Monday, May 10, 2021

6 perkara yang anda perlu buat untuk harungi keadaan tak menentu wabak Covid-19

  Mat       Monday, May 10, 2021

Hari ni masuk hari ke-26 kita umat Islam berpuasa. Punyalah laju masa berlalu. Suasana berpuasa tahun lepas dalam keadaan PKP, sambut raya dalam rumah saja tak pi mana, masih lagi segar terasa.

Tahun ni akan jadi macam tahun lepas juga. Duduk beraya kat rumah tak boleh balik kampung. Siri ziarah saudara mara boleh dibuat pakai, samada Zoom atau Google Meet saja. Untuk yang masih belum install apps zoom atau google meet, boleh buat sekarang. Beritahu saudara mara untuk aturkan jadual Raya Meet di 1 Syawal nanti.

Keadaan masih tak menentu

Masa pertama kali harung PKP 1.0 tahun lepas, memang sangat teruja. Walaupun dalam masa sama ada perasaan takut. Menanti apa yang akan berlaku. Tapi bila fikir balik semua orang hadapi keadaan sama, fikiran tenang semula.

Nampak jelas ketakutan biasanya disebabkan rasa risau jika dipersalahkan ke atas apa yang berlaku. Sebagai seorang suami, ayah, anak dan usahawan ada amanah besar yang sentiasa ditanggung atas bahu.

Makan minum, perlindungan, kesihatan dan ketenangan isteri, anak-anak, orang tua dan semua pekerja dalam syarikat, semua itu perlu diselesaikan.

Persoalan atas tu yang paling awal menerjah masuk ke dalam fikiran bila berlaku PKP. Jika semua itu tak dapat selesai, adakah saya yang perlu dipersalahkan?

Bila kes kembali reda, legalah sikit. Aktiviti ekonomi jalan semula macam biasa tapi dalam keadaan yang agak berbeza dari sebelumnya. Ingatkan keadaan dah dalam kawalan. Tapi datang lagi PKP dengan berbagai versi tambahan. PKPB, PKPD .. entah apa PKP lagi.

Perjalanan dan perancangan perniagaan jadi tidak menentu. Tak tahu apa yang bakal menanti keesokan harinya.

Perlu ubah cara berniaga kah?

Perlu cari peluang bisnes baru kah?

Perlu besarkan atau kecilkan operasi kah?

Semua soalan itu menghantui fikiran sampai sekarang bila sedar semuanya masih belum berakhir.

Apa nak buat ni?

Macam mana nak terajui perniagaan dan semua amanah yang dibebankan atas bahu ni?

6 strategi hadapi ketidakpastian

Kebetulan baru-baru ini saya dapat email dari Harvard Business Review (HBR) yang saya subscribe (www.hbr.org). Ia berikan kemas kini artikel terbaru yang mereka tulis. Salah satu tajuknya sangat-sangat membantu memberikan idea bagaimana nak buat untuk hadapi keadaan yang tidak menentu seperti sekarang.

Menurut HBR, zaman sekarang suasana memang sangat tidak dapat dijangkakan. Perubahan berlaku secara mendadak. Ketua dalam mana saja organisasi samada besar atau kecil sentiasa terdedah dengan suasana perubahan yang pantas berlaku.

Samada anda buat bisnes kecil atau besar, akan terdedah kepada ketidakpastian yang jauh lebih ketara berbanding tok nenek kita dahulu. Keadaan itu lebih jelas kelihatan apabila dunia dilanda wabak covid-19 sekarang.

Seperti yang saya katakan di awal tadi. Sampai sekarang masih tak pasti ke mana hala tuju pergerakan suasana perniagaan sekarang. Bila agaknya akan berakhir covid-19.

Kalau covid-19 selesai dengan solusi vaksin 80% dari penduduk dunia, ada kemungkinan kah kes virus lain pula akan melanda?

Ada kemungkinan tak, merebaknya virus yang akan ubah manusia jadi zombie macam cerita ‘Train to Busan’?

Untuk hadapi semua itu, ada 6 strategi yang anda boleh gunakan seperti berikut.

#1. Selesakan diri dengan ‘tak tahu’

Sejak darjah satu kita dilatih untuk berikan jawapan kepada setiap soalan. Masuk sekolah menengah, sampai universiti. Kemudian masuk dunia kerja. Kita diharapkan untuk sentiasa ada jawapan kepada masalah. Semua persoalan mesti ada satu jawapan.

Macam itulah selama ini berlaku sampai kita rasa berat dan tertekan terhadap perkara yang tak ada kepastian.

Rasa macam itu akan berterusan lama.

Jadi perlu biasakan diri dalam keadaan tidak selesa ‘tak tahu’. Sekarang bukan masanya untuk tertekan. Sebaliknya masa untuk lihat, rasakan dan belajar dari apa yang sedang berlaku.

Saya amalkan sikap itu dengan buat apa yang boleh sekarang dan selebihnya hanya tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi. Tak payah nak takut kalau bisnes runtuh, ekonomi parah dan sebagainya yang masih tak berlaku pun lagi dan mungkin tak berlaku pun, Wallahu’alam!

Bila dah berlaku nanti, baru fikir apa nak buat dengan apa yang ada.

#2. Bezakan antara rumit dengan kompleks

Anda tahu tak apa bezanya perkara yang rumit dengan perkara yang kompleks?

Nak faham undang-undang cukai perniagaan adalah perkara rumit. Tapi kalau anda serahkan pada syarikat khidmat perakaunan untuk selesaikan semua isu cukai perniagaan dalam syarikat anda, mudah saja dia buat.

Perkara rumit macam cukai boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil dan dirungkaikan satu persatu sehingga ada jalan penyelesaian.

Berbeza pula dengan perkara kompleks. Ia bukan boleh dipecahkan atau diselesaikan sedikit demi sedikit. Perkara kompleks bermakna ia berkait rapat dengan terlalu banyak perkara lain.

Kemungkinannya adalah luar biasa banyak dan tak boleh nak agak.

Maca itulah bisnes dan kaitannya dengan keadaan semasa. Bisnes adalah satu perkara yang kompleks.

Kalau tanya orang akan ada berbagai versi pendekatan dan macam-macam pendapat. Macam saya tanya kawan-kawan tentang cabaran situasi bisnes sekarang yang tak menentu dan bagaimana saya boleh buat untuk pastikan bisnes tu masih mampu bertahan dan ada keuntungan serta mampan.

10 orang punya versi semuanya berbeza. Sebab perkara kompleks tak ada solusi yang jelas hanya dengan berandai sahaja. Ia perlu dihadapi dan cuba selesaikan dengan berbagai pendekatan sampai boleh.

Orang putih kata try an error. Itu saja yang anda boleh buat terhadap perkara kompleks.

Kes covid-19 ni dan apa yang berlaku sekarang terhadap cara nak uruskan bisnes anda adalah sesuatu yang kompleks.

#3. Jangan jadi perfeksionis

Dalam keadaan yang serba kompleks, jika anda cuba juga nak kekal jadi seorang yang gilakan kesempurnaan, memang akan makan diri.

Segala pemboleh ubah yang ada dalam keadaan yang kompleks tidak kekal. Akan ada saja perubahan yang berlaku. Itu memberikan kesan ketara kepada keseluruhan keadaan.

Kombinasi perbahan demi perubahan akan sentiasa kejutkan anda dengan perkara luar jangka. Bersedia untuk buat silap dan adjust saja keadaan untuk betulkan keadaan dan lihat hasilnya. Tak perlu risau nanti orang kata anda tak pakar sebab salah perkiraan atau sebagainya. Relaks saja. Pakar macam manapun dalam bab kompleks ni tak akan tahu semua benda.

Jadi pentingkan kepada pergerakan atau kemajuan sahaja.

#4. Elak ambil mudah, elak cepat buat rumusan

Dalam perkara kompleks juga anda tak boleh nak memandai nak ambil mudah. Pecahkan masalah kompleks kepada bahagian kecil dan zoom pada satu bahagian untuk cuba selesaikannya.

Cara itu memang nampak mudah. Anda rasa lebih yakin dan dapat kuasai keadaan sebab skopnya menjadi lebih kecil.

Tapi ingat!

Kompleks tak sama dengan rumit. Bab perkara rumit bolehlah buat macam tu. Pecahkan dan selesaikan satu persatu.

Tapi benda kompleks tak boleh ambil mudah main pecah-pecah sebab semua keadaan saling berkaitan dan saling memberikan kesan dan perubahan yang berbeza setiap kali berlaku perkara baru.

Sentiasa lihat makro dan micro. Tengok pecahan dan tengok juga keseluruhan sebelum nak buat apa-apa rumusan.

#5. Dapatkan bantuan

Dunia keusahawanan ni dunia yang penuh kesunyian. Anda boleh saja duduk dengan ramai orang dikiri dan kanan, tapi di dalamnya anda rasa tetap kekosongan dan keseorangan.

Ada grup wasap sering berborak kat situ sesama kawan bisnes lain. Tapi anda masih akan rasa keseorangan juga.

Itu antara perkara yang dah lama saya alami, dan saya yakin anda juga sedikit sebanyak alami perkara yang sama.

Anda rasa semua masalah tak kira yang rumit mahupun yang kompleks, anda perlu selesaikannya seorang diri. Tak ada sesiapa yang nak bantu.

Mungkin yang rumit anda boleh selesaikan sendiri. Tapi bukan untuk perkara kompleks. Mengaku saja ada masalah dan minta bantuan.

Hebat macam mana diri kita, tak akan mampu kuasai semua perkara. Hanya dengan gabungan beberapa kepala dari kawan-kawan dan kenalan yang berbeza akan dapat berikan gambaran yang lebih jelas untuk anda hadapi cabarannya.

Jadi sentiasa dapatkan bantuan dan pandangan kawan dan kenalan yang luas pengalaman dan tajam pemikiran serta pengamatannya.

Anda mungkin tak perlukan jawapan dari mereka. Tapi yang lebih penting adalah anda perlu lihat, rasa dan dengar apa yang ada dalam pemikiran mereka dan dapat gunakan sedikit sebanyak jaringan yang mereka ada. Itu yang paling penting.

#6. Keluar dan lihat dari luar rumah

Asyik buat kerja kat dalam rumah baiki itu dan ini tanpa sekalipun keluar dari rumah tu dan melihatnya dari jauh tidak akan mampu hasilkan sebuah rumah yang baik.

Sama juga asyik bersilat dalam perniagaan sendiri 24 jam 7 hari seminggu tak ambil perduli bisnes orang lain dan tak ambil endah industri lain juga tidak membantu anda mendapatkan gambaran yang baik dalam suasana kompleks.

Jadi perlu bersedia untuk zoom out. Keluar dari padang dan cuba lihat permainan dari tempat penonton pula. Gambaran yang lebih menyeluruh akan nampak lebih jelas dalam menghadapi keadaan yang komplek penuh dengan ketidak pastian seperti sekarang ini.

Bukan mudah nak duduk kat depan terajui syarikat atau perniagaan supaya semuanya berjalan lancar dan semua yang ada dalam syarikat tu selamat maju jaya. Untuk mampu terajui syarikat, anda terlebih dahulu perlu mampu kendalikan diri sendiri.

6 cara yang saya kongsikan kat atas tu insyaalah diharapkan dapat membantu anda melayari keadaan yang serba mencabar sekarang ni. Rujukan untuk saya tulis artikel ni adalah dari artikel di hbr pada pautan ini. Pergilah baca untuk dapatkan kefahaman yang mungkin jauh lebih baik dari apa yang saya faham.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 6 perkara yang anda perlu buat untuk harungi keadaan tak menentu wabak Covid-19

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !