Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, October 29, 2008

Merekrut pekerja

  Mohd Shubhi       Wednesday, October 29, 2008
Untuk membina sebuah syarikat yang berjaya kita perlu mengumpulkan satu kumpulan pekerja yang cemerlang. Adalah mustahil sesuatu syarikat itu dapat pergi jauh tanpa disokong oleh individu pekerja yang cemerlang yang sama-sama mempunyai cita-cita untuk membentuk dan membina karier yang cemerlang

Saya menjadikan rekod kemajuan seseorang itu sebagai satu pedoman untuk menentukan tahap kesesuaian seseorang pekerja itu. Saya percaya seseorang itu berpotensi untuk berjaya apabila dia bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan atau cabaran.

Seperti yang ditulis oleh Thomas Freidman dalam bukunya "The world is flat", dalam suasana globalisasi sekarang ini mereka yang berjaya adalah mereka yang mampu belajar untuk belajar. Ini di sebabkan perubahan teknologi dan perniagaan dunia sekarang berputar amat laju dan mereka yang tidak menyediakan diri mereka menjadi mesin menuntut ilmu akan tertinggal jauh ke belakang.

Semasa saya menjadi pengarah urusan syarikat Ochre Pest Control Sdn. Bhd. saya membina syarikat itu melalui 3 peringkat. Peringkat yang pertama saya namakan sebagai "Kreativiti". Dalam peringkat ini usahawan adalah pemacu utama untuk mencapai matlamat menjadikan syarikat mampu bertahan.

Untuk bertahan syarikat wajib mempunyai sekumpulan pelanggan yang cukup untuk menyara segala kos operasi syarikat. Menjana keuntungan bukanlah menjadi matlamat dalam peringkat "Kreativiti" ini. Usahawan perlu menjadi seorang yang amat kreatif pada peringkat ini kerana sebab-sebab berikut:
1. Menjimatkan kos
2. Tidak mampu mengambil pekerja tambahan.
3. Tiada pembahagian jabatan tertentu dalam pengurusan syarikat.

Urusan operasi, pemasaran, jualan, kewangan dan lain-lain semuanya dilaksanakan oleh usahawan. Sebab itulah ianya menjadi kreatif. Otak harus ligat untuk mencari formula yang mempercepatkan semua proses di atas dan menjadikan ianya berkesan. Semua urusan kewangan, pemasaran, jualan, operasi harus tetap dilaksanakan dengan berkesan.

Adalah perkara biasa ramai yang gagal dalam peringkat ini kerana tidak tahan dengan cabaran atau tidak cukup ilmu dalam salah satu atau setiap bidang tersebut. Kalau mampu bertahanpun akan hancur juga apabila meninggalkan salah satu dari urusan yang tersebut.

Alhamdulillah saya berjaya mengharungi peringkat pertama itu dan meneruskan peringkat kedua yang saya namakan "Delegasi". Pada peringkat ini usahawan tidak boleh terus menerus membuat semua urusan sendiri.

Dia harus mula menurunkan sebahagian dari kerja kepada orang lain. Orang itu harus menerima tanggungjawab tersebut dan usahawan akan bertindak sebagai jurudidiknya.

Urusan yang pertama yang saya turunkan ialah urusan operasi. Saya merekrut seorang yang berpengalaman dalam operasi kawalan serangga perosak untuk melihat semua aktiviti operasi syarikat sambil di bimbing oleh saya.

Orang yang saya pilih tidak menghampakan saya dan beban operasi separuh telah terlepas dari bahu saya. Walaupun tidak sempurna sebagai yang saya impikan namun saya ambil itu sebagai satu pelajaran.

Pengurus operasi tersebut berpengalaman lebih dari 15 tahun dalam operasi dan itulah kerjanya dari ia mula bekerja sehinggalah berlalu 15 tahun berlalu dia lansung tidak bertukar status sebagai juruteknik servis.

Apa yang saya belajar dalam merekrut pengurus operasi...?

1. Kesetiaan kepada satu jenis tanggungjawab pekerjaan terlalu lama menunjukkan orang itu bukan seorang yang bersedia menerima perubahan.

2. Saya tersilap dengan memberi status pengurus operasi kepadanya. Melompat dari Juruteknik terus ke Pengurus merupakan satu langkah yang tidak bijak. Sepatutnya saya memberinya status sebagai Juruteknik Kanan sahaja atau penyelia. Memahami teknik pengurusan sumber manusia rupanya amay penting...!.

Akibat dari kesilapan yang saya anggap kecil itu saya mendapat pekerja yang lemah dalam pengurusan dan tidak mampu membuat keputusan.

Proses penurunan tanggungjawab kedua saya ialah dalam jurusan pemasaran dan jualan. Belajar dari kesilapan di atas saya kali ini lebih berhati-hati. Saya bertemu seorang yang sesuai dalam kerja tersebut, namanya Adi (bukan nama sebenar).

Adi bermula dari operator servis maju setapak demi setapak sehingga menjadi eksekutif Jualan dan pemasaran. Melihat rekodnya saya merumuskan Adi adalah seorang yang mampu menerima perubahan dan berdaya maju. Saya terus menerimanya sebagai pengurus Jualan dan pemasaran. Sebagaimana yang dijangkakan aktiviti jualan syarikat amat positif dan banyak pelanggan baru yang diperolehi.

Namun ada juga silapnya, Adi rupanya seorang yang tidak jujur dan tidak suka duduk berbincang. Dia seorang yang sukar menerima teguran akibat dari sikapnya yang jarang menganalisa kesilapan diri sendiri. Mungkin dia mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri yang amat tinggi menyebabkan dia rasa semua tindak tanduknya adalah yang terbaik.

Saya terserenpak dengan aktivitinya yang mencurigakan menyalahgunakan barang-barang syarikat dan menjual bahan kimia syarikat untuk mencari duit lebih. Yang paling menyakitkan ialah dia tidak pernah menghadiri mesyuarat pengurusan syarikat. Ini menyukarkan saya mencatur halatuju syarikat dan akhirnya saya memberi kata dua padanya samada berubah atau berhenti. Dia memilih untuk berhenti.

Begitulah ceritanya tentang liku-liku merekrut pekerja yang telah dialami sepanjang menguruskan syarikat Ochre Pest Control Sdn. Bhd. Sekarang saya menguruskan syarikat lain iaitu Knockout Fumigation Sdn. Bhd. dan saya tarnanti-nanti apa pulayang bakal saya hadapi.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Merekrut pekerja

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !