Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, January 28, 2009

Budaya Korup Yang Berleluasa

  Mohd Shubhi       Wednesday, January 28, 2009

Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang kawan yang bekerja di sebuah agensi kerajaan. Dia memberikan kepada saya satu nombor telefon untuk saya hubungi. Orang tersebut mempunyai satu peluang dimana khidmat kawalan serangga perosak diperlukan. Kawan saya tersebut menyuruh saya menghubungi nombor yang diberikannya itu untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut.

Saya terus menelefon nombor yang diberikannya dan menetapkan temujanji pada hari itu juga. Petang itu saya ke KL untuk berjumpa dengan orang yang saya hubungi itu. Kami berjumpa di sebuah kedai makan di Jalan Tangling.

Sampai di sana saya di perkenalkan pada seorang lagi rakan kepada orang yang saya telefon tadi. Seorang pemuda yang nampak tenang dan berkeyakinan tinggi. Di ringkaskan cerita pemuda itulah sebenarnya yang mahu memberikan saya peluang kontrak “pest control” di salah sebuah agensi kerajaan yang penting.

Pemuda itu merupakan seorang usahawan yang menceburkan diri dalam berbagai perniagaan. Sepertimana yang dia beritahu saya, dia ada sebanyak 7 syarikat dalam berbagai bidang, Cuma bidang pest control dia tak ada, jadi dia mahu menggunakan saya untuk mendapatkan peluang tersebut.

Dia kata kenalannya merupakan seorang pegawai yang mempunyai kuasa untuk memberikan kontrak pest control dalam jabatan kerajaan yang dia bertugas. Dulu kawannya itu banyak memberikan bermacam-macam kontrak kepadanya, namun kawanya itu dihantar untuk melanjutkan pelajaran, maka peluangnya untuk buat duit di jabatan kerajaan tersebut terputus.

Kini kawannya itu telah kembali bertugas dengan pangkat yang lebih tinggi lagi, dan memanggilnya untuk memberikan berbagai peluang buat duit semula. Saya berkata yang itu merupakan satu peluang yang amat bagus, tentulah saya berminat.

Dia menyatakan yang berurusan dengan kawannya itu memerlukan saya memberikan wang sebanyak 10% daripada nilai PO yang akan dikeluarkan. Di samping itu ada juga komisyen yang saya perlu berikan pada dirinya sendiri dan orang yang memperkenalkan saya padanya. Namun semua wang yang diberikan itu saya akan ambil dari kontrak yang saya akan dapatkan.

Saya menganguk saja dan hanya mengikuti proses seterusnya. Selesai kami makan saya pergi ke keretanya untuk mengambil salinan dokumen harga kontraktor yang yang sedang menjalankan perkhidmatannya sekarang (yang kontraknya telah pun tamat baru-baru ini).

Dia mengeluarkan dokumen itu dari kereta Mercedes hijaunya dan menunjukkan pada saya. Pada mulanya dia hendak memberikan pada saya dokumen tersebut tapi berubah fikiran. Dia berjanji akan meng email kan pada saya pada hari itu juga. Dia mengingatkan saya yang saya mesti cepat menganalisa kontrak tersebut dan berikan harga saya kepadanya.

Keesokan harinya dia telefon saya memberitahu yang dia tak dapat email tapi dia telah membuat satu salinan untuk saya pergi ambil. Saya pun akur dengan suruhannya itu walaupun dalam hati saya amat berat untuk meneruskan kerjasama dengan urusan yang melibatkan rasuah itu. Bermacam halangan saya lalui dari pagi hingga ke malam barulah dapat saya ambil dokumen itu.

Ambil saja saya terus meneliti satu persatu segala terma dan syarat kontrak itu. Ada satu bahagian yang amat saya tertarik. Kontrak itu menyatakan dengan begitu jelas sekali bahawa segala ganjaran dalam bentuk wang atau apa sekali pun tidak boleh dibuat sama ada kepada mana-mana pegawai kerajaan yang bertugas dijabatan itu atau kepada pihak ketiga.

Saya tertanya-tanya adakah orang yang menaip terma dan syarat itu tak sedar apa yang ditulisnya...? atau hatinya telah terlalu hitam untuk membezakan yang halal dan yang haram.

Beberapa hari kemudian pemuda yang saya sebutkan tadi menelefon saya bertanyakan samada saya telah siap dengan harga saya. Saya akhirnya berterus terang dengannya yang saya memang berminat untuk kontrak itu, tapi disebabkan hal komisyen yang perlu saya aturkan membuatkan saya berundur diri. Saya katakan padanya berilah pada orang lain, saya tak mahu terlibat.

Pemuda itu amat marah sekali dengan saya dan meminta saya memulangkan segala dokumen yang telah diberikannya pada saya. Saya berjanji untuk memulangkannya semula.

Apa yang saya paparkan ini merupakan perkara biasa yang sering terjadi pada usahawan seperti saya yang cuba untuk mendapatkan kontrak dengan jabatan kerajaan. Kalau tak bagi duit tak dapatlah kerja kontrak itu. Hanya orang yang sanggup sahaja yang akan dapat berbagai peluang seperti pemuda yang saya berjumpa itu.

Memanglah dia nampak amat bergaya dan berjaya. Sampai ada 7 syarikat, pejabat di serata tempat, tapi sampai kemana destinasinya...? Kita harus sedar yang kita berurusan dengan wang rakyat, kita kaya hasil dari korup kita mengunakan wang rakyat. Berapa ramai rakyat Malaysia yang kita kena jawab di Padang Masyar nanti.

Memang amat berat untuk melepaskan peluang seperti diatas. Kadang-kadang saya terfikir semua orang buat kenapa saya tak buat, kalau saya tolak orang lain akan ambil dari bagi kat orang lain lebih baik saya yang ambil.

Tapi saya bertekad untuk menolak semua amalan korup seperti diatas, moga Allah memberikan kekuatan pada saya untuk berjaya dalam perniagaan tanpa melibatkan diri dalam korupsi. Saya yakin ramai usahawan di luar sana yang seiring dengan saya. Saya menyeru kepada semua usahawan marilah kita sama-sama menghancurkan budaya tidak jujur, tak amanah, tamak, dan tak berhati perut pegawai-pegawai kerajaan yang korup di Bumi Allah ini.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Budaya Korup Yang Berleluasa

Previous
« Prev Post

6 comments:

  1. Satu tulisan yang mengambarkan situasi sebenar perniagaan di Malaysia. Saya amat terharu dan menyokong tindakan saudara. Moga Allah akan lipatgandakan rezeki untuk kita, Insya-Allah.

    Banyak lagi rezeki Tuhan yang menanti kita dari sumber-sumber yang tak disangka-sangka. Bukankah ini janji Tuhan kepada orang yang bertaqwa ?

    ReplyDelete
  2. Tuan, cuba baca artikel saya ini.

    http://www.shahabudeenjalil.com/2009/01/dimarahi-kerana-enggan-beri-rasuah.html

    ReplyDelete
  3. Karangan yg mengagumkan.Syabas dan tahniah diucapkan.Tapi kalau saudara bleh bg tazkirah sikit org yg bagi rasuah tu lagi bgs.

    Moga2 Allah cukupkan rezeki yg ada pada kite semua.

    Kepada org2 yg suka bg rasuah, insaflah sementara masih hidup sihat lagi nie...ketahuila bahawa Allah akan mencukupkan rezeki yg DIA berikan kepada hamba2NYA w/pon dgn sebuku roti...

    ReplyDelete
  4. Kepada semua yang memberi komen, terima kasih.

    ReplyDelete
  5. saya rasa rasuah ni memang agak sukar untuk dibendung walaupun tidak mustahil. saya baru ni cuba 'test' market. seorang pembekal berjaya membekalkan barang kepada syarikat saya. mungkin kerana nilaian nya agak besar, saya rasa dia mungkin rasa 'terhutang budi' pada saya .tak tahulah mungkin dia ikhlas niat nak bagi duit, saya tidak tak tahulah. tapi saya biasa dengar kontraktor biasa letak duit dalam bonet kereta dll. dalam kes saya, barang sudah selesai dihantar/bayaran dah dibuat jadi mungkin tak timbul hal nak merasuah atau minta rasuah. tapi saya cakap terus terang kat dia saya tak terima duit. dia agak terperanjat. saya cakap jalan terbaik kalau dia nak bagi juga duit adalah dengan form a company atau perkongsian berniaga sama sama, at least, saya dapat jugak pengalaman macam mana dia dah berniaga selama berpuluh tahun.

    kemungkinan dia tak setuju tapi at least saya boleh tidur malam dan saya tak bagi makan anak anak saya dgn duit yang tak tau halal ke tidak.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !