18 June 2025

Betulkah hanya yang tidak ada rasa takut ambil risiko sahaja akan berhenti kerja dan jadi usahawan

  Ano Nyme       18 June 2025


Saya yakin yang anda pernah terbaca atau mendengar ungkapan seperti di bawah tentang menjadi seorang usahawan.

Kalau nak jadi seorang usahawan, perlu berani ambil risiko!

Saya sering mendengarnya samada sebelum jadi usahawan dulu, mahupun sekarang. Yang cakap macam itu terdiri dari kalangan usahawan juga samada yang berjaya, mahupun yang mati segan hidup tak mahu.

Orang yang paling percaya terhadap nasihat itu adalah dari kalangan yang sampai sekarang masih menggigil takut nak berhenti kerja dan berniaga. Mungkin mereka memang takut dan mungkin juga itu dijadikan alasan untuk teruskan makan gaji.

Pengalaman ketika putuskan untuk berhenti kerja dulu, saya abaikan semua nasihat sebegitu. Risiko, tinggi atau rendah, tidak dijadikan sebagai pertimbangan. Saya lebih risau orang kritik tindakan saya itu. Paling menakutkan adalah jika orang yang saya hormat, sayang dan rapat selama ini, 'kondem' keputusan tersebut.

Uji tahap ambil risiko anda

Untuk menguji selera anda terhadap risiko, sila jawab soalan di bawah. Anda boleh memilih salah satu dari 3 pilihan yang ada seperti berikut.

Soalan:

“Bisnes mana satu yang akan anda pilih dan jalankan jika keadaannya begini .. “

  1. Peluang menjana keuntungan RM20 juta. Kebarangkalian bisnes sukses adalah 20%.
  2. Peluang menjana keuntungan RM10 juta. Kebarangkalian bisnes sukses adalah 50%.
  3. Peluang menjana keuntungan RM5 juta. Kebarangkalian bisnes sukses adalah 80%.

Sila buat pilihan anda sekarang dan catit atau simpan dulu dalam hati. Nanti saya akan berikan jawapannya di bawah.

Usahawan perlu berani ambil risiko

Berbalik kepada petua orang ramai yang usahawan perlu berani ambil risiko.

Ya! Betul!

Risiko memang terpaksa diambil bila perlu keluarkan modal, curahkan tenaga, perah otak dan korbankan masa untuk memulakan apa-apa saja idea perniagaan.

Disebabkan itulah majoriti besar orang yang dah selesa makan gaji akan kekal makan gaji sampai pencen. Walaupun dia meratib mahu berniaga dari hari pertama dia mula kerja makan gaji sehingga ke hari terakhir dia punch card kehadiran.

Sebab utama adalah, dia tak berani.

Tapi …

Adakah orang macam saya, yang akhirnya berhenti kerja juga dan berniaga, adalah lebih berani dari yang tak berhenti?

Jawapannya tidak!

Saya juga takut.

Sama seperti semua orang lain yang pernah letak jawatan dan berniaga, majoriti besarnya tak kurang perasaan takut yang mereka alami seperti mana yang anda rasa. Malah mungkin jauh lebih penakut dari anda.

Cuma yang membezakan antara usahawan yang benar-benar berhenti kerja untuk jadi usahawan sepenuh masa, dan ternyata keputusan itu adalah baik untuk dirinya adalah, bagaimana dia tangani perasaan takut itu.

Kelebihan rasa ‘takut’

Cuba tanya diri anda sekarang, kenapa perlu ada takut dan apa kegunaannya?

Ia tidak lain dan tidak bukan adalah supaya anda buat persediaan. Berhati-hati mengkaji dan buat pertimbangan baik buruk sedalam mungkin.

Ada berbagai cara untuk buat persediaan itu.

Anda boleh tanya orang, atau kawan yang lebih pandai dan ada pengalaman, masuk kelas, beli dan baca buku, buat perancangan, rangka plan A dan plan B dan lain-lain lagi seumpamanya.

Semakin banyak anda mendapatkan maklumat, semakin bersedia diri anda untuk menghadapi segala kemungkinan. Semua itu adalah persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku.

Bila tiba masanya, andapun buat juga dalam keadaan bertawakal.

Itulah gunanya ada takut. Untuk memudahkan lagi pemahaman, perumpamaannya adalah bagaimana anda masih bernyawa dan tidak dilanggar kenderaan ketika melintas jalan raya, kenapa?

Sebab adanya rasa takut itu lah.

Yang berani sangat melanggar lampu isyarat, selit kiri kanan, lumba dan memotong pakai jalan kecemasan dan sebagainya, itulah yang masuk ICU atau dah ada di alam barzakh sekarang.

Pelumba pro buat macam tu juga. Tapi jarang mereka kena hentaman yang membawa maut. Sebab adanya persediaan dan latihan untuk jadi lebih cekap dan punya keupayaan untuk ambil risiko yang sudah dipertimbang dan dikira.

Berani ambil risiko sebab dah kira

Usahawan yang sekarang berjaya cari makan. Mampu hidup dan mempertahankan bisnes mereka belasan tahun sampai sekarang berani bukan semata-mata berhati kering. Tapi mereka berani sebab buat persediaan. Orang putih kata Calculated Risk.

Saya tengok sendiri dari pergaulan sejak dulu sampai sekarang. Kawan-kawan yang hati kering berani jalankan apa saja idea bisnes tanpa buat perkiraan dan persediaan biasanya menyungkur habis duit dan buang masa.

Kawan-kawan yang diperlekeh takut dan terlalu berhati-hati, kemudian mereka berniaga. Itulah yang biasanya selamat dan melayari perjalanan dunia perniagaan mereka sampai berjaya.

Kegunaan takut itu tidak lain dan tidak bukan adalah supaya anda buat persediaan. Berhati-hati mengkaji dan buat pertimbangan sebaik mungkin.

Antara impian besar dan risiko tinggi

Berbalik kepada soalan yang saya tanya di tas tadi. Anda pilih jawapan yang mana satu?

Adakah anda buat Bisnes no 1, 2 atau 3?

Ada dua perkara utama dalam soalan di atas. Yang pertamanya adalah cita-cita atau impian besar.

Kalau berdasarkan impian besar, pilihan pertamalah yang akan dilakukan. Untung RM20 juta. Siapapun teringin pelluang sebegitu.

Jadi bagi yang jenis besar impiannya tanpa fikir panjang akan pilih pertama. Mungkin atas dorongan dan kepercayaan yang usahawan mestilah punya cita-cita besar.

Perkara kedua yang ada dalam soalan tersebut adalah berkenaan risiko.

Bagi yang penakut, tak berani ambil risiko besar, maka pilihan ke-3 adalah paling selamat. Kemungkinan untuk berjaya adalah 80%. Kalau dia cuba 10 kali, 8 ksli akan berjaya.

Usahawan yang berjaya akan pilih yang ke-3 secara semula jadi. Sebab mereka sama saja takut dengan kegagalan. Bila mereka buat keputusan, maka pertimbangan dan perkiraan yang paling selamat akan menjadi pilihan utama.

Boleh tak ambil pilihan yang pertama?

Sudah tentu boleh saja jika anda bercita-cita besar. Tapi buat persediaan, cari maklumat dan atasi masalah sehingga peratusannya untuk berjaya meningkat lagi ketahap maksimum.

Sekurang-kurangnya, dalam banyak-banyak pilihan yang ada, ianya adalah lebih rendah risikonya untuk gagal.

Point yang saya nak sampaikan kat sini adalah sentiasa ambil keutamaan kepada risiko berbanding sasaran.

Sasaran besar dan cita-cita tinggi sahaja tidak cukup untuk membuatkan orang jadi hebat. Ia perlu disertai dengan usaha mengurangkan dan mengelakkan segala risiko yang mampu menjadikan usaha anda gagal.

Adakah semua yang saya kongsikan di atas adalah pendapat peribadi saya sahaja yang tidak ada rujukan sokongan berdasarkan kajian?

Sebenarnya ini memang pendapat peribadi berdasarkan pengamatan saya sendiri. Tapi bila saya rujuk kepada buku bertajuk Originals tulisan Adam Grant, ternyata ianya telah dibuktikan oleh banyak kajian.

Nota sambungan keadaan ketika saya berhenti kerja dan berniaga …

Pertimbangan risiko ketika itu memang saya buat.

Dari segi risiko jika berlaku kegagalan, saya dah buat persediaan mental untuk atasinya. Lagipun masa saya berhenti kerja itu, masih single. Tak ada tanggungan yang membebankan sangat.

Kalau semuanya gagal, saya masih boleh hidup hanya dengan 3 atau 4 ratus sebulan.

Ertinya, semua masih dalam ruang lingkup calculated risk ..

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Betulkah hanya yang tidak ada rasa takut ambil risiko sahaja akan berhenti kerja dan jadi usahawan

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !