Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, November 19, 2020

Jom cuba faham apa dia darah tinggi dan apakah tanda-tanda anda kena darah tinggi

  Mohd Shubhi       Thursday, November 19, 2020


Untuk orang muda dalam lingkungan 20-an tentu tak berapa nak ambil peduli pasal darah tinggi ni. Sikap itu akan berterusan sehingga umur meningkat masuk 30-an. Kemudian naik lagi masuk 40-an.

Bila dah masuk peringkat 40-an, kalau masih tak ada apa-apa masalah, dia akan leka lagi tak ambil peduli. Kalau masa umur 40-an dah ada masalah, dia akan dibuka dengan bermacam ilmu baru tentang kesihatan tubuh badan. 

Baru nak ambil tahu walaupun dah terlewat. Tapi masih berguna jika dia sedar bahawa kena ubah gaya hidup untuk kekal bertahan hidup dan pastikan tubuh badan sihat.

Kalau dah masuk umur 50-an, samada ada masalah atau tidak, biasanya akan ada juga kesedaran nak ambil tahu.

Sebab bila umur dan naik ke 5 siri macam itu, anda akan terasa perubahan dalam berbagai perkara terhadap tubuh badan berbanding masa-masa yang lalu. 

Badan terasa mudah letih dan tak mampu nak lasak lagi. Kepala pusing atau terasa berat mudah sangat nak berlaku. Kecergasan dan mula hilang. Tahap kepantasan pergerakan dah merosot sekalipun jiwa rasa macam masih berfikiran anak muda.

Semua itu membuatkan anda mula nak ambil tahu pasal masalah kesihatan.

Apa makna tekanan darah

Antara masalah kesihatan yang paling biasa di alami bila umur meningkat tua ni adalah masalah darah tinggi. Kita biasa pergi klinik dan doktor check BP

Dia akan ikat jerut lengan dan kenakan tekanan dan kemudian buat ukuran. Dokto akan catit kat kad pantau kesihatan kita dan kata semua bacaan tekanan darah OK!

Kita angguk saja lega. tapi masih tak ambil tau apa ke benda atau bacaan yang dia tulis tu. Kalau fahampun mungkin sekadar tahu bacaan macam mana bagus dan mana satu yang tak bagus.

Mungkin anda tak macam tu. Tapi saya macam itulah selama ini. Tak ambil tahu sangat. Yang pentingnya kalau doktor kata sihat dan ok, maka habis setakat itu saja. Tunggu ada masalah pulak baru pergi cari klinik dan check lagi.

Hari ini saya ambil usaha sikit untuk cari maklumat pasal darah tinggi dan tulis kat sini untuk perkongsian. Moga anda yang tak pernah ambil tahu, dapat juga belajar perkara baru tentang darah tinggi kat artikel ringkas dan santai ini.

Soalan pertama yang paling asas adalah, "apa dia tekanan darah tu?"

Darah mengalir dalam arteri. Dari jantung, darah akan melalui saluran darah yang dipanggil arteri itu untuk pergi ke anggota lain dalam badan kita.

Bila dia mengalir dalam arteri itu, dia akan berikan tekanan pada dinding arteri itu. Itulah yang kita maksudkan dan kita panggil sebagai tekanan darah. Tekanan tu akan naik dan turun dalam tempoh satu hari berbeza-beza bacaannya.

Apa maksud bacaan 120/80 mm/Hg

Ini satu lagi bacaan yang selalu sangat kita tengok tapi tak ambil tahu secara lebih mendalam apa maknannya.

Macam saya kata kat atas tadi, dengar berapa bacaan tu, doktor kata ok dan kita pun lega. Sekadar tu saja yang kita ambil tahu. Lepas itu balik dan teruskan aktiviti kehidupan macam biasa.

Dari bacaan itu, kita boleh lihat adanya 2 bacaan. yang satu nombor kat atas tu, 120. Dan yang kedua nombor kat bawah tu 80. 

Apa maksud kedua-dua bacaan itu agaknya?

Itu adalah bacaan tekanan darah yang saya sebut tadi. Ada dua tekanan yang berbeza bila kita buat bacaan. Bezanya adalah seperti berikut:

  • Bacaan tekanan darah ketika jantung berdegup. Itulah bacaan yang besar iaitu 120 kat atas tadi.
  • Bacaan tekanan darah ketika jantung rehat. Maksudnya bacaan tekanan antara dua degupan jantung. Ini pula bacaan 80 yang ditulis kat bawah pada bacaan 120/80 mmHg
Mudah bukan?

Saya tak pernah ambil tahu lansung sebelum ini. Sekarang baru nak faham apa beza nombor kat atas tu dengan nombor kat bawah.

Apa dia tekanan darah tinggi

Bila dah faham apa bacaan dan macam mana dibuat bacaan itu, sekarang kita akan lebih mudah nak faham apakah yang dikatakan tekanan darah tinggi.

Secara mudahnya, bacaan yang lebih tinggi dari bacaan yang saya sebut kat atas tadi iaitu 120/80 mmHg adalah dianggap tekanan darah tinggi. Memang lah tekanan tu akan naik dan turun bergantung kepada aktiviti dan keadaan anda seharian.

Tapi jika dalam kebanyakan masa bacaannya sentiasa tinggi, itu adalah petanda tak baik. Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal akan membawa masalah kesihatan lain seperti sakit jantung, serangan jantung atau strok.

Jika bacaan anda adalah 140/90 umpamanya atau lebih tinggi, dan kekal macam itu, anda akan dianggap ada masalah tekanan darah tinggi. Itu adalah panduan yang diambil berdasarkan panduan tahun 2003.

Maknanya jika bacaan anda adalah antara 120 ke 139 kat atas dan kat bawah pula bacaannya adalah 80 ke 89, anda perlu berjaga-jaga sebab dah ada risiko naik naik darah tinggi tu.

Berdasarkan panduan tahun 2017 yang saya baca pula, dia berikan bacaan yang lebih rendah untuk anggap ada masalah tekanan darah tinggi. Iaitu jika bacaan adalah 130/80 atau lebih tinggi lagi, itu adalah tanda masalah darah tinggi.

Apa tanda ada darah tinggi

Biasanya orang tua-tua selalu kata antara tanda ada masalah tekanan darah naik adalah bila kepala rasa pening-pening dan urat tengkuk terasa berat. 

Tapi pening kepala macam tu selalu sangat berlaku dan mudah berlaku. Duduk berjemur tengah panas pun boleh jadi macam tu. Puasa dan malam sebelumnya kurang minum air juga boleh jadi macam tu.

Dari bacaan saya, darah tinggi ni sebenarnya tak ada gejala atau simptom yang jelas macam penyakit lain. Kalau adapun adalah disebabkan kesan dari tekanan darah yang selalu tinggi itu dah membuatkan masalah kesihatan lain.

Ertinya kalau nak tunggu ada simptom baru nak menggelupur, agak terlewat dan tidak bijak.

Jadi satu-satunya cara terbaik dan sangat pantas dan mudah untuk kesan adanya masalah darah tinggi adalah dengan buat pemeriksaan dan baca ukuran tekanan darah.

Bukan susah pun. Jadi rajinlah pergi periksa kesihatan kalau dah tua ya!

Namun begitu, jika anda sering hadapi masalah seperti kat bawah ni, elok pergi check kesihatan anda tu. Manalah tahu tekanan darah tinggi tu memang dah ada tapi anda tak pernah pergi periksa. Antara tanda nya adalah:

  • Mata makin kabur - Macam saya kata tadi bukan tekanan darah tinggi tu yang buat anda kabur. Lebih kepada kesannya bila dah tinggi sangat tekanan darah kat bahagian mata yang memang terlalu banyak urat darah dan sangat halus pula, maka akan ada masalah pada mata.
  • Pening kepala dan tidak seimbang - Jika anda rasa pening dan tak stabil, sukar nak berjalan dan nak cakappun sukar juga, itu ada tanda nak kena strok lah tu. Elok pi jumpa doktor dengan kadar segera
  • Mual dan muntah - Kalau dah jadi macam ni akibat tekanan darah yang tinggi, sebenarnya dah parah. Ini dah masuk tahap krisis tekanan darah tinggi di mana bacaannya boleh sampai ke 180/120 mmHg atau lebih tinggi lagi.
  • Masalah susah nak kencing - ini juga kesan akibat dari masalah tekanan darah tinggi yang dah membuatkan buah pinggang jadi rosak. Susah nak kencing bukanlah gejala terus dari darah tinggi. Kalau susah sangat nak kencing, elok lah pergi buat pemeriksaan segera.

Elakkan masalah darah tinggi

Kalau anda masih sihat wal afiat tak ada apa-apa masalah pada tekanan darah, eloklah teruskan jaga tahap kesihatan sebegitu.

Berikut adalah perkarayang anda boleh buat untuk mantapkan lagi dan seterusnya mengelakkan diri dari terkena masalah darah tinggi.

  1. Bersenam - sekurangnya 30 minit tempohnya dalam satu senaman dan lakukan sebanyak 5 hari seminggu.
  2. Hentikan merokok - Ini masalah besar pada mereka yang kaki merokok.
  3. Jaga makan - Jaga apa yang anda makan. Kurangkan dan kawal pengambilan garam.
  4. Jaga berat badan - Badan gemuk membuatkan diri anda terdedah kepada banyak masalah kesihatan lain dan masalah darah tinggi juga. Jadi sila turunkan berat badan tu kalau anda gemuk gedempol
  5. Urus tekanan hidup - dunia sekarang, tambah pulak dengan pandemik covid-19, nak kena buang kerja dan tak ada duit sebagainya boleh buat jiwa tertekan. Cari jalan untuk kawal stress supaya ia tidak merosakkan kesihatan anda. Bila rasa tertekan, segera pack barang dan pergi masuk hutan duduk lama sikit kat dalam tu. Insyaallah reda semula tekanan tu.
Macam tulah lebih kurang perkara asas pasal tekanan darah tinggi yang anda perlu tahu. Alhamdulillah saya juga dapat tahu bila ambil masa untuk buat pencarian sikit di sana sini dan seterusnya tulis untuk mantapkan lagi ingatan dan pemahaman.

Moga bermanfaat!

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Jom cuba faham apa dia darah tinggi dan apakah tanda-tanda anda kena darah tinggi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !