Bermula bulan Jun ini, saya tidak teruskan lagi menyara domain hidupringkas.com. Bermakna domain itu akan terkubur sehinggalah ada orang lain yang ambil alih dan melakukan sesuatu padanya. Masa mula adakan blog itu lama dulu, saya ingat nak kumpulkan segala idea yang terlintas berkenaan gaya hidup ringkas.
Hidup ringkas tu apa
Hidup ringkas yang saya maksudkan adalah menjalani kehidupan dengan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang perlu sahaja dan tinggalkan semua perkara selain dari itu sekalipun perkara itu baik. Bila saya terangkan pada kawan-kawan ayat tersebut, hampir semuanya merasa pelik kenapa benda baik pun kena tinggalkan juga.
Saya terangkan bukan semua benda baik itu berguna untuk semua orang. Sikat contohnya merupakan benda baik, tapi ia tidak berguna untuk saya yang sentiasa botak licinkan kepala. Jadi tak perlulah saya beli dan kumpulkan sikat. Bila terang begitu baru kawan-kawan faham.
Memang itulah cara hidup yang mahu saya amalkan sebaik mungkin. Memberikan tumpuan terhadap meringkaskan satu demi satu segala amalan, pemilikan dan lain-lain yang tidak membawa sebarang faedah buat diri saya berdasarkan matlamat hidup dan tanggung jawab saya dalam menjalani kehidupan.
Teorinya sangat mudah, tapi ternyata untuk mengamalkannya sangat susah. Tapi saya berusaha juga buat setakat termampu. Dengan usaha dan kejayaan membuang mana yang tak perlu yang sedikit itu, masih mampu jadikan saya berbeza dan pelik berbandimng kawan-kawan yang lain.
Adakah saya berjaya ringkaskan semua perkara sehingga apa yang ada, yang dilakukan sekarang hanya yang perlu sahaja?
Jawapannya tidak!, salah satu perkara yang paling ketara adalah dari segi beli barang sebab suka, bukan sebab berguna. Benda masih ada dan masih boleh digunakan, tapi disebabkan tertarik dengan design baru contohnya, maka saya tak dapat tahan diri dari membelinya juga. Selalunya alasan yang diberi adalah ..
Alaaah! benda murah kurang dari RM200, beli saja la ..
Tumpu pada jasduit.com
Terleka pula bercerita bab hidup ringkas, saya fokus semula kepada artikel ini. Selepas beberapa lama menulis idea-idea hidup ringkas dalam kehidupan di blog itu, saya secara tidak sengaja cenderung untuk menulis perkara sama dalam bab perniagaan.
Salah satu sebabnya adalah saya sendiri memang berniaga dan bila ada masalah, saya sertai seminar atau cari buku bagi menghuraikan permasalahan itu, apa yang dihidangkan oleh para sifu seminar agar meleret dan panjang lebar. Bila dah faham, saya dapati bahawa perkara itu sebenarnya mudah saja untuk diajar dan dibetulkan. Tapi sengaja dibelit-belit supaya orang rasa bodoh dan rasa perlu ikuti seminar mereka dan bayar mahal. Maka saya banyak tulis bab bisnes dan disiplinnya dengan cara hidup ringkas saya iaitu buat yang perlu saja, yang lain tu bagi orang lain buat.
Dan akhirnya blog itu menjurus jadi blog panduan pengurusan bisnes. Dari situ saya buat kursus pendek, dapat sambutan, kemudian buat program bimbingan bisnes dan dengan semua usaha itu membawa saya ke seluruh negeri di Semenanjung sehingga ke Sabah dan Sarawak. Puas berjalan dan menjejakkan kaki ke tempat yang tak pernah terfikir saya akan sampai.
Begitulah kisah blog hidup ringkas. Dan saya putuskan untuk padamkan riwayat blog itu dan beri tumpuan menulis pada blog jasduit.com ini saja. Di sini saya tulis apa saja itu asalkan ia berkisar tentang kehidupan di Malaysia atau orang Malaysia terutamanya Melayu.
Ada tulisan yang santai dan ada yang berat. Biasanya jika ada perbezaan pendapat dalam grup wasap kampung saya memang tak akan layan atau komen di grup wasap itu, tapi akan saya buat tajuk khas berkisar isu tersebut dan berbahas dengan diri saya sendiri untuk mendalami pemikiran saya sendiri. Dengan berbuat begitu, saya tak timbulkan salah faham dalam grup dan paling penting dapat hindari perbahasan tak ada guna samada menang atau kalah.
Hilangkan rasa bersalah
Kos sambung penggunaan domain tu bukanlah mahal pun, hanya dalam RM80 setahun. Kalau nak pegang lagi nama tu boleh saja. Tapi yang lebih penting, dengan tiadanya blog itu, hilang sudah rasa bersalah sebab tidak menulis artikel baru di dalamnya. Itu yang paling melegakan.
Memang hidup dengan membawa perasaan bersalah dalam diri adalah satu perkara yang sangat membebankan. Bayangkan jika anda ada berpuluh-puluh perkara yang memang nak kena buat, tapi samada masih tak dimulakan, atau dah mula tapi sekerat jalan. Hidup anda sudah tentu terbeban secara psikologi yang anda sendiri mula tak paham apa yang sebenarnya sedang terjadi. Malah ia mula memberi kesan kepada semua perkara lain yang anda sedang buat.
Tak ada berguna satu senpun menyimpan perasaan bersalah sampai masuk dalam kubur. Buat keputusan samada memang nak buat, maka buat sehingga selesa, atau putuskan saja untuk berhenti dan lupakan terus terhadapnya.
Maka itulah yang saya buat .. lega.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !