Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, September 24, 2009

Faham Agama

  Mohd Shubhi       Thursday, September 24, 2009

Balik raya di kampung baru-baru ini saya sempat berkumpul bersama teman-teman kampung pada malam raya kedua di sebuah kedai tom yam di Permatang Pauh yang kebetulan sudah mula berniaga walaupun pada hari raya.
Malam itu kami membincangkan isi kutbah yang disampaikan oleh kawan saya yang kami panggil Ustaz yang turut sama minum pada malam tersebut. Tajuk yang kami bincangkan berkisar tentang sebuah hadith yang amat terkenal yang semtiasa di mulakan pada setiap kitab fikah lama di negara kita iaitu yang maksudnya lebih kurang begini jika diterjemahkan kedalam bahasa kita:

" Barang siapa yang Allah hendakkan kebaikan padanya maka Allah akan berikan padanya kefahaman pada agamanya"

Malam itu Ustaz mengutarakan apa yang dimaksudkan dengan faham agama atau dalam bahasa Arabnya "Fakih Ad-Din", kebiasaanyan ia diterjemahkan dengan faham agama.

Ustaz bertanyakan kepada saya apa pemahaman saya terhadap istilah Fakih Ad-Din tersebut. Saya hanya baru sempat mengutarakan bahawa faham agama itu merupakan paduan selari antara ilmu dan amal.

Tak sempat saya menyambung, Ustaz terus memberikan jawapannya yang panjang lebar tetapi saya rasa berulang-ulang dengan hanya menekankan pada tahu dan amalkannya.

Ustaz menekankan dengan memberikan contoh solat berjemaah yang rata-rata tahu akan kelebihannya tapi amat sedikit yang mengamalkannya, maka itu menunjukkan orang tersebut hanya mengetahui tetapi dia tidak fakih sebagaimana maksud hadith.

Maka rumusannya Ustaz menekankan bahawa amat berbeza antara berilmu sahaja tanpa mengamalkannya.

Saya hanya mendengar khutbah ulangan Ustaz pada malam itu yang berulang-ulang berkisar pada perkara yang sama dan pada pendapat saya tidak menggambarkan maksud mendalam dan tepat tentang apa itu Fakih Ad-Din.

Saya ingin menyatakan pendapat saya pada malam itu tetapi tiada diberikan ruang untuk bercakap, maka saya terpanggil untuk memberikan ulasan saya dalam entri kali ini.

Dalam Hadith tersebut menyatakan bahawa Allah memberikan kefahaman agama pada siapa yang Dia berkehendakkan kebaikan. Agama yang dimaksudkan disini sudah tentulah agama Islam dan agama Islam merupakan cara hidup yang tidak dapat dipisahkan dari cara kita menjalani kehidupan seharian kita.

Dalam agama Islam, kefahaman yang paling utama sekali sudah tentu adalah mengenal Tuhan yang menciptakannya. Di sini amat jelas sekali bahawa barang siapa yang mengenal Tuhannya maka Allah telah memberikan kebaikan yang paling utama kepada orang itu.

Untuk mengenali Tuhannya, seseorang itu tidak dapat mengelak dari menuntut ilmu yang berkenaan dengan akidah atau yang kita namakan ilmu Tauhid. Walaupun mengakui kepada adanya Pencipta Yang Maha Tinggi merupakan fitrah semula jadi manusia kita masih memerlukan pedoman melalui Rasul untuk mengenal siapa sebenarnya Tuhan yang patutu di perhambakan diri. Ini menjelaskan betapa menuntut ilmu dan memahaminya merupakan satu kebaikan kepada orang itu yang Allah kurniakan kepadanya dalam memahami agamanya.

Apabila dia mengenal Tuhannya maka dia mengaku dengan iktikadnya, mengucapkan dengan lidahnya, dan beramal dengan perbuatannya segala apa tuntutan yang jatuhkan ke atas dirinya.

Dalam hal beramal segala tuntutan agamanya maka Islam membahagikan segala amalan kepada 5 perkara iaitu, Wajib, Haram, Sunat, Makruh dan Harus.

Dalam lima perkara tersebut di atas yang tiada kompromi adalah 2 perkara yang pertama iaitu mengerjakan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Dalam itupun jika kadang kala kita tersasul, terlalai atai leka kita masih diberikan ruang untuk segara bertaubat yang mana bertaubat itu sendiri adalah termasuk dalam perkara yang wajib.

Dalam kita mahu mengamalkan segala perkara yang wajib dan meninggalkan yang haram itu kita tidak dapat lari dari mempelajari dan memahami kedua perkara yang tersebut itu. Adalah mustahil kita dapat mengenalinya hanya melalui ilham yang datang tiba-tiba. Maka ini menjelaskan sekali lagi betapa faham agama itu tidak dapat lari dari menuntut ilmu.

Di peringkat kedua di atas dengan anugerah yang Allah kurniakan pada seseorang itu dalam keupayaan dan minatnya mendalami hal-hal yang wajib dan haram, Allah telah memberikannya kebaikan yang kedua yang meningkatkan lagi kurniaan kebaikan kepada seseorang itu.

Peringkat ketiga adalah anugerah Tuhan kepada kita dalam mengenal perkara yang sunah dan makruh dengan diberikan kepada kita kecenderungan untuk mengenalinya juga dengan menuntut ilmu. Adalah sesuatu yang sesat juga jika kita pandai-pandai sendiri mengklasifikasikan segala yang sunat dan haram itu ikut rasa sedap hati sahaja. Ternyata faham agama masih tidak dapat lari dari menuntut ilmu.

Dalam hal sunat dan makruh ini, adalah sesuatu yang agak mustahil bagi seseorang manusia biasa seperti kita untuk mengamalkan segala yang sunat dan meninggalkan segala yang makruh.

Ini menolak fahaman ustaz tadi bahawa Fakih Ad-Din itu tidak terpakai pada mereka yang tidak beramal dengan ilmunya.

Tetapi adalah sesuatu yang biasa dan mampu untuk kita mendalami sebanyak mungkin segala hal-hal yang berkenaan dengan yang sunat dan makruh sebagai satu kumpulan ilmu yang dapat kita manafaatkan dengan menyampaikan pada orang lain yang mungkin dapat diamalkan oleh mereka walaupun jika kita tidak dapat mengamalkannya atas sebab-sebab tertentu. Lagipun ia adalah sesuatu yang sunat yang tidak berdosa jika di tinggalkan. Begitulah juga sebaliknya kepada perkara-perkara yang harus.

Apabila kita mencapai tahap yang ketiga di atas maka ia merupakan satu anugerah lagi pada peringkat yang ketiga yang mana ternyata tahap kebaikan yang lebih tinggi yang Allah kurniakan pada mereka yang Dia berkehendakkan kebaikan padanya.

Perkara yang selanjutnya adalah dengan mengetahui perkara-perkara yang harus yang buat pun tak apa, tak buatpun tak apa.

Satu perkara yang amat penting adalah mengetahui batasan batasan tertentu yang mana sesuatu perkara itu dapat jatuh dari sunat kepada wajib, atau dari makhruh kepada haram atau dari harus boleh naik kepada wajib atau kepada sunat atau boleh jatuh kepada makhruh atau kepada haram.

Itu juga merupakan satu anugerah daripada kecenderungan kita menuntut ilmu dan dikurniakan kefahaman oleh Allah dalam mengenal segala batasan-batasan. Maka beroleh kebaikan yang tinggi lagi pada mereka yang dikurniakan Allah keupayaan memahami perkara tersebut itu.

Apabila kita mengenal segala batasan itu maka kita akan berupaya mengutamakan yang lebih utama dari segala yang utama. Ini dapat memelihara kita daripada menekankan perkara yang lebih utama untuk disampaikan dan di amalkan daripada membicarakan perkara yang kurang utama sedangkan perkara utama kita masih belum selesai.

Dengan unugerah faham agama juga kita dapat mengenal pasti perkara utama dalam sesuatu situasi sepanjang kita menjalani kehidupan kita. Sudah tentu dengan keupayaan tersebut yang juga memerlukan ilmu dan pemahaman serta kajian dan pemikiran merupakan suatu kebaikan yang amat tinggi yang Allah kurniakan pada seseorang yang mana ia dapat dimanafaatkan oleh orang itu sendiri juga dapat dimanafaatkan oleh segala orang yang rapat dengan orang tersebut.

Daripada huraian saya yang tidak seberapa ini saya harap dapat dibaca oleh Ustaz yang pada malam tersebut tidak memberikan peluang pada saya menyatakan pendapat saya yang daif ini. Mungkin Ustaz mahu menempelak mereka yang perjuangkan Islam tetapi mereka sendiri kurang beramal dengan tuntutan Islam.

Saya faham maksud Ustaz yang sering mempertikaikan mereka tersebut yang tidak memakai kopiah, tidak berjubah, tidak bersugi dan lain-lain. Tetapi kebanyakan daripada tempelakan Ustaz banyak berkisar dalam perkara-perkara sunat atau makruh yang mana saya huraikan di atas merupakan kebaikan peringkat ketiga.

Sedangkan dalam masyarakat kita sekarang ini, untuk mencapai kebaikan peringkat pertama dan keduapun adalah amat sedikit sekali. Berilah masa serta peluang mereka yang telah mencapai kebaikan peringkat pertama untuk mencapai kebaikan peringkat kedua dan seterusnya keperingkat yang lebih baik lagi dan janganlah kita memperlekehkan mereka untuk sama-sama menyumbang berdakwah kepada manusia setakat kemampuan mereka. Wallahu'alam.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Faham Agama

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !