Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, October 29, 2008

Antara Business dan Kebajikan

  Mohd Shubhi       Wednesday, October 29, 2008
Sebagai seorang usahawan, fokus saya adalah untuk menjadikan syarikat saya sebagai sebuah syarikat yang bertaraf dunia. Dalam apa saja usaha kita walaupun kita hanya seorang penyapu sampah, kita hendaklah berazam untuk menjadi seorang penyapu sampah yang terbaik di dunia atau "World Class" kata orang putih.

Syarikat saya kini sedang berada di tahap kedua fasa pembesarannya dan ia memerlukan proses delegasi kerja untuk tiap-tiap bidang seperi operasi, pemasaran, sumber manusia dan kewangan.

Setakat ini tiada masalah dalam proses mencari dan menawarkan kerja pada individu yang akan menguruskan perjalanan operasi. Semuanya berjalan dengan lancar walaupun masih terlalu banyak yang boleh dipertingkatkan.

Selesai urusan operasi saya mula mencari calon yang sesuai yang boleh saya harapkan bagi membina jabatan pemasaran dan jualan syarikat saya. Dalam mencari-cari itu saya dihubungi oleh Adi (bukan nama sebenar) yang yang pernah bekerja dengan syarikat saya sebelum ini, Ochre Pest Control Sdn. Bhd. Dia memohon untuk berjumpa dengan saya.

Saya bersetuju dengan permintaannya itu dan kamipun berjumpa di sebuah restoran di Subang Jaya. Tujuan Adi berjumpa dengan saya rupanya adalah untuk memohon pekerjaan.

Dia menyesal dengan apa yang telah berlaku sebelum ini dan dia telah sedar dengan kesilapannya. Dia berjanji akan membuktikannya jika saya memberinya peluang.

Saya pada mulanya sangsi untuk mengambilnya namun setelah dia benar-benar memohon dan tambahan pula katakan yang dia tiada mata pencarian sekarang untuk menyara keluarganya saya pun akhirnya setuju untuk mengambilnya. Dia amat gembira sekali dan berjanji akan berusaha dengan gigih untuk tidak mengecewakan saya.

Saya meyakinkan yang saya membuat keputusan yang betul pertamanya berdasarkan prinsip untuk membantu orang yang susah dan keduanya kita harus memberi peluang pada orang yang mahu berubah.

Mulanya dia nampak benar-benar berubah. Semua mesyuarat mingguan dihadirinya, sentiasa memberi maklumat perkembangan dan selalu bekerja lebih masa dan kadang kala membantu urusan operasi walaupun ianya bukanlah tanggungjawabnya.

Saya makin yakin yang saya membuat keputusan yang betul. Dia memohon untuk syarikat memberinya sebuah kereta bagi memudahkannya melaksanakan kerjanya. Saya tunaikan permintaannya.

Dia memohon di lebihkan jumlah tuntutan perbelanjaan aktiviti jualannya, saya luluskan, dan berbagai lagi kemudahan yang lain. Asal saja ianya dapat membantu melancarkan kerjanya saya luluskan saja.

Selang beberapa bulan dia mula sering ponteng menghadiri mesyuarat mingguan, jarang sekali ke pejabat hingga ke tahap tidak menjawab panggilan jika saya menghubunginya dengan telefon.

Saya mula syak sesuatu yang tidak kena. Akhirnya saya mendapat tahu dia telah melesapkan duit syarikat ribuan ringgit. Duit yang dia ambil dari pelanggan digunakan untuk kepentingan sendiri secara diam-dian.

Rupanya saya melakukan kesilapan dengan memberi peluang dan mengambilnya bekerja untuk kali kedua, cuma kali ini saya dapat mengesannya lebih awal dan membuangnya dengan segera tanpa tanguh-tanguh lagi.

Mungkin punca kesilapan saya ialah tidak dapat membezakan di antara perniagaan dan kebajikan. Jika saya memegang teguh prinsip perniagaan tentu saya tidak akan mengambil Adi sekali lagi bekerja. Nampaknya saya harus menambah satu lagi polisi merekrut pekerja iaitu pekerja yang telah diberhentikan atas sebab disiplin salah laku tidak layak untuk ditawarkan bekerja semula.

Semoga penambah baikkan yang tidak jemu-jemu akan menjadikan syarikat saya bertaraf dunia.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Antara Business dan Kebajikan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !