Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, August 4, 2009

Bagaimana Mula Niaga Tanpa Modal Wang

  Mohd Shubhi       Tuesday, August 4, 2009

Saya menjadi usahawan perniagaan perkhidmatan kawalan serangga sejak tahun 2003. Kerja saya yang terakhir sekali ialah sebagai penolong pengurus jualan dan pemasaran di sebuah syarikat logistic yang terbesar di dunia DHL.
Sebelum itu saya telah bertekad untuk berhenti kerja makan gaji pada umur 35 tahun dan pada tahun itu 2003, bulan Jun akan genap umur saya 35 tahun. Pada ketika itu saya tidak ada mempunyai modal lansung untuk memulakan perniagaan. Namun saya amat percaya apa yang kawan saya pernah memberitahu bahawa tak ada duit bukan lah satu sebab untuk tidak boleh berniaga.
Saya teruskan juga niat saya untuk berniaga dengan mencari jalan memulakan perniagaan tanpa memerlukan modal duit yang memang saya tak ada lansung.
Memang amat mencabar ketika itu kerana saya baru saja 2 tahun mendirikan rumah tangga dan baru saja mendapat seorang anak dan isteri pula sedang mengandungkan anak yang kedua. Duit simpanan pula tiada lansung ketika itu.
Lagi dua bulan saya genap berumur 35 saya memberikan surat berhenti kerja saya kepada Bos saya ketika itu yang amat terkejut dengan keputusan yang tiba-tiba tanpa ada angin atau ura-ura untuk berhenti pun sebelum itu.
Saya lakukan semua itu dengan diam-diam dengan tidak memberitahu sesiapapun kecuali isteri saya yang tak menghalang keputusan saya ketika itu. Saya sengaja mendiamkan perbuatan saya berhenti kerja untuk berniaga itu kerana khautir ibu saya di kampung akan risau jika saya memberitahunya.
Saya mengambil alih sebuah syarikat kawalan serangga yang kecil kepunyaan seorang rakan sekolah yang telah melaburkan wangnya kepada seorang lagi rakan saya bernama Said. Said telah melarikan diri dan meninggalkan syarikat itu begitu saja.
Kawan saya menawarkan kepada saya untuk menerajui syarikat itu dengan menjanjikan 10% pegangan saham. Saya menerima tawaran itu setelah membuat sedikit kaji selidik atas potensi perniagaan kawalan serangga di Malaysia dan saya yakin saya mampu membesarkan syarikat itu.
Ketika saya mengambil alih syarikat itu hasil jualannya tidak sampai 10 ribu dan memounyai seramai 3 orang pekerja iaitu 2 orang pekerja biasa dan seorang lagi adalah adik kepada kawan saya iaitu tuan punya syarikat tersebut.
Begitulah permulaan saya terjun ke bidang perniagaan dengan hanya berbekalkan kejujuran, kepercayaan kepada diri sendiri yang tinggi, dan sanggup berkorban.
Pendapatan saya berkurang sebanyak 80% dan saya terpaksa membuat penyesuaian yang banyak untuk meneruskan kehidupan saya dengan gaji yang terlalu sedikit yang entah dapat entah tak dapat.
Kesimpulannya ialah saya berjaya juga berniaga walaupun tiada wang modal dengan cara menggunakan kelebihan jaringan rakan yang ada yang mempunyai wang. Manakala pertukarannya ialah dengan kejujuran dan usaha gigih bagi menjayakan amanah yang saya pegang.Jadi jika anda mahu berniaga dan tiada modal carilah orang lain yang ada modal yang sanggup membiayai usaha anda. Namun terlebih dahulu anda harus membina rekod yang cemerlang dari segi kejujuran dan prestasi kerja agar anda dapat menukarkannya dengan wang modal.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bagaimana Mula Niaga Tanpa Modal Wang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !