Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, June 16, 2016

6 perkara yang anda perlu buat kalau belum kahwin

  Mohd Shubhi       Thursday, June 16, 2016
Ada perbezaan yang amat besar antara seorang yang belum berkahwin dengan seorang yang sudah berkahwin. Kebanyakan orang percaya perkara paling besar yang akan hilang sebaik sahaja seseorang itu kahwin adalah kebebasan.

Orang yang dah kahwin hilang banyak kebebasan untuk buat keputusan tanpa memikirkan masalah orang lain, atau tanpa perlu berpura-pura kononnya nak jaga hati seseorang. Bila dah kahwin tak boleh senang-senang nak keluar lewat malam dan balik awal pagi, kecuali terpaksa bawa pasangan.

Kalau buat juga, akan timbul berbagai masalah dan fitnah. Paling buruk akan timbul prasangka buruk terhadap pasangan. Kalau lelaki yang kaki keluar lewat malam, isteri akan sangka suaminya kaki enjoy. Kalau isteri pula kaki keluar malam, akan jadi riuh rendah seluruh keluarga lelaki.

Jadi, jika anda masih belum berkahwin, masing bujang, berikut adalah senarai 6 perkara yang saya cadangkan yang perlu anda lakukan.

1. Pindah tinggal sendiri

Biasanya anak muda yang belum berkahwin terutamanya yang kekal ditempat yang sama dengan ibu dan bapanya, akan tinggal dengan keluarga sendiri. Ini menjimatkan kos. Dan ini juga mungkin disebabkan mak bapak masih tak percayakan anaknya tinggal sendirian di rumah sendiri.

Bagi yang masih tinggal dengan ibu dan bapa serta keluarga, sudah tiba masanya untuk anda pindah dan tinggal berasingan daripada ibu bapa. Belajar berdikari dan ambil tanggung jawab sendiri terhaap kehidupan anda.

Lagipun, anda masih muda dan perlu mencari hala tuju kehidupan sendiri tanpa ada pengaruh keluarga, terutamanya ibu dan bapa. Peluang tinggal sendiri boleh membantu anda mencari hala tuju kehidupan berdasarkan kehendak diri anda sendiri.

2. Bagi surat berhenti kerja

Pelik jika anda tinggal dengan keluarga dan tidak ada kerja. Lumrah amalan orang kita adalah belajar sekolah bagus-bagus, masuk universiti, habis mengaji dapatkan kerja tetap. Kalau boleh kerja dengan syarikat besar atau dengan kerajaan.

Jika anda juga jenis yang saya sebutkan di atas, ambil peluang sementara masih belum berkahwin, selepas empat lima tahun kerja makan gaji samada dengan syarikat besar atau kerajaan, berhenti kerja.

Pastikan anda ada wang simpanan selama dah kerja makan gaji tersebut supaya anda tak kelam kabut bila dah berhenti kerja nanti. Ini lebih mudah dilakukan selepas anda keluar hidup sendiri dan bukan lagi tinggal dengan keluarga.

Pengalaman ambil keputusan apa yang biasa orang akan kata sebagai risiko, berhenti kerja itu adalah satu pengalaman yang anda perlu rasa. Selepas itu anda boleh tahu samada apa yang orang percaya tu betul atau tidak. Apa nak takut ! anda masih bujang !.

3. Angkat beg pakaian dan mengembara solo

Ini perkara yang orang masih bujang perlu lakukan sementara masih belum terikat. Masukkan segala keperluan pakaian dan lain-lain sekadar yang diperlukan ke dalam beg, galas dan pergi mengembara seorang diri.

Samada anda pusing satu Malaysia pergi setiap negeri semenanjung dan sampai ke sabah dan sarawak, atau anda boleh teruskan meredah masuk Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, India atau mana-mana lagi tempat di luar negara.

Ini bakal menjadi satu titik tolak perubahan cara berfikir anda tentang kehidupan dan bakal merubah diri anda menjadi berbeza berbanding kebanyakan orang lain yang masih muda macam anda.

Pergilah mengembara sampai habis duit bila dah selesai semua itu, baru balik semula dan cari kerja dan cari duit semula. Percayalah, ianya amat berbaloi dan perlu dilakukan sebelum anda kahwin.

4. Pergi mengembara dengan kawan rapat

Selepas anda ada pengalaman mengembara secara solo, anda perlu juga ambil pengalaman mengembara secara berkumpulan dengan rakan-rakan rapat atau hanya berdua dengan kawan karib, yang juga masih belum kahwin. Bukan sekadar mengembara sehari dua, tapi ambil satu pengembaraan yang lama makan 6 atau 7 bulan.

Ini juga satu pengalaman yang amat bernilai yang perlu anda lakukan sebelum mendirikan rumah tangga. Kawan-kawan anda juga mesti satu kepala dan jenis yang berhenti kerja dan bungkun beg pakaian untuk keluar mengembara.

Anda akan dapat memahami erti setia kawan, erti bertanggung jawab dan erti kerja kumpulan. Ini semua perkara penting yang perlu ada pendedahan untuk menjadi manusia yang matang dan berguna.

5. Kerja dengan alam

Ambil pengalaman buat pekerjaan yang berkaitan dengan alam. Contohnya pergi jadi kuli di kebun sayur atau pergi jadi kuli dengan nelayan. Atau anda boleh fikirkan kerja-kerja lain yang melbatkan usaha cari makan melalui sumber alam.

Ini membuatkan anda faham erti sebenar kerja yang dah lama wujud sejak dahulu kala sampai sekarang. Ini membuatkan anda faham betapa pentingnya memelihara alam sekitar yang banyak memberikan manfaat pada manusia. Anda juga dapat menilai betapa mulianya jiwa mereka yang terlibat dalam pekerjaan sedemikian dan anda tak lagi pandang rendah pada golongan ini.

Ambil masa sedikit untuk buat kerja sedemikian. Bukan sehari bukan seminggu. Sekurang-kurangnya ambil pengalaman  buat kerja sebegitu 6 bulan ke setahun.

6. Buat kerja kebajikan sukarela

Pergi serahkan diri anda berkhidmat pada mana-mana organisasi kebajikan secara sukarela. Curahkan segala khidmat bakti, tenaga dan idea anda pada kerja-kerja sukarela sebegitu selama 6 bulan ke setahun.

Atau anda juga boleh pergi sertai mana-mana badan amal atau parti politik dan jadi macai pemimpin mereka dalam tempoh yang sama iaitu 6 bulan atau setahun. Bergiat aktif sebagai orang bawah dan tengok macam mana pemimpin menggerakkan impian mereka.

Anda akan banyak belajar erti berorganisasi dan erti kepimpinan secara real dan paling penting anda bina rangkaian kenalan yang amat berguna dengan orang yang aktif dan produktif.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 6 perkara yang anda perlu buat kalau belum kahwin

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !