Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, November 10, 2009

Bagaimana mahu meletakkan harga terhadap khidmat kita?

  Mohd Shubhi       Tuesday, November 10, 2009
Kawan saya memberitahu semalam yang dia akan ke Aceh untuk menjadi orang tengah kepada 2 orang ahli perniagaan berbangsa Cina Malaysia yang mahu memulakan perniagaan mereka di sana.

Saya mengingatkannya bahawa jangan buat secara percuma, kenakan bayaran yang setimpal dengan perkhidmatan yang dia akan berikan. Saya berkata begitu kerana kawan saya tersebut selalunya akan memberikan khidmat secara percuma tanpa meminta apa-apa balasan sedangkan dia bukan seorang yang senang dan banyak duit walaupun dia amat berpengalaman dan mempunyai jaringan yang amat baik.

"Itulah masalahnya, akau tak tau berapa nak charge mereka", keluhnya pada saya.

Saya memberikan satu cerita yang menarik yang ingin saya paparkan disini sebagai contoh bagaimana merumuskan harga kemahiran kita:

Ada seorang jutawan yang amat kaya di UK yang memiliki satu kapal berenjinkan wap yang dia amat sayang. Dia mempunyai jurutera khas yang sentiasa menyelenggara enjin wap kapal tersebut setiap kali enjin itu buat hal, biasanya setahun sekali  enjin kapal itu akan buat hal dan biasanya berjaya dibaiki oleh juruteranya sehinggalah satu hari jurutera itu gagal mengenal pasti masalah yang dialami oleh enjin wap itu.

Setelah berbagai usaha dilakukan mereka gagal menghidupkan enjin wap kapal itu dan dia akhirnya angkat tangan. Dia memberi tahu pada jutawan tuan punya kapal itu tentang seorang tua yang amat pakar dalam membaiki enjin wap, dan dia yakin hanya orang tua tersebut sahaja yang mampu membaikinya. Lalu jutawan itu menyuruh di panggil orang tua itu untuk datang membaikinya.

Orang tua itu datang ke kapal itu dengan membawa satu beg yang digalas berisi peralatan yang biasa dia pakai dalam membaiki enjin wap. Setelah melihat keadaan enjin wap kapal itu dia mula mengelilingi kapal itu sambil tangannya melurut batang paip yang datang dari enjin wap itu. Dia kelihatan meraba sambil merasakan tahap kepanasan batang paip.

Sampai di satu tempat dia berhenti dan mengeluarkan sebuah pemukul kecil dari begnya dan mula mengetuk perlahan-lahan pada batang paip itu. Tak lama kemudian terdengar bunyi yang kuat dentuman tendangan wap dari batang paip tersebut dan engin wap itu berfungsi semula.

Selesai kerjannya diapun memaling pada jutawan itu dan meminta bayaran terhadap kerjanya. Jutawan itu bertanya pada nya, "berapa bayaran yang telah kita setujui tadi?"

"100,000 pound" jawab orang tua itu.

Mendengar saja jawapan orang tua itu jutawan itu amat marah dan berkata pada orang tua itu,

"Baik kamu tunjukkan bagaimana kamu kira sehingga harganya mencecah sedemikian tinggi sedangkan aku melihat kamu hanya mengetuk batang paip dengan pemukul, jika tidak aku akan mengadu kepada pihak berkuasa dan memasukkan kamu ke dalam penjara".

Orang tua itu lalu mengeluarkan secebis kertas dan sebatang pen dari poketnya dan mula mencoretkan sesuatu. Dia menunjukkan pada jutawan tersebut,

- Harga bagi mengetuk batang paip = 1 pound
- Harga bagi mengetahui di mana perlu diketuk = 99,999 pound.

Melihat nota tersebut, jutawan itu mengangguk dan tersenyum sambil berkata, memang patut harga itu, lalu dia memberikan bayarannya.

Saya rasa kita dapat mempelajari sesuatu dari cerita di atas dalam menentukan harga perkhidmatan kita.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bagaimana mahu meletakkan harga terhadap khidmat kita?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !