Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, April 22, 2016

Terbeliak dan terkejut kali pertama makan Wasabi

  Mohd Shubhi       Friday, April 22, 2016
Anda pernah makan Wasabi ? atau pernah tak dengar perkataan Wasabi ?

Perkataan Wasabi ini saya lihat pertama kali pada Kacang Thailand yang dibeli di Giant. Bagi mereka yang biasa pergi ke Siam sebelum ini tentu pernah dengar nama Kacang Koh Kae. Mungkin kalau saya paparkan gambar bekas kacang Koh Kae ini baru anda ingta macam mana rupa kacang Koh Kae ni. Nanti kat bawah saya paparkan rupa bekas tin kacang Koh Kae.

Dulu, Bapak Saudara saya kerjanya bawa kereta api. Dia pemandu kepala kereta api yang bergerak dari Johor atau Singapura sampai ke sempadan Siam. Bila sampai Siam, dia akan masuk dalam Pekan Padang Besar untuk beli macam-macam barang untuk dibawa balik.

Kalau musim mempelam, banyaklah buat itu yang diborongnya. Buah pelam dari Siam murah dan sedap sejak dahulu lagi. Tapi saya tak berapa pasti tahap bahayanya ketika itu sebab tidak ada maklumat. Siam amat lemah dari segi kawalan penggunaan racun serangga terutamanya dalam industri pertanian mereka. Sebab itu kalau nak makan makanan dari Siam elok berhati-hati terlebih dahulu.

Selain dari beli buah mempelam, beras siam, pulut dan lain-lain, kacang Koh Kae adalah antara benda yang sering dibeli dan di bawa balik. Jika pergi ke rumah bapak saudara itu, kalau ada lebih, bolehlah bawa balik ke rumah.

Kacang Koh Kae perasa Wasabi

Sekarang anda tak perlu lagi pergi ke Siam untuk dapatkan Kacang Koh Kae ini. Saya tengok di Giant dah ada banyak sangat kacang Koh Kae. Malah Kacang Koh Kae di tawarkan dalam berbagai perisa untuk para penggemar kacang Koh Kae di Malaysia. Ada perisa Kelapa, ada perisa BBQ dan lain-lain.

Baru-baru ini, saya cuba ambil satu perisa baru yang tak pernah saya lihat sebelum ini. Tin Kacang Koh Kae itu berwarna hijau. Di luarnya tertulis perisa Wasabi. Itu pertama kali saya dengar perkataan tersebut. Dari sebutannya saya yakin ianya tentu berasal dari negara Jepun. Tentu Wasabi ini sejenis makanan dari negara Jepun.

Untuk mengetahui rasa wasabi, saya beli dan bawa balik satu tin bersaiz besar. Anak-anak berebut suka makan kacang Koh Kae ini. Jadi ibu mereka terpaksa membahagikan kepada 5 orang anak saya secara adil. Masing-masing makan dan saya juga turut merasa kacang berperisa wasabi.

Tak ada apa-apa sangat yang saya rasa berbeza. Tapi tetap sedap sebagai mana rasa kacang Koh Kae berperisa lain. Jadi tidak dapat saya bezakan apakah sebenarnya perisa wasabi ini. Tetapi anak paling kecil menolak semua kacang perisa wasabi tersebut. Dia berikan pada abang-abangnya yang pantas berebut. Kata anak perempuan saya berumur 5 tahun itu dia tak suka rasa wasabi, " panas ! ", katanya.

Saya tak ambil perhatian sangat dengan perkataan panas yang anak perempuan saya sebutkan itu sebab saya sedikitpun tidak terasa panas atau pedas pada kacang berperisa wasabi itu. Apa yang saya belajar hari tersebut adalah satu perkataan dari Jepun berkaitan dengan makanan, Wasabi, itu saja.

Bersarapan di Hotel Park Avenue

Baru-baru ini saya menginap di Hotel Park Avenue di Sg Petani. Setiap bulan minggu kedua atau ketiga, saya akan pergi ke utara atas urusan kerja. Kerja meliputi kawasan dari Pulau Pinang sehingga naik ke Alor Setar. Jadi pilihan hotel Park Avenue adalah pilihan lokasi terbaik.

Antara perkara paling best duduk di hotel Park Avenue ini adalah ketika bersarapan pagi. Menu sarapan di hotel tersebut banyak sekali dan semuanya sedap-sedap belaka. Kalau nak ikutkan rasa hati, mahu makan semua makanan yang disediakan oleh hotel itu, tapi buruk perangai pulak kalau buat begitu.

Biasanya saya akan makan semua hidangan yang jarang-jarang ada di luar atau dirumah. bila tinggal dan bersarapan di hotel. Sudah tentu saya akan pilih makanan yang agak kebaratan sedikit seperti omelette, salad, sausage, daging, kacang bakar dan lain-lain lagi seumpamanya. Bukan senang nak dapatkan makanan sebegitu kat gerai. kalau adapun biasanya mereka kenakan bayaran yang agak tinggi.

Walaupun kebanyakan orang akan pilih makanan rutin rakyat negara kita seperti nasi lemak, mee kari, nasi goreng, mihun, soto dan seumpamanya, saya tak ambil kisah kalau mereka nak habiskan kesemua makanan tersebut. Kat gerai tepi jalanpun kita boleh makan dengan mudah dan murah, tak perlu ke hotel. Malah ada kalanya kat gerai lebih sedap berbanding hidangan dari hotel.

Makan sushi dengan sambal wasabi

Kali ini saya sengaja meronda di semua kawasan yang disediakan makanan di kafeteria hotel Park Avenue untuk melihat kesemua jenis makanan yang mereka sediakan. Satu persatu saya baca nama makanan dan saya buka tudung untuk melihat rupa bentuknya. Memang terlalu banyak menu. Ada makanan Cina, makanan India dan masakan Melayu. Tak ketinggalan juga menu barat, semuanya ada. Siapa yang nak makan semua itu agaknya.

Sampai di satu sudut, saya baca perkataan 'Sushi'. Itu perkataan yang dah biasa sangat saya dengar. Malah pernah kakan juga lama dahulu ketika makan gaji di syarikat multinasional. Pembekal belanja makan di sebuah restoran sushi di Subang Jaya. Itu pertama kali saya makan Sushi dan saya pasti makanan tersebut saya tak suka.

Kali ini saya lihat ada beberapa bentuk sushi yang menarik bergulung-gulung. Rumpai laut nipis berwarna hitam membalut nasi beras jepun yang melekit dengan lauk ditengah balutan. Ada lauk yang berwarna orange, ada kuning dan ada ikan mentah. Tergerak untuk rasa seketul daripada berbagai jenis sushi yang ada itu.

Saya lalu ambil seketul. Di tengahnya berwarna orange. Saya agak mungkin itu ketam sebab biasa lihat benda sebegitu di pasar malam. Tak kisahlah, apa, janji saya nak rasa bagaimana kesedapan sushi yang disediakan oleh hotel Park Avenue. Setelah ambil seketul di masukkan ke dalam pinggan, saya lihat ada satu bekas mangkuk yang di dalamnya berisi sambal berwarna hijau.

Saya baca nama makanan itu, tertera perkataan Wasabi. Aha ! macam ni rupanya makanan wasabi. Inilah perisa yang digunakan dalam kacang Koh Kae yang saya cerita kat atas tadi. Rupanya mereka sediakan untuk dimakan dengan Sushi. Itu yang saya agak. Jadi saya calit sedikit sambal hijau itu pada sushi yang ada dalam pinggan.

Mulanya saya ambil agak banyak. Sama besar dengan saiz sushi. Maklumlah rupanya kelihatan lazat. Tapi bila saya lihat saiz mangkuk yang disediakan itu kecil berbanding jumlah sushi yang banyak terhidang, saya terfikir, tentu orang gunakan sambal wasabi itu hanya sedikit sahaja. Jadi saya letakkan semula dan tinggalkan sedikit sahaja wasabi pada sushi. Tak sabar nak makan sushi yang dibalut wasabi, saya balik ke tempat duduk seorang diri.

Saya duduk, dan pegang sushi di dalam pinggan. Nak sedikit demi sedikit atau nak makan sekali ngap, saya teragak-agak. Teringat macam mana orang Jepun makan biasanya sekali ngap seketul sushi. Jadi saya rasa itulah cara yang betul. Saya ambil keseluruhan sushi itu, yang berpalit sambal wasabi hijau, masukkan terus kesemuanya dalam mulut.

Sebaik saja masuk dalam mulut, mata saya terbeliak ! Saya terkejut tak tak nak buat apa. Mulut berhenti mengunyah sedang memikirkan tindakan yang perlu dilakukan. Seluruh muka terasa panas menyucuk terutamanya bahagian hidung terus menuju ke lubang hidung di antara dua mata. Perlukah saya luahkan kesemua sushi yang ada di dalam mulut itu ?

Itu satu rasa yang amat baru tidak pernah saya alami. Sensor yang ada dalam badan saya nampaknya memberi tahu ada benda asing yang tidak sepatutnya masuk ke dalam badan. Sebab itu rasa sedemikian menjalar ke dalam darah. Biasanya sensor semula jadi itu buat begitu untuk menyelamatkan manusia, ia memaksa manusia meluahkan keluar benda pelik itu dari mulut.
Ini dia kacang Koh Kae

Oleh kerana saya lihat ada ramai orang mungkin sedang menyaksikan telatah saya, maka saya relak dan cuba tahan rasa yang sedang dialami. Buka mulut seperti mana kita biasa buat jika termakan benda panas. Tidak lama, rasa panas menyucuk sampai ke lubang hidung dan mengeluarkan air mata itu hilang. Saya masih hidup dan bernyawa. Perut juga tak rasa apa-apa yang berbeza.

Itulah rupanya rasa wasabi. Lepas ini saya tahu apa yang perlu dilakukan jika terjumpa wasabi bersama degan sushi. Jangan ambil banyak, sekelumit saja sudah cukup jika mahu merasakan sensasi panas pedas menyucuk hidung.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Terbeliak dan terkejut kali pertama makan Wasabi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !