Monday, June 28, 2021

Kuasai apa saja kemahiran baru - Ini adalah teknik terbaik terbukti berkesan

  Mat       Monday, June 28, 2021

Sejak dilahirkan lagi kita sebenarnya sudah dibekalkan keupayaan untuk kuasai apa saja kemahiran baru. Memang itulah uniknya manusia.

Anda sama juga macam saya, macam semua orang lain juga. Kita adalah seumpama sebuah mesin belajar berkuasa tinggi.

Kenapa perkara itu sangat penting kepada manusia terutamanya?

Sebab hanya dengan kemahiran belajar sebegitu saja yang dapat menjamin kesinambungan hidup. Terutamanya dalam urusan mencari rezki.

Dalam Al-Quran Surah ke-11, Hud-Ayat 6, anda tentu pernah baca ayat ni ..

A006
Dan tidak ada satupun makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam Kitab yang nyata

Saya pernah lihat satu video bagaimana seorang lelaki yang kudung kedua tangannya menjalani kehidupan. Subhanallah! sangat luar biasa. Tapi itu bukanlah sesuatu yang pelik. Manusia bila tiada pilihan. Untuk hidup, dia akan belajar apa saja perkara baru. Kemudian akan dapat kuasainya dengan baik tak lama selepas itu.

Keupayaan untuk belajar, sesuaikan diri untuk hidup yang ada pada makhluk itu sangat bertepatan dengan janji Allah seperti ayat di atas.

Dalam satu kajian yang saya pernah baca, mereka pakaikan kepada beberapa orang subjek, sepasang kaca mata yang membuatkan dunia dilihat terbalik. Tujuannya adalah untuk melihat berapa hari masa yang diperlukan untuk subjek suaikan diri.

Ternyata seminggu dua saja, subjek dah mula sesuaikan diri dengan keadaan bergerak melihat dunia terbalik atas ke bawah.

Semua itu adalah bukti bahawa dalam keadaan macam mana sekalipun, keupayaan untuk bergerak mencari rezki memang dah tertanam kukuh dalam makhluk yang ada di muka bumi ini. Samada pada binatang, mahupun manusia.

Dengan keupayaan akal yang Tuhan berikan pada manusia, sudah tentu ianya jauh lebih baik berbanding makhluk lain.

Semua point yang saya tulis kat atas adalah untuk berikan perspektif terhadap keupayaan anda untuk belajar dan kuasai apa saja perkara baru. Anda sebenarnya sangat mampu melakukannya.

Tak kuasai bacaan doa lepas solat

Masa sekolah rendah sampai ke menengah dulu, tiap kali selepas solat 5 waktu, doa yang saya akan baca hanyalah doa yang semua orang tahu, ‘Rob bana aa tina .. ‘

Itulah satu-satunya doa yang mudah dan pantas.

Semua ustaz kata doa tu adalah yang terbaik. Saya tak cuba untuk hafal doa lain yang lebih panjang. Lagipun, kebiasaannya saya pergi solat berjemaah di masjid. Tok Imam yang bacakan doa. Saya hanya amin-kan saja.

Selepas solat sunat yang perlu baca doa sendiri, saya minta kepada Tuhan dalam Bahasa Melayu saja. Lebih berkesan. Dapat menghayati apa yang saya minta.

Begitulah berterusan sehingga masuk tingkatan 3.

Dipaksa hafal doa solat

Ustaz yang mengajar masa tu kami panggil Ustaz Koboi. Dari mana datangnya gelaran nama tu saya sendiri tak tahu. Dah jadi popular dan semua orang tahu walaupun dia amat marah jika dengar orang panggil Ustaz Koboi. (Dia dah meninggal 3 atau 4 tahun lalu – moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya .. amiiin!)

Satu hari dia masuk kelas dan berikan tugasan untuk hafal doa. Itu akan ganti peperiksaan. Markah akan diberikan berdasarkan keupayaan menghafal dengan baik.

Dia berikan masa selama seminggu, kalau tak silap. Perlu hafal kemudian kena baca depannya seorang demi seorang.

Bab menghafal adalah satu kelemahan saya yang sangat ketara. Bukan tak ada keupayaan. Tapi lebih kepada malas nak bersusah payah. Malas nak ‘push’ kata orang kampung.

Itu memang sikap manusia.

Semua orang akan hadapi masalah sama bila masuk bab cuba kuasai perkara atau kemahiran baru. Kesanggupan untuk push itulah yang akan menentukan tahap kejayaan seseorang, sebab itu tak ramai yang maju.

Kenapa susah sangat nak push?

Dari pembacaan, saya dapat tahu memang itu sifat semula jadi manusia, semua makhluk dan semua kejadian alam. Sifat sentiasa memilih urusan yang paling kurang menggunakan tenaga adalah keupayaan semula jadi semua makhluk.

Jika ada 2 pilihan kerja yang terpaksa dilakukan, secara semula jadinya semua orang akan pilih yang paling kurang menggunakan tenaga dan usaha. Biasanya perkara sebegitu adalah sesuatu yang memang anda fasih, mahir dan telah kuasai dengan baik sejak dilahirkan.

Jika dibiarkan, tak ada perkara baru yang anda akan kuasai selain dari mana yang dah ada saja.

Itupun, semua kemahiran itu dikuasai masa sekolah, masa zaman kanak-kanak. Akibat kena paksa dan di-disiplinkan. Kalau tidak dipaksa ketika zaman tu, lagi teruk lah jadinya bila besar.

Berjaya juga kuasai doa lepas solat

Berbalik ke kisah kena paksa hafal doa tadi ..

Bila kena paksa doa dek ustaz Koboi, kalau gagal kena rotan pulak tu, maka saya tak ada pilihan selain dari berusaha menghafalnya. Macam-macam saya buat, saban hari saya pegang kertas dan hafal sebaris demi sebaris.

Adik jadi mangsa untuk duduk dan dengar hafalan saya setiap hari siang dan malam. Sehinggalah saya berupaya menghafalnya dengan fasih dan lancar.

Itulah kuasa ‘push’ yang sebenarnya, ada pada semua manusia.

Ada pada anda dan ada juga pada saya. Kalau anda mahu menggunakan kuasa itu, ia sentiasa tersedia. Boleh digunakan untuk kuasai apa saja jenis kemahiran tiada batasannya selagi ianya logik, dan mampu dicapai oleh manusia.

Tempoh masa pulak bergantung kepada tahap mana anda nak push. Ada orang lebih cepat dan ada yang lebih lambat. Tapi untuk mencapainya, semua orang mampu sahaja dengan hanya satu syarat ..

Satu syarat itu adalah, ‘jangan sesekali berputus asa’.

Hanya satu perkara yang anda perlukan untuk berjaya kuasai apa saja kemahiran .. sabar! terus mencuba jangan berhenti

hidupringkas.com

Cari jalan untuk tidak putus asa

Kalau lihat cerita saya kat atas, untuk kuasai sesuatu perkara, anda perlu cari jalan bagaimana untuk sesekali tidak putus asa berhenti berusaha dan mencuba.

Apa yang selama ini saya kongsikan dalam blog ini, semuanya adalah ke arah untuk tujuan cari jalan agar putus asa dapati dielakkan.

Bab nak jadi apa, nak kuasai apa, saya 100% yakin semua yang baca blog ni ada kemampuan tersebut.

Siapa yang tak nak pandai berniaga?, yang tak nak sihat, fit, slim dan badan sasa serta sado? yang tak nak amalkan puasa setiap hari isnin dan khamis?, yang tak nak otak bergeliga, tajam pemikiran?, yang tak nak pandai menjual?

Sepanjang hidup, saya yakin semua cubaan untuk jadi apa saja perkara baik, kuasai apa saja kemahiran baik dah pernah anda cuba.

Masalahnya cuma sekerat jalan. Malah ada yang baru nak angkat kaki mulakan langkah saja dah tak jadi teruskan. Dah berhenti. ‘Gibab’.

Antara petua yang berkesan supaya tak mudah gibab adalah dengan push pelan-pelan.

Susahkan diri sedikit saja supaya tak jemu. Jangan susah sangat sampai tersiksa. Untuk itu, anda hanya perlu sasarkan peningkatan perubahan dalam 1% saja. Sikit pun sudah memadai.

Cari kawan-kawan yang nak buat perkara sama. Sokongan dari mereka akan bantu anda untuk tidak mudah putus asa dan bersemangat kongsikan kemajuan masing-masing.

Paksa diri untuk kuasai kemahiran

Baru-baru ini, seorang kawan, Sulaiman, yang buat bisnes kedai kucing bernama Sibulus, kat Melaka kongsikan pengalamannya pada saya.

Dia ada ambil satu kursus Train the Trainer untuk melayakkan diri jadi seorang trainer yang terlatih dan berketrampilan.

Saya juga dah ambil kursus tu. Memang sangat mencabar dan sangat menyusahkan. Rasa macam lari marathon 10 ribu kilometer hadapi kursus itu selama seminggu. Belajar tanpa henti siang malam pagi petang. Penuh dengan kertas kerja yang perlu disiapkan dan teori yang perlu dikuasai.

Kesukaran makin terasa bila kursus itu dibuat secara online pulak. Pengalaman baru yang masih tidak dapat sesuaikan diri lagi.

Tak hairanlah bila masuk hari kedua, Sulaiman beritahu saya, dia memang ada niat untuk gibab. Berhenti saja tak payah nak teruskan. Apa ke hal susah sangat nak belajar jadi trainer berketrampilan nih!

Tapi dia cekalkan juga hati. Tahan dan teruskan ikutinya. Sehari demi sehari sehinggalah duduki peperiksaan dan buat pembentangan kertas kerja untuk dinilaikan.

Hasilnya, dia lulus dan dah jadi certified trainer peringkat kebangsaan!

Itulah powernya untuk terus. Jangan sesekali gibab. Push dan push keupayaan diri anda.

Berhenti juga penting untuk berjaya

Selain dari jangan mudah putus asa untuk terus kuasai kemahiran yang anda mahukan. Kemahiran untuk berhenti juga sangat penting. Saya terangkan kat bawah ni.

Jika anda fikirkan secara mendalam, kemahiran berhenti itu sebenarnya adalah sangat penting untuk berjaya.

Ramai orang berjaya peringkat tinggi sebenarnya merupakan mereka yang banyak berhenti tinggalkan usaha dari diteruskan.

Bezanya, mereka tidak berhenti semua perkara. Ada satu saja yang diberikan tumpuan. Terus diusahakan sampai ke tahap tertinggi.

Maksudnya, untuk berjaya anda perlu berhenti terus berusaha semua perkara, melainkan kemahiran yang mahu dikuasai itu. Ini dapat jimatkan banyak tenaga. Boleh digunakan untuk fokus kepada urusan pembinaan satu perkara sahaja.

Bila dah kuasai, barulah tengok urusan lain.

Ringkasnya, kalau nak kuasai apa saja kemahiran, perlu fokus sampai berjaya terlebih dahulu. Jangan cuba buat banyak perkara sangat.

Tidak fokus dan tak kemana adalah satu pengalaman yang saya alami sendiri.

Bagi yang kenali saya, tentu tahu ada banyak perkara yang saya buat. Punya beberapa syarikat sendiri, pernah buka resort, pernah terlibat dengan kilang beras, terlibat berceramah berikan training / coaching, tulis blog lebih dari satu, sertai kelab pidato, masuk persatuan, suka beli dan baca buku, berjalan sana sini, tak pernah duduk diam. Banyak sangat benda nak buat.

Hasilnya, semua yang saya buat adalah setakat suam-suam kuku saja. Tak boleh naik ketahap yang paling tinggi seperti mana yang saya idamkan.

Itulah akibatnya bila tak ada keupayaan untuk berhenti dan fokus kepada satu perkara sahaja.

Saya masih berusaha untuk cantas satu demi satu semua perkara yang saya buat yang kurang bermakna.

Tapi itu bukan perkara mudah sebab semua nya saya suka nak buat.

Doakan untuk saya semoga satu ketika nanti, dalam masa terdekat, hanya tinggal satu saja perkara yang akan diberikan sepenuh tumpuan hingga naik ke tahap paling tinggi.

Kadang-kadang saya terfikir betapa bernasib baiknya mereka yang langsung tak berusaha berikan tumpuan pada satu benda pun.

Mereka punya kelebihan untuk mula pilih hanya satu saja perkara.

Satu saja!

Dan mula buat pelan-pelan. Push perlahan-lahan ke depan. Tak ada yang nak dikejarkan. Hanya setakat tak mahu senang sangat sehingga menjemukan dan tak mahu susah sangat sehingga menyakitkan.

Bayangkan apa akan berlaku pada mereka yang sebegitu bila mula buat hanya satu perkara saja?

Mungkin anda ada kelebihan itu sekarang!

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kuasai apa saja kemahiran baru - Ini adalah teknik terbaik terbukti berkesan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !