Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, October 31, 2012

Isu penutupan AYSKL

  Mohd Shubhi       Wednesday, October 31, 2012

ISU PENUTUPAN AYSKL

Yayasan Selangor (YS) akan membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang boleh menampung 1,000 pelajar, menggantikan AYSKL yang menelan belanja tidak kurang dari RM50juta(tidak termasuk kos tanah) dan tapak seluas 7.5 ekar di Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur akan dibangunan sebagai pusat komersil sebagaimana persekitarannya. Kos pembinaan adalah pulangan dari memajukan tapak AYSKL dengan pendapatan keseluruhan tidak kurang dari RM300juta (in cash and kind).

Keadaan persekitaran dan kejiranan yang semakin dihimpit dengan pembangunan itu tidak lagi kondusif sebagai kawasan asrama.


Yayasan Selangor sedari dulu melaksanakan program-program pendidikannya tanpa mendapat geran peruntukan daripada pihak Kerajaan Negeri. Yayasan Selangor berpandangan, pengoperasian Asrama Pusat di dalam Bandaraya Kuala Lumpur memerlukan kos yang tinggi dan mempunyai beberapa kelemahan dan halangan seiring dengan pembangunan kawasan persekitaran asrama dan keadaan trafik masa kini. Sebagaimana sedia maklum, kawasan sekitar Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur sedang pesat membangun selari dengan pembinaan sistem jaringan MRT. Persekitaran ini tidak sesuai dan tidak kondusif bagi pelajar-pelajar menginap dan menjalani kehidupan di asrama serta mengikuti pembelajaran di kelas.

Sehubungan itu, Yayasan Selangor berpendapat, atas keperluan semasa, pengoperasian Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur tidak lagi kondusif dan ekonomik. Dengan pengekalan kuota di sekolah-sekolah premier melalui konsep pelajar berulang, Yayasan Selangor tiada kehilangan kuota pelajar, tetapi dengan lebihan peruntukan daripada penutupan pengoperasian Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur, ianya dapat menaja lebih ramai pelajar anak Selangor dengan konsep baru yang tidak memerlukan Yayasan Selangor mengeluarkan kos yang tinggi untuk pengoperasian seperti di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (Asrama Pusat).
Penempatan semula pelajar akan ditempatkan di Asrama Pusat Yayasan Selangor di Klang dan Sabak Bernam ataupun Asrama Daerah  di seluruh negeri Selangor.
Pelajar-pelajar juga dibenarkan membuat pilihan sekolah daripada Asrama Pusat dan Daerah Yayasan Selangor kecuali pelajar memasuki Sistem Sekolah Berasrama Penuh Kementerian Pelajaran atau MRSM (bagi lepasan PMR).
Walaupun pelajar memilih berulang daripada rumah ke sekolah asal, pelajar masih diiktiraf sebagai pelajar tajaan Yayasan Selangor dengan kemudahan dikekalkan seperti biasiswa dan tuntutan kelas tuisyen.
Yayasan Selangor masih membuat pengambilan pelajar di sekolah ternama/premier di Kuala Lumpur dengan menawarkan pelajar yang berulang-alik daripada rumah sejak tahun 2012.
Selain itu, kemudahan sekolah di dalam Bandar dan luar Bandar ketika ini hampir tiada perbezaaan.

Tapak ATDI/ATPN (AYSKL) akan dimajukan kerana sebab-sebab berikut:

1.  Pelajar-pelajar di PJ menghabiskan banyak masa dalam perjalanan pergi/balik menaiki bas. Pelajar keletihan dan tidak dapat memberi tumpuan di sekolah mahupun semasa sesi ulangkaji di asrama.
2. Pada kebanyakan masa, disebabkan kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur, para pelajar hanya akan sampai semula ke asrama pada jam 8.30 malam dan terlepas solat Maghrib.

3.  Bangunan di sekeliling telah dan sedang diroboh dan akan dibangunkan sehingga menyebabkan keadaan persekitaran tidak lagi kondusif untuk pembelajaran.

4.  Aset YS di Kg. Pandan akan dimajukan untuk menambah dana bagi membantu membiaya lebih ramai pelajar yang layak dan memerlukan bantuan, selari dengan usaha YS membanyakkan Asrama Harian, Asrama Daerah dan mengecilkan Asrama Pusat.

5. Kos bagi menampung seorang pelajar di Asrama Pusat boleh membiaya 10 orang pelajar di Asrama Harian/Daerah.
6. Pelajar-pelajar yang berpindah adalah dengan persetujuan rasmi ibu bapa setelah dibuat penyelidikan yang teliti dan mengambilkira pandangan semua ibu bapa, di mana ibu bapa diberi pilihan sama ada hendak mengekalkan anak mereka di Asrama Pusat Yayasan Selangor AYSK, AYSSB dan Asrama Daerah atau berulang-alik dari rumah.
Semua pelajar masih diberikan kemudahan yang sama dan termasuk dalam Rancangan Khas Pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia-Yayasan Selangor yang dinikmati sebelum ini. Yayasan Selangor bertekad melipat-gandakan jumlah pembiayaan sehingga 5,000 orang pelajar, sejajar dengan pertambahan hasil pendapatan  daripada usaha memajukan tanah miliknya yang sedang dan akan terus dijalankan.
Yayasan Selangor sentiasa berusaha kuat untuk mengumpul pendapatan dan dana. Punca pendapatan ini adalah dari hasil sewaan ruang pejabat dan kediaman, projek usahasama, mengusahakan ladang kelapa sawit, pelaburan jangka pendek dan panjang, penyewaan kem-kem bina semangat dan sebagainya. Yayasan Selangor telah berjaya menjana pendapatan sendiri untuk perbelanjaan tadbir urus syarikat dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan menaja pelajar-pelajar di asrama mahupun menaja pelajar-pelajar di menara gading, pelajar-pelajar dalam bidang kemahiran dan program-program modal insan.  Yayasan Selangor dalam usaha menjana lebih pendapatan agar lebih ramai pelajar dapat ditaja dengan projek pembangunan semula bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Kg.Baru, pembangunan tanah di Presint 7 Shah Alam dan pembangunan tanah di Kampung Pandan.
Perancangan pembelian rumah banglo berdekatan dengan SMK Assunta, SMK Sri Aman, SMK Bukit Bintang dan  SMK La Salle (semuanya terletak  di Petaling Jaya) tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendidikan Selangor untuk dijadikan Asrama Harian telah ditolak mentah-mentah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Yayasan Selangor juga telah berusaha memohon berkali-kali untuk mendapatkan tempat di asrama SMK Victoria dari pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan bagi mengisi 260 tempat kosong untuk menempatkan pelajar tajaan Yayasan Selangor di SMK Victoria, SMK St John, SMK Aminuddin Baki dan SMK (L) Methodist tetapi malang sekali ditolak atas alasan asrama tersebut ingin dijadikan Pusat Latihan Guru Wilayah Persekutuan.  
Yayasan Selangor tidak pernah lupa jasa dan pengorbanan Allahyarham Dato’ Harun Idris. Aspirasi beliau tetap akan diterjemah dengan pendekatan yang berbeza selaras dengan situasi semasa. Mulai tahun 2012, Program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor akan dikembangkan di setiap daerah dengan  mengambil pelajar sama ada ditempatkan di asrama mahupun berulang dari rumah.
Pihak  pengurusan Yayasan Selangor telah mengambil langkah yang terbaik dan tepat bagi memastikan hak anak-anak Selangor yang berasal dari luar Bandar terjamin. Jaringan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah memudahkan urusan penempatan semula pelajar-pelajar di sekolah-sekolah yang `baru’  yang kebanyakan terletak di Bandar.  Sekolah-sekolah ini merupakan sekolah-sekolah kawalan yang dipilih oleh pihak Jabatan Pelajaran bagi memastikan kesinambungan pendidikan pelajar-pelajar tajaan Yayasan Selangor ini tidak terjejas. Pelajar-pelajar ini ditempatkan di sekolah-sekolah kawalan yang mempunyai asrama (Asrama Harian) bagi memudahkan mereka mengikuti pembelajaran.
Pelajar-pelajar ini juga akan menikmati kemudahan tambahan seperti pembiayaan kelas tuisyen bagi memastikan prestasi akademik mereka terjamin cemerlang. Bagi pelajar-pelajar yang datang dari golongan kurang mampu, Yayasan Selangor bermurah hati untuk menaja yuran sekolah dan pemberian biasiswa sebanyak RM700 dan RM1000 seorang bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga pelajar. Kebajikan pelajar-pelajar ini akan dikawal selia dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mendapat kemudahan yang terbaik; baik dari aspek akademik, pembangunan diri dan sahsiah mahupun kewangan. Pelajar-pelajar ini juga akan mengikuti program-program yang diatur oleh pihak Yayasan Selangor bersama rakan-rakan mereka yang berada di Asrama Pusat dan Asrama Dearah yang lain.
Yayasan Selangor juga telah bersetuju untuk menggantikan AYSKL yang akan ditutup dengan membina sebuah asrama penuh di dua lokasi cadangan iaitu pertama di Kem Bina Semangat Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kawasan tersebut  sangat strategik kerana terdapat berbagai pusat pendidikan dan kawasan riadah yang sangat sesuai untuk dijadikan tapak Kolej Yayasan Selangor. Pusat pendidikan sedia ada di persekitaran kawasan tersebut ialah Pusat Tahfiz Al-Quran, Maktab Rendah Sains Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara. Cadangan lokasi yang pertama ini sangat sesuai kerana berhampiran dengan stadium dan kawasan riadah milik Majlis Daerah Hulu Selangor. Terdapat juga Masjid Darul Quran di dalam kawasan hub pendidikan ini. Suasana sekeliling yang sejuk dan dikelilingi dengan alam semulajadi yang asal sangat sesuai dijadikan tempat untuk belajar.
Cadangan lokasi yang kedua ialah kawasan yang terletak di dalam Bekas Hutan Simpan  Sg.Pusu dalam Daerah Gombak  yang terletak di belakang UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dan berhampiran Kolej Islam Antarabangsa. Kawasan ini juga sesuai untuk dibina sekolah kerana dikelilingi oleh hub pendidikan dan alam semulajadi yang menghijau. Seluas 60 ekar  dicadangkan untuk pembinaan sekolah daripada keseluruhan keluasan tanah 284 ekar yang bakal dimiliki oleh Yayasan Selangor.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Isu penutupan AYSKL

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !