Taman Perumahan tempat saya tinggal sekarang mula dibina pada awal tahun 90-an. Kalau lihat dalam senarai hartanah di sekitar tempat itu, ia sudah berusia lebih kurang 35 tahun. Tapi saya bukan pembeli pertama rumah yang saya duduk sekarang, ia dibeli dari tangan pemilik asal dengan harga yang berpatutan ketika itu.
Asalnya saya mencari rumah untuk disewa ketika melilau sekitar kawasan itu dan berhenti di depan rumah itu yang terpampang iklan untuk disewa atau dijual. Saya telefon terus kepada pemiliknya dan dia tawarkan untuk jual dengan harga yang saya rasa agak murah, maka saya terus beli. Maka menetaplah saya disitu jadi ahli khairat kematian surau dan besarkan anak-anak di taman tersebut.
Setelah lama duduk di rumah itu, ada duit sikit saya fikir nak ubah suai untuk jadikan ia lebih selesa. Saya gunakan khidmat seorang tukang repair dari Bangladesh yang sering dilihat berlegar-legar setiap pagi dan petang di dalam taman. Ada saja projek rumah yang dibawah tangannya untuk diubah suai. Saya pilih dia setelah bertanya jiran yang pernah gunakan khidmatnya dan setelah pergi melihat sendiri hasil kerja Bangla tersebut.
Ok atau tidak kerja Mat Bangla itu bukan tajuk utama saya nak sentuh, tapi saya nak cerita perihal dirinya yang agak unik untuk dijadikan mukadimah tema artikel yang ada dalam kepala saya sekarang. Dari mulut Ajib, nama panggilannya, dia datang ke Malaysia sebagai buruh bekerja di taman perumahan yang saya tinggal sekarang. Dari mula diratakan tapak bina sehingga siap habis semua taman tersebut dari fasa 1 sampai fasa 3. Dan dia kekal tak balik ke Bangladesh sejak itu.
Jadi kontraktor di Malaysia
Setelah habis tempoh kontraknya bekerja dengan pemaju perumahan, dia terus jadi kontraktor repair dan bina rumah di sekitar Lembah Kelang. Bukan saja ambil kontrak buat rumah, malah dia juga jadi kepala bekalkan pekerja kepada kontraktor lain yang perlukan pekerja.
Orang yang tak kenal Ajib, mungkin anggap dia seperti mana-mana Bangla lain juga. Dia hanya naik basikal ke hulu ke hilir. Kalau beli barang di kedai hardware pun dia hanya naik basikal dan angkat barang sikit-sikit dengan kenderaan buruknya itu. Saya selalu berborak dengannya, sekali pun rumah saya dah siap, masih tetap gunakan khidmatnya, maka banyak rahsia yang saya tahu tentang dirinya.
Ajib ada banyak duit simpanan. Dia gunakan akaun orang lain untuk semua transaksi perniagaannya, akaun itu merupakan akaun syarikat yang mana adiknya, ya! dia ada adik yang juga kontraktor, jadi orang penting di syarikat pembinaan tersebut. Saya tahu semua itu bila dia minta bantuan untuk selesaikan sedikit perbalahan duit keluar masuk di dalam akaun antara dia dengan rakan kongsi adiknya.
Nak ringkas cerita, duit Ajib ada lebih kurang setengah juta dalam akaun itu. Duit itu dia gunakan untuk rolling semua kerja kontrak dan supply pekerja sepanjang dia berniaga di sini. Itu belum masuk duit yang dia hantar setiap bulan kepada anak dan isterinya di kampung. Saya congak-congak pendapatannya setiap bulan dengan jumlah kerjanya yang tak pernah putus-putus, ada lebih kurang RM300k ke RM400 sebulan. Dia masuk kategori orang kaya sebenarnya, sangat kaya.
Nak dijadikan trajis cerita Ajib ini, satu hari ketika naik basikal selepas keluar dari kedai hardware, sebuah motosikal melanggarnya. Dia tercampak jatuh dan tidak sedarkan diri dan orang ramai bantu panggil ambulan dan dia dimasukkan ke hospital. Cederanya parah, kepalanya pecah tapi masih hidup. Tak ada apa-apa yang dapat dibuat oleh doktor untuk kembalikan dia sedar semula dan akhirnya dia meninggal setelah dihantar pulang balik ke Bangladesh.
Saya dapat cerita dari sepupu nya yang masih ada di sini, semua harta dan duit Ajib telah jatuh ke tangan bapa dan adiknya di Bangladesh sana dan satu sen pun tak dapat kepada anak-anak dan isterinya. Sebabnya adalah semua duit yang dia hantar dan hartanah yang dia ada di sana dimasukkan ke atas nama ayah dan adiknya dan bukan nama isteri dan anak-anak. Begitulah kisah benar drama Ajib Kumar, nama sebenarnya selepas saya tanya sepupunya yang masih ada di sini. Dia beragama Hindu rupanya, saya tak pernah tahu sebab tak terfikir. Selama saya kenalnya dia beri dan jawab semua salam yang saya berikan.
Apa tugas seorang bapa
Ajib, sepupunya yang bernama Sumon dan semua anak-anak buah Ajib yang ramai yang masih ada di sini sekarang dan semua Mat Bangla yang ada di Malaysia, mereka datang cari makan dan tinggal lama di sini.
Ada sebuah lagi rumah saya di tempat lain, semua urusan pembersihan dan landskap saya berikan kepada seorang warga Pakistan bernama Abdullah. Dia bersama adiknya lagi 2 orang juga sudah lama tinggal di Malaysia. Saya kenal Abdullah dari seorang warga Pakistan juga bernama Rasyid yang berikan no telefon Abdullah bila dia nak balik Pakistan untuk mendirikan rumah tangga. Sebelum Abdullah, Rasyid lah yang jadi kontraktor hal ehwal landskap rumah saya itu.
Rasyid datang Malaysia, kerja cari duit sampai mampu kahwin. Selepas kahwin, dia kekal lebih 2 tahun di sana dan dia datang semula ke sini teruskan cari makan. Dia sudah ada 2 orang anak dan dia tinggalkan mereka untuk cari duit dan hantar semula ke Pakistan.
Abdullah dan adik-adiknya juga sama, mereka sudah berkahwin dan tinggalkan keluarga di Pakistan untuk datang cari duit di negara kita. Secara umum, mereka akan balik ke negara asal dalam tempoh 2 ke 3 tahun sekali.
Perkara sama berlaku kepada warga Indonesia yang lebih lama ada di negara kita sebagai pekerja. Yang lelaki kerja buruh dan yang perempuan kerja pembantu rumah dan kerja-kerja kontrak pembersihan di pejabat dan sebagainya. Kalau lelaki yang datang, dia tinggalkan isteri dan anak-anaknya di Indonesia. Jika perempuan yang datang, dia tinggalkan suami dan anak-anak di negaranya sana.
Semua mereka yang hidup sedemikian habiskan masa muda sampai tua cari duit di negara orang. Majoritinya tinggal sendirian di sini tanpa membawa keluarga datang. Baik Bangla, Pakistan, Indon atau dari negara mana sekalipun begitulah jadinya pada mereka. Cari duit hanya untuk cukupkan keperluan hidup keluarga di negara masing-masing tanpa membentuk sebuah keluarga atau membina tradisi atau budaya yang selayaknya bagi manusia bermasyarakat.
Apakah itu cara hidup yang betul?
Saya pernah tanya kepada seorang pekerja asing dari Bangladesh, kenapa dia sanggup tinggalkan anak-anak dan isteri datang sini cari duit. Dia kata mahu pastikan anak-anaknya membesar dan mendapat pendidikan sempurna, masuk universiti dan berjaya dalam hidup. Akhirnya anak-anak mendapat ijazah, kalau bernasib baik dapat kerja dan menjadi hamba kepada majikannya, yang akan mengikat kehidupannya pula. Jika tidak bernasib baik, dia akan ikut jejak ayahnya untuk cari duit di negara orang dan segala pendidikan universitinya sia-sia belaka.
Dari maklumat carian saya dapati ada data yang menyatakan sehingga 60% para graduasi di Bangladesh berakhir dengan sia-sia tak ada peluang kerja. Apa berlaku kepada mereka?
Manusia di Bangladesh nampaknya sudah diabaikan oleh sistem yang mereka letakkan kepercayaan dalam membina kehidupan mereka selama ini. Di Pakistan juga berlaku perkara yang sama, lebih kurang 30% dari graduasi tak ada kerja, bagus sikit daripada Bangladesh. Di Indonesia pula lebih kurang 13% graduan tamat tak ada kerja dan data menunjukkan 33% graduan buat pekerjaan yang sebenarnya tidak memerlukan sebarang ijazah.
Kita di Malaysia masih ok lagi sekarang. Rata-rata graduan yang tamat belajar dapat kerja, maklumat carian menyatakan sebanyak 85% ada kerja. Tapi lebih kurang 40% kerja yang mereka buat tiada kaitan dengan apa yang mereka belajar. Malah ramai yang buat kerja tidak selayaknya dengan tahap pendidikan atau apa yang mereka belajar selama ini. Jika anda lihat data, 300 ribu rakyat negara kita ulang alik dari Johor ke Singapura untuk bekerja dan 1.13 juta rakyat Malaysia tinggal di negara jiran itu untuk bekerja.
Semua yang saya sebut di atas berlaku salah satu sebabnya adalah belajar perkara yang tiada pasaran kerja. Rakyat sambung belajar, ambil apa saja kursus asalkan dapat masuk kolej, masuk Universiti, agar tidak ketinggalan ada sijil, diploma, ijazah. Ia sekadar gaya hidup yang berlaku tanpa ada refleksi dalam melihat jalan hidup yang betul dan pelabur bisnes pendidikan ambil peluang terhadap kebodohan tersebut.
Kesilapan itu juga boleh disalahkan kepada kerajaan yang memerintah dalam menyusun atur perjalanan hidup rakyatnya, ketidak cekapan kerajaannya dalam menarik para kapitalis untuk melabur membina perangkap kehidupan di dalam negara masing-masing. Adakah para pemimpin setiap kerajaan masih tidak dapat melihat lagi bahawa sistem yang mereka percaya selama ini sudah mengabaikan mereka?
Masih ukur GDP
Semua kerajaan masih tetap mengukur GDP untuk melihat kedudukan atau kemakmuran ekonomi negara mereka sebagaimana yang di ajar oleh para pemimpin global. Untuk tingkatkan GDP mudah saja, pastikan jumlah rakyat tidak sihat meningkat, maka kos perubatan yang rakyat keluarkan mencanak naik tinggi, atau cipta konflik ketenteraan dengan mana-mana negara jiran, lalu kos persediaan, belian senjata dan sebagainya akan naik mencanak, maka GDP juga akan turut naik. Itu contoh betapa mengarutnya ukur GDP sebagai tanda sesebuah negara makmur.
Kalau enjin kereta rosak, ada 2 cara untuk anda selesaikannya. Pertama buang saja dan tukar yang baru. Atau anda boleh overhaul untuk pulihkannya semula. Kenapa tiada keazaman yang besar terhadap para pemimpin untuk melakukan overhaul besar-besaran dalam memakmurkan negara. Sistem ukur, sistem hidup yang diadaptasikan oleh manusia sejak revolusi industri bermula dulu sudah menampakkan kegagalannya dalam melahirkan manusia yang bahagia dan merasakan hidupnya berbaloi dan kita sedang rancak terkial-kial cuba releven kan dengan industri 4.0 pula, kemudian 5.0 dan masih tak sedar semua sistem itu direka bukan untuk kesejahteraan hidup manusia, sebaliknya ia direka untuk faedah mereka yang merekanya sahaja.
Kembali kepada para ayah-ayah dan bakal ayah-ayah di luar sana, sudah tiba masanya untuk merenung semula kehidupan yang mahu disusun kepada anak dan cucu kita di depan sana. Jangan biarkan para pemimpin terus menghanyutkan kita semua menaruh kepercayaan kepada sistem kehidupan yang sedikit demi sedikit membuka tanda-tanda bahawa ia bukanlah cara hidup yang betul. Sudah banyak alam persekitaran, tumbuh-tumbuhan, haiwan, budaya, malah agama dirosakkan demi menyesuaikan diri dengan kehidupan yang dikatakan maju, moden dan sophistikated itu.
Wallahu'alam ..
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !