA: Nak Zakat, Wakaf, Infaq dan Sedekah Online? #TulusJerLah!

Kuala Lumpur, 13 April 2021– Pelbagai urusan amal jariah merangkumi zakat, wakaf, infaq dan sedekah kini mampu disempurnakan pembayarannya melalui kaedah secara digital dengan begitu mudah, hanya di hujung jari.

Berikutan pandemik yang melanda dunia pada masa kini telah menyebabkan pembayaran zakat melalui kaedah yang diamalkan sebelum ini telah terkesan. Pelbagai kekangan serta SOP yang perlu dipatuhi telah menyebabkan lebih banyak organisasi lebih selesa untuk melaksanakan urusan zakat serta sumbangan secara dalam talian.

Sehubungan dengan itu, aplikasi Tulus sebagai sebuah platform pembayaran beretika yang mematuhi asas syariah dibangunkan oleh Tulus Digital Sdn Bhd (Tulus Digital), memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.

Menurut Pengerusi Eksekutif Tulus Digital, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, aplikasi mudah alih berkenaan memberikan kemudahan pembayaran secara digital kepada pengguna tanpa mengira masa dan lokasi mereka dengan menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

“Istimewanya di bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi 9 negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan dan WP Labuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan serta Perlis.” katanya.

Di samping itu, Tulus juga menjalin kerjasama strategik dengan Touch ‘n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat di bulan Ramadan ini. Pihak Tulus Digital juga menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai di atas termasuk negeri Perak.

Aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple iOS Store. Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang https://tulus.app

Menurut Dr. Mohd Daud, syarikat juga optimis untuk membantu 800,000 sehingga 1,000,000 pembayar zakat dalam menunaikan kewajipan mereka pada Ramadan tahun ini.

“Bagi perancangan masa hadapan, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi melibatkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya,” katanya.

Aplikasi Tulus dibangunkan oleh Tulus Digital (dahulu dikenali sebagai SnapNPay Digital Sdn Bhd), iaitu syarikat Islamik fintech berteraskan pembangunan kewangan sosial yang menyediakan fasiliti pembayaran beretika melalui dua aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay bagi memperkasa ekonomi dan kesejahteraan ummah merangkumi gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia.

Bertemakan “Nak Zakat, Wakaf, Infaq dan Sedekah Online? #TulusJerlah!”, Tulus Digital mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersama-sama menggunakan aplikasi ini sebagai salah satu cara untuk membuat sumbangan dan pembayaran zakat secara digital.

-Tamat-

Mengenai Tulus

Tulus Digital adalah syarikat fintech kewangan sosial Islam yang menyediakan kemudahan pembayaran etika untuk semua di Malaysia yang memperkasakan pertumbuhan dan kesejahteraan masyarakat dengan menerapkan gaya hidup digital. Platform mudah alih ini menyediakan penyelesaian pembayaran dalam talian yang mudah dan selamat untuk semua perkhidmatan dan kemudahan pembayaran yang mematuhi asas syariah seperti Zakat, Waqaf, Infaq & Sedekah. Aplikasi Tulus kini tersedia di Google Play Store dan Apple App Store. www.tulus.my
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Adzfar ‘Ed’ Aziz
Ketua Pegawai Pemasaran
Mobile: 012 279 2744 Email: media@tulus.my

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Boleh bayar zakat fitrah 1442H secara online guna aplikasi TULUS

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !