Zaman kanak-kanak dahulu, saya percaya bahawa pendekar dan hulubalang dari kalangan orang Melayu boleh terbang. Kepercayaan itu terhasil dari pengaruh filem-filem Melayu yang saya tonton dalam TV hitam putih di zaman itu.
Antara hero kegemaran saya, antara yang sangat hensem, ialah Ed Osmera. Kalau tak silap filem Panglima Harimau Berantai merupakan antara filem yang saya sentiasa ingat akan tajuknya, tapi dah tak berapa jelas jalan ceritanya. Namun saya masih ingat aksi-aksi sakti seperti lompat dan terbang dan sebagainya yang ditunjukkan oleh pada pendekar dalam filem tersebut.
Itulah kesan dari tontonan filem, anda terbawa-bawa akan gambaran yang dipaparkan terhadap watak-watak luar biasa terutamanya yang ada pada hero filem. Saya membesar dengan terselit kepercayaan bahawa orang Melayu, atau lebih tepat lagi pendekar Melayu ada keupayaan boleh terbang.
Ada juga usaha-usaha mencari para tok guru yang boleh ajarkan saya untuk terbang. Kalau tak terbang pun, boleh lompat tinggi naik atas bumbung, atau lompat ke atas dahan pokok tinggi pun jadilah. Tapi malangnya saya hanya dengar-dengar cerita tapi tak pernah jumpa sesiapa pun yang mampu melakukannya. Kalau lompat turun dari atas bumbung saya pernah tengok ada orang buat, itupun jatuh patah kaki, tapi lompat naik ke atas masih belum pernah lagi saya lihat ada yang buat.
Anda mungkin tergelak kalau saya katakan sampai sekarang antara mimpi yang paling kerap berlaku pada saya ketika tidur malam adalah keupayaan boleh terbang dari bangunan ke bangunan dan dari pokok ke pokok. Biasanya mimpi itu akan berakhir dengan keupayaan itu tiba-tiba hilang, saya amat sedih, risau dan saya pun terjaga dari tidur. Nasib baik terjaga, kalau tidak berterusan sedih saya dalam mimpi itu cuba untuk terbang kembali.
Kepercayaan yang hilang
Setelah hidup lebih dari setengah abad, dan tak pernah saksikan mana-mana orang Melayu samada pendekar atau Tok Bomoh, yang boleh terbang atau lompat tinggi atas bumbung di depan mata, maka kepercayaan itu mula pudar dari benak hati saya.
Memang sekarang saya tak percaya bahawa orang Melayu boleh terbang. Saya juga tak percaya bahawa manusia boleh terbang. Dengan pengetahuan sains dan biologi yang sudah saya serap ketika belajar dahulu, ditambah dengan aktiviti pembacaan buku lama dan baru, sejarah-sejarah manusia dari zaman purba sampai moden, saya dah buat rumusan bahawa manusia memang tak boleh terbang.
Manusia tidak ada keupayaan untuk terbang atau lompat macam incredible Hulk, orang Melayu adalah manusia, maka dapatlah dirumuskan bahawa orang Melayu tak boleh terbang.
Tapi jangan terkejut jika masih ada orang yang percaya bahawa orang Melayu boleh terbang. Salah seorangnya, yang saya dengar dia bercerita dalam satu temuramah di media sosial, seorang profesor perempuan, Melayu, yang sering membuka banyak cerita tentang sejarah kehebatan orang Melayu, dia berkata memang satu ketika dahulu, orang Melayu dikagumi dengan 2 kehebatan utama. Pertama adalah keupayaan firasat yang tinggi dan keduanya keupayaan terbang.
Dunia kepercayaan
Jika anda dengar hujah-hujah mereka yang tidak percaya kepada agama dan Tuhan, anda boleh faham kenapa mereka jadi begitu. Biasanya atheis terdidik dengan mendalam terhadap ilmu sains. Mereka amat cenderung untuk membezakan antara benar dan salah berdasarkan pembuktian sains, yang mana segala rumusan benar atau salah perlukan pembuktian.
Berbeza dengan kepercayaan, ia adalah perkara yang tersimpan dalam benak kepala anda tanpa perlukan pembuktian. Jika anda percaya sesuatu itu benar, maka tidak ada apapun hujah yang dapat mengubah kepercayaan tersebut.
Ada banyak perkara yang tidak dapat dibuktikan samada benar atau salah. Ia amat bergantung kepada kepercayaan anda sahaja. Katakan anda percaya bahawa sesuatu itu benar. Yang tidak percaya tidak dapat buktikan yang anda salah dan anda pula tak dapat buktikan yang anda benar. Antara perkara yang masuk dalam dunia kepercayaan adalah agama.
Ada bermacam-macam agama di atas dunia ini. Ada yang percaya kepada para dewa, ada yang percaya kepada kuasa roh jahat dan roh baik. Ada yang percaya Tuhan yang satu. Ada yang percaya kepada adanya anak Tuhan dan sebagainya.
Orang Mesir dahulu percaya Firaun itu Tuhan. Ada banyak juga ajaran di mana pemimpinnya mendakwa dirinya Tuhan dalam zaman moden ini dan para pengikutnya, samada terpelajar atau tidak, percaya akan dakwaan itu. Salah seorang yang saya boleh namakan adalah kisah seorang Mat Saleh di Amerika bernama James Warren Jones yang berjaya mengajak semua para pengikutnya membunuh diri di Guyana. Pada tahun 1978, seramai 918 para pengikutnya termasuk dirinya sendiri mati membunuh diri.
Kepercayaan itu satu perkara yang hebat. Ia mendorong segala tindak tanduk anda. Malah anda sanggup mati demi pertahankan apa yang anda percaya. Tak ada pembuktian sains atau logik yang dapat membantu dari mengubah kepercayaan yang tertanam kuat dalam diri anda.
Itu bab kepercayaan kepada Tuhan atau agama. Kepercayaan terhadap perkara lain juga mencabar minda anda dalam usaha untuk membuktikan samada ia benar atau tidak. Saya boleh berikan beberapa contoh di bawah.
- Lelaki dan wanita punya sama nilainya
- Rakyat wajib setia kepada negaranya
- Nyawa manusia lebih bernilai dari nyawa haiwan
- Kita merupakan sesuatu yang benar-benar wujud dan bukannya satu ilusi yang dibentuk secara simulasi alam maya oleh komputer yang amat berkuasa
- Setiap individu manusia itu bebas dan tidak boleh dimiliki oleh orang lain
Cuba renung semula apa yang saya sebut di atas itu. Macam mana nak buktikan semua itu benar atau salah?
Itu kepercayaan yang umum. Bagaimana pula dengan senarai kepercayaan berikut.
- Pelanggan tentukan samada bisnes anda berjaya atau tidak
- Gerak perlahan untuk pergi cepat
- Belajar dan sesuaikan diri untuk menang
- Kerja keras anda tidak berikan apa-apa perbezaan di akhirnya
- Pihak pengurusan hanya pentingkan diri mereka sahaja
- Para pelanggan sebenarnya bodoh dan tidak tahu apa sebenarnya yang mereka mahu
- Orang perempuan tak boleh jadi jurutera yang baik
- Kerajaan hanya jaga kepentingan orang-orang kaya sahaja
- Parti mana pun menang, negara tetap dikuasai oleh kerajaan korup
- Hanya Parti Pas yang mampu selamatkan negara
- Najib merupakan mangsa politik
- Tun M gila kuasa
- Semua jawapan hidup ada pada para ulama
- Agama aku saja yang benar, selain darinya sesat ...
Itu antara kepercayaan-kepercayaan yang lebih relevan yang anda sendiri dapat jumpa di negara kita sendiri sekarang.
Anda akan membentuk kepercayaan melalui banyak cara. Yang paling berkesan adalah kepercayaan yang sama-sama dikongsikan oleh ramai orang yang anda kerap berhubung dan duduk bersama. Dalam bahasa orang putihnya disebut 'shared beliefs'.
Ada perkara yang asalnya anda tak percaya. Tapi bila diulang-ulang dengan kerap, orang lain mula percaya dan anda ikut sebab tak mahu rasa janggal dan akhirnya anda turut benar-benar percaya. Ada kepercayaan yang dibentuk hasil dari indoktrinasi. Ada juga yang terbentuk dari kerja pihak tertentu brainwash dan pemisahan diri sehingga otak anda keliru dan mula percaya apa yang diterapkan.
Jika anda fikirkan betul-betul, memang ternyata benar atau salah itu bergantung kepada apa yang anda percaya. Secara langsung ia membawa kepada tidak ada yang benar dan tidak ada yang salah. Malah benar atau salah boleh berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan membentuk kepercayaan dalam diri anda.
Contoh mudah yang saya boleh berikan adalah dalam bab bunuh orang. Saya yakin jika anda insan biasa, sudah tentu anda kata membunuh orang itu salah. Tetapi cuba tanya para askar. Mereka diajar bagaimana membunuh orang. Adakah bagi mereka membunuh itu tidak salah sedangkan dari segi perbuatan, samada anda askar atau bukan, berlaku kerja membunuh?
Kalau askar, tak salah, dan kalau orang biasa ia jadi salah?
Di negara kita membunuh pesalah yang mengedar dadah itu betul, tetapi di Amerika, kebanyakan negerinya, menghukum bunuh itu adalah tidak betul.
Baru-baru ini negara Singapura mengharamkan aktiviti vape kerana ia merbahaya dan merosakkan kesihatan. Tapi kenapa alasan yang sama tidak digunakan kepada aktiviti merokok sedangkan kedua-duanya dikatakan merbahaya dan merosakkan kesihatan.
Itulah rumitnya bab kepercayaan yang kebanyakan orang ambil remeh terhadap apa yang dia percaya atau tidak percaya dan tidak pernah mencabar pegangannya selama ini. Malah tidak berusaha membuat pencarian yang serius terhadap apa yang ada terbentuk dalam kepercayaan dirinya.
Melayu boleh terbang
Berbalik kepada cerita prof yang percaya bahawa Melayu boleh terbang. Ia bukanlah sesuatu yang pelik sekalipun saya 110% yakin dia sendiri tidak pernah melihat dengan mata kepalanya seorang Melayu yang terbang melayang secara terkawal atas kemahuan diri yang terbang itu sendiri (Terbang sebab tercampak dari motosikal itu bukan satu pilihan secara terkawal).
Bagaimana anda rumuskan samada Melayu boleh terbang atau bagaimana anda rumuskan sebaliknya bergantung kepada apa yang anda percaya. Prof itu percaya, maka ia jadi benar dan jika anda tidak percaya, apa yang dia sebutkan itu satu benda lawak. Tapi jangan cuba ketawa di depannya, dia akan marah dan minta buktikan yang kepercayaannya itu salah.
Sudah tentu anda akan kata, macam saya sebut di atas tadi, selama lebih setengah abad hidup belum pernah ada lagi seorang manusia yang terbang seperti cerita Superman. Prof itu boleh berikan pertanyaan yang serupa dalam bab bumi akan hancur. Jika sudah berbillion tahun bumi kekal masih ada, adakah anda percaya ia akan hancur esok atau lusa atau satu hari nanti?
Bumi akan hancur itu benar sebab anda percaya ia akan berlaku. Bagi yang tak percaya pula, dia akan kekal dengan bumi akan terus ada selama-lamanya itulah yang betul. Itu semua bergantung kepada apa yang anda percaya. Betul atau salah bergantung kepada apa yang anda percaya.
Persoalan penting yang anda perlu tanya di sini, jika tiada yang betul tiada yang salah, maka bagaimana dapat ditentukan mana satu yang betul mana yang salah secara mutlak. Siapa yang dapat tunjukkan anda kebenaran itu. Adakah anda letakkan kepercayaan itu kepada orang bijak pandai, atau kerajaan, atau para ustaz, atau kawan-kawan rapat, atau keluarga, atau kuasa halimunan ..
Kepercayaan itu satu perkara yang penting dalam hidup tetapi ia sangat rumit ..
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !