Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, November 4, 2009

Halusinasi Niaga

  Mohd Shubhi       Wednesday, November 4, 2009

Minggu lepas saya dikunjungi kawan yang menjalankan perniagaan pengedaran barang-barang pakai buang restoran. Dia telah lebih 3 tahun menjalankan perniagaan tersebut bermula dari menggunakan keretanya dan mencari pasaran dan pengedaran secara sendiri kini telah mampu mempunyai 2 buah lori dan sebuah stor menyimpan barang.

"Nak berniaga apa lagi ha?" tanyanya pada saya ketika kami minum di kedai kopi sebelah pejabat saya. Soalan seperti itu sepanjang bulan lalu banyak kali diutarakan oleh ramai juga kawan-kawan saya yang lain.

Saya memikirkan bagaimana menjawab soalan tersebut, kenapa terjadi begitu, adakah ia juga berlaku kepada saya?.

Dari pengamatan saya kebiasaannya setelah lebih dari 3 tahun seorang usahawan itu menjalankan sesuatu perniagaan dan perniagaannya mula berjalan secara konsisten, ramai usahawan akan mula diserang oleh soalan di atas yang saya namakan "halusinasi niaga".

Antara puncanya adalah:
1. Melihat perniagaan orang lain lebih maju dan lebih menguntungkan.
2. Letih dengan perniagaan sendiri yang terasa sangat perlahan peningkatannya.
3. Kononnya mahu mempelbagaikan perniagaan (Diversify).
4. Mahu duit lebih banyak.

Semuanya adalah berkisar dari perasaan tidak sabar dan mahu cepat berjaya.

Saya mengalami masalah yang sama dan sering kali tersasar dari matlamat asal akibat dari perasaan di atas.

Ketika saya berbincang dengan kawan saya tadi, saya mengajukannya satu soalan, "berapa lama masa yang hang ambil untuk mendapat idea niaga yang sedang buat dan mula melaksanakannya?".

Jawabnya " dalam 2 atau 3 tahun juga setelah puas mencari-cari, mereka-reka".

"Hang sanggup ka nak buang masa lama tu lagi untuk cari niaga baru" tanya saya lagi.

"Tak mau la" jawabnya.

"Kalau macam tu lebih baik hang tumpukan bagaimana nak maju dan besarkan lagi niaga yang hang dok buat sekarang" Saranan saya.

"Slow sangat la, rasa banyak masa terluang percuma". balasnya.

Ha!, itulah puncanya, kita rasa amat perlahan perniagaan kita berkembang pada satu peringkat, biasanya setelah sekurangnya 3 tahun berniaga. Kenapa terjadi begitu?

Cuba kita ingat kembali pada saat mula kita buat perniagaan kita. Jika kita berjaya mendapatkan satu pelanggan dalam bulan tu kita akan senyum lebar lebih dari seminggu dan berasa mat puas sekali. Walaupun kadangkala kita perlu berusaha lebih sebulan hanya untuk mendapatkan satu pelanggan sahaja.

Apabila pelanggan kita dah banyak maka apabila tempoh mendapatkan satu pelanggan baru memakan masa yang lama, kita akan berasa amat perlahan, kita tidak segembira seperti masa mula kita berniaga dulu.

Itulah puncanya, kita telah berada dalam satu fasa yang berbeza dari masa mula dulu. Bagaimana nak menyelesaikannya?.

Kita hanya perlu mencari orang yang akan mampu tersenyum lebar dan gembira apabila berjaya mendapatkan  hanya satu pelanggan walaupun penat berusaha, seperti masa kita mula dulu. Orang seperti itu adalah mereka yang baru dan sedang belajar.

Inilah peluang kita menurunkan ilmu dan segala pengalaman kita dulu pada orang yang baru yang tahap semangatnya tinggi dan kita hanya perlu menjadi mentor mereka. Jika kita dapatkan 3 orang baru maka kita akan dapat menggandakan peningkatan pelanggan kita.

Sebenarnya apabila kita rasa bosan akan banyak masa terluang, kita perlu mengisinga dengan mencari cara mengenbangkan perniagaan kita sehingga jumpa, bukan membuang masa dengan mencari perniagaan baru.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Halusinasi Niaga

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !