Bulan puasa baru-baru ini, saya dikejutkan dengan berita anak saudara hancur tapak tangan terkena mercun. Budak malang itu cuba menjadi kreatif dengan menguraikan semua belerang yang ada dalam beberapa biji mercun bola. Kemudian semua belerang itu disumbat masuk ke dalam lubang tempat palang besi untuk pasang net gelanggang sepak takraw.
Kalau anda biasa dengan gelanggang sepak takraw atau gelanggang badminton, anda tentu tahu yang palang besi tempat pasang net itu boleh di cabut dan disimpan. Kalau nak main baru ambil besi itu dan cucuk semula. Lebih selamat buat begitu sebab ada orang yang pantang lihat benda yang boleh dijual, mereka akan ambil dan jual di kedai barang lusuh.
Lubang itu lah yang menimbulkan idea kreatif budak malang itu dan 3 orang lagi kawannya. Bunyi sebiji mercun bola yang bagi saya sudah cukup menyakitkan hati dek terlalu kuat itu rupanya masih belum cukup bagi mereka, nak lebih kuat. Ada keupayaan berfikir secara logik linear di situ. Ertinya mereka bukannya bodoh sangat. Logiknya, jika sebiji mercun bola sudah kuat, jika digabungkan kepada 4 biji, sudah pastinya akan jadi 4 kali lebih kuat. Mereka pun dengan gigih buat projek kreatif tersebut.
Bila semua belerang dah disumbat penuh masuk ke dalam lubang simen itu, sekarang tiba masanya untuk cucuh dan dengar dentumannya. Budak malang itu diberi keistimewaan, atau mungkin juga kawan-kawannya yang lain ada keupayaan berfikir bahawa mencucuh bahan yang dah jadi besar seperti bom itu adalah merbahaya. Mungkin nak tunjuk berani, atau mungkin juga terlalu naif, dia hanya gunakan pemetik api di tangannya untuk menyalakan api. Tak perlu tunggu untuk api menyala, hanya percikan api saja sudah mencukupi untuk bermulanya satu kenangan sedih yang bakal dikenang dan dibawa sampai mati berlaku malam itu.
Ketika berbuka puasa bersama semua anak-anak saya selepas itu, saya ajukan soalan kepada ketiga-tiga anak lelaki saya samada mereka tahu atau tidak bahawa apa yang dilakukan oleh sepupu mereka itu adalah perbuatan yang amat bahaya?
Sudah tentu jawapan mereka semua adalah YA!.
Untuk tegaskan lagi kenapa itu sangat bahaya saya terangkan konsep tekanan dan letupan yang menghancurkan bahan pepejal yang melitupi bahan api tersebut. Percikan bahan pejal samada besi atau kerikil pasir dari simen itulah yang mampu merobek isi daging manusia. Sama macam bom atau periuk api. Belerang itu jika dibakar secara terbuka tanpa dilitupi apa-apa bahan keras akan jadi seperti bunga api sahaja.
Saya tanya mereka apakah cara yang betul untuk menyalakan mercun yang sudah diubah jadi seperti bom itu. Mereka semua menjawab dengan betul, buatlah apa cara pun asalkan perlu berada jauh dari bahan tersebut.
Saya tak pasti samada apa yang anak-anak saya faham berpunca dari peristiwa tersebut atau mereka memang sudah tahu lama sebelum dari kejadian itu lagi. Salah seorang anak saya berkata yang sepupunya itu memang tidak tahu bahawa benda itu amat bahaya. Dia bertanyakan soalan tersebut kepada sepupunya selepas kejadian.
Memahami risiko
Masa menunggu SPM dulu, ketika umur saya sama dengan anak saudara saya di atas, saya cari duit dengan menjual burger di pekan setiap malam. Setiap malam kawan-kawan datang melepak menemani saya menjual burger.
Satu malam salah seorang dari kawan kami yang sedang duduk atas motosikal, RXS kalau saya tak silap, membuka penutup tangki minyak motosikal tersebut. Dia kemudian menggoyang-goyangkan motosikal itu, saya rasa dia nak agak samada tangki itu ada petrol atau tidak. Kemudian dia dengan selamba seluk poket, keluarkan pemetik api dan dekatkan dengan bukaan tangki minyak yang terdedah itu dan mula nak petik .. saya kibas pemetik api dari tangannya dengan pantas untuk menghalang dia buat kerja gila begitu.
Saya tanya dia nak buat apa?
Dia kata nak tengok ada minyak ke tak di dalam tangki itu, keadaan gelap tak nampak, jadi dia mahu nyalakan api supaya cerah dan boleh nampak apa ada di dalam tangki itu.
Kawan saya itu gila-gila sikit, kami semua tahu keupayaannya berfikir adalah lemah, jadi apa yang kami mampu hanyalah ketawa dan bagi tau dia boleh petupkan tangki minyak motosikal itu kalau saya tak pantas menghalannya.
Saya teringat kejadian itu lanjutan dari apa yang berlaku kepada anak saudara di atas tadi. Ketika umur yang sama saya dan semua kawan-kawan lain ketika itu sudah memahami risiko terhadap aktiviti-aktiviti yang mampu mendatangkan bahaya. Kami juga main meriam besi ketika itu, meletupkan bahan kabat yang dicampur air di dalam meriam beli yang kami buat dari palang pintu besi pintu sekolah yang kami cabut.
Masa itu juga cara fikir kami sama. Letupan kuat adalah satu keseronokkan. Biat semua kampung jiran mampu dengan dentuman puaka dari meriam besi kami. Biar semua orang tahu kami dah up-grade dari meriam buluh kepada besi.
Tapi kami semua sedar bahawa permainan itu adalah bahaya. Untuk cucuh api pada lubang kecil meriam besi itu, kami pakai batang buluh panjang supaya tidak berada dekat dengan meriam besi tersebut. Walaupun jarang berlaku, tapi membayangkan jika besi itu tiba-tiba meletus pecah berantakan membuatkan kami faham risiko terburuk yang mampu berlaku.
Biarlah orang kata penakut, tak kisah. Tak ada gunanya menjadi berani yang risikonya mampu membawa kecederaan atau kecacatan anggota atau paling teruk kematian. Itu bukan berani namanya, tetapi bodoh.
Sebenarnya, kefahaman kepada perkara bahaya sebegitu kami sudah tahu sejak dibangku sekolah rendah lagi. Saya terfikir mungkin pendedahan kami kepada perkara asas di zaman dahulu adalah jauh lebih luas dari kanak-kanak sekarang. Menonton cerita Combat di TV saja sudah banyak yang kami belajar. Apatah lagi keesokkan harinya kami melakonkan semula setiap wabak perang yang ditonton itu di dalam belukar di kampung.
Banyak permainan ketika zaman itu terpaksa direka sendiri. Tiada mainan mudah yang boleh terus berseronok. Semuanya terpaksa didahului oleh kepenatan dan kerja kuat untuk membina segala-galanya sendiri. Jadi banyak perkara asas kemahiran hidup yang kami dapat sejak darjah satu lagi di kampung dulu. Mungkin perkara itu semakin pupus dan tidak dilalui lagi oleh kanak-kanak sekarang. Semua mudah dan tidak perlu kemahiran asas.
Saya bagi contoh mudah yang saya lihat sendiri. Bagaimana anak-anak muda bandar sekarang nak nyalakan unggun api atau nak buat dapur dari kayu api secara manual dan untuk nyalakan pun mereka terkial-kial tak ada idea.
Keupayaan berfikir dan menggunakan logik asas kanak-kanak zaman dahulu adalah jauh berbeza berbanding kanak-kanak zaman sekarang. Keupayaan berinteraksi dalam perhubungan sosial mereka juga lemah. Anak muda sekarang dengan selamba memanggil orang tua dengan panggilan atok sedangkan orang tua itu sama saja dengan umur ayahnya.
Zaman saya dahulu semua orang tua kami panggil samada abang atau pakcik. Panggilan atok amat jarang disebut kecuali kepada orang yang benar-benar tua yang biasa mungkin ada seorang sahaja di satu kampung yang besar.
Bercakap kasar dan melawak biadab dengan orang tua juga berleluasa berlaku sekarang. Media sosial menggalakkan lagi semua kejadian biadab itu berlaku. Ia disemarakkan lagi oleh pertelingkahan fahaman parti politik yang hampir 99% berlaku dimedia sosial. Orang tua yang dari parti yang berbeza dimaki hamun oleh anak muda hanya disebabkan fahaman yang tak sama. Tengok komen terhadap Tun M di media sosial, banyak yang saya sendiri tak sanggup membacanya. Tapi selamba saja mereka melepaskan sifat biadap yang ada dalam diri mereka itu.
Dari semua pemerhatian dan kejadian, satu perkara yang pasti adalah keupayaan manusia untuk berfikir secara logik, beretika, kritikal dan seumpamanya adalah semakin hilang. Makin lemah keupayaan berfikir, makin mudah manusia dikawal. Itulah hasil dari segala kemodenan yang ada sekarang. Segala-galanya direka ke arah memudahkan pemerintah di atas sana mengawal semua manusia dibawah kawalannya. Wallahu'alam.

No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !