Wednesday, June 30, 2021

Berjaya beli gitar dengan duit sendiri selepas tamat SPM

  Mat       Wednesday, June 30, 2021

Satu hari saya balik dari sekolah seorang diri. Jalan kaki perlahan-lahan keluar dari pintu pagar di belakang kawasan sekolah menengah. Bila sampai berhampiran kedai kecil sebelah kebun getah, timbul keinginan nak pekena laksa pulak. Saya singgah sebentar.

Di tempat duduk kedai, ada seorang abang rambut lurus panjang, mencecah bahu sedang bermain gitar seorang diri. Orangnya segak, dengan pakaian kemas dan bersih membalut tubuh yang kurus dan tinggi.

Dia orang luar. Tapi rasanya macam biasa tengok sekali sekala beli barang di pekan Penanti, antara pekan yang agak sibuk di kariah Kubang Semang ketika itu.

Sambil beli laksa, saya menjeling sikit kearahnya sambil cuba dengar lagu apa yang sedang dimainkan. Bunyi petikan iramanya lembut dan kemas. Memang sah dia pandai main gitar.

Ambil laksa, terus saya pergi duduk berhadapan meja dekat dia.

Dia angkat sedikit kepala melihat saya di depan. Satu senyuman dilemparkan dan teruskan nyanyian sambil memetik gitar.

Saya diam terpegun. Kunyah laksapun perlahan takut ganggu pendengaran.

Dia main lagu Alleycats. Tapi bukan lagu yang biasa orang lain main seperti ‘Andainya aku pergi’ atau ‘Sampaikan salam cintaku’ yang sangat top ketika itu. Dia main lagu yang jarang saya dengar.

Lagu berentak perlahan, lagu jiwang, lagu syahdu.

Lepas satu, satu lagu lagi dia main bersambung-sambung. Kesemuanya lagu Alleycats. Suaranya baik sekali dan kena dengan gaya petikan gitar yang bersahaja.

Sejak itu saya mula mengidam nak ada gitar sendiri. Itu saja caranya untuk saya jadi pandai main gitar dan menyanyi lagu Alleycats macam dia.

Selesai SPM dan beli gitar

Hasrat nak beli gitar hanya jadi hasrat saja, selagi saya tak mampu cari duit sendiri.

Kalau nak minta duit kat mak untuk beli gitar, saya yakin penyapu lidi akan singgah di muka. Nak beli beras pun menggigil, inikan pula nak beli gitar, benda tak guna tu!.

Saya pendamkan saja impian itu. Fokus dulu pada SPM biar selesai. Lagi pun bila-bila masa saja boleh singgah di pondok melepak sebelah kedai kecil tu untuk petik gitar.

Bila SPM selesai, saya mula usahakan satu bisnes yang agak baru. Tak berapa ramai yang menceburinya lagi. Bisnes jual burger.

Panjang juga proses nak membolehkan saya mula berniaga burger. Dalam keadaan sesen pun tak ada modal. Apa ada pada budak baru lepas SPM macam saya?

Sikap degil yang ada banyak membantu. Saya usahakan juga sampai dapat buka stall burger setiap petang di simpang tiga pekan penanti.

Perkataan burger pun baru, apatah lagi bisnes burger. Jadi persaingan tak berapa hebat sangat. Setiap hari saya boleh buat duit antara RM50 ke RM100 bersih setelah tolak semua kos termasuk gaji seorang pekerja. Satu jumlah yang lumayan untuk budak kampung berhingus macam saya.

Hasil dari duit berniaga burger, boleh juga saya beli sebuah gitar. Beli dengan menggunakan duit sendiri. Guitar tu merah gelap warnanya. Berkilat!. Hari-hari saya lap supaya tak berhabuk.

Dengan adanya gitar sendiri dapatlah berlatih lebih lama tak kira waktu. Cekap sikit pegang, belajar chord baru dan lancarkan kecekapan ubah chord ketika main lagu.

Walau macam manapun, belajar sendiri-sendiri macam tu, tak ada bimbingan dari mereka yang memang pakar, tak ke mana sangat.

Kemahiran bermain gitar yang mampu saya bina hanya biasa-biasa saja. Takat nak main lagu jiwang dan rock kapak secara ringkas tu boleh lah.

Pak Din Gila pinjam gitar

Belajar main gitar, sama macam belajar perkara apapun. Untuk mula bukanlah satu perkara yang sukar. Kemudian meningkat keupayaan dari zero kepada tahu sikit-sikit juga sangat mudah.

Masa yang di ambil untuk anda capai ke satu tahap sederhana ‘boleh main gitar’ tak lama.

Cabarannya adalah selepas tu.

Bila nak tambahkan lagi kemahiran dari tahu kepada separa mahir kemudiannya ke peringkat lebih mahir. Di tahap itu majoriti orang biasanya akan tewas. Sudah tidak ada lagi usaha untuk mahirkan diri.

Bukan tak mahu, tapi proses itu adalah sangat sukar. Perlu lebih teliti, lebih tinggi tahap kesedaran. Semua itu membuatkan jiwa rasa tersiksa. Dirasakan perkembangan sangaaaat perlahan. Tak ramai yang sanggup lalui cabaran itu.

Bila dah tua ni, saya baru tahu fenomena itu berlaku kepada semua orang dalam apa saja lapangan.

Paling ketara dalam dilihat pada orang yang baru dapat kerja. Perkembangan dari zero tak tahu apa-apa ketika mula kerja meningkat kepada cekap dalam masa yang sangat pantas. Setahunpun dah cukup. Anda mula cekap dengan kerja yang perlu dilakukan.

Namun selepas itu, pembelajaran dan peningkatan yang lebih baik, untuk naik ke atas lagi sudah jarang berlaku. Itulah yang terjadi kepada kebanyakkan pekerja makan gaji.

Transformasi dari awal sehingga ke satu atau dua tahun pertama adalah luar biasa 360 darjah!

Kemudian perubahan dari tahun ke-2 ke tahun ke-10 sudah tak ada. Tahap pengetahuan yang pada pada tahun ke-10 tu sama saja dengan tahap di tahun ke-2.

Maka tak hairanlah untuk dapat seorang pekerja yang baik yang sentiasa tingkatkan ilmu dan kemahirannya adalah seumpama menggali bukit untuk dapatkan intan. Sangat rare!

Dalam kes main gitar. Fenomena itu yang berlaku pada saya. Percubaan untuk jadi lebih mahir lagi selepas dah tahu main gitar dah terhenti. Apa yang saya buat adalah ulang saja apa yang dah tahu. Hanya tambah keupayaan main lagu baru sahaja.

Bila keputusan SPM keluar, saya dapat tawaran ke luar negara.

Masa sekolah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, ada beberapa orang kawan rapat satu kelas. Kami sama-sama kurang belajar dan banyak bermain bersama.

Salah seorangnya kami panggil Pak Din. Dia seorang pelajar pintar pada awalnya. Keputusan SRP nya baik. Tapi makin naik, pencapaiannya makin merosot. Saya tak pasti apa masalahnya.

Pak Din punya perangai ketara berubah bila masuk tingkatan 5. Lawan cikgu dan suka berbahas perkara pelik jadi trade mark kawan saya seorang itu. Dia macam gila-gila sikit.

Tapi pelik macam manapun dia tetap kekal jadi kawan baik.

Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur sambung belajar sebelum ke luar negara, Pak Din datang ke rumahuntuk berborak. Sebelum berpisah, dia minta nak pinjam gitar merah gelap saya. Buat kenangan sepanjang saya belajar jauh berpisah nanti, pujuknya.

Nanti bila saya habis belajar dia akan hantar balik. Itulah janjinya pada saya.

Saya setuju dan berikan gitar itu padanya. Kami berpisah lama selepas itu.

Ada cerita sedih berlaku pada Pak Din yang akan saya ceritakan dalam artikel selanjutnya nanti ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Berjaya beli gitar dengan duit sendiri selepas tamat SPM

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !