Friday, July 2, 2021

Pak Din pulangkan balik gitar setelah bertahun pinjam

  Mat       Friday, July 2, 2021

Hari agak panas. Saya singgah masuk ke kedai kopi tepi masjid di Kubang Semang. Ada meja kosong di satu sudut yang tersorok sikit ke belakang bersebelahan tempat bancuh air. Terus duduk di situ.

Boleh nampak stesen minyak mobil kat depan seberang jalan di depan sana. Di belakang pula dinding pagar masjid. Rasa selesa duduk tersorok begitu sambil tunggu staff kedai datang ambil order minuman.

Selesai buat order, tunggu mereka hantar, letak atas meja.

Meja yang ada air, maknanya tempat duduk di situ dah ada tuan. Saya bangun ke depan. Pergi cari nasi lemak dan kuih yang disusun bertimbun atas meja panjang di tengah kedai.

Banyak perubahan berlaku sejak saya tinggalkan kampung lebih dari 8 tahun. Dulu tak ada kedai kopi tepi dinding masjid. Tak sangka akan jadi macam itu. Sambutannya luar biasa.

Kuih-muih, bungkusan nasi lemak beraneka jenis, mee, mihun dan macam-macam lagi dilonggokkan penuh atas meja. Sekejap saja, timbunan itu mula berkurangan, lalu ditambah semula naik tinggi bila masuk shif penghantaran baru. Ada lebih dari 3 shif, pertukaran dan pertambahan semua makanan akan berlaku setiap hari di kedai itu.

Selain dari makanan, air minuman, teh ais dan milo ais terutamanya, luar biasa sedap.

Masa duduk menjamah nasi lemak, saya usyar tengok budak bancuh air milo ais. Cara dia ceduk serbuk milo masukkan ke dalam gelas dah tahu memang sedap. Punyalah banyak dia bubuh. Lansung tak kedekut. Macam serbuk milo tak ada harga. Patutlah semua orang puji.

Di sapa lelaki misteri

Sedang leka bercakap sendiri dalam hati, tiba-tiba datang seorang lelaki duduk di kerusi depan meja. Dia berhadap di depan sambil merenung muka saya serius.

Saya senyum tapi dia tetap serius, tak balas.

Rasa tak selesa pula bila orang tak kenal datang buat begitu. Macam tak betul saja bisik hati kecil.

Saya buat tak tahu. Terus suap nasi lemak masuk ke mulut. Berkongsi meja di kedai makan yang sibuk begitu bukanlah perkara pelik. Saya terus bercakap dalam hati seorang diri untuk redakan perasaan curiga.

Tapi lelaki ni, walaupun masih ada banyak meja kosong, situ juga yang dipilihnya. Itu yang timbulkan sedikit tanda tanya.

“Hang kenai aku dak?”, tiba-tiba lelaki gempal tu bersuara tegas sambil matanya merenung tajam muka saya.

Puas saya cuba ingatkan. Buka habis semua fail lama yang tersimpan dalam otak, tapi masih tak dapat satupun petanda yang saya kenal dia.

“Maaf, saya tak ingat” saya berterus terang bila cubaan ingat masih gagal. Timbul rasa malu, rasa bersalah, terpaksa mengaku kalah.

Dari cara bertanya, nampak jelas yang dia kenal saya, sedangkan saya pula tak ingat lansung siapa dia. Saya harap dia maafkan dan perkenalkan dirinya untuk permudahkan urusan.

“Tak pa lah!”, jawabnya pendek, kekal dengan air muka serius, bangun dan terus pergi begitu saja.

Saya tergamam tak tau apa reaksi yang patut diberikan. Dia keluar dari kedai, ambil motosikal dan terus cabut.

Saya kaku sambil melihat dia pergi. Masih tak dapat nak ingat siapa lelaki gempal, rendah, rambut jarang yang berwajah serius tu?

Kenapa tak kenalkan diri, kenapa pergi macam tu saja?

Banyak soalan yang timbul tapi tak ada jawapan. Saya balik rumah, sampai malam masih teringat kisah di kedai tepi masjid, tapi tetap tiada jawapan.

Akhirnya semua itu berlalu begitu saja. Saya balik ke KL semula.

Orang datang rumah cari

Tak lama kemudian saya balik kampung lagi. Macam itulah ulang alik dari KL ke Pulau Pinang sangat kerap.

Pengalaman tinggalkan mak kat kampung ketika pergi ke luar negara bertahun-tahun membuatkan saya kenal erti rindu. Sebutan rindu antara dua orang tak ada beza bunyinya, tapi makna belum tentu sama. Makna setiap perkataan yang berkaitan dengan perasaan bergantung kepada pengalaman.

Rindu seorang anak kepada ibu yang lama tak jumpa tak kan sama dengan rindu anak yang duduk kat rumah saban tahun tak ke mana.

Rindu itulah yang buatkan saya, bila balik ke Malaysia, sibuk atau tidak, balik ke kampung tetap akan diusahakan juga. Mahu bersama sehari dua dengan mak kat dikampung.

Masa berbual makan malam dengan mak, dia ceritakan kisah berdebar satu hari ketika sedang berkemas di atas rumah.

Mak tinggal seorang diri semenjak adik perempuan berkahwin dan ikut suaminya. Itu juga jadi sebab kenapa saya asyik nak balik menjenguknya di kampung.

“Tengah dok berkemas, mak dengar orang bagi salam”, cerita mak dengan nada suspen. Dia bila bercerita memang kena sabar menunggu. Terlalu banyak perincian dan lakonan untuk jadikan cerita lebih real menggambarkan keadaan emosinya ketika keadaan itu berlaku.

‘Assalamualaikom!’, lelaki itu berikan salam kuat.

Mak hendap ikut tingkap dari atas. Nampak seorang lelaki sederhana tinggi di bawah depan pintu. Dari pakaian, kelihatan macam normal saja.

‘Waalaikomsalam!’, jawab mak dari tingkap atas tu sambil melihat ke bawah.

‘Cari siapa?’ sambung mak lagi.

‘Bihi ada?’ Tanya lelaki itu.

‘Dia tak ada. Tak duduk sini’, pantas saja mak jawab.

‘Kalau ada apa-apa bagi tau la. nanti makcik bagi tau kat dia’, sambung mak.

‘Tak pa, saya duduk atas katil bawah rumah ni’, jawab lelaki tu dan masuk ke bawah rumah.

Dengar itu, Mak gelabah. Tak boleh nampak dia lagi dari tingkap atas tu. Perlahan mak turun ke bawah. Mengendap dari celahan dinding. Kelihatan lelaki tu memang tak balik. Dia duduk saja atas katil lama yang memang jadi tempat bersantai kat bawah rumah tu.

Mak makin takut. Lelaki tu tak berganjak kekal di atas katil tu.

Akhirnya, mak terpaksa telefon Art Burger, kawan yang tinggal di belakang kampung. Dia dah jadi macam ketua kampung sekarang. Dah berjaya dengan perniagaan dan masuk aktif politik pula.

Saya tinggalkan pada Art stall burger ketika nak keluar kampung dulu. Masa tu dia masih ligat nakal suka main mesin kuda. Dia ambil alih semua bisnes burger saya dengan harga RM50. Itu saja jumlah duit yang dia ada ketika berbincang, dan saya terima jumlah itu. Memang niat nak serahkan padanya. Moga dia berubah.

Dari stall burger itu, dia akhirnya jadi ajen Ramli Burger paling besar di daerah itu. Bisnesnya naik tangan. Mesin kuda dah ditinggalkannya.

Mak minta tolong Art tengokkan lelaki kat bawah rumah tu.

Tak lama Art bergegas datang naik motor honda kapcai. Dia bersembang dengan lelaki itu beberapa minit. Art layan dan berikan dia RM10 suruh dia pergi makan. Dengan modal RM10 itu akhirnya lelaki itu beredar.

Begitulah cerita mak.

‘Dia ada tinggalkan sebuah gitar kat atas katil tu. Dia kata gitar tu hang punya’ sambung mak akhiri ceritanya.

‘Hang kenai ka budak tu?’ mak tanya ingin tahu.

Bila dengar semua cerita mak, saya teringat semula lelaki yang datang tegur ketika makan di kedai sebelah dinding masjid. Keterangan mak tentang lelaki tu sama saja orangnya. Bila dikaitkan dengan gitar, terus rasa nak menangis.

Pak Din rupanya!

‘Astagfirullah al ‘azimmm, Pak Din tu mak!’, perlahan saya beritahu mak. Saya juga tak tahu itu Pak Din sebelum ini.

Mak memang kenal Pak Din. Semua kawan-kawan sekolah macam anak-anak dia saja. Kami jadikan rumah tempat berkumpul pergi dan balik dari sekolah bertahun-tahun. Makan dan minum perkara biasa. Katil bawah rumah tu jadi port bersembang.

Kalau saya sendiri dah tak dapat cam Pak Din, apalah lagi Mak.

Pak Din benar-benar berubah. Nampak menakutkan. Terang mak yang dah mula menangis. Mak rasa pilu sangat, dia menyesal buat kat Pak Din macam tu. Rasa bersalah mula timbul.

Saya bagi tahu memang Pak Din pelik. Bukan salah mak layan dia macam tu. Biarlah.

Pak Din jadi gila

Pak Din sebenarnya selepas saya sambung belajar, dia terpaksa ambil SPM sekali lagi. Dia masuk Maktab Adabi di Bukit Mertajam.

Kegilaannya menjadi-jadi. Budak-budak kampung pula suka mengusiknya. Mulanya dia macam acah-acah nak pukul budak-budak yang ganggu. lama kelamaan memang betul-betul kejar dan nak pukul.

Dari kawan-kawan selepas itu saya dapat tahu yang Pak Din akhirnya dihantar masuk ke wad gila. Dia pernah susun semua tilam atas rumah kayu ibunya. Tilam buatkan orang suka tidur, jadi perlu dibakar, kata Pak Din. Nasib baik tindakan itu disedari ibunya yang lari keluar minta tolong.

Dalam keadaan yang dah kurang siuman begitu, Pak Din tetap kotakan janjinya. Kedatangannya ke rumah hari itu semata-mata nak pulangkan semula gitar yang telah dipinjam sekian lama. Barangkali dia tunggu atas katil tu dengan harapan saya akan datang. Duduk, petik gitar dan nyanyi bersama. Seperti ketika zaman kami sekolah satu ketika dahulu.

Cerita Pak Din panjang sebenarnya. Nanti ada kesempatan saya kongsikan kalau rajin. Pak Din dah pun meninggal dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Moga Allah ampuni segala dosanya.

Orang tua-tua pesan jangan ambil gambar 3 orang, nanti yang duduk tengah mati awal. Saya tak pernah percaya petua tu. Cuba teka Pak Din mana satu?

Moral dari story ni. Walaupun dah gila, janji tetap ditunaikan. Bagi anda yang masih siuman tapi mungkir janji, malulah sikit!.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Pak Din pulangkan balik gitar setelah bertahun pinjam

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !