Anda tentu pernah dengar tentang zaman gelap atau dalam Bahasa Inggeris, disebut 'Dark Age' di mana ia dikaitkan dengan cabaran kehidupan yang amat sukar buat mereka yang percaya kepada Tuhan dan hari pengadilan. Perkataan popular yang saya sering dengar sejak kecil lagi adalah 'akhir zaman' dengan kemunculan Imam Mahdi dan turunnya semula Nabi Isa.
Manusia yang hidup di akhir zaman punyai tahap moral dan tahap kerohanian yang paling teruk berbanding zaman-zaman yang ada sebelumnya. Makin jauh zaman itu bergerak menuju ke akhir makin teruk keadaan dan perangai manusia.
Gambaran akhir zaman berbeza-beza mengikut kepercayaan masyarakat dan dari sudut mana anda melihat situasinya. Bagi orang yang fokus kepada ilmu dan kebijaksanaan, maka zaman gelap baginya adalah zaman munculnya kebodohan dan kejahilan. Bagi anda yang fokus kepada agama, maka tumpuannya sudah tentu terhadap moral dan amalan manusia di zaman itu yang diramalkan makin rosak berdasarkan takrifan buruk dan baik dalam kepercayaannya.
Akhir zaman bagi umat Islam ada versinya yang tersendiri. Umat Islam percaya ada tanda-tanda kecil dan kemudian diikuti tanda-tanda besar yang berlaku memberi tanda akan berakhirnya dunia ini. Jika anda rajin mencari, banyak buku-buku yang memberikan maklumat yang sangat jelas tentang semua tanda-tanda tersebut, diambil berdasarkan hadis-hadis dan kata-kata alim ulama. Di kemuncak kerosakan kemudiannya akan diselamatkan oleh Imam Mahdi dan Nabi Isa. Dunia aman dan manusia hidup penuh berakhlak semula sebelum segala-galanya, seluruh alam semesta dihancurkan. Walau bagaimanapun, semua maklumat berkenaan Al-Mahdi, turun semula Nabi Isa dan sebagainya itu tidak ada disebut di dalam Al-Quran di mana kiamat diberitahu oleh Tuhan, ia akan datang secara tiba-tiba. Dan nabi disuruh katakan kepada umatnya bahawa dia sendiri tidak tahu bila tibanya kiamat.
Hindu juga punya kepercayaan yang sama terhadap konsep akhir zaman yang mereka sebut sebagai Kali Yuga. yang merupakan bahagian akhir daripada 4 zaman berikut, Satya Yuga, Treta Yuga, Dvapara Yuga, dan akhir sekali Kali Yuga. Manusia yang hidup dalam tempoh Kali Yuga teruk dari segi moral dan kerohanian mereka. Dalam kepercayaan Hindu, kita sedang berada di permulaan Kali Yuga yang sudah bermula sejak 5,126 tahun yang lalu. Zaman Kali Yuga akan berterusan dalam tempoh 432,000 tahun. Maknanya, masih ada lagi 426,874 tahun sebelum ia berakhir. Kalau ikut kiraan tahun ini 2025, maka akhirnya tempoh Kali Yuga akan berlaku pada tahun 428,899 CE. Di hujung Kali Yoga, manusia berada pada tahap maksimum teruknya moral dan spiritual, akan muncul Kalkin untuk hapuskan segala kerosakkan dan menjadikan keadaan aman dan manusia pulih semula moral dan spiritual sepenuhnya.
Nampak ada persamaan antara apa yang saya dapat sejak kecil dulu dengan kepercayaan Hindu di atas, begitu juga dalam kepercayaan Buddha, Sikh dan seumpamanya, dari segi jalan ceritanya. Cuma watak dan senario sahaja yang berbeza.
Zaman paling teruk
Macam mana jalan ceritanya yang sebenar, masing-masing punya kepercayaan lah. Apa yang saya nak fokus di sini adalah berkenaan pastinya nasib saya dan anda yang sedang membaca ini yang sedang berada dalam zaman yang sangat teruk. Samada fokus anda adalah terhadap intelektual atau moral dari segi agama, kesemuanya sedang bergabung menuju ke arah paling teruk yang tak dapat dibayangkan.
Dari segi intelektual, anda mungkin rasa manusia makin bijak jika anda kaitkan teknologi dan kemajuan sebagai penanda aras kebijaksanaan. Tapi hakikatnya, secara umum keupayaan manusia berfikir makin rosak, keupayaan memberi tumpuan dan membuat refleksi secara bijaksana makin parah. Daya intelektual individu sebenarnya dikawal oleh kemajuan dan teknologi yang ada sekarang.
Anda boleh mula runtuhkan institusi keluarga hanya dengan media sosial dan runtuhkan masyarakat dengan kebendaan dan kemajuan. Aktiviti pemasaran dapat mengubah segala persepsi manusia secara besaran-besaran di seluruh dunia. Anda boleh menjual beg tangan yang kos pembuatannya hanya RM100 seunit dengan harga berpuluh-puluh ribu dengan teknologi atau teknik pemasaran yang berkesan. Khairul Aming boleh jadikan bekalan halia di seluruh Malaysia berkurangan hanya dengan buat posting masakan halia secara konsisten seminggu sahaja. Begitulah tahap keupayaan berfikir manusia yang seperti lalang.
Untuk melihat keadaan moral pula anda hanya perlu rujuk dalam Al-Quran, apa yang telah berlaku pada umat-umat sebelum ini di kala Tuhan mengutuskan Rasul kepada mereka. Anda akan dapati semua sikap melampau yang manusia dahulu amalkan. Didahului tahap paling teruk yang dibuat oleh Firaun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan, tahap paling brutal yang manusia boleh buat. Sebab itu nama Firaun diulang sebut sampai 46 kali dalam Al-Quran jumlah nama ke-2 terbanyak selepas nama Nabi Musa sebanyak 106 kali.
Di zaman Firaun dia menggunakan segala sihir dan tipu daya yang ada untuk meletakkan dirinya sebagai Tuhan supaya manusia terpedaya dan kekal taat padanya. Anda boleh samakan saja sihir dan tipu daya yang Firaun pakai dengan propaganda, TV, Panggung Filem, media massa, media sosial, ideologi, sistem pemerintahan, sistem pengukuran prestasi ekonomi dan seribu satu macam lagi yang manusia moden gunakan sekarang untuk membina ketaatan manusia pada sistem atau kerajaan tempatan dan antarabangsa.
Firaun gunakan sihir dan tipu daya untuk kekal berkuasa, manakala golongan kaya dan penguasa elite dunia sekarang gunakan semua teknologi yang ada berfungsi sama seperti sihir untuk membuatkan manusia melihat apa yang mereka mahu manusia lihat. Konsepnya sama saja, melahirkan ilusi agar manusia tertipu dengan agenda jahat mereka untuk kekal kaya dan berkuasa. Konsepnya atau jalan ceritanya sama, cuma alatnya saja berubah.
Zaman dulu ada umat yang menipu dalam aktiviti jual beli dengan tipuan timbangan. Ada umat yang berlaku kejam terhadap haiwan peliharaan, unta. Ada umat yang berkelakuan tidak normal dalam aktiviti intim sesama sejenis. Ada umat yang membuat binaan tempat tinggal kukuh dengan memahat rumah daripada bukit dan gunung dan merasakan ia sangat kuat tahan segala bala bencana. Ada umat yang membunuh utusan Tuhan yang menyeru kepada kebenaran. Ada umat yang menyembah berhala samada fizikal atau spritual. Ada umat yang menggunakan sihir bagi merosakkan hubungan suami dan isteri.
Umat zaman dahulu melakukan setiap kerosakan itu hanya pada umat dan tempat pada zamannya sahaja. Tapi semua yang ada pada umat berbeza zaman dahulu sekarang berkumpul pada satu umat seluruh dunia secara global. Aktiviti jual beli sekarang bertumpu pada produk yang sengaja dicipta supaya tidak bertahan lama dan mengikat kebergantungan anda kepada segala ciptaan tersebut sampai mati. Untuk bekalan makanan protein manusia, haiwa dipelihara dan diperlakukan dengan kejam hingga hilang sifat asal haiwan itu sendiri ayam, lembu dan peliharaan lain dibela secara tidak normal dari awal sehingga akhir riwayatnya sebelum masuk ke perut manusia. Binaan hebat-hebat naik diseluruh muka bumi kejar mengejar dan didewa-dewakan. Mereka yang menyuarakan dan mengajak kepada kebenaran ditangkap dikurung atau dihapuskan. Kerajaan, organisasi, ideologi dijadikan tempat bergantung, tempat menyerahkan jiwa dan raga. Perjuangan hak sama rata antara lelaki dan wanita, LGBTQ dan seribu satu kebatilan lagi berlaku secara terang di atas muka bumi sekarang.
Bandingkan apa yang saya senaraikan di zaman ini dengan apa yang ada di sebut dalam Al-Quran di zaman dahulu. Konsep dan jalan ceritanya sama, hanya teknik saja yang berbeza. Samada anda terjebak dalam salah satu dari malapetaka yang ada atau anda mungkin terjebak lebih dari satu bencana yang ada sekarang. Majoriti besar manusia dijadikan sumber ternakan bagi pengeluaran hamba. Dulu hamba diburu atau ditawan dalam perang. Tapi sekarang hamba diternak untuk berakhir dengan menjadi hamba kerja kepada tuannya tanpa sedikitpun disedari oleh kebanyakan manusia.
Saya yakin anda tentu naik marah jika saya katakan anda juga merupakan salah seorang dari hasil produksi pengeluaran hamba. Anda rasa masuk sekolah, masuk universiti adalah untuk ilmu, tapi hakikatnya anda mungkin tak sedar pusat pengajian itu semua adalah pusat penternakan hamba kerja dan bukan pusat membentuk akal manusia bersih dan kemampuan berfikir secara murni. Jika anda marah dengan kenyataan itu, dan saya yakin anda ada hujah untuk meyakinkan diri bahawa itu semua betul, jelas anda tidak sedar hakikat apa yang berlaku.
Saya bercakap dalam ertikata umum. Sudah tentu ada kes istimewa yang terpencil berlaku tidak sebagaimana ringkasan umum yang saya sebut di atas. Point penting yang mahu saya ketengahkan adalah cabaran yang manusia akhir zaman hadapi dalam mengekalkan dirinya tunduk patuh hanya kepada Tuhan (muslim) adalah yang paling hebat dalam sejarah kemanusiaan.
Panduan untuk selamat
Untuk selamatkan diri anda dari segala cabaran yang saya sebut di atas adalah hampir mustahil melainkan anda mendapat bimbingan dan petunjuk dari Tuhan. Dan berita baiknya adalah memang Tuhan sudah berikan panduan untuk itu secara lengkap di dalam Al-Quran.
Apa yang anda perlu lakukan sekarang untuk hidup selamat adalah pertamanya dengan memberi tumpuan terhadap menjadikan akal anda secerah kristal dalam berfikir. Kerana tanpa keupayaan tinggi untuk menggunakan segala deria anda melalui kecerahan hati bakal membuatkan anda hidup dalam ilusi dengan dunia yang tidak betul sekarang.
Al-Quran mengajak manusia benar-benar membersihkan dirinya secara fizikal dan spiritual dengan amalan yang sangat mudah tetapi memerlukan keazaman yang besar untuk mampu melaksanakannya. Proses mencerahkan akal yang sangat berkesan boleh dilakukan dengan berpuasa. Itu merupakan amalan yang disuruh oleh Tuhan kepada semua umat yang terdahulu. Sebab itu anda boleh lihat semua agama yang ada di dunia ini ada konsep puasa.
Puasa dapat membersihkan diri anda luar dan dalam, fizikal dan spiritual. Dengan puasa tubuh badan anda sehat seterusnya membawa kepada akal yang cerah. Bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum, walaupun jika anda buat itu saja, manfaatnya tetap sudah besar, anda juga perlu menahan segala deria dari disalah gunakan. Mata, mulut, telinga, kemaluan dan sebagainya juga perlu berpuasa untuk mendapatkan kebaikan spiritual dan seterusnya membantu anda berfikir secara baik, jelas dan membuat keputusan yang terbaik dalam menjalani kehidupan.
Saya yakin anda sudah biasa mendengar semua yang saya sebutkan di atas tadi sejak kecil lagi, tapi masih tidak diberikan perhatian yang serius untuk mengamalkannya. Segala amalan yang dilakukan selama ini sudah berubah menjadi sekadar amalan kebiasaan dan kebudayaan sahaja tanpa benar-benar dihayati.
Al-Quran dibaca tanpa sedikitpun terdetik untuk didalami maknanya sejak kecil sampai dewasa sedangkan tidak ada apa-apa buku panduan yang mampu berikan manfaat kepada anda jika dibaca dengan berlagu sahaja tanpa menghayati makna yang mahu disampaikan. Bayangkan anda beli mesin basuh yang baru pertama kali ada di pasaran dan disertakan buku manual untuk anda jadikan panduan bagaimana menggunakannya. Jika anda buka buku manual itu dan membacanya dengan sebutan yang betul, berlagu dengan merdu, tapi langsung tak ambil peduli isi kandungan segala arahannya. Sudah tentu anda tak akan mampu menggunakan mesin basuh itu. Dan kalau digunakan juga anda hanya akan merosakkan mesin tu sahaja.
Kemajuan teknologi yang ada sekarang datang dengan pasangan baik dan buruk. Teknologi yang ada sekarang yang akan merosakkan anda jika tidak digunakan dengan betul, dia juga dapat anda gunakan untuk selamatkan diri anda dari kerosakkan. Internet, terjemahan, AI dan sebagainya boleh digunakan untuk anda memahami Al-Quran sekalipun anda tidak tahu Bahasa Arab. Kemudahan itu tidak ada pada Tok Nenek manusia dahulu, tetapi anda ada akses terhadapnya. Maka gunakan dengan betul. Tak perlu risau tersesat jika anda lakukan segala amalan bersihkan tubuh badan dan minda yang Tuhan ajarkan dalam Al-Quran kerana Tuhan sebut dalamnya Dia lah yang akan membimbing anda, maka mintalah kepadaNya.
Anda dah tahu hampir semua perkara yang dapat membersihkan diri selama ini seperti jauhi hubungan kelamin luar nikah, jauhi hubungan lelaki dengan lelaki, jaga makanan yang anda bawa masuk ke dalam perut, berpuasa, meminta hanya kepadaNya, serahkan diri sepenuhnya kepadaNya dan lain-lain lagi. Semuanya ringkas sahaja, tapi jika anda benar-bear melakukannya, anda akan mampu membezakan antara sampah dan bahan berguna di dunia digital dan fizikal. Bermulalah dari sekarang sebelum anda terus hanyut tenggelam dalam ilusi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !