Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, December 6, 2021

Apa yang anda perlu tahu bila menjaga dan membela ibubapa yang dah tua di rumah

  Mohd Shubhi       Monday, December 6, 2021


Keupayaan menjaga dan membela ibu atau bapa ketika mereka sudah menjangkau usia tua adalah satu perkara yang sangat hebat.

Bukan semua orang mampu dan berpeluang berikan khidmat bakti tersebut.

Walaupun anak-anak ramai, ketika kecil, ibu yang membela mereka seorang diri. 

Bila anak-anak semua dah besar, ibu pula dah tua tidak berupaya untuk hidup sendiri, anak-anak yang ramai itu akan berlumba berikan alasan kenapa mereka tak dapat jaga ibu mereka sendiri.

Alasan paling terkenal dan sering diguna pakai adalah "Sibuk" cara makan.

Tanggungan ramai, nak kena bela anak-anak, cari duit untuk teruskan hidup yang semakin mencabar. Tak ada masa untuk tengok orang lain, selain dari diri sendiri, anak sendiri, dan keluarga sendiri.

Alasan itu ada pada semua anak-anak yang terpaksa kerja cari makan. Baik anak perempuan mahupun lelaki. Mereka pula dah punya dan tinggal dirumah sendiri berasingan dari ibu atau bapa.

Rasanya masalah mula timbul dalam bab jaga ibu bapa ni sejak konsep anak-anak keluar berdikari tinggal di rumah sendiri dan jauh pula dari kampung halaman ibubapa.

Jika zaman dulu, semua anak-anak tinggal serumah dengan ibubapa sampai dewasa hingga dah beranak pinak, masalah siapa nak bela ibubapa yang tua tak timbul.

Kalau tak tinggal serumah pun, anak-anak akan bina rumah mereka sendiri bersebelahan saja dengan rumah ibubapa. Jika ibubapa berada, punya tanah luas, boleh buat macam itu.

Kelebihan itu makin lama makin nipis. 

Mana ada orang yang punya rumah dengan tanah yang luas sekarang selain dari mereka yang kaya raya.

Majoriti besar kita duduk rumah teres. Lebih teruk lagi duduk rumah apartment. Bilik 2 atau 3 sahaja. Tandas satu dan berkongsi. Anak pula 5 orang. Keadaan rumah sangat sempit dan tidak punya ruang yang besar.

Bila anak-anak mebesar, dah tentu mereka akan cari dan tinggal dirumah sendiri sahaja selepas mendirikan rumah tangga.

Masa ibubapa masih kuat, mungkin rasa lega sebab dah tak sesak rumah itu. Lama kelamaan bila dah tua, masalah mula timbul. Teruk lagi jika salah seorang, samada ibu atau bapa pergi terlebih dahulu.

Akhirnya terpaksa fikirkan nak bawa orang tua itu tingga dengan anak yang mansa satu?

Kalau nak senaraikan permasalah keadaan ibubapa yang dah tua dizaman sekarang ini, sangat panjang dan berbagai ragam keadaannya. Tapi bukan itu yang nak saya kongsikan.

Apa berlaku bila ibubapa dah tua

Tun Mahathir adalah antara orang tua yang luar biasa. Mungkin satu dalam seribu ada dalam masyarakat kita di Malaysia. Kalau kat Jepun sana mungkin ada ramai orang macam Tun Mahathir.

Kebanyakan orang tua kita, maksud saya orang Melayu, sebab saya bercerita berdasarkan pengalaman sebagai orang Melayu. Orang kita berdepan dengan cabaran kesihatan yang besar bermula 15 tahun terakhir sebelum mati.

Itu statistik yang saya pernah baca. Umur kita makin panjang hanya sekadar lambat mati. Tapi umur panjang itu sebenarnya satu penyiksaan sebab ramai yang merana bertahun-tahun sebelum mati tiba sebab sakit macam-macam.

Ada orang tua yang tak boleh bergerak sendiri. Ada yang hanya terlentang kaku tapi masih hidup. Ada yang nampak sehat tapi asyik keluar masuk hospital sebab sering diserang masalah jantung dan sebagainya.

Itu cabaran yang perlu dihadapi bila jadi tua. Bukan saja tuan punya badan merana hadapi semua masalah kesihatan itu. Ia turut sama ditanggung oleh anak-anak yang membela dan menjaga orang tua mereka.

Saya selalu dengar luahan anak-anak yang tertekan dalam cabaran membela ibubapa yang tua. 

Mungkin aku yang akan mati dulu dalam keadaan tekanan menahan sabar memelihara orang tua aku - Keluhan anak

Bayangkan anak-anak yang perlu jaga ibubapanya yang tidak lagi normal dan tidak mampu berdikari selama 10 ke 15 tahun?

Anak-anak lain ada berbagai alasan tak dapat ambil tanggung jawab itu dan hanya dia sahaja yang nampaknya tak dapat mengelak ambil peranan tersebut.

Yang lain datang ziarah sekali sekala.

Masa ziarah yang sementara tu, paling lama 2 atau 3 hari, dia akan pamerkan prestasi cemerlang, budi bahasa berhemah menjaga ibunya yang uzur. Kalau tengok cara treatmentnya, boleh bagi 5 bintang.

Kemudian si ibu akan mengadu rasa tersiksanya duduk di rumah anak yang fulltime memelihara dirinya itu. Lalu anak yang ziarah sekali sekala 2 atau 3 kali setahun itu akan berkhutbah mengajar adiknya cara betul menjaga orang tua.

Itulah yang selalu berlaku. 

Menambahkan lagi tekanan si anak yang terpaksa hadapi cabaran membela ibubapanya setiap hari, 365 hari setahun, 24 jam sehari, setiap minit ... Tak cukup dengan cabaran itu, anak-anak balik ziarah pula sering menegur dan mengajar cara nak jaga orang tua!

Ha ha ha .. ketam yang cuba ajar anaknya cara jalan lurus. 

Memang itulah agaknya yang orang tua-tua dulu dapat idea cipta peribahasa tersebut. Si anak yang tak bela ibubapanya sendiri, bila balik mengajar saudaranya yang sepenuh masa buat kerja itu bertahun-tahun tanpa henti!

Cuba selami keadaan ibubapa

Apa yang saya perhatikan, sering berlaku pada orang tua yang makin meningkat usianya adalah keadaan logik pemikirannya yang makin lemah.

Bila nak jaga ibu atau bapa yang dah sangat tua, perlu semat dan pesan diri baik-baik dalam hati keadaan itu.

Bila logiknya lemah, dia sudah tidak boleh memproses 2 atau 3 perkara yang dfisampaikan untuk di simpulkan kepada satu rumusan yang betul.

Contoh mudah bila kita kelam kabut nak keluar rumah untuk angkat pakaian pada jemuran. Ibu terkejut lalu tanya .. "awat hang nak pi mana tu?"

Lalu kita jawab "hujan!"

Dengan andaian dia boleh kaitkan logik bila hujan kena segera angkat pakaian kat luar tu masuk ke dalam takut basah.

Tapi logik mudah itupun ada kalanya orang tua itu labat nak rumuskan. Dia masih tetap kehairanan cuba simpulkan apa yang sedang berlaku.

Bila dia terus bertanya cuba siasat, mana la sempat kita nak layan. Bila dia desak maka kita terpanjur nak marah. Akhirnya benda mudah remeh itu jadi besar bila siibu merajuk dan anak pula rasa macam ibunya sengaja nak uji kesabaran dirinya.

Mula-mulanya si ibu akan pendamkan saja keadaan itu. Tapi lama kelamaan semua perkara kacil yang terlalu banyak dipendam itu sudah tidak dapat dibendung lagi. Ia menjadi racun yang celarukan keadaan fikiran orang tua malang itu. Malah biasanya dia sendiri tak pasti apa yang sedang bergelora dalam emosi dirinya .. dan orang tua itu akan dituduh makin lama makin menjadi degil suka buat hal.

Cuba bayangkan keadaan diri anda sendiri yang sangat sukar untuk kaitkan logik mudah. Ambil masa cuba nak faham sesuatu. Anda tentu akan cuba bertanya dan selidik untuk cuba faham.

Bila soalan mudah pun susah nak faham, pertanyaan demi pertanyaan akan menaikkan kemarahan orang yang anggap anda seperti sengaja. "Benda mudah macam ni pun tak paham!!!"

Ditambah lagi pula daya ingatan anda lemah. Benda baru berlaku tadi dah lupa tak boleh nak ingat. Itu perkara biasa berlaku pada orang tua. Dia tak boleh simpan short term memory.

Jika dia bersedia awal nak solat pukul 12.30 tengahari dan siap, maka dia akan mula bertanya dah boleh solat atau tidak setiap 2 minit sehinggalah masuk waktu. Bayangkan berapa banyak pertanyaan akan datang hanya sebab dia tak ingat bahawa dia baru saja tanya 2 minit yang lalu.

Itulah yang berlaku.

Tambah kan lagi cabarannya bila dia mula tak berapa nak dengar. Pendengarannya mula bermasalah. Biasanya bunyi berdesing kat dalam telinga yang buatkan ada kalanya cakap perlahan dia dengar tapi cakap kuat dia tak dengar.

Ada masa dengar ada masa tak dengar. Tambah lagi kesukaran untuk berkomunikasi. Dah lah kerap tanya, jawab tak dengar pulak !

Itulah yang berlaku.

Penglihatan pulak kabur. Dia nampak sikit-sikit saja. nak bergerak sukar. Nak makan sukar, semuanya serba sukar. Dia pula takut kena marah dan masih cuba nak berdikari. Lalu banyak berlaku masalah lain pula. Terpanggar tebing jatuh dan lain-lain.

Itulah yang berlaku.

Otot lemahnya, membuatkan urusan nak buang air dah tak berapa mantap. Kerap berlaku terkencing atau terberak bukan pada tempatnya. Timbul masalah lagi. Tapi itulah yang berlaku.

Dia bukan mahukan semua itu berlaku. Malah dia sendiri berada dalam tekanan berhadapan dengan semua masalah itu. Dan lebih malang dia rasa tekanan emosi tapi dia sendiri tidak memahami apa yang sedang berlaku .. tersiksa sebenarnya jika kita sendiri berada dalam keadaan itu.

Jadi cuba fahami apa yang sedang berlaku dan hanya daya kesabaran yang tinggi dalam selamatkan anda berhadapan dengan semua cabaran itu.

Perlu sendiri dalam keadaan sedar yang tinggi dengan siapa anda sedang berurusan dan wajib tahu dan faham apa yang sedang berlaku pada orang tua anda yang lemah itu.

Baru saya faham maksud ayat dalam Al-Quran kenapa disuruh kita ucapkan yang baik-baik saja dengan orang tua yang kita jaga. Sebut uhhh! pun jangan!! Sebab itu tandanya anda tak paham apa yang sedang berlaku.

Untuk selamat, ikut saja saranan Quran, cakap baik-baik, jangan mengeluh, terima saja keadaan dan cari jalan bagaimana dapat dijaga orang tua itu dengan sebaik mungkin dari awal tanpa mencalarkan sedikitpun hatinya.

Paling penting jangan sesekali ingat dia sengaja nak calarkan hati anda. Jangan pula harap dia nak jaga hati anda, dia tak mampu dan berupaya untuk buat begitu.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa yang anda perlu tahu bila menjaga dan membela ibubapa yang dah tua di rumah

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !