Pagi itu aku duduk melepak di serambi rumah. Bapak aku pula sedang duduk di beranda, entah apa agaknya yang dia sedang fikir, duduk seorang diri berkain pelikat tanpa baju, aku cuba meneka. Tiba-tiba aku nampak kelibat Chad Gila sedang berjalan masuk ke depan halaman rumah, timbul sedikit rasa risau dalam hati aku.
Masa kecil dulu, rumah aku masih ada beranda lengkap dengan pelantar panjang sebagai tempat duduk yang dibuat melekat sekeliling dinding beranda itu. Seingat aku, ketika itu tak ada sebuah rumah pun di kampung aku yang tak ada beranda. Semua rumah diperbuat dari kayu, rumah tinggi yang ada tiang, paling kurang ada serambi, ada rumah ibu dan ada dapur. Itu syarat lengkap sebuah rumah Melayu di kampung ketika itu. Jika ada rumah tanpa beranda ertinya rumah itu bukan rumah pusaka, bukan rumah lama, dah tentu baru dibina dengan rekabentuk moden yang ketepikan pusaka rekabentuk Melayu.
Semua bahagian rumah tradisi Melayu ada kegunaannya. Rumah ibu itu ruang untuk keluarga dan saudara mara rapat. Ada pintu masuk terus ke rumah ibu yang biasanya duduk di tengah bahagian rumah supaya mudah kaum kerabat yang datang terus masuk. Berbeza dengan serambi, ia ruang khas untuk tetamu samada yang jauh atau dekat. Biasanya tetamu masuk dari pintu rumah di beranda. Ruang serambi pula penuh dengan tingkap supaya mudah aliran udara dan paling penting mudah untuk lihat apa yang berlaku diluar.
Semua itu aku tahu bila melawat muzium rumah di Melaka. Kalau bukan kerana luangkan masa sikit masuk ke muzium itu, memang aku tak tahu juga, sama seperti kebanyakan orang Melayu sekarang terutamanya yang lahir dan membesar dalam rumah moden. Begitulah pusaka hilang dari radar masyarakat. Dimulakan dengan kebijaksanaan orang tua-tua dulu mereka bentuk rumah bersesuaian dengan adat dan amalan kehidupan Melayu, kemudian anak cucu dah tak kenal sebab musabab binaan rumah mereka begitu akhirnya, ia hilang begitu saja digantikan dengan rumah moden yang ada pintu masuk di bahagian depan dan cabut lari keluar di bahagian belakang, 2 pintu saja mencukupi.
Bahagian depan rumah aku ada halaman luas berpasir putih yang cantik terdampar setiap kali siap menyapu sampah dedaun pokok yang gugur. Di hujung tepi halaman ada sebatang pokok manggis tinggi di bahagian depan. Selepas itu ada parit yang jernih airnya memisahkan tanah kami dari tanah jiran. Di sebelah parit sana, ada banyak pokok belinjau kepunyaan Long Esah, jiran dan kawan baik mak aku. Buah belinjau hijau jadi sumber makanan kami, gulai lemak belinjau manakala buah belinjau masak jadi bahan mainan kami kanak-kanak bila main masak-masak. Kami kupas kulit merah yang menutupi isi pejal buah belinjau tersebut untuk digoreng sampai masak atas kuali. Nak menggorengnya mudah saja, pasang api, masukkan pasir dan campur biji buah belinjau dalam kuali tu dan goreng perlahan-lahan sampai siap boleh dimakan ramai-ramai.
Di penjuru kiri halaman rumah aku ada telaga berdinding dan berpintukan zink. Itu tempat aku mandi setiap hari. Itu juga tempat mak aku rendam dan basuh bagu hampir setiap pagi. Semua pakaian satu keluarga dialah yang rendam, tonyoh dengan berus, perah dan sidai. disebabkan membasuh pakaian bukan kerja yang ringan, kami akan pakai baju dan seluar yang sama beberapa hari sehingga kena marah dengan mak baru tukar yang lain. Aku tengok anak-anak aku pakai satu-satu baju tu sekali saja kemudian dicampakkan masuk ke dalam mesin basuh, tuang sabun basuh dan petik suis. Nasib baik tak ada robot tukang sidai, kalau tak, itupun mereka tak akan buat.
Sebut pintu zink bilik mandi tadi, aku teringat keting kaki aku terbelah koyak tersangkut di bawah pintu bilik air tu, darah keluar membuak-buak. Kalau aku tak silap, abang sulong aku punya angkara kelam kabut suruh aku keluar bilik air dan dia tarik nak tutup pintu sedangkan kaki aku baru keluar melangkah, maka tersangkut lah tumit atas aku dimakan zink berkarat. Apa sebenarnya yang berlaku secara jelas selepas itu aku tak berapa ingat tapi parut luka besar di keting belakang kaki aku itu masih jelas kelihatan sampai sekarang.
Depan bilik air tu ada satu laluan kecil menuju ke halaman rumah di mana aku nampak Pak Chad melangkah masuk. Risau aku timbul bukan sebab dia gila, tapi chuak kalau aku kena minum segelas lagi air penerang hati yang Chad Gila jampi.
Haji Don! Assalamu'alaikom!
Pak Chad tegur bapak aku dengan lantang dan jelas. Haji Don nama panggilan bapak aku di kampung. Semua orang panggil nama tu dan tak pernah aku selidik mai kot mana nama Don tu. Langsung tak ada kaitan dengan Abdul Bin Ahmad, nama yang tertulis dalam kad pengenalan bapak aku.
Sampai sekarang aku tak pernah tanya sesiapa pun asal usul nama Don tu. Biarlah begitu, walaupun ada banyak pertanyaan terlintas dalam kepala aku terpendam sejak dari dulu. Satu lagi bab nama bapak aku ni yang aku tak jelas adalah, kenapa nama dia Abdul saja tak ada sambungan sedangkan bapak kepada bapak aku bukan orang jahil.
Dia tok guru pondok, pandai agama, dah tentu tahu basic bahasa arab. Abdul tu dari perkataan arab 'abd yang bererti hamba. Orang Islam dah tentu akan sambung dengan nama Tuhan selepas 'abd untuk menjadikan maksudnya hamba Tuhan. Tapi nama bapak aku tak ada sambungan.
Mak aku kata nama dia yang betul adalah Abdul Rahman, itu yang aku dengar Tok Teh Brunei sebut bila bertanya khabar bapak aku pada mak di Bagan Dalam dulu. Rahman tertinggal dari catitan ketika buat pendaftaran dulu. Sama seperti ramai nama orang lain yang jadi ejaan pelik-pelik sampai tak boleh sebut angkara pekerja pendaftaran zaman itu. Samada mereka kurang ajaq atau mereka bodoh, itu rumusan yang aku buat tentang para pekerja di pejabat pendaftaran dolu-dolu.
Nasib baik dalam kelas aku masa di sekolah menengah Penanti dulu ada seorang kawan bernama Mohd Fauzi yang berbinkan sama macam aku, bin Abdul juga. Tapi dia bukan saudara sebapa aku, setakat yang aku tahu lah. Mungkin bapak dia juga tertinggal nama Tuhan selepas Abdul ketika buat pendaftaran dulu. Kemudian bila aku pergi Perancis, bernamakan Abdul di belakangnya sudah tidak pelik bagi mereka sebab dah biasa dengan nama Paula Abdul. Mereka tanya apa kaitan aku dengan artis tu, aku jawab dia kakak aku, haha.
Wa'alaikomsalam Chad, mai naik dulu!
Bapak aku jawab salam Chad Gila dan kerisauan aku nampaknya berasas bila Chad Gila naik ke beranda, duduk dan minta air segelas nak minum. Aku jadi tukang hantarnya. Sebaik saja Pak Chad tengok aku, dia suruh ambil segelas lagi nak jampi buat air penerang hati untuk aku.
Dah kena telan segelas lagi air jampi dia. Yang aku tak tahan adalah semburan air liurnya di penghujung doa setelah meniup-niup pada permukaan air di dalam gelas tu. Tapi air tu tak ada berbau air liurpun, cuma ada la sikit rasa geli tengok hembusan padu di akhir doa tu.
Aku telan juga habis segelas. Entah sudah berapa kali aku telan air jampi Chad Gila aku pun tak ingat, tapi memang lebih dari sekali. Namun begitu, yang menariknya dalam semua anak-anak Haji Don, aku seorang saja yang belajar sampai ke luar negara. Skor SPM bawah 10 unit dan banyak A1 yang aku dapat dalam semua mata pelajaran SPM aliran sains. Ertinya jampi Chad Gila nampak menjadi, patut la bapak aku suka sangat panggil dia singgah sebentar setiap kali dia lalu depan rumah. Cuma janganlah hangpa pi cari orang gila pula nanti minta dia doa untuk diberikan kepada anak-anak.
Macam-macam gila
Chad Gila ni boleh dikatakan semua orang di Seberang Perai Utara tahu dan kenal dengan dia. Kalau nak semak samada seseorang itu yang hidup sezaman dengan aku benar-benar orang yang membesar di kawasan itu, hanya perlu tanya tentang Chad Gila saja. Kalau dia terkebil-kebil tak tahu, ertinya sah dia penipu dan bukan membesar di sana. Kegemaran Chad Gila ada melilau keluar masuk kampung dan naik bas awam ke Bukit Mertajam, aku tak pasti samada dia pernah naik bas sampai ke Butterworth atau tidak, tapi aku tak pernah juma Chad Gila melilau di stesen bas Butterworth dulu. Bagusnya Chad Gila ni adalah dia suka bersedekah duit kepada kanak-kanak. Aku selalu juga dapat dari dia bila terserempak naik bas sama dengannya masa balik dari sekolah rendah dulu. Kalau dapat naik bas sekali dengan Chad Gila ni, bagus juga sebab dia akan menjerit-jerit, "JALAN WOI!", selagi bas tak jalan dia akan terus menjerit. Jadi tekanan kepada pemandu bas untuk tidak lengah jalan.
Kalau tak silap, aku ada dengar cerita kononnya Chad Gila ni sebelum jafi gila pernah ditangkap Jepun dan dihantar ke Siam untuk jadi buruh paksa bina rel kereta api di sana. Dia melarikan diri dan berjalan kaki balik ke Malaysia sampai jadi gila. Entah betul ke tidak aku tak tau. Tapi itulah lagenda nya, tengok dari susuk tubuh badan Chad Gila yang tak kurus tak gempal dan bertenaga itu, mungkin betul gamaknya cerita itu. Selain dari pakar buat air penerang hati, Chad Gila juga pakar berdoa minta tak hujan. Kalau ada buat kenduri, orang kampung boleh gunakan khidmat beliau untuk minta hujan tak turun agar lancar acara kenduri sampai malam.
Orang gila dan peminta sedekah zaman aku kanak-kanak dulu melilau masuk kampung untuk cari makan. Mereka akan berjalan kaki dari rumah ke rumah. Ada yang minta sedekah, minta beras dan macam Chad Gila, dia suka minta air sejuk nak minum. Itu trik Chad Gila, dia dapat air segelas dan duit 4 atau 5 kupang sekali dengan air suam.
Ada seorang perempuan gila yang aku paling seram tapi aku dah tak ingat apa namanya. Dia jenis diam seribu bahasa, tak senyum sedikitpun, dan biasanya muncul tiba-tiba dok ada di bawah rumah. Kerlingannya boleh buat aku rasa nak pengsan jika dibiarkan duduk berdua saja dengannya. Kalau dia muncul depan pintu, mak aku biasanya akan sedekahkan secupak beras, dia ambil saja. Masa tu kami orang susah, sekupang dua pun bernilai dan kami tak berapa ada, maka takat beras sajalah yang boleh disedekahkan. Ada seorang lagi yang juga tak kurang seramnya bernama Siti Gila. Dia suka kendong patung anak perempuan, orang kata dia gila mereyan atau meroyan. Dia memang pantang tengok baby, mesti meluru nak dukung.
Ada juga jenis yang tak masuk kampung tapi hanya berulang alik dari pekan ke pekan. Salah seorang yang paling terkenal adalah Chop Mat Rebiah, panjang nama dia dan nama tu memang jadi sebutan kami sejak sekolah rendah sampai ke menengah. Chon punya ayat paling kerap keluar dari mulutnya adalah, "hujan!, hujan!, hujan!", sambil tunjukkan jarinya ke atas langit. Aku tak pernah dengar dia bercakap selain dari perkataan itu. Kalau orang bagi duit kat dia, berapa pun yang dia dapat, akan digunakan untuk ke mana-mana kedai makan. Dia hanya tunjuk-tunjuk di luar kedai, orang bungkus apa saja makanan dan air untuknya dan habis semua duit yang dia ada dalam tangan diberikannya dan dia berlalu dengan laju. Kau dengan lejen mengatakan dia gila setelah dipatuk ular, Waallahu'alam.
Apa yang aku perasan sejak dulu sampai sekarang adalah, di mana saja pasti akan ada orang gila seorang dua. Setiap kampung ada trademark orang gila mereka sendiri. Aku yakin tuan yang baca artikel ini pun tentu ada ingat seorang dua yang gila di kampungnya dulu, jika memang berasal dari kampung la. Kalau di bandar, orang gila ni biasanya special branch, jadi orang bandar tak percaya sangat pada orang gila, ada kesangsian samada mereka benar-benar gila atau tidak. Penyamaran untuk intip apa-apa kes besar kalau di kampung jarang pakai orang gila. Biasanya mereka menyamar jadi lebai zuhud duduk menyewa rumah terpencil dan berpakaian macam sufi. Kalau kat tempat aku dia menyamar jadi macam geng tabligh. Tak lama kemudian akan dengarlah berita tertumpasnya kumpulan pengedaran ganja terbesar di sana.
Orang gila ni asalkan bukan jenis ganas yang tak kacau atau tak buat orang, akan dibiarkan bebas merayau ke mana saja mereka suka. Ada yang memang betul gila dan dah tak ada rumah, ada juga yang gila tapi ada rumah tinggal. Dia keluar rumah dengan berpakaian bersih dan kemas melilau jalan kaki atau naik bas. Kalau tak tahu akan nampak dia normal tapi sebenarnya dia gila. Ada sorang gila yang macam tu kat kampung aku tapi aku dah tak ingat nama dia, sentiasa berkopiah dan ada gaya ustaz.
Siapa yang gila sebenarnya
Ada sekali tu aku dengar seorang Mat Saleh yang mengkaji Al-Quran berkongsikan pemikirannya setelah percaya bahawa Al-Quran adalah benar datangnya dari Tuhan. Dia menceritakan tentang orang yang percaya, mukmin yang disebut dalam Al-Quran. Dia merumuskan bahawa orang yang percaya benar-benar kepada Tuhan, kepada hari akhirat dan serahkan dirinya kepada Tuhan untuk melakukan kebaikan semata-mata hanya kepadaNya adalah terlalu sedikit. Jumlahnya mungkin lebih kurang sama dengan jumlah orang gila yang ada di muka bumi ini.
Sekali dengar ia menyedarkan aku bahawa ada betulnya cakap Mat Saleh tu, orang yang selamat dari tipu daya ujian dunia memang sangat sedikit. Setelah beberapa alam asyik terngiang-ngiang kata-katanya itu dan mula membuka mata melihat kepada orang gila, aku tertanya-tanya adakah orang gila itu melihat kepada orang lain semua yang sebenarnya gila dan dia sebenarnya tidak gila?
Manusia ramai yang dikatakan normal itu takut kepada kemiskinan, takut apa orang kata, takut tak ada rumah, takut orang tak kawan, takut kelaparan, takut kepada kegelapan, lebih peduli apa orang kata berbanding apa yang dia sendiri kata dan seumpamanya. Tapi semua itu tidak ada pada orang gila. Mereka tak kisah langsung apa orang nak kata, dia rasa lapar dia pergi minta, orang tak bagi dia pergi tempat lain sehinggalah ada rezki untuknya. Tidak dia mengejar harta, tidak pangkat dan tidak juga wanita.
Siapa sebenarnya yang gila?
No comments:
Post a Comment
Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !