29 January 2026

Pengalaman bersiaran terus dari aplikasi TikTok macam ada siaran TV sendiri

  Ano Nyme       29 January 2026


Jumlah pengguna TikTok di negara kita setakat tahun 2025 adalah lebih dari 28 juta orang, mewakili lebih dari 80% jumlah rakyat Malaysia dewasa sekarang. Itu satu jumlah yang sangat besar, menjadikan TikTok sebagai medium media sosial No. 1 di negara kita.

Untuk tidak ketinggalan, saya juga buka akaun dan cuba melalui pengalaman sebagai salah seorang dari penggunanya. Paling banyak masa di habiskan di situ adalah sebagai hiburan. Anda boleh tengok sendiri segala isi kandung mereka yang aktif di TT menjurus ke arah hiburan.

Apa saja topik yang diutarakan, samada ke arah politik atau agama, ia tak lari dari hiburan. Anda mungkin buat content politik, atau ada niat memberikan kesedaran terhadap agama, tapi mereka yang layan posting anda hampir semuanya mencari hiburan. Mungkin untuk melegakan hati yang lara, bila kata-kata nasihat keagamaan anda itu dapat melegakan perasaannya yang sedang berserabut, lalu dia layan kata-kata itu, like, repost atau share dan sebagainya. Sebab itu saya kata semuanya adalah untuk hiburan.

Menuntut ilmu di TikTok

Bolehkah anda menuntut ilmu hanya di TokTok?

Mungkin itu alasan yang diberikan untuk buatkan jiwa merasa tenang sikit bila timbul perasaan bersalah kerana setiap hari masa dihabiskan 4 ke 5 jam melayari skrin TT.

Bagi saya, jawapannya adalah tak boleh. Sebagai pencetus idea, pendorong ke arah mendalami ilmu, mungkin boleh. Dengan syarat apabila kesedaran timbul, anda ambil langkah mencari dan kumpulkan maklumat yang lebih terperinci dari sumber-sumber lain seperti buku, cikgu, pusat pengajian dan sebagainya.

Tak ada ilmu yang anda dapat kuasai hanya dengan menonton secara rawak 1001 maklumat yang berdurasi selama 2 ke 3 minit bertubi-tubi. Bukan begitu caranya menuntut ilmu, tiada disiplin, tiada proses memberi tumpuan, tiada proses engagement berlaku dalam akal dan kesedaran minda.

Ambil saja contoh ilmu kalkulus. Kalau anda harap dapat kuasainya hanya melalui medium TT atau lain-lain media sosial, itu hanya mimpi di siang hari.

Apa yang ramai orang tertipu adalah, merasakan dia sudah luangkan masa untuk belajar ilmu baru apabila habiskan saban hari senggangnya dengan terkebil-kebil di TT. Bagi yang ada kecenderungan ke arah agama pula, rasa pahala memenuhi dadanya, bila mendengar cebisan nasihat agama, atau kata-kata penawar hati dari rakaman kuliah ustaz selebriti. 

Pahala bertingkat naik ke kepalanya lebih banyak lagi apabila dia dengan penuh tawaduk kongsikan posting itu di semua grup wasap yang ada di dalam telefon pintarnya. Itu akan menjadi bekal bagi menuntut ganjarannya dari Tuhan di padang mahsyar nanti. Dengan keyakinan itu lah anda akan dapat lihat ada ahli grup wasap yang habiskan masanya kongsi tanpa henti vtt tentang keagamaan.

Hakikatnya, anda tak dapat kuasai apa-apa ilmu dari TT selain dari membentuk satu ketagihan menghabiskan masa dengan sia-sia tetapi tertipu dan merasa lega. TikTok atau lain-lain platform medsos hanyalah satu wadah hiburan yang direka khas supaya manusia ketagih dan melekat pada skrin supaya mudah dikawal untuk agenda lain yang lebih besar terutamanya dalam dunia perniagaan dan politik.

Jadi duta live di TikTok

Satu lagi kegilaan yang luar biasa sedang berlaku di TT adalah kegiatan bersiaran secara live dan menjadi duta kepada TT dalam mengumpulkan seramai mungkin mereka yang mampu habiskan masa hidupnya bersiaran secara terus.

Saya perasan aktiviti live di TT ini bila bermalam di sebuah hotel di Taiping Perak. Setiap malam saya lihat ada seorang gadis berpakaian cantik berada di depan skrin telefon pintarnya bercakap tanpa henti seperti sedang berborak. Bila saya siasat, rupa-rupanya dia merupakan pekerja khas yang dibayar oleh pihak hotel untuk buat live setiap hari bagi menarik pelanggan datang bermalam di hotel itu.

Bila saya tanya ada kesan atau tidak aktiviti jualan dan pemasaran dari live di TT itu, jawapannya memang agak mengejutkan. Jumlah tempahan bilik naik mendadak. Bila hari minggu, tempahan boleh melebihi 70% bilik. 

Itu yang saya kata tadi, anda yang terlekat di TT atau medsos lain sebenarnya sudah berjaya di kawal jiwa dan minda untuk buat apa yang orang lain nak anda buat. Keupayaan untuk berfikir secara sedar makin lama makin nipis. Makin ramai orang sudah berjaya di ubah menjadi manusia yang bertindak secara luar sedar ikut kemahuan penagih kekayaan. 

Penagih harta berjaya ubah manusia jadi penagih skrin media sosial dan akhirnya semua mati dalam keadaan ketagihan tidak sedarkan diri. Bila fikirkan semua itu, baru saya faham kata-kata seorang pengamal meditasi berbangsa India, dia kata, majoriti manusia tidak berada dalam keadaan sedar, mereka hidup dalam dunia palsu sehinggalah saat nyawa berada di kerongkongnya, itu satu-satunya ketika dia kembali ke dunia nyata yang sebenar untuk beberapa detik sebelum jasadnya menjadi mayat.

Buat live di TikTok

Untuk melalui pengalaman bersiaran secara terus, maka saya buka akaun TT dan mencari maklumat tentang live. Tak berapa lama, saya terus mula buat live saya sendiri dan melihat apa yang berlaku.

Semua yang buat live dengan mudah diajar oleh rakan-rakan lain yang bertujuan sama untuk membina akaun mereka di TT. Malah pihak TT sendiri sediakan program, panduan, dan seribu satu kemudahan untuk pastikan lebih ramai orang akan jadi pengacara live di siaran TV life TT mereka sendiri.

Tak cukup dengan itu, anda akan diberikan ganjaran berupa duit hasil dari buat live sahaja. Adalah prosesnya yang anda kena cuba sendiri untuk fahami. Dari kosong, saya berjaya kumpul lebih dari RM100 hanya dengan buat live.

Semua yang terjun nak jadi duta live akan saling bekerjasama. Hang follow aku, aku follow hang sampai dapat jumlah followers 10 ribu. Anda tak perlu ada isi kandung yang baik bermanfaat atau menarik untuk orang follow. Merapu merepek meraban pun akan ada orang follow sampai 10 k sebab mereka saling bantu membantu.

Ada pula yang buka live sepanjang malam sampai subuh. Dia masuk tidur dan dibiarkan begitu sampai esok pagi baru tutup. Tujuannya untuk memenuhi sasaran jumlah jam bersiaran secara terus. Ada la ganjarannya. Ada yang benar-benar live secara berkumpulan sampai ke pagi. Sembang macam bab. Topik paling popular adalah "Sembang Santai".

Bagi yang pandai sikit, dia buat live, video di TT yang fokus kepada ilmu membina akaun di TT. Akaun begitu akan mendapat ramai followers sampai lebih 100 ribu orang. Kemudian akan ada yang jadi ajen merekrut kadir-kadir live di TT. Mereka akan bina akaun secara berjemaah dan salin bantu membantu.

Sepanjang saya layan TT, saya rasa kagum pada ramai orang yang saya lihat dia tak buat kerja lain selain dari live di TikTok, siang malam pagi petang .. haha. Kegilaan apakah ini?

Yang menariknya, anda akan dapat jumpa banyak akaun yang punya followers lebih dari 10 ribu akaun tetapi isi kandung akaun tiktoknya tidak punya apa-apa yang alasan untuk menarik follower seramai itu. Anda hanya perlu rajin follow orang yang akan follow balik, buat live sembang santai hanya dalam 8 ke 10 jam sehari, disamping buat live secara berjemaah dalam 4 ke 5 jam sehari.

Tak tau nak cakap apa masa live?

Tak perlu risau. Merapu atau diam saja asalkan tidak buat perkara dilarang yang boleh jadikan akaun anda kena haram oleh TikTok.

Mungkin itu semua adalah persediaan dalam melahirkan satu spesis manusia yang sejak dilahirkan sampai mati, hanya menghabiskan hidup mereka di depan telefon pintar .. sekarang pun dah ramai baka begitu.

logoblog

Boleh Like dan Share artikel ini di akaun Medsos anda. Terima Kasih sudi luangkan masa membaca artikel, Pengalaman bersiaran terus dari aplikasi TikTok macam ada siaran TV sendiri

Newest
You are reading the newest post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !