Monday, May 3, 2021

Nak cari idea bisnes perlu pastikan fikiran sentiasa sedar dan terbuka terima idea

  Mat       Monday, May 3, 2021

Kalau orang kata berniaga bukannya mudah, saya setuju 100%.

Tapi sebelum berniaga, perlu ada idea nak niaga apa. Bagi saya, bab cari idea niaga adalah jauh lebih susah dari menguruskan perniagaan.

Jadi, kalau anda dah ada perniagaan. Bersyukurlah!

Berikan tumpuan terhadap bisnes tu dan bersedia untuk buat perubahan demi perubahan agar bisnes anda kekal relevan memenuhi permintaan pasaran.

Idea bisnes lain tak perlu bila dah niaga

Sebenarnya, yang jadi susah bila dah berniaga ni adalah perangai asyik nak cabut lari bila berhadapan dengan kesukaran dalam menguruskan perniagaan.

Sales jatuh, untung tak tau ke mana perginya, pekerja tak ada yang boleh diharap, pusingan duit sentiasa tak berlaku dengan elok ketika masanya, mohon pinjaman pula asyik tak diluluskan .. dan seribu satu macam masalah lagi yang berlaku dalam bisnes yang dijalankan.

“Antara cabaran besar bila berniaga adalah bila terasa bisnes lain yang orang buat nampak lebih baik dari bisnes sendiri ..”

hidupringkas.com

Bila jadi macam tu, mata mula liar pandang kawan yang buat bisnes lain. Bila tengok hanya dari seberang sungai, memang padang rumput orang nampak rata dan hijau segar. Mula lah timbul idea nak terjun pergi sebelah sana.

Macam itulah yang berlaku selalunya pada usahawan yang cuba larikan diri dari masalah dalam perniagaannnay sendiri.

Jika perasaan itu dapat dikawal dan dirantai kuat dari keluar merasuk minda usahawan, pengurusan bisnes insyaallah sedikit demi sedikit akan bertambah baik juga. Tak perlu nak cari idea bisnes lain lagi.

Bertahan bila ada idea bisnes bagus

Bisnes awal saya masa kat kampung dulu adalah jual baja. Sebelum itu ada la juga usaha lain seperti MLM, niaga di pasar malam, trading dan lain-lain bisnes kecil. Tapi tak kekal dapat bertahan lama semua usaha niaga tu. Baja saja yang nampak ada jalan dan boleh berkembang.

Banyak pengalaman awal saya dapat ketika buat semua tu. Paling besar adalah peluang menjalinkan rangkaian dengan kawan-kawan bisnes yang sangat sukses.

Selepas baja, saya cabut keluar dari kampung menuju ke Kotaraya besar ibu negara kita. Setelah berpusing ke sana sini, naik atas turun bawah, akhirnya idea bisnes dalam industri pest control jadi pilihan.

Saya bernasib baik ketika buat keputusan untuk jalankan bisnes tersebut teringat ilmu yang kawan-kawan bisnes kat kampung kongsikan. Mereka yang sukses berikan petua, kalau nak pastikan usaha bisnes berjaya, perlu degil dengan bisnes yang kita usahakan.

Maka berazamlah saya ketika awal buat bisnes tu, untuk kekal bertahan berikan tumpuan sampai bisnes tersebut stabil.

Saya tak akan cemburu dengan apa saja bisnes yang orang lain buat sekalipun nampak padang mereka sangat hebat dan subur. Biarlah mereka dengan padang mereka dan saya akan kekal bermain dan berlatih dalam padang saya sekalipun rasa punyalah buruk padang tu.

Panduan yang kawan-kawan sukses bagi kat atas tu ternyata sangat kuat memberikan kesan kepada ketahanan saya untuk terus berusaha tanpa terliur dengan bisnes orang lain.

Mula cari idea bisnes baru

Bila semuanya dah berjalan secara automatik, saya mula mencari idea-idea bisnes lain yang nak dijalankan.

Dari situ barulah saya sedar betapa sukarnya nak cari idea niaga. Cara mudah adalah dengan mendengar idea niaga orang lain.

Orang yang tengah mencari macam saya ketika itu, akan mudah menerima tawaran idea dari orang lain. Kesilapan yang saya buat ketika itu adalah melayan nafsu nak kaut untung dengan mudah sebagai sasaran utama.

Mata orang yang sedang lapar duit mungkin mudah dikesan oleh scammer yang terdesak perlukan duit. Agaknya macam itulah yang berlaku beberapa kali bila saya habiskan duit pada projek yang gagal.

Sudah tentu tak boleh nak kata orang tipu saya. Memang lumrah kehidupan begitu. Kita sendirilah yang perlu waspada dan sediakan diri dari menjadi mudah terpedaya. Ertinya sayalah yang silap dan perlu dipersalahkan dalam semua pembaziran duit dan harapan yang dah berlaku.

Hasil dari semua pengalaman itu saya belajar ilmu baru dalam bab nak cari idea kedua bisnes.

Panduannya adalah untuk tidak melayan nafsu gelojoh terhadap duit sebagai motivasi utama nak buat bisnes kedua. Sebaliknya berikan tumpuan kepada minat yang mendalam sebagai syarat paling penting.

Contohnya jika ada hamba Allah cadangkan buat bisnes Restoran Masakan Thai dengan unjuran keuntungan yang lumayan berdasarkan perkiraan dan andaian yang baik pada mata kasar. Tolak saja bulat-bulat seandainya itu bukan sesuatu yang menjadi minat anda. Habis cerita.

Biarlah hamba Allah tu nak kata apapun. Sekalipun dia yakinkan anda, dalam tempoh setahun saja boleh jadi salah seorang dari 10 orang Malaysia terkaya. Abaikan saja seandainya itu bukan minat anda.

Tak perlu risau takut terlepas peluang jadi jutawan.

Kalau nak jadi jutawan, biarlah dengan bisnes yang anda suka dan sangat bermotivasi melakukannya. Ini akan menjamin kualiti dan kemampanan bisnes anda agar tidak tergugat dek kekayaan yang dah mencukupi ada pada diri dan bisnes tersebut.

Layan minat dan buka fikiran terhadap idea

Minat dan kesukaan saya adalah membaca dan menulis.

Saya sedar perkara itu pun bukannya sejak zaman sekolah dulu. Hanya bila dah dewasa baru sedar. Itupun bila terdetik nak buat blog.

Membaca memang dah jadi amalan atas dasar keperluan ketika mula makan gaji dulu. Paksa diri tambah maklumat melalui membaca, sebab nak cepat belajar dan nak mudahkan urusan kerja. Akhirnya melekat jadi amalan biasa. Menulis saja yang tak pernah.

Bila dah mula menulis, saya sangat leka. Tak terasa masa berlalu dalam usaha untuk siapkan tulisan. Ada saja idea yang datang. Bahkan kalau tak duduk depan komputer untuk tulispun, apa saja perkara menarik yang diperhatikan mencetuskan idea untuk menulis.

Panduan dari pakar berkata apa yang saya alami itu menunjukkan bahawa itu adalah aktiviti yang membuatkan saya bahagia. Itu adalah minat dan kecintaan saya. Jadi itulah yang saya buat sebagai memenuhi aktiviti masa lapang.

Saya teruskan melayan minat tu sehingga terhasil blog hidupringkas.com ini.

Dan tak tersangka pula hasil dari minat inilah ia berkembang menjadi satu bisnes. Bisnes memberikan bimbingan perniagaan kepada usahawan kecil dan sederhana. Macam yang saya katakan tadi, bukan berorientasikan duit dan keuntungan. Tapi atas dasar minat.

Rumusan tentang idea niaga

Untk pendekkan artikel ni saya berikan rumusan berikut buat anda yang masih lagi mencari idea perniagaan untuk dijalankan.

Anda perlu tahu bahawa ada 2 kategori idea bisnes sahaja secara umumnya.

  • Idea bisnes biasa – ini semua jenis perniagaan yang anda sedang lihat ada di depan mata sejak dulu sampai sekarang. Kedai makan, kedai runcit, kedai kasut, bengkel kenderaan, gerai burger, jual pakaian, repair rumah .. tak habis kalau nak senaraikan
  • Idea bisnes baru – ini yang selalu kita dengar perkataan ‘start-up’. Ia merupakan satu idea luar biasa yang diluar kotak. Jika kena cara dan gayanya akan menjadikan anda seorang celebriti, jutawan, dipanggil ceramah, ditemuramah, dicemburui, dijadikan idola dan menjadi impian semua orang.

Bila anda terfikirkan idea niaga, biasanya idea yang kedua itulah yang menaikkan nafsu anda untuk mencuba. Tapi bila tak jelas beza antara keduanya, ramai yang sekadar buat bisnes dari kategori yang pertama saja kat atas tu.

Dia harap nak jadi macam usahawan kategori kedua dengan buat bisnes kategori pertama. Agak sukar nak menjadi kalau macam tu.

Seandainya anda sedar akan wujudnya 2 kategori di atas tu, ia dapat membantu anda terselamat dari tersasar dan hilang fokus. Paling penting ia dapat bantu anda abaikan perasaan cemburu kepada usahawan ketegori ke-2 di atas. Aman sikit hidup.

Fokus yang perlu diberikan pada anda yang buat bisnes kategori pertama adalah lengkapkan semua amalan yang dilakukan oleh semua usahawan yang berjaya dalam bisnes tersebut. Dari segi pemilihan lokasi, harga, produk dan promosi.

Dengan berbuat demikian saja anda akan dapat lihat hasilnya. Insyaallah akan ada untung untuk membolehkan bisnes itu berterusan.

Bila dah ada untung, simpan untuk keperluan masa hadapan yang tidak pasti. Dalam masa yang sama buka mata, buka telinga untuk mencari ruang yang masih kosong untuk penambah baikan.

Berfikiran terbuka untuk melihat wujudnya permintaan tetapi tiada bekalan. Masih dalam bisnes yang anda jalankan juga. Bukan pergi cari idea bisnes lain. Begitulah berterusan. Jadikan semua amalan itu sebagai budaya syarikat anda.

Tetapi jika anda memang ada satu idea niaga, atau ada produk yang luar dari biasa. yang dapat selesaikan masalah yang selama ini memang belum ada sesiapa dapat lakukannya. Itu bermakna anda dah berjaya mendapat ilham idea niaga kategori kedua.

Baguslah kalau macam tu. Mungkin anda akan jadi celebriti baru selepas ini.

Tapi ingat. Produk atau idea niaga jenis itu peratusan yang berjaya adalah sangat rendah. Saya tengok kat Amerika, data tahun 2020. Peratusan yang gagal dalam start-up adalah 90%.

Jadi bersedialah jika anda memang nak teruskan juga dengan idea start-up anda tu. Pastikan guna segenap inci bantuan yang kerajaan berikan. Jangan belasah habiskan duit sendiri sebab risikonya memang tinggi. Memang kerja kerajaan untuk pupuk suasana kemunculan start-up agar inovasi tidak terbantut di dalam negara kita demi masa hadapan yang lebih baik.

Sekian. Terima kasih! Kongsikan artikel ini jika anda rasa berguna. Kalau rasa tak berguna, abaikan saja.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Nak cari idea bisnes perlu pastikan fikiran sentiasa sedar dan terbuka terima idea

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !