Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, February 26, 2015

Apa anda perlu buat bila makan di restoran kotor

  Mohd Shubhi       Thursday, February 26, 2015
Pernahkah anda makan di restoran kotor?

Kalau tak pernah, ada kemungkinan anda jenis yang tak makan diluar selain dari makan di rumah, makanan yang disediakan oleh orang rumah atau masak sendiri.

Atau mungkin juga anda jenis yang hanya makan di premis makanan bermutu tinggi bertaraf 5 bintang seperti di hotel-hotel di pusat bandar, kedai makan atau restoran eksklusif yang ada tema atau konsep masakan dan seumpamanya.
Apa anda perlu buat bila makan di restoran kotor
Datuk Bandar DBKL gesa orang ramai buat laporan kalau jumpa restoran kotor. Baca sini

Jika anda seorang warga Malaysia yang kerap makan di luar di restoran, dan dalam masa yang sama pula tak berapa ambil kisah terhadap keadaan persekitaran restoran yang anda makan, anda tentu dah berpengalaman menemui banyak restoran yang tak panda jaga kebersihan.

Tekak kebal makan di restoran kotor

Ramai orang kita yang mempunyai hati waja bertekak kebal. Walaupun sedang duduk makan di restoran atau kedai makan tepi jalan atau gerai yang berbau hamis busuk tikus, masih boleh suap, kunyah dan telan makanan di situ.

Saya seringkali terpaksa makan di luar. Terpaksa makan di restoran sebab terlalu kerap berada di luar kawasan. Kalau nak diikutkan hati, teringin nak makan hanya di rumah. Makan masakan isteri sahaja yang disediakan secara segar di rumah adalah satu nikmat yang tak terhingga.

Tapi nak buat macam mana, kalau berjauhan dari rumah tak bolehlah nak balik setiap kali datangnya waktu makan tengah hari. Itupun ada masanya, saya suruh isteri sediakan bekal untuk dibawa ke pejabat. Boleh makan masakan rumah tanpa perlu ke restoran.

Oleh kerana kerap sangat makan kat kedai, maka sering kali bertemu dengan restoran kotor. Bukan saja kotor, malah baunya amat tengik sekali. Sebaik saja masuk dalam restoran tersebut, bau hamis menerpa masuk ke dalam hidung. Saya tahu itu adalah bau hamis kencing tikus atau lebih tepat lagi bau bawaan tikus.

Petua mudah kesan restoran kotor

Ada juga restoran yang berbau hamis lipas. Biasanya mana-mana saja kedai makan, saya akan minta segelas air suam. Ada dua tujuan saya minta air suam ini. Pertamanya adalah untuk mencium bau gelas yang digunakan oleh restoran tersebut. Dan keduanya adalah untuk minum air suam itu.

Ada restoran yang kita tak nampak keadaan dapurnya samada bersih atau kotor. Jadi dengan minta air suam yang dimasukkan ke dalam gelas atau cawan, kita boleh dapat sedikit gambaran tentang amalan kebersihan restoran tersebut.

Air suam neutral dan tak ada bau. Jadi kalau air itu dimasukkan ke dalam gelas yang bersih, tidak akan ada apa-apa bau atau kesan minyak pada air tersebut. Sebaliknya jika cara amalan mengendalikan peralatan di kedai itu buruk, dan cawan berterabur, dilalui oleh lipas atau tikus, pasti gelas yang datang bersama air suam itu akan berbau samada bau tikus atau lipas.

Jika anda minum dalam gelas yang diisi oleh minuman seperti kopi, teh, nescafe, tongkat ali, kopi jantan dan seumpamanya yang banyak lagi tu, bau hamis akan lenyap dipotong oleh bau minuman yang diisi ke dalam gelas tersebut.

Apa nak buat bila jumpa restoran kotor

Kita kembali ke tajuk asal di atas. Apa kita perlu buat jika terserempak makan di restoran kotor. Jawapannya adalah mudah saja. Jangan teruskan makan di situ dan jangan pula terus berlalu begitu sahaja, terutamanya jika anda berada di dalam kawasan jajahan DBKL.

Apa yang anda perlu buat terhadap restoran kotor itu adalah pertamanya ambil gambar, ambil alamat, dan butiran terperinci restoran kotor itu. Dengan semua maklumat itu buat laporan dengan menghantar maklumat itu ke nombor 15888. Anda boleh SMS ke nombor itu untuk buat laporan kepada pihak berkuasa DBKL.

" Dapatkan maklumat kawalan serangga dan makhluk perosak di sini jika anda pemilik restoran dan pengurus penyelenggaraan syarikat"

Kita perlu bantu tingkatkan mutu perkhidmatan para peniaga kita di Malaysia. Dengan tindakan disiplin sahaja akan menjamin mutu perkhidmatan penyediaan makanan dan kawalan premis makan akan meningkat lebih bagus daripada sekarang.

Jadi itulah yang kita semua perlu buat setiap kali terserempak dengan restoran kotor. Sila buat laporan dengan hantarkan SMS ke nombor 15888.

Sistem tersebut telah dinaikkan oleh DBKL sejak tahun 2011. Apa yang sungguh malang adalah sejak dari dulu sampai sekarang, hanya ada sebanyak 135 aduan tentang restoran kotor dibuat menggunakan sistem sms tersebut. Mungkin ada ramai yang tak tahu sebab tidak diwar-warkan dengan berkesan.

Atau mungkin majoriti rakyat kita tak kisah makan di restoran kotor... apa pendapat anda?
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Apa anda perlu buat bila makan di restoran kotor

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !