Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, January 18, 2015

Waspada dengan buah epal Granny Smith dan Gala dari Amerika

  Mohd Shubhi       Sunday, January 18, 2015
elak makan buah epal dari Amerika
Buah epal adalah salah satu menu makanan ringan kegemaran saya. Hampir setiap pagi, kalau tak puasa sunat, saya akan mulakan dengan mengunyah sebiji buah epal sebelum keluar jalan kaki keliling taman di kawasan rumah.

Bekalan buah epal selalunya saya akan dapatkan dari Pasaraya Giant. Di situ ada banyak pilihan buah epal yang elok-elok dan sedap. Pilihan utama saya adalah apa saja buah epal yang datang dari New Zealand.

Kebiasaannya, buah epal dari New Zealand amat ranggup, sedap dan berlainan rasanya berbanding buah epal yang datang dari Negara China atau Amerika Syarikat. Entah kenapa, apa saja buah epal yang datang dari Amerika, saya akan jadikan sebagai pilihan paling akhir.

Kalau tak ada buah epal dari New Zealand, saya akan ambil buah epal yang datang dari Negara China. Kalau tak ada dari kedua-dua negara tersebut, terpaksa, barulah akan saya ambil yang datang dari Amerika.

Mungkin ada pengaruh tak suka dengan negara Amerika membuatkan saya tak suka ambil barangan yang datang dari sana. Mungkin juga ada kesan daripada banyak kempen yang menganjurkan boikot barangan keluaran Amerika, maka bila terang-terang tercetak dari negara itu, saya agak keberatan nak membelinya. Itupun jika ada pilihan lain, kalau tak ada, terpaksa ambil juga.

Waspada dengan buah epal Granny Smith dan Gala

Jika anda ke Giant, terutamanya atau mana-mana pasaraya yang ada menjualbuah-buah import segar, buah epal dari jenis Granny Smith dan Gala pasti ada terlonggok siap untuk dibeli. Jika anda selama ini tak berapa kisah untuk beli buah epal yang datang dari mana-mana, kali ini sila waspada!

Ini berikutan kenyataan akhbar daripada pihak Kmenterian Kesihatan berkenaan masalah keracunan yang datang daripada buah epal jenis Granny Smith dan Gala yang datang dari negara Amerika.

Berikut saya salinkan kenyataan akhbar tersebut di bawah:

Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu pencemaran bakteria Listeria monocytegenes ke atas buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Bakersfield, California, Amerika Syarikat yang digunakan dalam pengeluaran caramel apple yang dikesan oleh pihak United States Food and Drug Administration (USFDA) seperti yang dilaporkan dalam beberapa media antarabangsa sejak kebelakangan ini. 

Makanan yang tercemar dengan Listeria monocytogenes berkemungkinan tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ianya telah rosak secara fizikal (melalui penglihatan dan bau). Pengambilan makanan yang tercemar dengan bakteria ini boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan yang dikenali sebagai listeriosis.

Listeriosis boleh menyebabkan demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan pada leher dan loya (nausea). Bagi wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah adalah tergolong dalam kumpulan berisiko.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah mengenakan pemeriksaan tahan, uji, lepas ke atas pengimportan epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, Amerika Syarikat di semua pintu masuk.

Di pasaran domestik, Kementerian Kesihatan telah mengenalpasti dua (2) pengimport yang mengimport epal jenis Granny Smith keluaran Syarikat Bidart Brothers, Amerika Syarikat dan telah mengarahkan pengimport berkaitan memanggil balik (recall) buah epal tersebut dari pasaran dan buah epal yang terdapat di premis pengimport juga telah disita.

Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan pihak USFDA mengenai perkara ini. Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan, pengguna boleh mengajukannya kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 Januari 2015
sumber
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Waspada dengan buah epal Granny Smith dan Gala dari Amerika

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !