Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, September 15, 2017

Nasihat Dr Maza berkenaan isu hantar anak ke sekolah Tahfiz

  Mohd Shubhi       Friday, September 15, 2017
Kita masih lagi terkejut dengan isu sedih yang telah menimpa sebuah sekolah Tahfiz. Semua orang dah mula bercakap dan memberikan pandangan masing-masing.

Bila berlaku kejadian kebakaran tersebut sampai meragut nyawa, baru saya tahu rupanya kes sekolah tahfiz terbakar sudah berlaku terlalu banyak. Itu belum sebut masalah-masalah selain kebakaran yang melanda sekolah tahfiz yang ada banyak di seluruh negara kita.

Ada juga yang nak kaitkan isu yang sama dengan perbezaan fahaman. Ini saya terima dari grup whatsapp kawan-kawan kampung yang mendokong aliran lama dan sering menyerang aliran yang mereka gelar sebagai fahaman Wahabi.

Saya kongsikan apa yang dikongsikannya kat bawah ini. Anda boleh baca dan buat tafsiran pemahaman orang yang menulisnya. Saya rasa dia serang Dr Maza dan berkemungkinan ada kena mengena dengan apa yang Dr Maza nasihat kat bawah ini nanti.

Wahabi dan sekolah Tahfiz

Seolah-olah inilah masa yang paling sesuai untuk “menyucuk jarum” agar masyarakat memandang sinis pada para pelajar tahfiz. 

Bukan main aktif lagi ‘dia’ beberapa hari ni. Hampir setiap hari keluar kenyataan yang berunsur negatif berkaitan kebakaran tahfiz. 

Tak boleh ker bagi pandangan dari sudut yang positif sikit? 

Belum lagi keluar keputusan mengenai punca sebenar kebakaran, nampaknya mufti yang sorang tu sudah terlebih “bomba” dan terlebih “forensik” melebihi bomba dan forensik itu sendiri. 

Seolah-olah dengan lahirnya lebih ramai generasi tahfiz, keadaan tu mengancam ideologi Wahhabi. (?)

Korang rasa mengapa agaknya? 

Ini adalah kerana jika semakin ramai generasi muda yang biadab dan merasa diri tinggi ilmu, itu merupakan suasana yang kondusif bagi perkembangan Wahhabi. 

Akan tetapi semakin ramai para tahfiz maka semakin susah mereka (Wahhabi) nak mempengaruhi generasi tersebut.

Ini adalah kerana mereka (para tahfiz) bersih dan hidup hatinya dan mereka memandang dengan pandangan zahir dan pandangan mata hati. 

Mereka (Wahhabi) hanya mampu mempengaruhi mereka yang kotor dan buta hatinya. Mereka (Wahhabi) rasa yang diri mereka tu berilmu, walhal ilmu zahir semata-mata. Sehinggakan mereka (Wahhabi) tak nampak apa-apa kebaikan pada tahfiz kerana nampak dari luaran takdepun pelajar tu belajar cara nak faham dan hurai Al-Quran.

Demikianlah betapa sukarnya nak terangkan “keseronokan membaca Al-Quran” pada mereka yang tak pernah rasa “seronok baca Al-Quran”.

Kerana yang memahami “keseronokan” adalah hati bukannya akal (zahir). 

p/s : Saya kadang lupa dah cam mana ejaan yang betul… “biadap” ker atau “biadab” ? :D 
p/s : Rasa nak “bertapa” tak nak dah cakap apa-apa kat fb ni… tapi panas plak isu ni. Terpaksa keluar jap dari “pertapaan” :D

Apa pandangan anda terhadap tulis kat atas tu?

Sekarang kita baca pulak apa yang Dr Maza berikan nasihat berkenaan masalah sekolah Tahfiz secara umumnya kat bawah ini.

Sekolah Tahfiz dan Agama

ANTARA KEMURNIAN NIAT DAN PENGURUSAN YANG LEMAH

Kebelakangan ini timbul beberapa isu tentang sekolah agama dan tahfiz persendirian yang tumbuh serata tempat. Pelbagai isu berbangkit, termasuk kebakaran, kes penyiksaan, kematian pelajar dan pelbagai isu keselamatan yang lain.

Di sini saya ingin sebut beberapa nota ringkas untuk perhatian ibubapa yang mulia hasrat mereka dan pihak berwajib. Antaranya;

  1. Ramai, bahkan mungkin keseluruhan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah agama dan tahfiz dengan hasrat dan niat yang baik. Namun ramai dalam kalangan mereka mungkin tidak begitu memahami ataupun memikirkan secara seimbang apakah yang mereka mahu bagi masa depan anak-anak tersebut. Kalangan mereka, disebabkan tidak begitu memahami agama menganggap hanya dengan belajar di sekolah agama maka itu sudah memadai. Tidaklah mereka faham apa yang dimaksudkan dengan ‘tafaquh’ atau mendalami agama dalam ertikata yang sebenar. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menilai walaupun secara umum kedudukan ataupun kualiti sekolah agama yang mereka hantar anak-anak mereka belajar.
  2. Ibubapa hendaklah sedar, bahawa anak-anak kita membesar dan akan hidup di era ini. Era yang penuh dengan cabaran terhadap agama dan menuntut kemampuan memahami teks dalam konteks yang betul. Justeru itu, pendidikan agama yang baik hendaklah diseimbangkan dengan keperluan cabaran masa kini. Demikian, amat penting untuk difahami bahawa menjadi ilmuwan agama bukan sekadar menghafal nas dan bernasyid semata, tetapi hendaklah mampu memahami apa yang dihafal dan dapat menghuraikan makna Islam selaras dengan tuntutan semasa.
  3. Jika hasrat ibubapa itu sekadar memberikan pengetahuan asas agama kepada anak-anak mereka, hendaklah mereka sedar bahawa anak-anak mereka selain dari bersolat dan berzikir, juga perlu hidup seperti manusia lain. Maka ilmu yang membolehkan mereka mencari rezeki yang halal amatlah diperlukan. Ini sama ada mata pelajaran akademik lain selain mata pelajaran agama, ataupun ilmu kemahiran hidup yang membolehkan penerusan hidup mereka di masa hadapan.
  4. Ibubapa hendaklah tahu bahawa bukan semua yang dipanggil ustaz itu baik kualiti bahasa Arab dan bagus pengetahuan agamanya. Lebih daripada itu, gelaran ustaz bukan jaminan kemaksuman seseorang sehingga kita boleh mempercayai segala yang dia beritahu tanpa penelitian dan siasatan. Maka, langkah berwaspada untuk masa depan anak-anak kita adalah sesuatu yang dituntut.
  5. Terdapat sekolah tahfiz dan agama swasta yang baik , mengikut peraturan dan berkualiti. Ini dapat diukur dengan banyak ciri, antaranya kualiti kelulusan guru-guru yang mengajar, sukatan pelajaran dan persekitaran pembelajaran. Secara umumnya, sekolah-sekolah agama ataupun tahfiz di bawah Kementerian Pendidikan diurus tadbir dengan baik di sudut kualiti pelajaran.
  6. Namun tidak boleh dinafikan di sana terdapat sekolah agama dan tahfiz diwujudkan tanpa melengkapi keperluan yang sepatutnya. Sebahagiannya hanya kerana semangat ‘ustaz-ustaz’ tertentu yang ingin menubuhkan sekolah sendiri di atas pelbagai tujuan peribadi lalu diwujudkan sekolah mereka sendiri sekalipun tidak memenuhi keperluan pendidikan yang sepatutnya. Ada ustaz dia sendiri gagal dahulunya gagal dalam pendidikan, akhirnya membuka sekolah sendiri tanpa memiliki sijil ataupun latihan pendidikan yang sepadan. Apakah lagi untuk memiliki diploma atau sijil perguruan. Akhirnya, mereka menjadi tenaga pengajar yang tidak cukup ilmu dalam bidang pendidikan dan kaedah ataupun pedagogi pengajaran.
  7. Sekolah-sekolah yang tidak berkualiti itu, bagi menjimatkan kos gaji guru, mereka mengambil sesiapa sahaja yang bersedia mengajar sekalipun bukan bidang berkaitan. Maka tenaga pengajar yang tidak cekap, tidak berpengalaman dan ‘bidan terjun’ ataupun ‘tangkap muat’ mengajar di sekolah-sekolah tersebut. Individu yang tidak begitu tahu bahasa Inggeris mengajar Bahasa Inggeris, yang tidak mahir matematik mengajar matematik, sains, sejarah dan seterusnya. Sebahagian mereka bekerja ini hanya sementara menunggu peluang pekerjaan lain, maka tahap tanggungjawab juga rendah.
  8. Terdapat pemilik-pemilik sekolah tahfiz dan agama yang menubuhkan sekolah mereka untuk kepentingan diri mereka. Mereka guna nama tahfiz dan agama untuk mengutip derma dan sumbangan. Wang yang disumbangkan itu, tidak mempunyai jawatankuasa ataupun badan audit ataupun amanah yang mengawal. Akhirnya jika tidak amanat, pemilik tahfiz ini mewah dengan sumbangan orangramai, sementara sekolah mereka dalam keadaan daif. Lebih dukacita lagi, ada yang menggunakan pelajar untuk mengutip derma sehingga kita lihat, anak-anak tahfiz di lebuh raya, kedai makan, pasaraya dan seumpamanya untuk mengutip wang daripada orang ramai.
  9. Dukacita, akhirnya yang menjadi mangsa ialah ibu bapa dan anak-anak muslim yang ingin mencari ilmu agama tetapi tersalah tempat kerana ‘sangkaan’ baik kepada pusat-pusat tahfiz ataupun sekolah agama yang sedang tumbuh bagaikan cendawan ini.
  10. Justeru, bagi menyelamatkan masa depan anak-anak umat Islam, perkara ini hendaklah diteliti dan dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab.
Apa yang Dr Maza nasihatkan amat baik. Malah ramai terutamanya mereka yang bukan dari latar belakang aliran agama bersetuju dengan apa yang beliau katakan.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Nasihat Dr Maza berkenaan isu hantar anak ke sekolah Tahfiz

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !