Tuesday, June 29, 2021

Kisah gitar

  Mat       Tuesday, June 29, 2021

Kisah gitar ni saya tulis sebab rasa dah jemu asyik tulis pasal bisnes dan motivasi. Tambahan pulak dalam keadaan kehidupan yang sudah tidak normal sekarang ini, nak cerita pasal buat duit dengan berniaga rasa macam tak selesa.

Ramai yang mula rasa tertekan sekarang. Salah satu cara untuk legakan diri sebentar adalah dengan melayan sedikit cerita santai.

Kisah gitar ini adalah cerita saya sendiri.

Bermulanya kisah gitar

Saya membesar kat kampung. Sejak kecil didedahkan kepada pemahaman agama secara tradisi. Atau lebih popular dipanggil Fahaman Tua. Tok Ayah pula merupakan seorang guru agama di pondok. Mengajar di masjid-masjid, dah pasti aliran yang dipegang adalah aliran tua.

Macam itulah juga ayah saya. Walaupun dia bukan jadi tok guru agama, fahaman yang dipegangnya sudah tentu sama macam pegangan ayahnya.

Jadi, alat musik yang bertali dah tentu merupakan satu larangan. Idea untuk main gitar bukanlah satu idea yang baik untuk dipertimbangkan.

Namun begitu, tak ada larangan untuk dengar lagu atau menyanyi. Cerita P Ramlee yang sarat dengan lagu merdu tetap ditunggu setiap hari jumaat malam sabtu.

Begitu juga setiap kali kenduri. Bagi yang berada, malam kendurinya mesti ada persembahan Ghazal Parti di atas pentas. Lagu-lagu rentak padang pasir jadi pilihan. Siap ada ‘darai’ gebu putih melepak melenggok atas pentas ikut irama ala arab.

Bila ada persembahan, saya tak pernah lepas untuk duduk di depan sekali. Kalau ada peluang, panjat balai tu duduk tepi ruang para darai salin pakaian mereka yang lip-lap.

Untuk belajar atau main gitar memang tak pernah terlintas dalam fikiran saya sehinggalah tamat sekolah rendah darjah 6.

Mula kenal gitar kapok

Masuk tingkatan satu, saya bersekolah di kampung saja. Tak mahu lagi teruskan persekolah di Bukit Mertajam yang makan kos perjalanan lebih tinggi.

Untuk ke sekolah menengah setiap hari saya perlu berjalan kaki rentas kampung. Melalui kebun getah yang merupakan jalan pintas ke sekolah menengah yang terletak di hujung kampung. Saya masuk ikut pintu pagar kecil di belakang sekolah.

Di pertengahan jalan, dalam kebun getah tu ada satu tempat melepak bersebelah sebuah kedai makan kecil dalam kampung.

Di tempat melepak tu ada beberapa otai kampung yang selalu berkumpul main alat musik. Ada guitar dan ada drum. Ada satu keluarga kat belakang kampung tu yang memang berkecimpung dengan kugiran.

Bila lalu di situ dan mereka sedang main, saya akan tunggu tengok untuk hiburkan diri mendengar lagu pop yeh yeh yang menjadi rentak pilihan mereka sepanjang masa.

Sejak itu, mata saya mula melekat tertarik pada gitar. Saya nampak alat musik tu sangat versatile. Boleh main sorang diri dan boleh juga main secara berkumpulan dengan alat musik lain.

Bila lalu di situ, tak ada orang, saya tengok gitar diletakkan pada meja tempat melepak kat situ. Saya beranikan diri pegang dan cuba petik gitar dalam keadaan tak tahu apa-apa.

Saya tiru macam mana mereka yang pandai main gitar buat. Jari tangan kiri tekan tali pada fret gitar dan tangan kanan hayun petik keluarkan bunyi. Masa itu saya mula dapat cam beza bunyi bergantung pada tali dan kat mana ia ditekan di fret gitar tersebut.

Setiap kali lalu ada orang main, saya perhatikan macam mana dia pegang dan lagu apa dia main. Saya mula kenal beza cara pegang di fret tu. Saya dapat tahu perbezaan rupa bentuk tekan tali pada fret tu di panggil chord.

Satu hari ketika leka cuba lembutkan jari pegang chord guitar yang ditinggalkan atas kerusi, Abang Aq muncul.

Dia ambil satu lagi gitar dan suruh saya main dan ubah hanya 2 chord saja, iaitu ‘Am’ ke kemudian ubah ke ‘D’. Setiap 2 strumming ubah chord dan begitulah seterusnya sambil dia petik irama yang biasanya orang panggil lead.

“Tangan hang lembut senang bentuk!” Abang Aq puji.

Saya senyum lebar seronok. Samada dia puji ambil hati saja atau betul, saya tak pasti. Tapi itu benar-benar membuatkan saya tak sabar tiap hari nak singgah petik gitar lagi supaya pandai main lagu sendiri.

Begitulah hari demi hari saya singgah dan main gitar kat situ setiap kali ada kesempatan bila gitar tak digunakan oleh orang lain. Saya dah mula kenal banyak chord asas. Abang Aq banyak tolong ajarkan.

Sekali sekala, bila ada orang main gitar tapi tak ada orang main drum, dia suruh saya pukul drum pulak. Saya belasah saja ikut rentak yang dia ajarkan. Sama juga, dia tetap puji kata saya memang ada bakat main musik.

Walaupun main drum memang seronok. Tapi gitar juga jadi pilihan saya. Mungkin sebab kalau nak teruskan hobi tu lebih mudah berbanding dengan main drum ang jarang ada orang main seorang diri. Lagipun saya tak akan mampu beli set drum bawa balik ke rumah. Memang sengaja nak cari nahas !.

Saya stop sini dulu. nanti sambung balik kisah gitar ni buat hiburan dan bacaan santai untuk anda ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kisah gitar

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !