Tempoh paling selesa dalam hidup adalah ketika zaman kanak-kanak. Erti perkataan risau ketika itu langsung tak sama dengan apa yang ada dalam pemahaman sekarang. Jika membesar di dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan, anda tak akan tahu pun yang anda orang susah. Saya tak pernah ingat ada terlintas perasaan risau tak ada makanan, tak ada pakaian, tak ada itu dan ini di zaman kanak-kanak dulu.
Risau hanya ada apabila buat salah, takut-takut terbongkar diketahui ibu atau orang tua di kampung. Atau risau barang yang disayangi seperti permainan, gula-gula dan seumpamanya di kebas kawan atau hilang. Anda hanya risau kepada apa yang sudah ada dalam pemilikan, tetapi tak pernah risau pada apa yang tidak ada.
Apa yang saya faham berkenaan risau ini adalah disebabkan keupayaan manusia memahami konsep masa depan. Untuk mengetahui apa yang bakal berlaku, anda perlu ada maklumat terhadap segala kemungkinan terlebih dahulu. Jadi, apa lah sangat maklumat yang ada pada kanak-kanak selain dari dunia sekeliling nya yang masih sempit. Maka ia menghadkan perasaan risau yang timbul.
Contoh makhluk yang langsung tak ada perasaan risau adalah haiwan. Apa yang mereka ada hanya masa lalu yang meresap masuk ke naluri survival mereka untuk keperluan semasa yang juga ada pada manusia. Tetapi manusia ada tambahan, selain dari naluri survival dia juga ada naluri ke arah menjadi lebih baik pada masa depan yang tidak ada pada haiwan.
Masa depan yang lebih bagus tak ada dalam keupayaan benak haiwan. Sebab itu setelah berpuluh jutaan tahun hidup dan berevolusi, haiwan tak ada terdetik untuk buat warehouse simpan barang atau buat kilang keluarkan makanan mereka supaya tak perlu teruk-teruk merayau cari makan dalam hutan yang makin lama makin pupus.
Haiwan tidak pernah bertanya apa akan jadi esok. Mereka hanya hidup untuk hari itu. Bermula dari naiknya matahari hingga terbenam, kehidupan dilalui tanpa keluh dan kesah. Samada esok akan muncul atau tidak, tidak menjadi persoalan kehidupan yang perlu difikirkan.
Dari apa yang saya sebutkan di atas, jelas sekali risau berkait rapat dengan 2 komponen utama yang ada pada manusia. Pertama adalah kebolehan memahami konsep masa depan dan kedua adalah pengetahuan.
Oleh kerana pengetahuan akan berkembang sejak zaman kanak-kanak meningkat naik makin lama makin bertambah sehingalah ke zaman tua, maka tidak hairanlah rasa risau juga turut sama berkembang naik. Makin dewasa, makin bertambah keupayaan untuk merasa risau dengan seribu satu pengetahuan yang sudah masuk ke dalam akal anda.
Sudah tentu anda hanya risau terhadap pengetahuan kemungkinan perkara buruk yang bakal berlaku. Makin banyak pengetahuan kejadian buruk makin banyak perkara yang anda perlu risaukan. Mungkin sebab itu ada orang yang tak mahu ambil tahu perkara buruk, jadi tak banyak benda yang dia perlu risaukan.
Tetapi jika anda hanya ada pengetahuan kemungkinan perkara bagus saja, ia tidak membantu anda dalam pembelajaran membuat persediaan dalam hidup. Kerana hidup di muka bumi ini sentiasa berpasangan, baik pasangnya buruk. Hanya di akhirat saja sudah tiada pasangan sebegitu. Anda hanya bakal mendapat kebaikan 100% atau keburukan 100%. Keupayaan melalui semua cabaran baik dan buruk itu sahaja yang bakal menentukan mana satu pengakhiran anda selepas mati nanti.
Kemuncak bebanan risau
Sekarang saya dah masuk fasa tua, tapi belum lagi fasa warga emas, bebanan kerisauan terhadap hidup adalah yang paling tinggi. Bukan risau apa akan berlaku pada diri diri sendiri, tapi lebih kepada memikirkan semua beban tanggungan yang sedang dipikul. Adakah mampu teruskan perjalanan ini dalam keadaan berupaya menunaikan semua tanggung jawab yang ada.
Soalan itu sering bermain dalam kepala siang berganti malam berganti siang. Saya yakin semua lelaki yang dah mendirikan rumah tangga, dikurniakan anak-anak alami perasaan yang sama. Ada kalanya terlintas jika saya hidup seorang diri sebatang kara, mungkin tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatiri. Paling teruk pun jika terpaksa hidup di atas jalan berbumbungkan langit berlantaikan tanah, saya tak kisah untuk hadapinya. Ertinya semua kerisauan yang muncul adalah untuk pastikan semua yang mengharapkan diri ini tidak dihampakan.
Untuk tenangkan rasa risau itu, saya pujuk kepada diri sendiri bahawa rezeki, jodoh, hidup dan mati diri ini dan semua orang yang ada, Tuhan yang tentukan. Bagaimana saya yakin samada mampu untuk lalui cabaran sebatang kara hidup gelandangan adalah kerana yakin kepadaNya. Justeru itu, sepatutnya saya perlu sedar bahawa rezki anak dan isteri juga begitu keadaannya. Bukan saya yang berikan rezeki kepada mereka, bukan usaha saya yang menentukan dapat atau tidak rezeki mereka.
Jika pun saya tidak berusaha, tidak melepaskan semua keperluan mereka, akan ada saja orang lain, entiti lain, yang akan lunaskan semua keperluan itu berdasarkan apa yang telah Tuhan tentukan untuk mereka. Ertinya Segala yang saya cuba lakukan demi mereka sebenarnya adalah untuk faedah diri sendiri atas dasar mengambil peluang untuk melabur saham di sana nanti, dengan syarat saya melakukannya semata-mata atas dasar mengabdikan diri kepada Tuhan.
Demikian itu adalah apa yang saya faham dari maksud ayat Q1:5, surah Al-Fatihah. Tuhan berikan peluang di depan mata dan saya merebutnya. Ada orang yang diberi peluang, tetapi tidak mengambilnya, maka dialah yang rugi.
Ada golongan lelaki yang fikir dia yang lepaskan semua keperluan anak dan isteri. Apabila merasa keluarganya tidak hargai, maka dia kecewa dan berhenti, kononnya untuk mengajar dan membuka mata mereka betapa anak isteri memerlukan dirinya. Jika anda mahu mencuba begitu, cubalah!, lihat bahawa jika anda berhenti memberi, mereka tetap akan hidup. Bukan anda yang tentukan rezeki dan kehidupan mereka. Sekali lagi saya ingatkan diri ini bahawa anda hanya mengambil peluang melabur untuksaham akhirat yang Tuhan kurniakan dan kebaikannya kembali kepada anda sendiri.
Melabur saham akhirat
Konsep pelaburan saham akhirat banyak memberikan ketenangan dari terus diburu rasa risau. Sekurang-kurangnya meredakan perasaan takut anak isteri susah hidup mereka. Saya hanya perlu fokus kepada usaha melakukan sesuatu untuk berbakti kepada keluarga.
Tetapi ada satu lagi kerisauan yang muncul. Ia merupakan satu pertanyaan samada saya sudah melakukan yang terbaik. Biasanya keputusan samada apa yang diusahakan itu adalah baik atau tidak adalah daripada hasil yang diperolehi. Jika hasilnya baik, iaitu saya berjaya melepaskan keperluan hidup mereka, maka saya dianggap telah berusaha dengan betul. Jika sebaliknya, akan dianggap saya tidak lengkap berusaha. Itulah yang dirisaukan, jika ternyata keputusannya adalah gagal. Saya akan dipersalahkan.
Kerisauan itu amat membebankan apatah lagi saya sedar bahawa ada kalanya, malah kebanyakan dari masa, rasa putus asas, rasa ingin berehat, rasa tenaga sudah berkurangan, sering berlaku atas dasar kelemahan diri saya sendiri. Sangat susah bila urat malas, atau kata orang utara, 'urat baloq' timbul, semua itu memberikan rasa takut kegagalan bakal menimpa.
Saya meredakan diri dengan mengambil ayat Quran bahawa Tuhan tidak membebankan sesuatu yang tidak mampu kamu pikul. Adakah rasa malas, rasa sudah tiada tenaga, rasa mahu berehat boleh dijadikan alasan yang ia termasuk dalam lingkungan perkara yang kamu tak dapat pikul?
Persoalan sebegitu sentiasa membuatkan perasaan jadi kusut di dalam kepala. Saya tak ada jawapannya sampai sekarang. Ada masanya semua itu membuatkan saya ingin menyendiri, tak tahu di mana tempat boleh mengadu. Apatah lagi jika melihat anak-anak dan isteri sentiasa inginkan kebahagiaan dan amat membenci kesukaran hidup sedangkan diri ini sentiasa berperang dengan perasaan.
Masa terus berlalu, kubur sedang menunggu, hanya doa jadi sandaran bagi melepaskan kerisauan. Saya sering berdoa begini setiap kali selesai solat:
Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengabdikan diri, dan hanya kepadaMu aku minta pertolongan, tolong lah aku menjana pendapatan yang mencukupi untuk aku menyara kehidupan ku sendiri dan seluruh keluarga aku.
Moga doa itu mustajab.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !