Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, January 3, 2015

Koleksi gambar berjalan di tapak warisan dunia Pulau Pinang

  Mohd Shubhi       Saturday, January 3, 2015
Koleksi gambar berjalan di tapak warisan dunia Pulau Pinang
Pernahkan anda melawat sekitar tapak warisan dunia di Pulau Pinang?. Kalau anda orang Pulau Pinang tentu tak akan lepaskan peluang sekali sekala merayau di sekitar kawasan tersebut. Sekurang-kurangnya berjalan sambil bawa anak-anak melihat betapa menariknya bangunan lama dan segala barangan yang diniagakan di situ.

Bagi anda yang bukan anak Pulau Pinang dan tidak tinggal di negeri DAP itu, tentu teringin nak ke sana sekali sekala. Bukan semua negeri ada lokasi bersejarah yang boleh diiktiraf sebagai tapak warisan dunia. Setahu saya hanya ada dua negeri sahaja di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sama. Satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Melaka.
Secara peribadi, saya melihat ada satu persamaan antara negeri Pulau Pinang dan juga negeri Melaka ini. Kedua-duanya merupakan bandar yang ada sejarah tersendiri dan dipenuhi oleh banyak bangunan lama hasil peninggalan bangsa penjajah.

Kalau di Pulau Pinang, banyak peninggalan hasil dari penjajah berbangsa Inggeris. Di Melaka pula lebih unik kerana ada banyak bangsa yang pernah meninggalkan bekas bangunan mereka. Melaka lebih awal dimasuki oleh penjajah Eropah sebab negeri tersebut adalah pusat pelabuhan penting yang lebih awal berbanding Pulau Pinang.
Satu lagi keunikan Pulau Pinang selain daripada peninggalan bangunan penjajah berbangsa Inggeris, negeri itu juga ada sumbangan daripada para saudagar berjaya ketika zaman penjajah. Ada banyak tinggalan hasil daripada mamak atau lebih tepat lagi peninggalan orang India Muslim yang ramai berdagang dan menetap di Pulau Pinang.

Malah ada juga bangunan bercirikan Cina Muslim yang dibina oleh para usahawan atau saudagar berbangsa Cina dan beragama Islam yang menetap di Pulau Pinang. Bangunan bercirikan Melayu juga tak kurang hebatnya. 

Boleh dilihat daripada bangunan Masjid Aceh yang berada tak berapa jauh daripada Masjid Kapitan Keling. Kedua-duanya masuk dalam kawasan warisan sejarah dunia.

Koleksi gambar ini saya rakamkan ketika balik makan kenduri masa cuti sekolah baru-baru ini bersama anak-anak dan isteri. Oleh kerana dua dari tiga anak lelaki saya masuk jawi, maka mereka pakai seluar sukan yang longgar dan lembut. 

Boleh dilihat tangan mereka tak berhenti pegang bahagian seluar di depan alat sulit mereka untuk jadikan kelambu agar tak bergesel pada kesan baru masuk jawi itu. Anak lelaki ni tak kisah dengan rasa tidak selesa. Mereka sanggup hadapi semua itu asalkan peluang berjalan tidak dilepaskan. Lucu juga melihat mereka secara spontan jalan ke hulu ke hilir sambil buat kelambu pada seluar yang dipakai.

Sepanjang jalan di kawasan tapak warisan dunia itu ada banyak perniagaan menarik yang menawarkan berbagai produk yang amat menarik. Majoriti peniaga adalah terdiri daripada orang Cina. Tak ramai orang Melayu yang dapat peluang jalankan perniagaan di situ. Perkara sama saya perhatikan berlaku di tapak warisan dunia di Bandar Hilir Melaka.

Tak pasti apa alasan sebenar yang membuatkan orang Melayu terpinggir daripada mencari peluang perniagaan yang berkaitan dengan kesenian dan warisan sejarah dunia. Mungkin tak ada idea atau mungkin juga tak ada peluang dan tak dapat tapak. Rasanya kalau ada usaha dari pimpinan Melayu yang berikhtiar untuk selitkan juga sekumpulan peniaga Melayu di kawasan perniagaan di situ pasti ada yang berminat untuk mencuba.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Koleksi gambar berjalan di tapak warisan dunia Pulau Pinang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !