Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, April 8, 2015

Sarapan di Transfer Road, Pulau Pinang

  Mohd Shubhi       Wednesday, April 8, 2015
Jarak paling dekat daripada Pulau Pinang ke Kota Bharu Kelantan adalah dalam lingkungan sejauh 345 Kilometer. Itu bukanlah satu jarak yang dekat walaupun dengan menaiki kereta. Kalau bawa kereta dalam kelajuan 100 km/sejam, kita akan sampai ke Kota Bharu dari Pulau Pinang dalam tempoh 3 jam setengah.

Tapi itu hanyalah kiraan teori. Realitinya memang tak boleh. Tak pernah lagi rasanya ada orang boleh buat rekod secepat itu untuk sampai Kota Bharu dari Pulau Pinang memandangkan ada berbagai kekangan yang menanti dalam perjalanan.

Walau bagaimanapun, kita tetap mampu ambil sarapan di waktu pagi di Pulau Pinang dan kemudiannya bertolak ke Kota Bharu untuk makan tengahari, hanya dengan menaiki kereta. Itu bezanya antara zaman kita dengan zaman tok nenek kita dahulu.

Dahulu, jarak yang amat jauh antara dua lokasi mengambil masa yang lama untuk sampai. Tetapi sekarang jarak yang sama mengambil masa yang pantas berbanding dahulu. Apa yang pasti adalah semakin lama, manusia semakin laju pergerakannya.

Hari ini saya bergerak dari Pulau Pinang menuju ke Kota Bharu hanya ambil masa satu jam sahaja dengan menaiki Kapal Terbang. Sebab itu hari ini saya mampu sarapan di Transfer road dan kemudiannya makan tengahari di Kota Bharu. Menurut cerita yang kita biasa dengar, hanya seorang Wali saja yang boleh buat begitu pada zaman dahulu.


Sarapan di Transfer Road

Hari Isnin lalu saya bawa mak, bapa saudara serta emak saudara makan roti bakar di transfer road yang terkenal itu. Mak ada urusan pemeriksaan kesihatan di Hospital Pulau Pinang dan saya perlu bawa mak jumpa doktor awal pagi. Saya bawa bersama bapa dan emak saudara sebagai teman.

Kebetulan hari itu tak ada orang. Sampai saja di Hospital, ambil nombor giliran terus kena panggil. Nurse buat pemeriksaan darah dan kemudiannya bawa keputusan pada doktor dan tak lama lepas itu doktorpun panggil mak masuk.

Semua keputusan ujian darah 3 bulan yang lalu adalah baik.Bacaan kanser pada darah mak ketika sebelum pembedahan adalah 665 dan 3 bulan lalu bacaannya hanya 3. Kata doktor bacaan normal mestilah kurang daripada 35. Jadi darah mak dah ok buat masa ini. Walau bagaimana pun kena pantau lagi 3 bulan akan datang.

Habis awal dan saya bawa kesemua mereka sarapan di transfer road. Itu makanan sarapan kegemaran saya. Roti bakar di tuang telur separuh masak. Gerai sebelah sana pula terkena dengan roti canai kuah daging berwarna merahnya. Sedap sungguh ketiga-tiga insan yang saya hormati itu makan. Saya tumpang seronok walaupun hanya melihat sebab berpuasa sunat Isnin.

Sarapan di Transfer Road lagi

Oleh kerana tak puas hati semalamnya tak boleh saran roti bakar di transfer road, saya dan seorang lagi rakan berusaha pergi ke Pulau Pinang keesokan harinya untuk sarapan. Perlu pergi awal pagi sebab hari yang sama, saya perlu ke Kelantan.

Kami sampai tepat jam 8.30 pagi di transfer road. Orang dah ramai yang duduk atas kerusi yang disusun berserakan di tepi jalan Transfer itu. Kenderaan lalu lalang tak berhenti tak halang orang kyusuk menikmati sarapan mereka kat situ.

Saya lepas geram dengan makan satu set roti bakar. Roti tawar atau orang panggil juga roti benggali di sapu dengan mentega terlebih dahulu sebelum diletakkan atas dapur pembakar dari arang. Setelah dibakar secukup rasa roti benggali dipotong dalam bentuk kiub dan dimasukkan dalam pingan leper.

Kemudiannya mamak pecahkan dua biji telur separa masak dan ditaburkan atas roti benggali yang dah dibakar kemas berwarna keperangan itu. Bila siap, mamak bawa pinggan dan letakkan atas meja pelanggan.Dibawa bersama kicap dan serbuk lada. Pelanggan akan taburkan serbuk lada, titikkan kicap atas roti dan telur. Ambil seketul dengan sudu dan ngap masukkan dalam mulut... perghh nikmat kurniaan Allah!.

Selesai satu pinggan roti bakar dengan telr separa masak. Saya minta pulak sepinggan roti canai banjir dengan kuah daging sambal merah. Mamak dengan pantas sediakan apa yang saya minta dan jeng! dah ada depan mata.

Ambil secebis roti canai berpalut kuah sambal merah dengan sudu dan ngap pula masuk mulut. Kunyah sambil tangan gunakan sudu dan garfu untuk pecahkan ketulan daging lebut.
Cucuk daging dengan gafu dan ngap pula masuk mulut dan kunyah perlahan-lahan campuran roti canai, daging dag kuah secukup rasa.... sekali lagi, perghhh! nikmat kurniaan Allah.

Alhamdulllah! Allah masih izinkan kesempatan untuk merasai kesemua nikmat makan masakan makanan lazat made in Penang.

Selesai semuanya, kawan hantar saya ke Bayan Baru untuik ambil Malindo Air menuju ke Kelantan. Makan tengah hari di Kota Bharu kita nampaknya...
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Sarapan di Transfer Road, Pulau Pinang

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !