Wednesday, July 21, 2021

Belajar main gitar semula dan apa yang saya belajar darinya tentang sukses

  Mat       Wednesday, July 21, 2021

Saya sambung semula cerita gitar .. ini kisah pertama dan ini pula kisah kedua.

Selepas berikan gitar kepada Pak Din, saya ke KL sambung belajar selama 18 bulan. Kemudian pergi ke luar negara dan duduk sana lebih kurang 5 tahun.

Masa kat KL, tak main gitar. Tak ada gitar pun. Tak ambil peduli sangat bila sibuk explore dunia serba baru. Itulah kali pertama saya keluar jauh dari kampung dalam tempoh yang lama. Semuanya adalah pengalaman baru.

Bila pergi ke Perancis, di awal tahun, untuk lepaskan rasa rindu kat kampung, kami sering berkumpul ramai-ramai. masak bersama dan makan-makan.

Ada sekali tu, cikgu yang ajar kami, masih muda, lelaki Perancis, turut sertai aktiviti kami. Salah seorang kawan, seorang perempuan beragama kristian, kebetulan dia ada beli gitar untuk aktiviti gerejanya, kami pinjam untuk berhibur ramai-ramai dalam aktiviti makan-makan tu.

Masa tu saya main lagu-lagu lama. Termasuk lagu Ebiet G Ade yang sangat saya suka. Sedap atau tidak, yang paling penting adalah hilang rasa rindu kat Malaysia. Ada lagi seorang kawan yang turut sama pandai main gitar. Yang lain pakat bubuh menyanyi saja. Asalkan ada irama.

Cikgu Perancis yang turut serta tu tunggu sampai malam. Dia duduk diam dengan riak muka terhibur. Di perhatikan saja gelagat semua budak Melayu, gelak ketawa, gotong royong dan berhibur seperti sebuah keluarga.

Sebelum balik, dia beritahu betapa seronoknya melihat bagaimana kami semua berkumpul buat aktiviti begitu. Dia rasakan satu benda yang hilang. Budaya macam itu dah tak wujud pada masyarakatnya.

Apa yang kami buat sangat ringkas, sederhana tanpa ada hiburan yang liar. Tapi semuanya berjalan dengan penuh bermakna dan menggembirakan. Orang Perancis kalau berkumpul nak berseronok, tak sah kalau tak ada aktviti liar mabuk dan menghabiskan duit.

Dari segi peningkatan dalam kebolehan main gitar, memang dah tak ada. Apa yang dah tahu, itulah kekal setakat itu saja.

Beli gitar semula

Bila balik Malaysia, sibuk pula dengan zaman cari duit. Tenggelam terus semua minat bermain gitar.

Begitulah berterusan sehinggalah dah kahwin dan ada anak 5 orang.

Bila dah masuk era dewasa, saya azam untuk buat perubahan samada amalan atau belajar perkara baru setiap 5 tahun sekali.

Itulah yang membolehkan saya buat perubahan demi perubahan pada dri secara perlahan-lahan.

Antara perubahan tersebut termasuklah bina rangkaian kawan-kawan yang berniaga dan sukses. Kemudian saya sendiri berhenti kerja, berniaga dan naik turun tenggelam timbul, jatuh bangun sampai sekarang.

Amalan bersenam, mulanya jogging, kemudian brisk walk, juga salah satu perkara yang terapkan dalam kehidupandalam tempoh tersebut dan alhamdulillah masih kekal sampai sekarang.

Kemudian saya terapkan pula amalan puasa sunat setiap hari isnin dan khamis. Sampai sekarang saya masih kekal amalkan dah lebih dari 20 tahun, tak pernah gagal.

Amalan baca tafsir dan huraian Al-Quran, dari Surah pertama sehingga ke surah ke-114. Kemudian baca pula sejarah Islam dari Zaman awal sehingga ke zaman 4 sahabat jadi khalifah, sambung lagi ke zaman Muawiyah, Abasiah dan baca dan baca. Berterusan lagi sampai sekarang membaca aliran-aliran dan pegangan yang sangat luas dan saya pasti tak akan habis sehingga saya mati.

Amalan baca buku sejarah, baca buku biografi atau memoir, pengurusan, falsafah dan itu juga masih diteruskan sampai sekarang tak habis-habis terlalu banyak. Sehingga saya terpaksa tetapkan subjek yang tertentu saja untuk diteruskan bacaan dan tinggalkan selain dari itu.

Kemudian saya mula tulis blog. Berterusan sampai sekarang masih kekal.

Saya juga masuk kelas pidato. Belajar cara berucap sebagai satu kemahiran baru yang banyak ubah kemajuan hidup saya.

Banyak kalau nak disenaraikan perubahan demi perubahan berlaku bila saya tetapkan untuk cari benda baru untuk dibuat sekurang dalam tempoh 5 tahun sekali.

Tak perlu banyak sangat. ang penting bila dah tetapkan satu perkara, ikut istiqamah dan bergerak sedikit demi sedikit biar berkekalan.

Sehinggalah saya terfikir satu hari untuk tambah satu lagi perkara baru yang tertinggal lama dahulu. Belajar main gitar semula.

Lalu saya beli Gitar Yamaha untuk budak baru belajar yang harganya dalam lingkungan 4 ratus lebih.

Mula belajar main gitar sendiri

Apa yang saya nak belajar adalah cara bermain gitar secara finger picking. Itu matlamat asasnya.

Selama ini, bila main gitar hanya dengan cara strumming saja. Kalau tengok orang yang mampu buat finger picking, saya memang rasa sangat kagum. Teringin nak buat sama tapi tak tahu cara.

Zaman sekarang. Dengan adanya youtube, semua itu adalah mudah sekali. Mahu atau tidak saja. takat nak belajar perkara asas, terlalu banyak dan ramai yang kongsikan di youtube. Buat carian, anda akan jumpa.

Itulah yang saya buat. Buka youtube. Buat carian ‘guitar finger picking for beginner’. Ikut apa yang diajarkannya.

Banyak ilham baru tentang belajar yang saya dapat bila berusaha untuk cuba kuasai kemahiran finger picking ni.

Satu perkara penting yang saya dapat dalam bab belajar ni adalah, bila nak buat sesuatu yang baru, tak perlu terlalu banyak mencari bahan. Cukup hanya satu bahan saja, ikuti satu persatu-satu dan praktis.

Samada teknik itu adalah yang terbaik atau tidak, masih tidak berapa releven bila anda belajar perkara baru. Ikut saja sebagai langkah mula.

Bila anda masih kosong ilmu, anda tak ada keupayaan untuk memilihpun. Masih zero maklumat. Hanya dengan mulakan langkah explore saja anda akan mula serap sedikit demi sedikit.

Macam itu yang saya buat. Buka satu youtube, ikut apa yang dia cadangkan untuk saya buat dan mula buat. Bertatih-tatih sehingga jadi cekap. Akan ada banyak lagi tawaran dalam youtube tu dengan dakwaan cara mereka adalah yang terbaik dan berkesan.

Abaikan saja selagi anda masih tak mampu kuasai panduan asas dan mudah yang mula anda ikut itu.

Belajar perkara baru memang susah

Apa saja perkara, bila ianya baru bagi anda, sudah tentu akan jadi sukar. Bukan sebab perkara itu sendiri sukar. Tapi lebih kepada diri anda sendiri yang buat ianya jadi sukar.

Otak anda akan cuba sedaya upaya mengelak buat perkara baru supaya anda teruskan amalan atau pegangan kebiasaan. Itu lebih mudah dan tidak banyak menggunakan tenaga.

Itu saja puncanya. Bukan sebab subjek itu susah. Otak yang cuba yakinkan anda ianya susah.

Bila terikut-ikut dengan rasa tak selesa itu, maka mula mencari dan mencari kalau-kalau ada lagi cara lain yang lebih mudah. Sedangkan yang satu itu masih tidak dimulakan lagi.

Pandangan saya jika anda nak belajar apa saja perkara baru. Pilih satu kelas asas dan ikuti saja. Jika nasib baik, anda memang jumpa guru atau cara yang memang bagus.

Yang pastinya, anda akan mula belajar banyak perkara baru seperti terma perkataan, perkara asas, dan kebiasaan paksa diri teruskan belajar sekalipun jiwa meronta nak berhenti.

Biar perlahan asal gerak ke depan

Di peringkat awal saya cuba mulakan finger picking, sentiasa saja ada bisikan susah, susah, susah.

Itu cabaran yang sangat besar otak cuba alihkan perhatian supaya anda berhenti susahkan dirinya.

Untuk hadapi masalah itu, saya akan pendekkan masa belajar sependek mungkin supaya tak terpengaruh dan akhirnya putus asa. Setiap kali emosi mula rasa terbeban, saya akan berhenti.

Esok cuba pula.

Ada kalanya nak denar apa yang dia suruh tu pun adalah satu bebanan yang besar. Bila jadi macam itu, saya hanya buka youtube dan dengar saja. Cuba faham sedikit perkara baru yang masih saya belum dapat angkap sebelumnya.

Point penting kat sini adalah untuk bina rutin waktu dan tempoh masa belajar. Biar sedikit tapi ada pergerakan baru, walaupun sekadar 1% saja, dah mencukupi.

Untuk pastikan usaha anda berkekalan, pastikan masa, tempat dan suasananya adalah sama setiap hari. Jangan ubah-ubah masa, jangan ubah lokasi atau suasana berbeza-beza. Dengan tetapkan keadaan sebegitu, anda mula membina emosi spontan kesediaan untuk belajar sedikit perkara baru.

Saya letakkan gitar pada tempat yang tetap, mudah dilihat, selesa dan tempat duduk yang sama. Bila bertubi-tubi buat perkara tersebut, emosi untuk bersedia jadi spontan setiap kali saya duduk di tempat itu, pegang gitar dan praktis.

Di pendekkan cerita, dengan buat macam tu, saya akhirnya boleh buat apa yang selama ini adalah satu hasrat sahaja. Sekarang dah jadi mudah dan jari dah mula hidup.

Makin ke depan makin sukar

Satu lagi perkara baru yang saya belajar hasil dari cuba main gitar itu adalah betapa mudahnya untuk kuasai perkara asas. Tapi untuk bergerak dari asas kepada pertengahan ia mula menjadi sukar.

Apa yang diperlukan adalah refleksi cuba memahami kenapa begitu dan begini.

Bila masuk ke peringkat itu, praktikal saja tak mencukupi. Ia perlu disusuli dnegan refleksi otak mengkaji dan cuba tangkap dan kaitkan semua perkara yang anda buat dan dengar dari penerangan mereka yang mahir.

Ulang dengar perkara sama sangat perlu ketika itu. Sebab itu orang suruh ulangkaji dan ulang kaji. Sebab mendengar penerangan sama dalam keadaan otak bergerak akan membuatkan anda tangkap perkara baru sealipun perkara sama diulang cakap oleh orang yang sama.

Saya kaitkan dengan ilmu dan kemahiran berniaga bila belajar main gitar.

Betapa pentingnya mengerakkan akal. Betapa pentingnya disiplin dan ketelitian perlu dibina sedikit demi sedikit untuk berjaya.

Tak ada jalan mudah. Tak ada jalan pintas. Terutamanya untuk anda bergerak dari pertengahan kepada kepakaran. Perjalanannya sangat panjang dan perlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Dalam semua perkara, macam itulah prosesnya.

Oleh itu, jangan lihat dan kagum dengan kemahiran. Lihat disebalik itu. Anda perlu mampu bayangkan bahawa itu adalah terjemahan disiplin, kesungguhan, perahan otak dan kesabaran yang sangat tinggi.

Samada saya akan dapat kuasai bermain gitar sampai mahir atau tidak sudah tidak penting lagi. Tapi proses belajar dan apa yang saya belajar dari proses tersebut, untuk diterapkan kepada urusan lain adalah jauh lebih penting.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Belajar main gitar semula dan apa yang saya belajar darinya tentang sukses

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !