Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, November 14, 2016

Kerajaan DAP tambah peruntukan lagi pada Sekolah Agama Rakyat

  Mohd Shubhi       Monday, November 14, 2016
Sekolah Agama Rakyat Negeri terima sumbangan kali ke-8, ustaz-ustazah, tuan guru pondok, hufaz tidak terkecuali tanda penghargaan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
PENANTI - Buat kali kelapan, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan pada petang tadi menyampaikan sumbangan RM1.75 juta peruntukan tambahan kepada 178 sekolah agama rakyat (SAR) pelbagai kategori di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, sumbangan itu adalah sebagai menghargai 1,427 ustaz-ustazah, guru-guru Al-Quran, cikgu-cikgu sekolah agama serta barisan tuan guru pondok pengajian agama yang membantu Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Islam di Pulau Pinang.

"Ia (RM1.75 juta) adalah tambahan pada apa yang telah pun diperuntukkan (RM1.75 juta).

"Tentulah saya berasa kesal dengan sesetengah pihak yang mengatakan kita hanya memberikan sebanyak RM1.75 juta sahaja dalam setahun.

"Sebenarnya, sejak 2009, Kerajaan Negeri melalui Jabatan (Hal Ehwal) Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah memberikan sebanyak RM45 juta, dan, ini tidak termasuk tanah yang diberikan secara percuma untuk pembangunan sekolah agama rakyat.

"Bantuan tambahan (RM1.75 juta) ini tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan Negeri (era Umno Barisan Nasional, BN) sebelum ini, sama juga bantu (RM1.75 juta) dan 'bonus (raya)' untuk guru-guru sekolah agama rakyat yang kita (Kerajaan Negeri) bagi kebelakangan jni.

"Sebagai Kerajaan Negeri yang terbuka, kami rela diperbetulkan, sama seperti ajaran Islam yang menuntut taubat jika salah," ucapnya dalam Majlis Perasmian Bangunan Baru SAR Maahad At-Tarbiah Guar Jering petang tadi di sini. 

Turut berucap, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim serta Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Permatang Pasir, Dato' Mohd. Salleh Man yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato' Mansor Othman dan Pengarah JHEAIPP, Dato' Sazali Hussein.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng mensyorkan penerapan Sains, Teknologi Kejuruteraan, Bahasa Inggeris dan Matematik (ESTEEM) di semua jenis institusi pengajian agama Islam di negeri ini.

"Selain buat kuliah agama, buat juga kuliah sains dan teknologi kerana kalau kita lihat zaman keemasan Islam, ilmuan Islam banyak menyumbang pada dunia sains dan teknologi.

"Tanpa ilmu nombor dan al-Jibra yang disumbangkan oleh ilmuan Islam (Al-Khawarizmi), ilmu matematik, sains dan komputer yang menggunakan al-jibra tidak wujud.

"Bagi kami, sesiapa yang mendalami pendidikan Islam, ia adalah penegak pada keamanan," ujarnya sambil menolak dakyah Islamophobia oleh pihak tertentu di peringkat global.

Sebelum itu, Abdul Malik memberitahu, majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan SAR Maahad At-Tarbiah Guar Jering bernilai RM1.3 daripada peruntukan tambahan Kerajaan Negeri tersebut disempurnakan bekas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Ogos 2014.

Tambah beliau, kerja-kerja pemajuan adalah selama 12 bulan, mulai pada 2 Februari 2015 hingga 1 Februari lalu.

"Ini sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam mengutamakan pendidikan anak-anak kita, di bawah maksud Al-Islam Rahmatun Lil 'Alamin," jelas Abdul Malik.

Manakala Dr. Wan Azizah pula dalam ucapannya menzahirkan penghargaan Anwar atas komitmen pentadbiran Guan Eng dalam memartabatkan perkara pendidikan Islam di negeri ini.

"Bangunan baharu ini adalah suatu benih ilmu untuk anak-anak kita. Anwar begitu gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri," ujar beliau. 

Mengikut pecahan sumbangan, rekod peruntukan tambahan RM1.75 juta Kerajaan Negeri kepada 178 buah SAR pada petang tadi adalah seperti berikut:

  • 106 buah SAR - Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA - Integrasi) sebanyak RM453,800;
  • Tujuh buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sebanyak RM539,800; 
  • Tujuh buah Sekolah Rendah Agama Rakyat sebanyak RM382,020; 
  • 11 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebanyak RM264,500;
  • 27 buah Maahad Tahfiz Al-Quran sebanyak RM177,200; 
  • Enam buah Pondok Pengajian Islam sebanyak RM60,000; dan 
  • 14 buah Tadika Islam (TADIS) sebanyak RM22,680

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kerajaan DAP tambah peruntukan lagi pada Sekolah Agama Rakyat

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !