Friday, July 30, 2021

Derma bukan tontonan - Herman Tino

  Mat       Friday, July 30, 2021

Derma bukan tontonan. Tajuk lagu Herman Tino yang popular satu ketika dahulu.

Saya suka dengar lagu tu. Rentaknya kena dan paling menarik adalah liriknya yang sangat benar.

Tajuk lagu itu muncul dalam kepala lanjutan isu yang berkisar dalam media sosial minggu ini. Bermula dari kes video yang jadi viral seorang jejaka muda yang kaya menghulurkan bantuan kepada seorang lelaki tua.

Upacara derma itu disulam dengan ceramah motivasi untuk naikkan semangat. Dah tentu matlamatnya adalah untuk timbulkan kesedaran kepada semua orang agar ambil sikap berusaha sungguh-sungguh supaya dapat keluar dari kesusahan.

Tetapi malangnya orang tua yang ambil sumbangan itu dijadikan bahan contoh.

Dalam keadaan seseorang yang sangat membutuhkan bantuan, apalah daya untuk menolak dirinya dari diperlakukan sedemikian rupa. Telan saja. Ambil sumbangan.

Itu lebih penting sekalipun menitik habis air mukanya rasa hina. Apa nak buat!.

Derma bukan tontonan

Saya lampirkan lirik lagu Herman Tino untuk direnungi kat bawah ni ..

Tangan kanan memberi
Sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan
Lakukan dalam sepi
Sematkanlah keikhlasan
Huraikanlah kebuntuan

Kerana sesuatu
Suratan kehidupan
Mengharap dan dipinta bantuan

Harta bukan milikmu
Untukmu hanya rezeki
Terkurang himpun lagi
Terlebih memberilah
Begitu lebih kurangnya
Sedikit tulisan janji

Dari isu tersebut juga saya cari ayat Al-Quran yang berkaitan dengan memberi. Dan ini yang saya temukan.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”

Al-Baqarah, ayat 264

Budaya pamerkan derma sumbangan

Secara peribadi, saya dari dulu tak suka budaya pamerkan derma dan sumbangan kepada orang yang dilanda kesusahan dalam hidup mereka.

Budaya itu makin menjadi-jadi di zaman media sosial sekarang.

Nak kritik jadi serba salah. Apatah lagi ramai yang lakukan aktiviti kebajikan tersebut adalah mereka yang sudah naik ke tahap celebriti, mengalahkan pemimpin negara.

Jadi diamkan saja.

Ada baiknya juga budaya pamerkan kebaikan secara besar-besaran begitu. Ia membuatkan lebih ramai lagi tampil ke depan usahakan aktiviti yang sama.

Saya lihat ada ahli politik muda berbangsa Cina yang usahakan konsep sama. Berikan sumbangan pada mereka yang susah. Disusuli juga dengan penceritaan hampir sama.

Senario, jumpa orang susah, muncul hero, berikan solusi dan akhirnya semua bahagia. Macam kisah-kisah filem yang selalu kita tonton.

Manusia memang dah sebati, suka dan mudah tersentuh dengan kisah-kisah sedemikian.

Dalam satu kajian yang saya baca tentang cara terbaik meraih simpati. Fokuskan hanya kepada satu orang. Buat kisah sedihnya, kesukaran hidupnya, dan pamerkan gambar-gambar keadaan orang itu. Penciptaan satu watak utama.

Taktik itu adalah sangat besar impaknya. Berbanding pamerkan sekumpulan manusia yang susah kehidupannya. Macam dalam filem, satu kampung kena tibai mati bergelimpangan tidak trajis lansung.

Segalanya mula jadi pilu hanya bila anak Ketua Kampung, Milah dipukul, dikoyak pakaiannya dan ditampar muka comelnya hingga lebam. Emak milah pula ditikam dan ayah Milah diterajang dan rumah Milah di bakar. Itu saja yang mampu naikkan kemarahan Darma, Hero filem tersebut.

Contohnya. Jika anda minta sumbangan untuk didermakan kepada rakyat sebuah negara yang kebuluran, ianya adalah lebih sukar berbanding minta derma kepada seorang individu yang ditimpa malapetaka. Derma yang fokus pada seorang individu lebih mudah, pantas dan banyak jumlah yang dapat diraih berbanding derma kepada satu populasi orang ramai. Jika dibandingkan secara per kapita.

Sebab itu kebanyakan kisah yang dipamerkan mesti diselitkan juga tumpuan pada satu susuk tubuh utama. Perlu ada satu watak individu yang dinaikkan kisahnya. Selain dari individu tersebut, adalah watak tambahan saja, yang menyerlahkan lagi penceritaan.

Maksudnya, semua proses mempamerkan amalan derma atau sumbangan sering dipaparkan selama ini, telah disusun secara terperinci dan bukan secara spontan. Semua dah dikaji terlebih dahulu untuk mendapatkan impak maksimum dari perkongsian.

Apa yang anda tonton

Setiap kali ada upacara derma atau sumbangan yang dipertontonkan, saya sering bertanya soalan itu.

Apa sebenarnya yang anda tonton?

Adakah orang yang mendapat derma tersebut. Atau orang yang memberikan derma dan sumbangan?

Bila saya tanya pada kawan-kawan, perkara pertama yang dilihat adalah pemberi derma. Alhamdulillah! bagusnya orang itu. Syurgalah balasannya. Alangkah baiknya kalau aku juga dapat buat perkara yang sama ..

Dari segi matlamat, itu adalah satu kejayaan terhadap si pemberi derma. Dapatlah dia gunakan kemahsyuran itu untuk giatkan lagi aktiviti kebajikannya.

Macam syarikat yang buat CSR.

Aktiviti CSR adalah sangat baik untuk strategi pemasaran. Menaikkan jenama syarikat dan meningkatkan lagi hasil jualan dalam perniagaan mereka. Rasa berbaloi untuk membeli produk dari syarikat sebegitu.

Syarikat akan lebih polular.

Jika individu yang buat begitu. Samalah juga. Individu dapat membina jenamanya sendiri. Tapi kesannya lebih hebat. Bila dia naik nama, semua usaha perniagaannya juga sudah tentu akan naik sama. Serampang dua mata yang sangat berkesan.

Memang baik semua itu. Jika difokuskan kepada pemberi derma.

Cuba lihat disudut penerima derma pula.

Tentu timbul rasa kasihan padanya disusuli rasa lega dia sudah dibantu. Kalau anda berada sama ketika kejadian berlaku, kerana anda salah seorang dari team yang menderma. semuanya sangat baik. Penderma akan berterima kasih tak terhingga.

Tapi jika ada satu team media yang merakamkan semua kejadian, adakah kisah yang dipamerkan kepada semua orang dalam media sosial baik untuk diri penerima derma.

Saya bayangkan jika saya penerima derma.

Habis satu Malaya melihatnya. Paling malu, jika yang melihat itu mereka yang kenali diri saya. Mana nak letak muka selepas itu?

Malu. Dah tentu rasa sangat aib. Mana ada glamour gambar sendiri jadi viral segenap ceruk sebagai menerima sumbangan derma belas ehsan orang!

Dalam kesukaran begitu, dah pasti tak ada kekuatan untuk menolak dari dirakam dan dipamerkan. Sekalipun diminta izin terlebih dahulu sebelum itu.

Kebutuhan saya terhadap bantuan membataskan diri dari menolaknya. Biarlah berkecai hancur maruah diri, terpaksa ditelan juga demi kesinambungan hidup menerima bantuan.

Itu semua adalah pendapat perbadi saya. Tidak bertujuan untuk menidakkan sumbangan dari para aktivis kebajikan. Buatlah.Teruskan lah semangat kebaikan itu untuk masyarakat.

Cuma seandainya saya ditakdirkan susah melarat satu hari nanti, saya pohon dan doakan kepada Allah, janganlah dihadirkan orang-orang yang datang memberikan sumbangan bantuan dan derma, lengkap dengan team media mereka. Membuat rakaman untuk pamerkan keadaan saya yang hina serba daif di media sosial.

Dalam keadaan sebegitu, saya khuatir tidak punya kekuatan untuk menolak bantuan kerana sangat memerlukannya. Sekalipun lumat remuk hati rasa diri dihina. Jadi bahan pameran, contoh manusia gagal yang diberi sumbangan. Kini dijadikan bahan tontonan.

Si penderma mangaut hasilnya dengan populariti berlipat ganda. Dia pulang dengan kejayaan.

Penerima derma, mendapat bantuan melepaskan keperluan hidupnya. Bukan percuma sebenarnya. Habis maruah dirinya tergadai. Sangat tinggi bayarannya! Jauhkan aku dari malapetaka itu ya Allah!

Derma bukan tontonan ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Derma bukan tontonan - Herman Tino

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !