Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, March 2, 2009

Antara Lebuhraya dan Jalan Kampung

  Mohd Shubhi       Monday, March 2, 2009

Umum sudah mengetahui betapa saban tahun kadar tol semakin meningkat dan menjerut uncang duit rakyat Malaysia yang sering menggunakan lebuhraya bertol. Rakyat kebingungan kerana mereka difahamkan bahawa segala kemudahan seperti lebuhraya yang dibina di negara kita ini adalah hasil dari keperihatinan kerajaan yang memerintah untuk memberikan kemudahan, keselesaan dan pembangunan kepada rakyat yang telah memilih mereka. Namun apa yang berlaku sebaliknya, kemudahan yang disediakan itu semakin lama semakin tidak mampu digunakan mereka.

Kenapa tidak semua kemudahan jalanraya yang ada dapat digunakan secara percuma sahaja, seperti jalan masuk ke kampung saya misalnya...?

Jalan masuk ke kampung saya sudah bertar sejak lama dulu, terima kasih kepada kerajaan yang memerintah kerana menguruskan pembinaan jalan tersebut hasil dari duit kutipan cukai. Maka jalan yang terbina itu merupakan hak rakyat. Juga terima kasih kepada tuan-tuan tanah yang membenarkan tanah mereka digunakan untuk kepentingan umum. Hanya Tuhan sahaja yang membalas keikhlasan mereka.

Apabila jalan yang menjadi hak rakyat itu siap dan digunakan dengan percuma, sering berlaku kerosakan seperti berlubang, pecah, air bertakung, semak samun tak terurus di kiri kanan jalan, dan berbagai hal lagi. Sekali berlaku kerosakan, masa yang amat lama diperlukan untuk dibaiki. Kalau ada warga kampung yang perihatin, mereka akan membaikinya sendiri, itupun jika kerosakan itu senang di baiki.

Jalan raya kampung juga sempit, kalau dulu hanya ada beberapa buah kereta sahaja yang sering lalu lalang masuk dan keluar kampung, kini boleh dikatakan hampir semua rumah dikampung memiliki kereta. Luas jalan kampung itu masih juga seperti dulu. Tak ada siapa ambil kisah sangat, kalau adapun mungkin makan masa untuk mengambil tindakan.

Jalan kampung juga tiada tanda jalan, kalau masuk kedalam kena hafal macam mana nak keluar, tak ada penunjuk arah. Kalau tak ingat boleh sesat. Nak cari rumah kena tanya orang, kalau tak tanya jangan harap nak jumpa.

Kalau kereta rosak tepi jalan, tak ada kereta towing lebuhraya datang membantu, tak ada trafik meredakan lalu lalang. Kalau muka manis, adalah orang kampung datang menolong, kalau sombong alamat buat sendirilah uruskan kerosakan.

Kalau letih atau dahaga boleh singgah kedai kopi kampung sekejap melepaskan lelah, tapi kena melilau cari dulu, silap-silap tak ada, kena keluar ke pekan semula untuk cari kedai minum.

Begitulah jalan percuma, terimalah seadanya, jangan komplen.

Kalau nak dibandingkan dengan lebuhraya amat jauh perbezaannya. Penyelenggaraannya sempurna, kerosakan segera dibaiki, jalan sempit dibesarkan, tanda jalan tersusun rapi, tempat rehat selesa, ada yang macam kopitiam, dan tak perlu tanya orang kerana ada papan tanda yang sentiasa memberi panduan letaknya kawasan rehat

Kalau kereta rosak bantuan akan segera datang. Pemandangan sepanjang perjalanan mendamaikan, dengan landskap yang kemas dan rapi, tak perlu risau semak menghalang perjalanan.

Kalau ada cadangan atau tak puas hati, masukkan saja surat cadangan kedalam peti cadangan, kalau tak jalan, hantar surat ke akhbar untuk disiarkan, sekejap saja isu itu di selesaikan, tak payah tunggu lama. Pendek kata serba sempurna keadaan lebuhraya itu.

Kenapa perbezaan ketara tersebut berlaku...? sebabnya yang satu itu percuma, yang satu lagi berbayar. Yang percuma itu, khidmat kemasyarakatan yang sukarela, yang berbayar itu satu perniagaan yang berorientasikan keuntungan.

Terdapat desakan dari pelbagai pihak agar kerajaan mengambil alih syarikat lebuhraya. Jadikan dia satu badan perkhidmatan kerajaan seperti lain-lain badan kerajan. Ini akan dapat mengawal kadar kenaikan tol atau mungkin akan dapat mempercumakan lebuhraya. Orang ramai hairan kenapa tol sering naik tak turun-turun, sedangkan tak pernah dengan lebuhraya mengalami kerugian, sering kedengaran pekerja lebuhraya mendapat bonus berbulan-bulan, kenapa nak naik lagi kadar tol ?.

Dalam perniagaan, yang membezakannya dengan perkhidmatan kerajaan ialah keuntungan material atau kewangan.

Dalam perniagaan, jumlah pelaburan ditentukan oleh pulangan jika ada pulangan adalah pelaburan, jika ada pelaburan segala tenaga dikerah untuk memastikan ada pulangan, maka ia amat berorientasikan pencapaian yang amat berkait rapat dengan keuntungan.

Dalam perkhidmatan kerajaan, pelaburan atau budget amat terhad. Harapan rakyat sentiasa tinggi dan semua rakyat tak kira dari golongan manapun harus dipenuhi, kerajaan tidak dapat memilih hanya satu-satu sasaran sahaja. Untuk memenuhi semua permintaan, dengan budget yang terhad, tenaga kerja yang berupa pegawai kerajaan dikerah untuk memuaskan hati semua pihak, dalam dunia moden sekarang ini, ianya merupakan satu kerja hampir gila yang tak dapat diterima oleh kebanyakan manusia.

Apabila lebuhraya dikerajaankan, hilanglah motivasi kesempurnaan perkhidmatan, kerja menjadi sambil lewa, rasuah juga akan meningkat naik, rungutan hanya akan dipenuhi setiap kali pilihan raya sahaja, alamat lebuhraya kita hanya akan di selenggara 4 atau 5 tahun sekali.

Mungkin kita dapat selesaikan semua masalah diatas jika ada seorang jutawan, hartawan Muslim yang amat soleh yang amat mengharapkan keredhaan Tuhan, yang mahu berkorban demi dakwah Islam dengan membeli semua lebuhraya di Malaysia dan menjadikan itu satu sumbangan kemasyarakatan yang tidak berorientasikan keuntungan dunia, tapi mengharapkan keuntungan akhirat semata, seperti mana Saidina Abu Bakar membeli telaga air dari Yahudi untuk kegunaan umat Islam dan melepaskan belenggu masalah umat yang perlukan air.

Saya cabar pada kita semua, umat Islam di Malaysia untuk menjadikan ini salah satu sasaran perjuangan dakwah kita. Inilah peluang kita untuk berdakwah dan beramal, kita ubah landskap pemikiran umat Malaysia dan dunia, Insyaallah.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Antara Lebuhraya dan Jalan Kampung

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !