Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, May 18, 2010

Apa Yang Menghalang Kita Berjaya?

  Mohd Shubhi       Tuesday, May 18, 2010
Semua orang mempunyai satu impian atau cita-cita. Secara umumnya semua orang ingin berjaya cuma takrif kejayaan seseorang itu berbeza-beza.

Bagi mereka yang menjadi usahawan sudah tentu impian yang paling besar dan utama adalah untuk membina sebuah perniagaan atau syarikat yang besar dan berjaya serta mendapat keuntungan yang banyak.

Resam mengejar matlamat sentiasa dipenuhi oleh ranjau dan duri. Bagi yang belum berniaga, berbagai rintangan yang akan dihadapi sebelum boleh memulakan perniagaan.

Manakala bagi yang telah berniaga pula berbagai rintangan serta masalah yang akan dihadapi bagi memastikan perniagaan mendapat keuntungan yang setimpalnya.

Begitulah seterusnya peringkat demi peringkat, setiap tahap kita akan sentiasa dirintangi dengan berbagai cubaan serta cabaran yang memerlukan ketahanan serta keberanian diri untuk kita menghadapinya.



Yang membezakan mereka yang berjaya dengan yang tidak berjaya melepasi dari satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi adalah kekuatan kita memecahkan kebuntuan dan terus berjalan.

Ringkasnya mereka yang boleh pergi jauh adalah mereka yang tidak dapat dihalang oleh apa-apa saja. Jadi persoalannya di sini ialah apa yang boleh menghalang kita untuk berjaya?.

Strategi yang paling baik bagi membina kekuatan kita ialah dengan berlatih agar tidak ada apapun yang bisa menyekat kita untuk maju ke hadapan.

Halangan biasanya tidak boleh diduga, tetapi jika kita mempunyai sikap untuk melawan dan terus bergerak walau apa saja halangan mendatang maka sikap tersebut akan menjadi tabiat sebagai persediaan kita menghadapi rintangan.

Bagi membina sikap itu, kita boleh mulakan dengan mengubah cara hidup kita. Sebagai contohnya jika kita tidak mengamalkan hidup sihat dengan bersenam, mulakan dengan menanam azam untuk mulakan bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

Ramai kawan saya yang setuju apabila saya katakan bahawa dengan bergogging atau berjalan laju selama sekurang-kurangnya 30 atau 45 minit sehari dapat menjadikan kita cergas, mengawal berat badan kita dan seterusnya menyihatkan tubuh badan kita.

Tetapi apabila ditanya kenapa mereka tidak laksanakannya, berbagai alasan akan diberikan yang menyebabkan mereka tidak dapat mengamalkannya.

Saya hanya dapat merumuskan bahawa jika latihan semudah itupun kita gagal dan lemah dan membiarkan segala alasan menghalang kita, sudah pasti apa-apa saja dapat menghalang kita untuk berjaya.

Sebab itulah kita melihat ramai orang yang kecewa dan menyalahkan apa saja selain dari dirinya apabila dia tidak berjaya sedangkan masalah utama sebenarnya ialah kelemahan diri kita sendiri yang membiarkan hampir apa sahaja menjadi penghalang untuk kita maju ke depan.

Marilah kita sama-sama membina kekuatan diri dan berhenti dari membiarkan seribu satu macam alasan untuk menjadi penghalang diri kita maju ke depan.

Azamkan dalam hati bahawa "tidak ada apapun yang boleh menghalang aku maju ke depan". Wallahu'alam.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa Yang Menghalang Kita Berjaya?

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !