Monday, April 5, 2021

Cara untuk pastikan setiap ahli pasukan pekerja dalam syarikat anda ambil bahagian

  Mat       Monday, April 5, 2021

Saya ada sebuah rumah berdekatan Bagan Lalang, Selangor. Rumah tu saya jadikan tempat singgahan hujung minggu kami sekeluarga.

Rumah yang orang tak duduk menetap biasanya perlu dibersihkan setiap kali pergi.

Ada masanya, kalau nak buat banyak kerja yang perlukan ketenangan, kat situlah saya akan pergi bersendirian. Setiap kali ke sana seorang diri, perkara pertama yang saya buat adalah capai batang penyapu, dan mula bersihkan seluruh kawasan depan.

Selepas itu masuk ke dalam rumah. Mula sapu satu bahagian demi satu bahagian dari dapur, bilik sehinggalah ke ruang tamu.

Lepas tu kalau ada masa lagi, pergi tengok sekeliling rumah pulak. Satu pokok ke satu pokok buah-buahan dan pokok renek yang ada sekeliling rumah. Belek keadaannya, potong mana yang rosak, buang mana yang tak elok dan bersihkan kawasan.

Kemudian kena bersihkan bilik air sikit. Buang najis cicak yang terkumpul. Bersihkan sinki dapur. Juga ada banyak najis cicak. Lepas tu bersihkan kitchen top, lap buang debu bagi bersih. Dan akhirnya lap dan kemaskan semua meja, kerusi yang ada. Ada kalanya kena vacuum sudut dinding dan rak buku sebab banyak sarang lelabah.

Semua itu meletihkan tapi melekakan. Ambil masa yang agak lama sebab banyak kerja nak kena buat.

Tapi, semuanya jadi sangat berbeza jika saya pergi satu keluarga. Sampai saja. Setiap anggota keluarga dikerahkan tenaga, mula ambil tugas masing-masing. Semua kerja yang saya perlu buat seorang tadi akan dilakukan secara berjemaah.

Kerja pembersihan sebenarnya jauh lebih lengkap dan terperinci. Dua kali ganda detail dari jika saya buat seorang diri.

Walaupun lebih sempurna, detail, masa yang diambil hanya 1/4 saja dari masa yang saya ambil jika buat seorang diri. Ini menunjukkan semua orang hanya buat kerja sedikit saja pada bahagian masing-masing. Selesai semuanya, dah boleh melepak dan anak-anak mula layan aktiviti mereka.

Beza kerja sendiri dengan bina syarikat

Cerita kat atas tu saya kongsikan untuk berikan gambaran perkara sama dalam berniaga.

Macam itulah perumpamaan antara anda yang buat bisnes seorang diri, atau lebih tepat lagi kerja sendiri, berbanding dengan menjalankan bisnes secara membina pasukan pekerja.

Samada kerja sendiri atau bina syarikat, semua bahagian tugas yang perlu dilaksanakan adalah sama. Ada operasi, pemasaran, jualan, kewangan, akaun, sumber manusia, pentadbiran dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan bisnes.

Jika anda buat sendiri, masa yang diperlukan untuk buat semua itu sudah tentu jauh lebih panjang. Kalau buat kesemuanyapun, sudah tentu sangat tak lengkap. Buat sekadar buat saja. Boleh jadi sekadar lepaskan batok di tangga.

Jika anda bina pasukan pekerja, semua urusan boleh dibahagikan kepada kumpulan yang berbeza. Masing-masing akan sempurnakan urusan dalam jabatan mereka secara lebih lengkap dan terperinci. Akan jadi jauh lebih baik, cekap dan paling penting lebih pantas.

Dengan andaian sebegitulah yang membuatkan saya berusaha bina kumpulan pekerja dalam syarikat yang saya ada. Saya abaikan saja kegusaran takut tak boleh nak sara setiap kepala yang ada dalam syarikat. Kegusaran yang sama dihadapi oleh ramai usahawan bila fikir nak ambil pekerja.

Jika semua laksanakan kerja masing-masing dengan baik, syarikat sudah pasti (Insyaallah) dapat menyara semua keperluan untuk hidup setiap anggota yang ada dalam syarikat anda.

Setiap ahli pasukan wajib ambil bahagian

Syarikat akan berfungsi dengan baik seandainya setiap ahli berfungsi. Semua yang ada mengambil bahagian dalam berusaha melaksanakan tugasan mereka. Ketua perlu pantau setiap kumpulannya. Boss paling atas juga perlu pantau semua ketua yang ada dan berusaha lancarkan urusan komunikasi agar tiada yang tercicir.

Bayangkan jika ada ahli pasukan bersikap seperti kayu mati yang terapung dalam sungai. Lansung tak ambil bahagian. Ikut arus saja ke sana sini. Nasib baik jalan dan jika tak baik tersangkut celah batu. Tunggu arus deras sikit baru keluar dan jalan semula.

Saya pernah tulis pasal pekerja jenis kayu mati ni. Memang sangat menyakitkan hati. Bukan saja pada pemilik syarikat, malah semua orang dalam syarikat sakit hati bila ada yang lansung tak menyumbang, hanya sekadar menumpang usaha orang lain.

Kesan masalah pekerja tak ambil bahagian

Jika anda faham apa yang saya cuba sampaikan kat atas tu, anda tentu akui sekarang bahawa kayu mati dalam syarikat perlu dibuang dan dihapuskan. Perlu digantikan dengan kayu hidup yang kuat bertahan dan memberikan kesan dalam mencorakkan keadaan sungai dan arusnya.

Macam mana nak kesan adanya kayu mati dalam syarikat anda?

Mudah saja nak kesan. Tengok setiap kerja yang dilaksanakan oleh setiap ahli. Kerja tak buat. Kerja tak lengkap sempurna dan sebagainya. Itu semua tanda kayu mati dah mula wujud.

Sebab itu setiap kali anda ambil pekerja, tugasan yang dia perlu laksanakan mesti jelas. Dia perlu tahu jangkaan syarikat terhadap dirinya dan bagaimana nak tentukan samada tugas terlaksana atau tidak. Biasanya syarikat akan jelaskan semua itu dalam job description.

Satu lagi cara nak kesan ada kayu mati adalah dengan perhatikan kehadiran. Kerja semua buat tapi selalu tak hadir juga adalah tanda pekerja sedang bertukat nak jadi kayu mati.

Bila dia tak hadir, dia terlepas dari tanggung jawab memerhati apa yang sedang berlaku untuk urusan penambah baikan. Terlepas juga peluang untuk berkomunikasi secara tidak formal untuk eratkan perhubungan sesama ahli lain. Terlepas juga pelung untuk berikan bantuan kepada ahli lain yang hadapi kesulitan dalam tugasan mereka.

Dengan hanya buat kerja tanpa berusaha berikan idea, tak ada usaha turunkan ilmu atau skill yang dia ada, tak ada usaha berikan kata semangat dan kata peransang, adalah tidak cukup untuk membina sebuah syarikat yang berfungsi dengan baik.

Hadirkan diri dalam semua perjumpaan dan urusan yang syarikat anjurkan adalah salah satu keperluan yang semua pekerja wajib faham kepentingannya. Bila hadir, perlu ada tenaga dan keceriaan. Jangan jasad saja ada, fikiran entah ke mana. Apatah lagi jika anda pamerkan muka masam lebih dari cuka dan mulut tak henti berdoa untuk segera tamatkan pertemuan.

Semua orang kat syarikat adalah ahli keluarga ke-2 dalam hidup kita.

Kenapa saya kata ahli keluarga ke-2. Sebab bila kerja, anda terpaksa habiskan 1/3 dari 24 jam yang ada setiap hari untuk urusan kerja. Jika anda rasa tempat kerja, bersama kawan sekerja adalah satu siksaan, elok segera cari kerja lain atau tak payah kerja lansung. Pergi duduk rumah saja. Lebih baik.

Kalau rasa sukar nak cari kerja di tempat lain, elok berusahalah. Buatlah apa saja agar anda suka syarikat tempat anda kerja beserta kesemua pekerja yang ada.

Langkah atasi masalah pekerja tak ambil bahagian

Apa yang anda boleh buat untuk selesaikan masalah pekerja tidak ada komitmen untuk ambil bahagian dan turut sama berikan sumbangan terhadap kesemua aktiviti syarikat?

Saya kongsikan beberapa langkah yang boleh dilakukan seperti berikut di bawah:

Buat peraturan pasukan

Pastikan anda jadikan ianya satu peraturan atau undang-undang dalam syarikat. Wajibkan agar semua pekerja patuh kepada peraturan berikut

  1. Wajib hadir bila dipanggil meeting
  2. Wajib sampai pada masa yang ditetapkan
  3. Wajib bersedia bila hadirkan diri dalam meeting
  4. Wajibkan semua kerja yang diberikan dilaksanakan dengan sempurna

Anda boleh buat berbagai cara untuk pastikan semua itu diketahui dan diikuti oleh setiap ahli pasukan. Contohnya boleh buat surat aku janji. Atau boleh lekatkan memo kat dinding pejabat. Atau boleh juga digariskan dalam perincian surat perlantikan jawatan.

Selalu ingatkan perkara tersebut pada semua pekerja dalam setiap perjumpaan. Tekankan bahawa sibuk bukanlah alasan untuk engkar. Cari jalan dan bincang dengan semua ahli pasukan untuk pastikan semua dapat patuhi kewajipan itu.

Bantu semua orang patuh peraturan di atas

Dengan andaian semua yang kekal bekerja dalam syarkat setuju dengan peraturan tersebut, anda perlu pastikan jika ianya dilanggar, untuk siasat kenapa. Pertama sekali perlu lihat apa yang syarikat boleh buat supaya semua orang patuh.

Anda boleh masukkan juga peraturan dalam bersedia sebelum meeting seperti edarkan segala maklumat berkenaan meeting sehari awal sebelumnya. Masukkan maklumat di dalam edaran tugas atau perkara yang diperlukan dari setiap ahli.

Jika ada kerja yang tak terlaksana atau dilaksanakan dengan baik, siasat kenapa. Bukan untuk jatuhkan hukuman. tapi untuk cari ruang bagaimana syarikat dapat bantu agar ianya tidak berulang.

Perlu sentiasa buat penilaian dan siasatan

Bila dah jadi satu peraturan dalam syarikat untuk sentiasa selesaikan kerja dengan baik. Untuk sentiasa sertai apa saja perjumlaan. Jika pertaturan itu dilanggar, janganlah dibiarkan begitu saja.

Buatlah siasatan. Panggil individu yang gagal patuhi untuk cari punca kenapa. Mungkin ada sesuatu yang perlu diubah. Mungkin pekerja tak ada kemahiran nak buat kerja yang ditugaskan. Atau mungkin pekerja ada masalah peribadi dan sebagainya.

Yang pentingnya, perlu siasat dan cari jalan supaya ianya tidak berulang.

Moga artikel ini bermanfaat untuk saya dan semua yang membacanya. Jika anda rasa artikel ini membosankan, sila share dengan kawan lain. manalah tahu kalau-kalau dia rasa tak bosan ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Cara untuk pastikan setiap ahli pasukan pekerja dalam syarikat anda ambil bahagian

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !