Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, January 30, 2009

Ayat seribu dinar - Benarlah firman Allah

  Mohd Shubhi       Friday, January 30, 2009

Ada satu hari pada awal tahun lepas, saya mendapat panggilan telefon dari seorang sahabat lama. Dia kesesakan wang untuk melangsaikan hutangnya. Dia merayu pada saya untuk meminjamkanya sebanyak RM20,000 dan berjanji untuk memulangkanya dengan memberikan PD cheque pada saya.

Puas dia merayu namun saya memang dah buat keputusan tidak akan memberikanya kerana saya dah kenal sangat yang saya tak akan dapat kembali duit saya. Lagi pun duit yang saya ada adalah duit syarikat yang mana saya ada rakan kongsi. Dengan alasan yang cukup kukuh saya berjaya menolaknya. Namun saya terasa amat bersalah dan cuba memujuk hati saya yang saya membuat keputusan yang betul.

Malam itu saya pergi solat magrib di surau dan mengikuti kuliah mingguan Hadith 40 yang biasa saya ikuti di surau di taman saya itu. Pelik sikit malam itu Ustaz mulakan dengan membawa satu hadith (kalau tak silap saya) yang tak ada dalam kitab yang diajarnya.

Dia menceritakan satu peristiwa di mana Allah mahu menguji 3 orang hamba Allah. Seorang mempunyai penyakit sopak hingga hodoh rupanya, seorang lagi ditimpa penyakit tiada seurat bulupun pada tubuh badannya, botak juga tidak elok rupanya. Dan seorang lagi merupakan seorang yang kehilangan daya penglihatan dan sukar hidupnya. Ketiga-tiga mereka hidup melarat dan disisih masyarakat.

Allah mengutuskan malaikat menemui tiap seorang dari mereka. Malaikat mendatangi yang sopak dalam rupa manusia dan bertanya padanya jika dimakbulkan doanya apakah yang dihajatinya. Si sopak lantas berkata dia hanya mahu agar penyakitnya pulih dan dikembalikan kesegaran dan keelokan rupa seperti orang biasa agar dia tidak disisih masyarakat dan dapat dia memulakan hidupnya semula. Lantas malaikat mengusap muka si sopak itu jadilah dia elok dan sempurna semula. Malaikat bertanya apakah yang diingininya buat modal membina semula kehidupanya. Dia memohon sepasang unta lalu diberikan padanya sepasang unta.

Begitulah seterusnya malaikat mendatangi si botak, bertanya soalan yang serupa, mengusap muka si botak, memulihkan semula dirinya, lebat rambutnya dan kacak, lalu di berikan sepasang sapi buat memulakan penghidupan. Kepada si buta, dipulihkan penglihatannya dan diberikan sepasang kambing untuk membina hidup baru.

Maka ketiga-tiga mereka berusaha dengan gigih sehingga penuhlah semua lembah penempatan mereka dengan gembalaan ternakan mereka dan menjadilah mereka kaya raya, ramai tenaga pekerja dan besar perniagaan mereka. Lalu tibalah masa ujian di mana Allah mengutuskan semula malaikat untuk menemui mereka bertiga.

Malaikat menemui si sopak dengan rupa seumpama sisopak ketika zaman melaratnya. Memohon simpati agar si sopak sudi mensedekahkannya sepasang unta agar dapat dia menyara hidupnya yang susah dan melarat. Jawab si sopak dia tidak dapat membantu kerana tanggungannya banyak, dan dia berniaga, jika diberikan pada orang kacaulah perniagaannya dan dia khuatir tidak dapat menyara segala tanggungannya.

Malaikat bertanya bukankah dia dulu melarat sepertinya lalu Allah mengubah hidupnya sehingga menjadi kaya. Si sopak dengan angkuh berkata ini semua adalah hasil usaha gigihnya dan tidak benarlah apa yang dikatakan oleh malaikat itu. Lalu malaikatpun mengadah tangan berkata kepada Allah, “ Jika benarlah apa yang engkau katakan ini, selamatlah engkau, jika tidak moga Allah kembalikan engkau seperti asalnya”. Lalu malaikat beredar.

Bencana mula menimpa si sopak satu demi satu ternakannya ditimpa penyakit, runtuh perniagaannya akhirnya hidupnya tidak keruan dan tidak terurus lalu kembalilah segala penyakitnya seperti asalnya.

Malaikat pergi pula menemui si botak merupakan diri seperti asal si botak dan memohon perkara yang sama, jawapan yang sama diterima, doa yang sama malaikat ucapkan lalu terjadilah bagi si sopak tadi. Si botak mengalami kejatuhan perniagaannya hingga ke tahap gugurlah semua bulunya menjadikan dia seperti asalnya.

Malaikat pergi menemui si buta lalu merupakan dirinya seorang yang buta dan memohon simpati agar di sedekahkan padanya sepasang kambing untuk dia menyara hidupnya. Namun si buta ini lain pula daripada kedua orang yang tadi. Melihat orang yang memohon simpatinya itu dia lalu berkata yang dia dulunya asalnya seperti itulah juga, hidup melarat disisihkan masyarakat lalu Allah mendatangkan pertolongan padanya sehingga dia menjadi kaya raya.

Si buta lantas berkata pada malaikat itu ambillah semua ternakan dan perniagaannya hanya tinggalkan padanya sepasang kambing sahaja agar dapat dia membina semula perniagaannya. Dia berkata mungkin pemberian Allah padanya selama ini merupakan pinjaman sahaja untuk menolong si buta tersebut.

Maka selamatlah si buta dari ujian tersebut. Kata ustaz itulah kelebihan orang yang buta di mana hati mereka biasanya lembut kerana tidak dicemari oleh dosa yang kebanyakannya berpunca dari mata.

Kuliah malam itu tamat di situ dan ia mengundang seribu satu soalan dalam benak kepala saya. Saya terasa seperti ustaz menujukan cerita itu pada diri saya seorang saja malam itu. Rasa bersalah menghantui saya teringatkan rayuan kawan saya pagi tadi. Dan yang paling mengerikan ialah ancaman Allah seperti yang berlaku pada si sopak dan si botak. Saya tak henti memohon keampunan dan berjanji akan menolong jika di minta oleh sahabat selepas ini.

Memang saya mendapat dugaan keesokannya harinya apabila pagi-pagi lagi saya di telefon oleh seorang sahabat yang lain dalam kesukaran yang amat sangat menangis merayu saya pinjamkannya sebanya RM20,000 hari itu juga.....saya jadi berdebar antara percaya tidak percaya.

Saya sambung lagi lain kali...
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Ayat seribu dinar - Benarlah firman Allah

Previous
« Prev Post

2 comments:

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !